Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Sunday, July 13, 2008

Edisi Khas : Kurap Rasuah

KUALA LUMPUR 12 Julai – Selepas menahan reman Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Mohd. Don semalam, Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini menahan timbalannya pula dan agensi itu menegaskan, ramai lagi yang akan ditahan untuk siasatan kes rasuah mempercepatkan pengeluaran visa pekerja asing.

...Di Pulau Pinang, Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan yang ditemui pemberita memberitahu, kes tersebut melibatkan ramai pegawai kanan Jabatan Imigresen.

Ohh..Malaysiaku! Apa nak jadi ni? Di sudut politik kita sentiasa mewar-warkan bahawa negara kita masih terkawal gejala rasuahnya. Masih berada dalam ranking yang boleh diterima akal. Isu gejala rasuah yang melanda Jabatan Imigresen baru-baru ini bukan lagi boleh diterima akal tetapi pada aku dah jadi "gila akal". Dilaporkan bukan seorang atau dua orang yang terlibat tetapi melibatkan ramai pegawai kanan Jabatan Imigresen. Ini bukan lagi gejala tetapi sudah menjadi "penyakit" dan "kurap" yang melata diseluruh tubuh badan. Semakin digaru, semakin sedap. Semakin sedap, semakin khayal sehingga lupa bahawa diri kini "berbogel".

Baru-baru ini Presiden Cuepecs, Omar Osman menyarankan kepada kerajaan untuk menyelaraskan elaun sara hidup semua kakitangan kerajaan daripada RM300 sebulan kepada RM500 sebulan. Dari masa ke semasa banyak lagi pemintaan Presiden Cuepecs yang suaranya begitu lantang memperjuangkan nasib kakitangan kerajaan seluruh negara. Cukup mengujakan perasaan dengan cadangan-cadangan beliau. Apakah kaitannya saranan beliau dengan gejala rasuah? Aku kadangkala terfikir bahawa adalah tidak adil kepada negara dan rakyat amnya yang membayar cukai apabila melihat senario rasuah negara. Kerajaan memperjuangkan nasib mereka dengan memperuntukkan segala keistimewaan tetapi mereka ini tidak tahu membalas budi. Semakin mewah, semakin lupa diri. Makin tinggi pangkat, makin melonjak nafsu rakus mereka. Apa gunanya kursus-kursus motivasi dan kepimpinan yang mereka hadiri di hotel-hotel mewah di luar stesyen. Hanya membazirkan wang negara kalau peribadi diri masih dibawah tahap beku. Slogan Kepimpinan Melalui Teladan yang kini menjadi bahan ketawa.

Mengapakah banyak isu-isu negara seolah-olah tiada kesudahan? Isu politik, sosial, keselamatan, kebajikan dan sebagainya yang seolah-olah berpusing-pusing dalam putaran yang sama. Ini tidak lain dan tidak bukan kerana pemimpin-pemimpin politik, jabatan dan badan yang dipertanggungjawabkan untuk mendukung nilai-nilai murni negara kini telah menjadi "gila" kerana dijangkiti virus penyakit yang merosakkan minda. Mereka yang dilahir atau dilatih untuk memimpin kini telah hilang aura kepimpinannya apabila biji mata kelabu melihat kemewahan sementara. Bagaimana mahu memimpin orang lain jika diri sendiri sudah tidak terpimpin?

Apakah mesej yang akan dilontarkan kepada masyarakat umum sekiranya kes rasuah Jabatan Imigresen ini terbukti melibatkan ramai kakitangan Jabatan Imigresen? Pada aku inilah gejala rasuah yang amat memalukan. Sindiket rasuah yang melibatkan kakitangan dalaman sendiri. Pihak luar yang memancing tidak perlu lagi bersusah-payah membubuh umpan di mata kail tetapi kini sekadar menabur makanan dibibir air. Berebut-rebut ikan besar dan kecil menghampiri. Ikan-ikan ini sentiasa menggelupur menanti peluang. Kini terdampar di daratan kerana terlalu gelojoh berebut makanan sehingga mereka alpa diri telahpun berada di daratan. Amat mudah untuk dijerat.

Kempen senyum Jabatan Imigresen kepada pelanggan kini sekadar bahan jenaka. Jika kakitangan kaunter Jabatan Imigresen tersenyum manis penuh keikhlasan, pegawai kanan Jabatan Imigresen pula ketawa berdekah-dekah melebihi senyuman. Uniknya tanpa diberikan latihan motivasi dan nilai-nilai murni. Mereka pandai sendiri.

Aku amat berharap kes ini mampu diselesaikan secepat mungkin. Usah membazirkan wang rakyat dengan kos perundangan yang memakan masa. Usah benarkan elemen politik mempengaruhi keputusan. Cuepecs pula janganlah sibuk menjaja cerita bahawa kakitangan kerajaan perlu dibela. Ini tak cukup, itu tak cukup. Cuepecs perlu merasa malu yang teramat sangat kerana mempunyai anggota kerajaan yang tidak berakal.

Mereka yang terbukti bersalah harus dihukum "pancung" kerana disitulah terletaknya minda mereka yang bebal.

Coretan "Kurap" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Saturday, July 5, 2008

Edisi Khas : Sandiwara 3 Politik Negara...Kini Dilayar Filem


Apakah persamaan dan perbezaan antara perkataan "meliwat" dan "diliwat"?. Persamaannya adalah kebiasaannya ada "dua orang" yang melakukannya. Seorang mengambil peranan "pelaku" dan seorang lagi mengambil peranan "diperlakukan". Perbezaannya pula adalah satu senario akan menjadi "kerelaan" dua belah pihak (sendiri makan sendiri simpan) dan satu senario lagi akan menjadi "bahan jenaka" dalam kes di mahkamah.

Itulah Sandiwara terbaru Siri 3 yang jelas menunjukkan betapa kroniknya iklim politik negara kini. Pesta serang-menyerang kian hebat. Kini drama Sandiwara telah beralih ke filem Sandiwara. Kenapa difilemkan? Ini adalah kerana pastinya filem ini akan mengambil tempoh pengambaran yang panjang dan memerlukan kos yang teramat tinggi (pembaziran lagi). Nilai sahaja filem nostalgia pada tahun 1998. Filem kenangan yang begitu menyerlah dan memenangi beberapa "Anugerah Perhatian" dalam festival filem politik dunia. Filem yang menampilkan pelakon-pelakon terhebat. Cukup memeranjatkan di satu sudut tetapi di satu sudut cukup membebalkan kepala otak apabila memerhatikan babak tilam bertompok diusung ke Mahkamah. Filem sejarah yang masih segar diingatan sehingga kini.

Filem yang bertajuk "Liwat" yang mula diarahkan pada tahun 1998 kini kembali memecahkan panggung. Pasti filem terbaru arahan Pengarah Baru mampu menyaingi kehebatan filem terdahulu. Bagi mencetuskan nostalgia, tajuk filem ini masih dikekalkan cuma ditambah tahun dihadapannya iaitu "Liwat 2008". Carta minggu lepas menyaksikan filem "Liwat 2008" telah berjaya mengungguli carta filem politik Malaysia. Kedudukan filem "Ohh...Minyak" dan "Aduhai Harga" kini masing-masing jatuh ke tangga kedua(2) dan ketiga(3). Pengulas akhbar "Ayam Jantan Berkokok" semalam menyatakan bahawa minggu ini persaingan untuk pecah akhbar dijangka diantara dua(2) buah filem iaitu "Liwat 2008" dan "Wanita Meletup".

Seperti filem terdahulu, filem Liwat 2008 pasti memaparkan babak-babak hangat dan separa lucah di lokasi kandang Mahkamah. Bagi aku jika skrip, jalan cerita dan babak lakonan masih mengekalkan senario seperti filem 1998, ianya pasti akan membuatkan penonton naik jelak dan angkat kaki. Walaupun Liwat 2008 menampilkan wajah pelakon-pelakon baru terutama watak "kena liwat", ianya dikhuatiri akan gagal menarik penonton ke panggung untuk jangkamasa panjang jika babaknya mampu dibaca lebih awal oleh penonton. Penonton amat mengharapkan agar tiada lagi babak usung tilam bertompok kuning yang cukup memualkan.

Kita ingin melihat babak lakonan yang lebih jujur. Sekiranya aku menjadi Pengarah, aku akan menampilkan skrip yang berbeza untuk filem Liwat 2008. Aku akan mencetuskan skrip dan babak-babak yang akan menguji minda penonton seumpama filem X-File. Aku tidak berminat untuk melahirkan sebuah filem mahkamah. Cukup membosankan dengan teori-teori perundangan. Aku akan memberikan fokus kepada babak-babak disebalik tirai. Ini bukan filem untuk aku membuktikan kemuncak filem siapa bebas dan siapa pula masuk penjara seperti filem Liwat 1998.

Aku akan membongkarkan babak-babak permainan dan strategi gila adegan liwat itu sendiri. Aku ingin menampilkan watak bertenaga seorang tua yang kian berusia tetapi masih mampu mengalahkan kudrat seorang anak muda yang menjadi mangsa liwat. Aku akan memikirkan babak yang sarat dengan kesan khas untuk menampilkan adegan liwat. Antara kerelaan atau keterpaksaan? Aku akan menimbulkan seribu persoalan diminda penonton. Ini bukan filem siapa benar dan siapa salah. Ini adalah filem yang akan menguji kedewasaan pemikiran penonton. Tidak seperti filem Liwat 1998 yang jelas memperbodohkan penonton terutama watak kepura-puraan Ketua Polis Negara yang menafikan babak memukul peliwat. Babak yang asalnya tidak diluluskan dan dipotong untuk tayangan tetapi akhirnya terlepas.

Aku akan memaparkan babak-babak unik dan pelik dimana seorang anak muda rela membenarkan dirinya diliwat oleh seorang tua. Babak ini akan aku kupas secara mendalam melalui dialog-dialog yang teramat sulit dan sensitif. Inilah babak yang menjadi nadi Filem Liwat 2008. Penuh dengan santapan minda, emosi dan spritual. Penuh dengan tanda-tanya. Penuh dengan teka-teki.

Memandangkan filem Liwat 2008 diarahkan oleh "Pengarah Halimunan", aku pasti filem ini akan diberikan pengiktirafan khas untuk bertanding dalam pesta Filem Politik 2008 untuk kategori "Filem Jenaka/Sandiwara". Samada pelakon-pelakonnya mampu memenangi sebarang anugerah, masih terlalu awal untuk dinilai. Persaingan amat hebat terutama melibatkan kategori Pelakon Terbaik. Filem "Ohh...Minyak", "Wanita Meletup" dan "Latah" juga tidak kurang kehebatannya dengan menampilkan pelakon-pelakon utama yang berwibawa.

Semoga tiada lagi sekuel filem Liwat di masa hadapan. Sekiranya timbul lagi ura-ura untuk membuat sekuel Ketiga (Liwat 3), aku harap badan yang berkaitan dengan penerbitan filem di Malaysia boleh mengambil tindakan dengan memancung kepala Penerbit Filem yang tak reti-reti untuk berubah selera. Seolah-olah mereka ketandusan idea untuk melahirkan skrip filem yang lebih masuk akal. Bebal.

Catatan "Filem Bebal" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor