Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Wednesday, May 30, 2007

Kod Kehidupan : Ketetapan dan Hikmah

Senario:

ALOR STAR 29 Mei – Lapan orang termasuk tujuh sekeluarga terbunuh apabila sebuah lori kontena merempuh deretan kereta yang sedang menunggu untuk membayar tol, di Plaza Tol Hutan Kampung di Kilometer 41.3, Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat sini hari ini.

Adakah Kod Kehidupan lapan orang mangsa yang “amat malang” berkenaan telah ditetapkan? Itulah hakikat yang kita dan ahli keluarga mereka harus terima kerana “Malang Tidak Berbau” dan “Ajal Maut Allah yang Menentukan”.

Sejurus aku mendengar berita menyayat hati melalui Radio ERA pagi tadi, fikiran dan perasaan aku terus terlintas dan terusik dengan seribu persoalan. Adakah insiden ini tidak boleh dielakkan? Adakah mampu lapan orang mangsa ini diselamatkan sekiranya mereka tidak mengikuti laluan ngeri berkenaan? Aku dapat membayangkan perasaan betapa “lega” dan “bersyukurnya” pemandu dan penumpang kenderaan lain yang terselamat. Betapa “paniknya” pemandu dan penumpang yang lain apabila kenderaan disebelah atau dibelakang lenyek dirempuh dan diseret lori kontena berkenaan. Betapa “pucatnya” mereka yang terperangkap dalam suasana kemalangan dan menanti penuh debar babak drama ngeri berakhir tanpa melibatkan mereka. Kesimpulannya, lapan orang mangsa yang terbunuh benar-benar menjadi “mangsa yang teramat malang” walaupun ada nyawa-nyawa lain yang juga berpotensi tinggi untuk terbabit.

Sejenak aku mengimbas kembali pengalaman aku satu waktu dahulu semasa pulang ke Kota Bharu dari Kuala Lumpur. Satu jarak perjalanan yang benar-benar menguji minda, emosi, fizikal dan psikologi. Aku bukan jenis pemandu yang suka berhenti dan berehat. Habis kuatpun, berhenti 30 minit untuk solat dan membiarkan anak-anak aku mengisi perut mereka. Stesyen Petronas Gua Musang menjadi satu-satunya lokasi popular untuk aku melepaskan lelah sebentar.

Satu ketika dalam perjalanan menuju ke Merapoh, tiba-tiba minda dan perasaan aku begitu berat untuk berhenti seketika dipinggir jalanraya. Seperti yang aku katakan tadi, aku tidak gemar berhenti dengan kerap apatah lagi di pinggir jalanraya. Tapi pada ketika itu, mata aku amat berat seolah-olah ada benda yang bergayut. Aku akhirnya berhenti untuk beberapa minit di pinggir jalanraya untuk “termenung” sejenak seolah-olah sesuatu yang “pelik” telah aku lakukan. Selang beberapa minit, aku meneruskan perjalanan dan....alangkah terkejutnya aku kerana di hadapan aku kelihatan beberapa buah kenderaan berlingkar di tengah jalanraya...dan fikiran dengan pantas memberikan signal kemalangan telah berlaku. Agak teruk jugak kenderaan yang terlibat...bersusun-susun “bumper to bumper”...dan kelihatan ianya baru sahaja terjadi.

Setelah melepasi tempat kemalangan, fikiran dan perasaan aku terus terlintas...NASIB BAIK aku berhenti rehat seminit dua tadi...kalau tidak PASTI aku merupakan salah sebuah kenderaan yang terlibat...SYUKUR..aku diselamatkan...Inilah berkat “doa perjalanan” yang kita amalkan sebelum dan semasa perjalanan...mencetuskan Kod Kehidupan yang “TERPELIHARA”.

Adakah pengalaman peristiwa aku diatas boleh dijangkakan? Tidak mungkin dan mustahil. Inilah yang berlaku kepada lapan orang mangsa dalam kemalangan ngeri diatas. Bukan permintaan mereka. Bukan salah mereka. Mereka merupakan mangsa yang “tidak awal dan tidak lewat” walau sesaatpun untuk berada dalam skrip Kod Kehidupan mereka. Amat malang. Kod Kehidupan mereka telah ditakdirkan begitu. Terimalah dengan redha.

Kod Mesej:
Apa yang berlaku dalam kehidupan kita tentu ada perkaitan dan hikmahnya. Sesaat kita lari dan menyimpang daripada landasan akan menentukan Kod Kehidupan Masa Hadapan kita. Cukup membimbangkan. Nasib baiklah kita tidak boleh meneropong masa hadapan kita. Jika kita boleh melihat, pasti kita kelam-kabut untuk “configure” kod-kod tindakan harian kita. Satu “signal” yang harus menjamah pemikiran dan perasaan kita untuk menoleh kebelakang meneliti dan menghurai pengalaman. BERDOA, BERUSAHA DAN BERTAWAKAL…itulah perkataan yang paling tepat bagi menjamin KESEJAHTERAAN Kod Kehidupan masa hadapan kita.

Kod Pengalaman oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Tuesday, May 29, 2007

Kod Kehidupan 280507-1100-1130...Ruang Kesedaran

Kod 1 : 280507-1100-1130
Lokasi : Pejabat
Senario :
Aku sentiasa percaya bahawa manusia dicipta semuanya bersih dan ingin membuat kebaikan. Cuma kadangkala ada manusia yang tersalah arah dan menyimpang daripada landasan norma dan garis panduan kod kehidupan. Didalam senario organisasi, aku kadangkala bingung memikirkan mengapakah ada kakitangan yang enggan berubah kearah kebaikan...bukan untuk kebaikan orang lain tapi untuk kebaikan diri sendiri. Aku kadangkala "naik angin'' jika kedengaran ada kakitangan yang gagal mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh organisasi. Naik angin kerana terdapat perkara-perkara yang dilaporkan kepada aku kebanyakan hanya melibatkan perkara "asas" yang hanya memerlukan "kefahaman peribadi" dan "logik akal" sebagai pekerja yang "makan gaji" dengan organisasi.

Petang-petang semasa memandu kereta dalam kesesakan lalulintas yang tak pernah ada penyelesaian ideal (walaupun dah wujud "SMART Tunnel"), aku tertarik dengan kata-kata motivasi Dr Fadzillah Kamsah melalui Radio ERA "...kita harus sentiasa memberikan "teguran"...jangan berfikir bahawa teguran kita tak kemana...sia-sia...orang itu tidak akan berubah..."

Kata-kata ini mengingatkan aku kepada prinsip peribadi yang aku pegang selama ini dalam membimbing kakitangan terutama dalam soal-soal pematuhan. Daripada dulu hingga sekarang, "Prinsip Kesedaran dan Bimbingan" sentiasa menjadi "Prioriti Utama" aku dalam menangani soal disiplin dan ketidak patuhan kakitangan kepada garis panduan organisasi. Aku sentiasa percaya bahawa ruang tetap ada untuk mereka berubah. Sekiranya tepat dan kena "sentuhan peribadi" kita, insyaAllah...mata hati mereka akan terbuka...Itulah "Ruang Kesedaran" aku untuk membetulkan kembali langkah mereka.

Biarlah aku "mengetuk pintu minda" mereka berulang kali dan "membebel" bagai nenek kerana aku berpegang bahawa satu hari nanti, jika tiada juga perubahan, aku boleh mengatakan kepada diriku...takpalah...aku sudah menjalankan tanggungjawab aku...kuasa untuk mengubah orang adalah diluar kemampuan aku. Aku sudah mencetuskannya...mungkin masa yang akan menentukannya... :-)

Kod Mesej:
Kesedaran yang paling bernilai adalah kesedaran yang tercetus daripada "dalaman" diri kita sendiri. Teguran, bimbingan, sistem, alat, undang-undang dan sebagainya hanya penyedia dan pencetus "ruang" untuk kita melihat diri kita dengan mata hati...


Kod Coretan oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Saturday, May 26, 2007

Motivasi Diri..."Back To The Future - Special Edition 2"

PENGENALAN

"Back to the future..." Pada sekitar tahun 1990 aku mulai berminat pada buku-buku ilmiah yang membincangkan teori ilmu psikologi dan motivasi. Apatah lagi ianya banyak membantu pembelajaran aku di UPM. Pantang nampak saja buku yang bercorak motivasi pasti aku membelinya tidak kira nipis atau tebal. Tabiat membeli buku motivasi ini aku teruskan sehingga aku bertugas di Jabatan Kerajaan. Sekarang ini, tidaklah seagresif dahulu. Kalau adapun yang dibeli boleh dihitung dengan jari kekerapannya. Habis kuatpun, mengulangkaji buku-buku yang sedia ada.

Sebagai mengimbas kenangan, inilah buku (gambar) yang aku beli dengan harga RM8.00 pada 07 November 1990 yang boleh aku kategorikan sebagai "buku awal' yang mencetuskan minat awal aku pada bidang psikologi, motivasi, prinsip dan falsafah. Buku "Anda Perancang Kejayaan" merupakan salah satu buku yang sentiasa aku "ulang baca" kerana penyampaiannya amat mudah difahami dan kupasannya begitu dekat dihati dan minda... :-)


Tiada makhluk atau alat yang mampu memotivasikan diri kita...melainkan DIRI KITA SENDIRI kerana hanya kita yang mengetahui kekuatan dan kelemahan kita dan hanya kita sahaja yang tahu apa yang kita niatkan, rasakan dan fikirkan...Serlahkan TENAGA POSITIF kita dengan CORAK PEMIKIRAN MEMBINA... :-)

Mengimbas Kenangan:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Friday, May 25, 2007

TUNAS SMTJB..."Back To The Future - Special Edition 1"

PENGENALAN

"Back to the future..." Inilah wajah Majalah "Tunas" Sekolah Menengah Teknik, Johor Bahru (SMTJB) 1986-1987 yang menjadi salah satu landasan awal untuk aku mencurahkan bakat...selaku Pelukis, Sidang Redaksi... :-)







Mengimbas Kenangan:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Thursday, May 24, 2007

Pengurusan Organisasi : Membudayakan Komunikasi Pemangkin

PENGENALAN

Sekitar tahun 1999-2001 aku begitu giat menghasilkan artikel untuk Majalah Organisasi iaitu "Voice" dan "Sinar Nurani". Nasib aku begitu baik kerana setiap karya aku akan diberikan fokus utama Editor kerana pada masa itu ada ruangan khas "Budaya Perkhidmatan" disediakan yang amat menarik minat aku untuk memberikan sumbangan penulisan. Karya penulisan aku sentiasa berjaya melepasi Lembaga Penapisan Editor... :-)

Salah satu artikel yang amat aku sayangi sehingga sekarang kerana mempunyai nilai simbolik adalah "Pengurusan Organisasi : Membudayakan Komunikasi Pemangkin". Berikut adalah artikel berkenaan yang aku hasilkan pada tahun 2000 :

PENGURUSAN ORGANISASI
MEMBUDAYAKAN KOMUNIKASI PEMANGKIN

Waktu menunjukkan 8:45 pagi. Seorang kakitangan sebuah syarikat kelihatan pantas dan cergas mengorak langkah. Seorang Pengawal Keselamatan kelihatan berdiri tegap berhampiran muka pintu. Kakitangan berkenaan dengan wajah yang ceria lantas memberikan salam "Assalamualaikum wbt" sambil mengangkat tangan dan bersuara "Amacam hari ini..semua okey?" Inilah satu budaya.

Sewaktu kerja, kelihatan beberapa orang kakitangan sedang rancak berbincang. Air muka mereka kelihatan ceria dan gerak gaya mereka kelihatan begitu bersemangat. Ketika salah seorang bercakap, semua orang tekun mendengar dan ada yang seakan-akan mencatatkan sesuatu. Corak perbincangan mereka begitu aktif dan segar. Jelas sekali sesuatu yang positif sedang berlaku. Inilah satu budaya.

Di dalam satu mesyuarat syarikat, Pengerusi memulakan mesyuarat dengan ucapan salam dan bacaan Al-Fatihah. Sebelum agenda pertama dibincangkan, Pengerusi mengedarkan sehelai nota yang mengandungi kata-kata kiasan, peribahasa dan motivasi sebagai penyegar minda. Perjalanan mesyuarat seterusnya berjalan lancar mengikut agenda. Inilah satu budaya.

Senario di atas merupakan sebahagian suasana yang mungkin kita alami di pejabat yang bersandarkan dua faktor iaitu faktor suasana persekitaran yang memberikan rangsangan dan faktor ciri-ciri peribadi individu yang membentuk rangsangan.

Inilah antara corak-corak komunikasi pemangkin yang prosesnya amat unik, indah dan tersendiri yang tidak terhad atau terbatas pada jumlah waktu dan saluran. Ianya merupakan pemangkin kepada struktur komunikasi organisasi yang memberi nafas segar kepada perhubungan peribadi di dalam organisasi. Komunikasi pemangkin merupakan komunikasi semulajadi yang wujud secara spontan, mudah, mesra, teratur, tertib dan mempunyai nilai-nilai mulia yang memberi zat kepada keceriaan, ketenangan dan keharmonian organisasi. Sekiranya ia diamalkan secara konsisten, ia dapat menjalinkan hubungan mesra antara manusia dan seterusnya mewujudkan suasana sihat di dalam organisasi.

Komunikasi pemangkin bukan sahaja membentuk dan merangsang suasana tetapi ianya juga menyubur dan menghidupkan suasana. Ianya berasaskan prinsip kemanusiaan iaitu manusia harus dihargai, dihormati, diingati dan difahami. Kita semua mempunyai pegangan agama dan nilai-nilai murni yang menyatukan kita. Ianya boleh diadunkan menjadi satu ramuan falsafah dan prinsip hidup peribadi untuk keharmonian organisasi.

Dalam era teknologi maklumat, pelbagai kaedah dan pendekatan digunakan untuk memastikan semua anggota organisasi memperolehi maklumat terkini. Ianya satu kejayaan sekiranya kita dapat menyediakan pelbagai bentuk komunikasi. Walau bagaimanapun, berbalik kepada persoalan asas, kesemuanya tidak akan berkesan sepenuhnya sekiranya kita hanya menekankan struktur komunikasi tetapi mengabaikan proses komunikasi. Inilah tanggungjawab bersama kita untuk mencipta suasana komunikasi pemangkin yang akan berperanan mendorong, mencetuskan kesedaran dan merangsang tindakan positif ke arah melahirkan persekitaran organisasi yang sihat dan berkembang secara menyeluruh.

Pastinya komunikasi pemangkin adalah satu proses semulajadi, proses kemanusiaan, proses contoh dan teladan dan proses tanpa batas waktu. Marilah kita jadikan ianya Satu Budaya atau Cara Hidup dalam Berorganisasi.

Sumbangan oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
2000



Wednesday, May 23, 2007

Kod Kehidupan..."Selamat Pengantin Baru"

Tahniah! kepada rakan-taulan, sahabat-handai, saudara-mara dan adik-adik aku yang begitu "bersemangat" untuk menerokai dunia baru alam berumahtangga dalam bulan Jun nanti.

Ingat...kehidupan yang baik adalah kehidupan yang saling "lengkap-melengkapi". Setiap kelemahan ada kekuatannya dan setiap kekuatan ada kelemahannya. Maka terimalah dengan hati terbuka kekuatan dan kelemahan diri kita dan pasangan kita kerana ianya "sentiasa berpasangan" dalam mencari erti kehidupan yang sebenar sehingga ke akhir hayat.
Sebagai panduan, lihatlah jari-jemari kita, tiada satupun yang serupa (jika kita fikir ideal bermakna serupa/sama). Anggapkan bahawa 5 atau 10 jari-jemari kita adalah kekuatan dan ruang antara jari-jemari kita adalah kelemahan kita. Cuba rapatkan 5 jari kanan (diri kita) dan 5 jari kiri (diri pasangan) diantara satu-sama lain (seperti gambar di atas). Bukankah begitu rapat jari-jemari dan kukuhnya ikatan jari-jemari yang kelihatan. Inilah kehidupan kita sebenarnya. Usah berfikir...Peguam hanya sesuai dengan Peguam...jawabnya mungkin sampai waktu tidurpun masih berdebat. Usah berfikir "kaki pancing lelaki" hanya serasi dengan "kaki pancing perempuan"...jawabnya mungkin dapur tak berasaplah...Fikirkan...Allah Maha Kaya... :-)

Sebagai hadiah, terimalah puisi berbentuk pantun untuk renungan...

Bunga Berseri Mekar Ditaman
Dipetik Sudah Jejaka Idaman
Hidup Bersama Penuh Dugaan
Kuatkan Iman Tetapkan Pendirian

Kata Dikota Janji Diikat
Membina Mahligai Seribu Rahmat
Ingat Sentiasa Peribahasa Keramat
Hidup Berpakat Membawa Berkat


Ikhlas Daripada:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Tuesday, May 22, 2007

Kod Kehidupan : 220507-0930-1030...Nilai Keperibadian dan Kemanusiaan

Kod 1 : 220507-0930
Lokasi : Ibu Pejabat
Senario:
"Zamer...I kecil hati dengan u..." satu dialog yang berunsur negatif bagi pihak yang menerima. Bagi yang bersuara, ianya satu landasan membebaskan perasaan yang terbuku. Aku sedikit terguris. "Virus negatif" bermain diminda dan perasaan. Fikiran kembali fokus. Tiada guna menongkah arus dan menegakkan "benang yang basah". Spontan perkataan "Maaf" aku keluarkan. Aku juga membebaskan perasaan aku dengan perkataan yang berhikmah. Suasana kembali tenang dan neutral.

Kod Mesej
:
Betapa pentingnya kita menghargai dan cuba memahami perasaan orang lain. Tiada rugi kita mengaku dan mengalah. Pandu pemikiran dan perasaan kita untuk mengubah perkara negatif kearah positif. Positif dan negatif adalah realiti. Cara kita menangani itu yang lebih mustahak.

Kod 2
: 220507-1015
Lokasi : Cawangan A
Senario:
Betapa rapuhnya asas kefahaman dan kesedaran manusia. Soal disiplin, imej peribadi, dan kepimpinan organisasi diambil ringan atas alasan "terpengaruh dengan budaya dan cara rakan sekerja". Kemajuan tiada makna sekiranya tiada asas yang kukuh, umpama rumah tersergam indah tapi bertiang rapuh. Aku gagal memahami dengan sebenar-benarnya mengapa ada pekerja yang pada pukul 9:00 pagi masih bersantai di tempat makan (atas alasan perbualan bisnes). Aku gagal memahami dengan mendalam mengapa ada pekerja yang tersenyum lebar berebut lif pada jam 12:45 tengahari untuk makan tengahari (atas alasan takut makanan habis). Sedih dan kecewa. Aku terasa seperti berada dipulau...keseorangan mengekalkan keperibadian tersendiri...Aku berbangga melihat adik-adik aku yang berada di kaunter yang begitu komited melayan pelanggan dengan mempamerkan senyuman ikhlas...sejuk hati aku melihatnya.

Kod
Mesej : Kapal yang besar pasti tenggelam oleh lubang-lubang yang kecil...satu hari nanti...

Kod 3
: 220507-1030
Lokasi : Cawangan A
Senario:
Betapa berharganya nilai perasaan, nilai prihatin, nilai simpati, nilai empati, nilai ambil berat, nilai budi-bicara, nilai kefahaman, nilai perkongsian, nilai persahabatan, nilai tegur-menegur dan seribu nilai-nilai kemanusiaan yang mencerminkan keperibadian kita.

Kod Mesej
: Kekalkan nilai-nilai kemanusiaan ini kerana ianya sesuatu yang cantik untuk dilihat dan manis untuk dirasai.


Kod Rakaman oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Monday, May 21, 2007

Kod Kehidupan..."Back To The Future XXX"

...Apakah yang sedang aku lakukan pada saat ini pada kod kehidupan 210507-1045-1100? Pasti aku sedang menulis. Jari-jemari, fikiran dan perasaanku bersatu menterjemahkan satu kefahaman minda yang boleh dikawal dan direncanakan.

"Back to the future"...apakah yang akan lakukan pada kod kehidupan 220507-0100-0530? Pasti mataku telah terpejam dan fikiran meneroka ke dunia luar sempadan.

Apakah yang akan aku lakukan pada kod kehidupan 220507-0531? Pasti jam locengku berbunyi dengan nada dering yang serupa dan mataku pasti terbuka dengan izinNYA.

Inilah kod kehidupan kita. Mengulangi kod rutin harian yang sama yang kita boleh jangkakan dan lalui tanpa sedar. Walaupun rutin, kod-kod ini masih berada dalam roda pusingan yang lengkap yang tidak akan lari dari kod rel perancangan.

"Back to the future" ...ya! kita boleh pastikan kod kita pada 220507-0830-1730. Kita boleh membawa diri kita terbang ke masa hadapan pada kod 210507-2245 (saat ini). Bayangkan...fikirkan...rasakan...kita pasti boleh melihat diri kita sedang berada di stesyen kerja kita dalam bentuk diri yang kita inginkan...kita boleh melihat apa yang sedang kita lakukan...kita boleh melihat diri kita secara keseluruhan...bukan daripada kacamata orang lain tetapi daripada kacamata kita sendiri...seperti MJ Fox melihat dirinya diwaktu dan detik yang berbeza...

Kita hanya "merancang"...Tuhan yang "menentukan". Kata-kata yang amat berhikmah. Kod kehidupan masa hadapan kita sedang berjalan kini..setiap saat...setiap detik dan disetiap degup jantung kita tanpa henti dan perancangan kita harus yang "terbaik" agar ianya diredhai olehNYA. Usah tersalah niat dan tindakan...kelak kod kehidupan masa hadapan kita akan dicemari "virus".

Kita harus pastikan kod masa hadapan kita berada dalam landasan yang seimbang. Samada kod kehidupan masa hadapan kita berada dalam keadaan positif atau negatif, itu bukan soalnya. Ianya adalah undang-undang alam selagi kita bernama manusia yang harus difahami secara mendalam. Setiap kod adalah saling "lengkap-melengkapi". Ianya umpama "tiada positif, tiadalah negatif", "tiada lelaki, tiadalah perempuan", tiada suka, tiadalah duka" dan "tiada jaya tanpa gagal". Segalanya ideal dalam sudut yang berbeza (bukan serupa).

Back to the future...Kod 210507-2305-Tamat


Kod Bicara Oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Friday, May 18, 2007

Cerpen Nostalgia AB Mar, 1988

BERTEMU DUA PERSIMPANGAN - EPISOD 2
Oleh: AB Mar

...Ditoleh ke kiri, ditoleh ke kanan. Memikirkan sesuatu yang tak pasti. Direnung mata cikgunya. Cikgu Ramlah tersenyum mempamerkan baris giginya yang putih. Semua mata tertumpu pada Ani. Penuh tanda tanya.

Sudah menjadi lumrah di sekolah itu, asal Pengetua panggil sahaja pasti ada yang tak kena. Tentu ada kesalahan yang dilakukan oleh pelajar berkenaan. Jarang benar Pengetua ingin berjumpa jika tidak bersangkut-paut dengan soal disiplin.

"Ahh!...Apa pulak salah aku ni? Pelik..."

Hati Ani meronta-ronta meminta jawapan. Fikirannya ligat berputar. Mengingati hari-hari semalam. Jika ada badai yang dibawanya.

Setelah meminta izin untuk meninggalkan kelas daripada Cikgu Ramlah, Ani berjalan pantas menuju pejabat Pengetua. Pejabat yang hanya terletak disebelah bangunan makmalnya. Beberapa langkah sahaja sudah tiba. Ani ingin cepat-cepat meleraikan ikatan kebinggungannya. Dihadapan pejabat, dada Ani kian hebat berombak. Matanya tertumpu pada deretan pasu bunga di kaki lima pejabat. Tiada lagi keindahan. Muka Ani pucat.

Ani termasuk semua pelajar di SMTJB sememangnya gerun pada Pengetua Shukri. Apatah lagi pelajar-pelajar yang duduk di asrama. Pengetua Shukri bukan jin. Bukan juga gergasi yang makan orang. Cuma sifatnya seakan-akan seperti itu. Garang dan tegas. Segala tindakannya sentiasa menarik perhatian. Berselisih dengannya sahaja sudah mampu mendirikan bulu roma.

Tangan kiri Ani membetulkan tanda namanya. Senget. Ketika itu juga jarinya digenggam. Tangan kanannya mengetuk pintu pejabat. Penuh hati-hati. Tidak terlalu kuat. Tidak pula terlalu perlahan. Lidahnya sekali-sekala menjilat bibirnya yang sentiasa kering. Air liur ditelan kerap. Pintu dibuka lembut. Ani masuk penuh sopan.

"Assalamualaikum Cikgu" suara Ani lembut menjamah gegendang telinga Pengetua Shukri. Ani kembali menutup pintu pejabat perlahan-lahan. Ani mampir ke meja besar Pengetua Shukri. Fail-fail dan buku-buku diatasnya tersusun rapi. Ani berdiri tegak. Tubuh Ani terasa seram sejuk.

"Silakan duduk" wajah Pengetua Shukri serius. Menambahkan gelombang dada Ani. Ani duduk sekadar dipinggir kerusi, asal boleh duduk sahaja. Ani ternanti-nanti suara daripada Pengetua Shukri yang sedang leka menyelak kertas-kertas didalam fail birunya seperti mencari sesuatu. Seketika kemudian Pengetua Shukri tersenyum lega setelah mendapatkan sekeping kertas putih yang kelihatan bertaip ringkas. Ani masih lagi kebinggungan. Biji mata Ani turun- naik, sesekali terpaku pada wajah Pengetua Shukri dan sesekali tertumpu pada kertas putih misteri.

"Awak...Anisah binti Said?" pelajar Tingkatan 5 Pertanian 2. Pengetua Shukri ramah memastikan. Suara garau Pengetua Shukri menyedarkan Ani daripada terus lena dibuai emosi.

"Ya! ya...saya Anisah binti Said...ada hal apa...aaa...cikgu panggil saya?"

Ani tidak sabar lagi. Cuba diberanikan diri. Bibir bawahnya digigit dan lidahnya tidak lagi kelu.

"Nah...ambil ni, baca" pantas Pengetua Shukri menghulurkan kertas putih yang menjadi tanda-tanya Ani. Seketika kemudian Ani lantas menarik nafas dalam-dalam. Tersekat-sekat, kemudian melepaskannya deras. Sederas perasaannya yang tiba-tiba resah.

"Sekarang awak tinggal dengan siapa?" Pengetua Shukri kembali bersuara.

Ani tidak menjawab. Ani tunduk membisu. Fikiran Ani tiba-tiba tak keruan, kusut, berkecamuk dan berserabut.

"Aaa....apa Cikgu?" Ani tergagap-gagap. Kembali tersedar.

Pengetua Shukri diam. Wajahnya kelat lantas bersandar sambil mengurus-uruskan janggutnya yang lebat sambil merenung tajam.

"Ermmm...tidak mengapalah...begini, awak balik ke kelas semula. Fikirkan baik-baik soal ini. Esok awak jumpa saya semula. Awak boleh pergi sekarang" Pengetua Shukri meredakan suasana sambil membuka fail birunya. Surat putih diambil kembali daripada Ani. Selesai tugas Pengetua Shukri, namun bagi Ani...

Berbelah-Bahagi

Sekembali Ani daripada belajar malam di kelas, Ani seperti melepaskan lelah terus menghempaskan badannya yang sedikit gempal ke katil "double-decker" yang hanya bertilam nipis. Berkeriut menahan hentakan badan Ani. Buku rujukan Biologi dibiarkan disisinya. Dua jam di kelas, satu ilmupun tak masuk. Matanya tertumpu ke buku tetapi fikirannya kian berserabut. Kepalanya berat memikul beban yang tiba-tiba mendatang. Ani hanya tersenyum tawar, membisu bila rakan sekelilingnya bertanya.

Deringan loceng menandakan tiba waktu tidur kedengaran merekah. Suasana kian sepi. Lampu kamar satu-persatu dipadamkan. Rakan-rakan sekelilingnya sudah mulai menarik selimut, memeluk bantal peluk dan melayan fikiran masing-masing. Namun Ani yang masih belum menukar pakaian, kian resah. Mengiring ke kanan, mengiring ke kiri. Serba tidak kena. Tidak tenang. Kadangkala meniarap, kadangkala menelentang sambil tangan menutup dahi. Wajah neneknya bermain-main dimata merahnya.

Bersambung...Tunggu Episod 3

Saturday, May 5, 2007

Cerpen Nostalgia AB Mar, 1988

BERTEMU DUA PERSIMPANGAN - EPISOD 1
Oleh : AB Mar


"Kring...kring...kring!..." loceng asrama menjerit tiga kali, berturut-turut menandakan waktu sarapan telah tiba. Deringan loceng yang memekakkan telinga setiap penghuni juga membuat hati setiap penghuni yang belum bersiap merungut.

Kelihatan penghuni-penghuni asrama puteri tergesa-gesa keluar dari bilik masing-masing. Namun begitu, masih terdapat yang leka dihadapan cermin, kelam-kabut mengemaskan katil dan ada juga dua, tiga orang yang masih berpakaian.

Sudah menjadi kelaziman, beratur sebelum ke dewan makan. Salah satu daripada peraturan asrama agar nampak berdisiplin. Di luar kamar A, seorang pelajar sederhana tinggi, berkulit putih kuning, tercegat bersama tiga orang rakan sekamarnya. Ani kelihatan resah. Sesekali Ani menoleh ke arah dalam kamarnya. Masih ramai yang belum bersiap. Ani bimbang kamarnya akan disenaraikan sebagai kamar yang tidak berdisiplin oleh guru warden, Cikgu Rosnah dan Cikgu Fatimah.

Ani tidak seperti beberapa orang rakan sekamarnya. Ani telah bersiap lebih awal. Itulah kebiasaannya setiap pagi. Beberapa detik kemudian loceng kembali berbunyi disetiap penjuru bangunan asrama. Kali ini sekali sahaja tetapi lebih panjang laungannya. Penghuni-penghuni asrama mulai mengatur langkah, cepat bila tiba waktu makan. Mereka bertali-arus menuju dewan makan yang terletak hanya disebelah bangunan asrama. Di dewan makan yang sederhana luas itu, kebisingan tidak dapat dikawal. Begitulah suasananya setiap hari. Suara penghuni putera dan puteri diselangi suara sudu dan pinggan bertemu sudah cukup menggamatkan suasana.

Ani menuju ke mejanya di penjuru dewan bersama-sama rakan-rakan semejanya. Secawan air teh dicapai dan diteguk sedikit setelah melafaz 'Bismillah'. Terasa lega tekaknya yang kering. Nasi lemak kegemarannya disuap perlahan-lahan. Penuh sopan lagak seorang perempuan.

Tiba-tiba Ani memicit perutnya. Dahi Ani berkerut. Ani rasa perutnya sebu. Ani tidak lagi berselera. Lebihan nasi lemaknya dibiarkan sahaja. Ani meneguk air teh yang tinggal setengah cawan. Setelah mengambil begnya di luar, Ani beredar meninggalkan dewan makan, lebih awal daripada rakan-rakannya. Langkahnya pantas menuju ke kelas. Terasa lega perutnya setelah dibawa berjalan. Ani tersenyum sendirian.

Mata Ani liar memerhati keadaan sekitar. Pagi itu cerah walaupun matahari masih belum menampakkan wajah. Udara pagi menerpa Ani lembut. Sungguh nyaman. Suasana Sekolah Menengah Teknik, Johor Bahru (SMTJB), kebanggaannya sungguh menakjubkan. Sana-sini terpacak megah pohon-pohon hijau. Melambai mesra. Bunga-bunga tersenyum mekar. Berbagai lirik. Jiwa Ani damai, sedamai teman-teman alam yang tak diganggu-gugat.

Beberapa buah kelas sudah mulai menerima tetamu setianya. Tetamu yang tidak tinggal di asrama. Antara tetamu yang kedahagaan ilmu. Di kelas Ani, Azman dan Salmah menatap buku di meja masing-masing. Tiada masa untuk tersenyum melihat siapa masuk juga menegur ramah. Ani masuk perlahan-lahan menuju mejanya. Tidak mahu mengganggu kosentrasi rakan-rakannya. Buku rujukan Kimia, nota dan amali Kimia dikeluarkan. Buku nota dan amali disusun rapi dipenjuru meja yang berbalut kertas indah. Buku rujukan Kimia dibuka. Ingin menyertai Azman dan Salmah yang masih khusyuk. Hari ini, masa pertama dan kedua, kelas Ani akan ke makmal. Melakukan ujikaji atau membincangkan teori. Mengikut citarasa cikgu.

Suasana sekolah yang tadinya sepi kini bertukar riuh. Kelas-kelas kian didatangi pelajar. Menjalani hari-hari persekolahan seperti biasa. Sehingga akhirnya dihujung tahun bertarung hebat. Maju atau mundur terserah pada keringat usaha.

Kedamaian Jiwa Tergugat


Tiba-tiba kedengaran ketukan pintu makmal dari luar bertalu-talu. Tergesa-gesa kelihatan orang yang mengetuki. Pelajar-pelajar 5 Pertanian 2 tertumpu keluar menanti. Seorang pelajar lelaki kemas bertali leher tunduk masuk. Segan mungkin. Ani tidak mempedulikan itu semua. Mata Ani kembali berlabuh pada nota Kimia. Buku tulis yang berbalut plastik. Kemas. Pen 'Reynolds' hitam di jari dipusing-pusing. Tidak henti-henti sejak tadi. Ani membaca apa-apa yang perlu. Agar nanti tidak termangu-mangu bila disoal.

"Anisah...Pengetua hendak berjumpa awak di pejabatnya sekarang" suara lembut manja Cikgu Ramlah menusuk gegendang telinga Ani. Jelas.

Darah Ani berderau. Tumpuan pada bukunya terganggu. Pembacaannya terbantut. Pusingan pennya seketika itu terhenti. Diletakkannya di atas meja. Buku nota ditutup.


Bersambung...tunggu Episod 2...

Koleksi Puisi Nostalgia AB Mar, 1988-1991 : Volume 3

Hakikat

i.
Lewat 1960an dan awal 1970an
Mahasiswa berakhlak lahir membuntang mata
Tunduk menyusuri jalan berliku
Berlandas tanda-tanda kabur di pinggiran
Menuju cahaya penembus diri
Segulung ijazah atau diploma
Pasti bersayap
Tanpa titisan berpeluh berhempas
Mengikat butiran dataran kontang
Menadah istilah kesuburan

Mahasiswa
Tidak silau mengharungi kilauan warna
Tegap berdiri menjunjung tiang amanah
Seiring mendalamkan tapak kehidupan
Dibakari niat
Sumbu peribadi insan

ii.
Bisikan kritikan bersulam jeritan
Menyumbat telinga menindih pandangan
Bayang diri mati ditengahari

Mahasiswa
Punggung sendat berbara
Kaku, sepi mengorak langkah mundur
Tersenyum diikat keluhan merubah wajah
Meraba-raba, tongkat dihumban

Segulung ijazah atau diploma
Dilambung, tidak puas dijulang
Menjeling kepala-kepala dongak melopong
Bersinar dimata kelam dihati

Mahasiswa
Pantang berkelip menghambat lambaian materialistik
Menganga luas menghambur idealisme sempit
Dari tempurung pemikiran merintih kelaparan
Atas tunjang pengkotakan disiplin

Mahasiswa
Lena didakap jaluran warna membelai
Dibuai mimpi kosong
Tersedar
Kembali menongkat dagu
Dan dua pipi
Merah menyala tanpa membakar saraf fikiran

iii.
Wahai Mahasiswa katanya golongan intelektual
Kemana laungan yang diapi-apikan
Mahasiswa-muka bercahaya masa hadapan
Kekal menyalakan obor menjunjung sejarah bangsa dan negara
Adakah terpadam
Oleh pujukan Mahasiswa tetamu melapang dada
Mana lorong harus disusuri


Nukilan Nostalgia:
AB Mar, 1989
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO

Koleksi Puisi Nostalgia AB Mar, 1988-1991 : Volume 2

Tradisi

Di perpustakaan
Antara
Kepala-kepala runduk menatap huruf
Jari menari fikiran terpusat
Hadir berbekalkan niat suci
Agar terlerai simpulan dibenak
Masih ada
Terasa punggungnya berbara
Sekalipun "aircond" paras '0' darjah celcius
Memaksa diri menyarung jaket
Lantas menghayun kaki
Berlabuh dari meja ke meja
Terapung dalam lautan kepala
Dimeja besar
Empat kaki bersilang
Katanya menambah kehangatan
Kerana akalnya beku
Tidak sendat lagi seluar 'levis' tebal
Buku ternganga bacaan kaku diperenggan pertama
Dimeja 'private'
Ruangnya muat seorang
Bersenda dua tubuh bertemu
Mulut melopong buku meluat
Nota difahami pura-pura kebinggungan
Fikiran bersilang niat terpesong
Itulah ia
Tradisi diantara kita
Dimanakah letaknya diriku...

Demonstrasi

Demonstrasi-apa yang kita perjuangkan
Semangat, sepanduk, laungan, hasutan
Menyembur perasaan tanpa menoleh pada fikiran
Menggegar akar kepercayaan
Melerai simpulan ikatan
Mereka terkecuali fikiran bercabang-cabang
Goyang berdiri atas pagar
Bingung untuk terjun ke seberang mana

Mereka bertapak di dua seberang
Juga masih kabur mata hatinya
Hanya ikut telunjuk berkait
Kepala-kepala mendongak langit
Lupa dada masih maju ke hadapan
Dan kaki masih menghentak dataran asal

Negara kita Malaysia
Bukan negara satu bangsa satu pegangan
Isu bangsa atau isu agama
Usahlah dinyalakan ikut satu lorong
Kita pembina generasi masa hadapan
Adakah berbekalkan tunas keretakan

Kita golongan pemikir
Usahlah membeku dan menyempitkannya
Kerana kita juga yang akan melopong
Kecundang oleh nafsu dan isu
Suara sebelah pihak
Bidalan ada berkata
Ibarat tarik rambut dalam tepung
Tapi kita rambut tak tentu dapat ditarik
Tepung pula berselerak

Kita merupakan sebahagian dari benua...


Nukilan Nostalgia:
AB Mar, 1989
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO

Wednesday, May 2, 2007

Pengenalan : Koleksi Cerpen Nostalgia AB Mar, 1988-1991

Pada tahun 1988 dengan menggunakan nama pena AB Mar, aku telah menghasilkan cerpen (cerita pendek) pertama semasa aku sedang menuntut di UPM. Ingat lagi pada masa itu segalanya serba kekurangan...tiada emel, komputer dan blog seperti sekarang. Kini semuanya mudah...yang penting kita ada idea, bahan dan kreativiti untuk menulis...segalanya mudah dengan kelengkapan dan perisian terkini.

Aku terpaksa menulis tangan untuk cerpen pertama aku dahulu. Kemudian aku berikan kepada bapa saudaraku untuk dia menaip di pejabat. Itu sahajalah saluran aku pada tahun 1988..dan naskhah asal cerpen 19 tahun lalu masih lagi berada didalam simpanan aku.

Bagi pembaca blog aku yang setia...nantikan cerpen nostalgia aku yang bertajuk "BERTEMU DUA PERSIMPANGAN" dan "SURAT". Dua cerpen nostalgia yang akan aku sampaikan dalam bentuk episod/babak bersiri untuk mencetuskan "feel" pembaca. Satu Projek Novel Bertajuk "HIDUPKU MENITI JANJI" mungkin akan aku sampaikan dalam bentuk yang lain pula.

Nantikan babak-babak seterusnya...

Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Tuesday, May 1, 2007

Puisi Untuk Atuk

Kini Atuk Telah Tiada...

Sesekali ingatan aku membuka ruang...

Atuk pernah menghambat aku dengan rotan panjang
Aku lari lintang-pukang dan takut pulang
Masuk ke rumah ikut pintu belakang

Atuk pernah melibas aku dengan tali pinggang
Dalam diam aku menangis mengerang
Tak berani mengintai Atuk bercekak pinggang

Atuk pernah mengheret aku menaiki bas panjang
Jalan Chow Kit disusuri hingga urat tegang
Membeli baju dan kasut Raya sepasang
Jam 12 tengah malam baru kami pulang

Atuk pernah tersenyum bangga
Berkaca melihat aku gembira
Menerima Anugerah Pelajar Nombor Pertama
Dalam kelas Darjah 5 akulah Juara

Atuk pernah berhutang tak harapkan bantuan
Agar aku belajar dengan jiwa tenang
Tanpa putus menghantar wang saku bulanan
Untuk keperluan belanja di tempat orang

Perasaan aku pernah Atuk fahami
Dalam diam aku rasa terharu
Luasnya kampus UPM kalau berjalan kaki
Dibelinya aku sebuah motor Honda 'Kapcai' baru

Atuk pernah sekali lagi tersenyum bangga
Melihat aku kembali menuai usaha
Membuktikan penat-lelahnya tiada ruginya
Akhirnya aku membuktikan segalanya

Atuk pernah mencium duit aku bertalu-talu
Dalam hati mendoakan kesejahteraan aku
Ucapan terima kasih aku perlu Atuk tahu
Agar Atuk gembira dan bangga selalu

Tahun 2003 Atuk dan Nenek menunaikan Haji
Hajat Atuk telah aku tunaikan seperti dijanji
Atuk pulang dengan wajah berseri-seri
Ceria bercerita berbunga mekar dihati

Tapi kini Atuk telah tiada...
Februari 2006 Atuk telah bersemadi buat selamanya
Sebulan bertapa di Hospital sarat cerita
Walaupun tubuh Atuk layu menderita
Kalimat suci tak lekang dibibir keringnya

Kini tiada lagi ciuman Atuk pada anak-anakku
Tiada lagi Atuk untuk mencium wang kertasku
Sambil mengucapkan "Terima kasih" padaku
Walaupun ucapan itu tidak perlu

Atuk kini telah tiada...
Meninggalkan aku sejuta memori
Untuk aku jadikan azimat dan pelita
Meneruskan perjalanan kehidupan ini

Dan Nenek...
Termenung sendirian meniti hari tua
Akan aku tunaikan tanggungjawab aku sebaiknya
Menziarahi dan menghulur wang seperti selalunya
Biarlah anak-anak aku menyerap hikmahnya
Untuk mereka mengimbas ingatan bila dewasa

Terima kasih Atuk atas segalanya
Pusaramu segar, indah dan harum baunya
Kenanganku bersamamu akan kekal selamanya

Al-Fatihah...


Nukilan:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong