Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Saturday, January 31, 2009

Mesej Peminat Rahsia (Episod 1)..."Back To The Future III"



Kembali ke zaman silam...1987...

Episod 1-Cabaran Awal

Loceng bangunan asrama Ibnu Khaldun kembali menjerit. Jam menunjukkan tepat pukul 1:45 petang. Menandakan semua penghuni asrama perlu segera bersiap untuk bersedia beratur diluar kamar. Tiada ruang untuk aku leka bersantai sejurus sahaja kembali dari solat Zohor berjemaah. Aktiviti harian yang padat menyukarkan aku untuk mengelamun dan berehat panjang. Hanya hari Jumaat dan Sabtu sahaja aku boleh melakukan aktiviti bebas seperti mencuci pakaian, mengilat kasut sekolah, bersantai di bilik rehat dan berbual kosong di balkoni asrama.

Menyidai sendiri pakaian diampaian yang terletak berhampiran dengan surau sudah menjadi kewajipan yang tidak boleh dielakkan. Mata liar memerhati sekeliling dengan muka berkilat dibakar matahari terik. Bimbang jika ada kelibat penghuni Aspuri yang tiba-tiba muncul dipintu surau. Dilewat petang pula, perasaan unik wujud tatkala terserempak dengan penghuni Aspuri sambil tangan aku mengendong pakaian kering. Panik jika seluar dalam terbang ditiup angin kencang dan jatuh berhampiran kaki mereka. Pasti memalukan.

Bak banduan dipenjara, setiap detik penghuni asrama akan dikawal oleh deringan loceng. Sudah sinonim dalam kehidupan harian aku dan rakan-rakan. Sedikitpun tidak merasa terkongkong. Loceng ajaib yang membentuk disiplin diri untuk persediaan masa hadapan. Mengikut peraturan yang ditetapkan, loceng Aspuri akan berdering lebih awal daripada loceng Aspura. Memberi keistimewaan kepada Aspuri untuk masuk ke dewan makan atau berarak menuju ke kelas tanpa berselisih dengan penghuni Aspura. Jika salah perhitungan masa dan menyebabkan kami bertembung, penghuni Aspura akan berhenti dan memberikan laluan "tabik hormat" kepada penghuni Aspuri. Inilah kelebihan kaum hawa.

Loceng Aspuri kembali menjerit. Sayup sahaja kedengaran dari kejauhan. Selang beberapa minit, kelihatan rombongan kaum hawa dengan pakaian yang berwarna-warni berarak dalam satu barisan melintasi bangunan Aspura. Bagai keretapi turbo yang bergerak senyap. Juga umpama robot yang diprogramkan untuk melangkah secara seragam. Berjalan berpasangan dan beriringan sambil wajah tunduk 45 darjah. Tiada seorangpun yang kelihatan berani mengangkat muka dan menoleh ke kiri dan ke kanan terutama semasa melintasi bangunan Aspura.

"Woiii....tengok awek tu...cunlah...budak Perdagangan tu kan?" Zaidi yang memang diketahui kenakalannya tiba-tiba bersuara. Mengganggu tumpuan aku dan rakan-rakan yang sedang leka bersiap. Matanya liar dilemparkan keluar tingkap sambil menyisir rambutnya yang kerinting.

Aku, Nizam, Rafaie dan Samari dengan pergerakan sepantas kilat terus menyertai Zaidi. Sama-sama mengintai dan meneropong penghuni Aspuri yang berjalan seperti lipas kudung. Mungkin perasan ada mata nakal yang memerhati mereka dari jauh. Keadaan semakin riuh dengan dialog nakal kami apabila melihat ada diantara mereka yang mengulum aiskrim Malaysia.

"Hai...hisap apa tu?" Dialog yang akan disusuli dengan gelak ketawa dan siulan "pewiittt" kami bersama.

"Ehh...Siapa yang bertudung warna 'purple' tu hah? Baris No. 3 dari depan." Mulutku tiba-tiba ringan berkata apabila mata terpacak melihat satu tubuh comel yang berjalan pantas.

"Itu Ruhaya Mohamad. Budak kelas aku." Samari yang berada disebelah menyambut pertanyaan aku dengan jawapan pasti.

"Oooo...budak Mekanikal." Mataku terus mengekori pergerakannya sehingga hilang dari pandangan.

"Zamer, aku 'respect' kalau kau dapat pikat budak tu. Budak tu liat sikit. Bukan nak campur sangat dengan bebudak lelaki." Samari menokok-tambah sambil menepuk keras bahu aku.

"Ya ke liat...takpa...aku akan buktikan kat kau yang aku boleh berkawan dengan dia." Aku memandang tepat ke mata Samari sambil mengukirkan senyuman penuh makna. Yakin boleh.

"Kringggggggggggg." Loceng Aspura pula menjerit.

Adik-adik 'Junior' yang sejak daripada tadi telah bersidai di luar kamar A1 dengan pantas beratur membentuk satu barisan panjang. Menanti giliran untuk bergerak mengikut kamar.

"Abang...kami nak jalan dah ni. Ustaz Wahab ada kat bawah tu. Cepatlah sikit," jerit Badarudin dari luar.

"Okay." Jawab kami serentak.

Dalam perjalanan menuju ke kelas, fikiran aku kian kacau. Masih tertumpu kepada nama Ruhaya Mohamad yang menggugat perasaan aku secara tiba-tiba. Entah apa mimpi aku yang beria-ia menyambut cabaran Samari. Cabaran yang menaikkan semangat luar biasa aku. Apakah strategi yang sesuai untuk aku mendekatinya? Aku jurusan Pertanian. Dia jurusan Mekanikal. Tiada ruang dan peluang langsung untuk aku bertemu dan berbual dengannya. Peraturan asrama menyulitkan lagi situasi. Aktiviti asrama Putera dan Puteri dijalankan secara berasingan. Benar-benar menterjemahkan nilai-nilai pendidikan Islam dalam pergaulan.

Sesi belajar petang sukar untuk aku tumpukan perhatian. Kata-kata Samari bermain-main dibenak aku. Aku terus mengelamun dan mencari ilham. Mataku terpaku menatap buku Biologi tetapi fikiran merewang jauh melangkaui bangunan Sekolah Menengah Teknik, Johor Bahru (SMTJB/TIJB). Terbang diawangan. Walau apapun aku tetap yakin akan ada cara untuk kami berhubung.

Bersambung...tunggu "Episod 2-Idea Kreatif"

Back To The Future...

Coretan "Angau" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Wednesday, January 28, 2009

Ohh Seliparku..."Back To The Future III"


Kembali ke zaman silam...1986-1987...

"Aduh!... Hilang lagi," aku merungut sendirian sambil muka mencuka melihat gelagat rakan-rakan berkejaran kembali ke asrama. Melipat kain pelekat sampai ke pangkal paha sambil berlari pecut 100 meter menuju ke kamar. Aku terus menggarukan kepala yang tidak gatal. Mata masih lagi tidak berputus-asa mencari. Menjeling ke bahagian Puteri. Manalah tahu mungkin tercampak ke sana.

"Zamer, apa yang kau dok tercegat lagi kat sini?" tiba-tiba Samari menolak bahuku dari belakang.

"Selipar aku hilang. Tengah mencarilah ni".
Mataku masih tertumpu ke segenap ceruk surau.

Bagi penghuni-penghuni asrama, kehilangan selipar sejurus selesai solat berjemaah di surau Sekolah Menengah Teknik, Johor Bahru (SMTJB) sudah dianggap asam-garam dan rencah kehidupan di asrama.

Segala strategi dan teknik telah aku gunakan bagi mengelakkan selipar aku dikebas. Selipar jepun murah, sandal kulit, capal, sandal dan segala bentuk selipar yang ada dipasaran Pekan Tampoi telah aku cuba. Hendak beli yang mahal dan berbentuk unik bimbang pula menjadi tumpuan rakan-rakan yang kaki "songlap".

Ada juga rakan aku yang membeli terompah yang bunyinya "keletak-keletuk". Bising. Mungkin puas dia mencari idea bagi mengelakkan hartanya dicuri. Terompah yang tidak akan menjadi kegemaran kaki songlap kerana terpaksa berjalan macam siput babi.

Akhirnya, bagi mengelakkan perasaan terkilan dan sedih yang teramat, selipar jepun murah aku beli lagi sebagai ganti. Memandangkan selipar jepun jenis (lupa nama), menjadi kegemaran kebanyakan rakan-rakan seasrama, terpaksalah aku kreatif dengan menulis nama dan mengukir di tepi selipar beridentiti tersendiri. Teknik ini penting jika berlaku salah faham semasa berebut selipar. Maklumlah, banyak sangat kembarnya.

Selipar ohhh selipar...mengapakah kau menjadi agenda terhangat dalam kehidupan asramaku? Jika semasa di tingkatan 4, aku hanya berkaki ayam apabila kehilangan selipar kerana tidak berani mencuri. Kini, ditingkatan 5, aku tidak peduli. Aku tidak rela kembali ke asrama dengan hanya berkaki ayam. Sepantas kilat akan aku sarung mana-mana selipar yang muncul dihadapan mata aku. Disebabkan tergesa-gesa, ada juga kejadian aku menyarung selipar yang berlainan saiz dan rupa. Setiba di asrama, aku akan diperli oleh rakan-rakan.

Satu lagi situasi yang menaikkan angin satu badan aku adalah setiap kali hendak mandi. Awal pagi jam 5:30pagi adalah tempoh kritikal. Sejurus loceng asrama menjerit, semua penghuni asrama akan mulai berebut-rebut menuju ke bilik air. Gaya awal pagi penghuni-penghuni asrama yang hampir serupa. Hanya berseluar mandi, tuala tersangkut dibahu, berus gigi digigit sambil tangan menjinjing gayung atau baldi kecil berisi sabun dan ubat gigi. Suasana yang cukup unik.

Aku cukup pantang apabila terjun sahaja dari katil "double decker", didapati selipar yang aku sorok dibawah katil telah lesap. Terpaksalah aku tunggu rakan sekamar selesai mandi untuk aku pinjam seliparnya.

"Zamer, apasal kau tak mandi lagi ni?" Rafaie menyoal sambil meletakkan gayungnya dibawah katil.

"Selipar aku hilanglah. Baru aje aku beli kat Tampoi Jumaat lepas. Dah hilang balik."

"Selipar akupun hilang jugak. Ni aku songlap kamar sebelah punya tadi. Sebelah besar, sebelah kecik."

Itulah antara dialog popular yang sentiasa terpacul dimulutku dan rakan-rakan apabila menangani isu selipar di asrama. Dalam banyak keadaan, selipar aku yang hilang gagal ditemui. Jika ada kesempatan sebelum kaki melangkah pintu surau, mata aku akan liar mencari dicelah-celah selipar yang berselerakan. Macam-macam rupa dan warna. Gagal dikesan. Mungkin seliparku telah berubah wajah. Didalam hati, perasaan tidak tenteram tetap muncul setiap kali berjemaah di surau. Akan hilang lagikah selipar jepunku yang ke 1o ini? Inilah harta paling berharga dalam kamus kehidupan asramaku.

Back To The Future...

Coretan "Phobia" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Tuesday, January 27, 2009

Realiti Kehidupan 2 : Duniaku Tetap Cerah


Sekilas pandang apa yang terlintas difikiran kita?

Miskin, kotor, selekeh, menjijikkan, berpenyakit, busuk dan sebagainya.

Apa pula yang terlintas difikiran "reflektif" kanak-kanak berkenaan?

Mereka masih "tersenyum" walaupun teratak mereka umpama reban yang seakan-akan menghitung hari untuk rebah ke bumi. Pemikiran reflektif mereka tetap beranggapan inilah "syurga duniaku" yang mampu melindungi keluargaku daripada panas dan hujan.

Bagi anak kecil yang lahap menyuap nasi tanpa alas pinggan, inilah "rezeki" yang turun dari langit yang tidak harus aku bazirkan.

Fikirkan disudut pemikiran kita yang "reflektif" bukan reaktif atau sensitif atau responsif. Adakah kita mampu membaca disebalik mata jernih mereka?

Kehidupan ini tetap milik mereka!

Coretan "Kemanusiaan" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Monday, January 26, 2009

Santai Kehidupan 4 : Cerpen Amira

Hari ini sempena cuti Tahun Baru Cina, aku sekeluarga mengambil peluang melawat Aquaria, KLCC. Sudah berzaman ianya wujud tetapi baru sekarang aku berkesempatan berkunjung.

"Mak aiii...habis RM106.00 untuk tiket masuk 3 dewasa dan 1 kanak-kanak".
Apa yang teristimewanya tempat ini?

Suasana yang padat dengan dekorasi dan hiasan lautan yang menarik serta rombongan manusia membuatkan aku lemas. Aku memang phobia dengan kepadatan manusia. Ruang privasi aku cukup luas. Cukup pantang kalau berlaga bahu dan punggung.

Berikut adalah hasil nukilan Adik @ Amira yang aku arahkan agar menghasilkan cerita pendek pengalaman dia mengunjungi Aquaria hari ini. Nukilan asli tanpa suntingan yang tidak menepati kualiti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Kira halal dan janji faham sudahlah...

"Helo nama saya Amira. hari ini saya pergi Aquaria saya seronok di situ ibu dan Ayah saya baik. Saya jumpa ikan pari, ikan Jerung, ikan bawal dan banyak lagi dalam dunia ini Saya boleh gembirakan saya setiap tahun. ada ikan besar kat situ dia warna biru panjang sangat. petu pula saya nampak haiwan berekor dan berkaki. Saya banyak lagi ada speider, kura-kura, buaya, katak besar, anak katak banyak pula saya suka makan pari Alhamdulinlah saya tau kehidupan laut disitu disitu saya beli patung kura-kura berwarna kuning kakak saya dapat kicin dari ibu Abang beli tempat letak hempon, Ayah beli metnet dekat peti ais. Saya nampak ada orang masuk dalam Aquaria petu dia bagi makan kat ikan. petu masa dia nak balik dia bye-bye kat kita orang"

RM106 (tiket)+RM73 (cenderahati)+RM4 (parking)+RMxx (makanan ringan)= RM2xx. Kos perbelanjaan yang cukup berbaloi untuk mengisi jiwa imaginasi anak-anak.

Coretan "Bersama" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO & Amira @ Adik
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Realiti Kehidupan 1 : Jerangkung Hidup Bermaruah

Bak "Jerangkung Hidup"...teringat aku geng hantu Jepun dalam filem Tan Sri P. Ramlee, Pendekar Bujang Lapuk..."Cobaaaaaaannnn".

Perempuan botak yang disebelah kiri sekali kelihatan tidak bercoli. Mungkin beranggapan tidak perlu dibaluti payudara yang kempis. Sesiapa yang melihat kalau "naik ghairah" bermakna nafsunya perlu dibuat "adjustment dan alignment".

Agak-agaknya berapakah berat mereka? Jarum pengukur yang hanya menimbang tulang-belulang yang menanti retak.

Inilah realiti kehidupan bagi sesetengah masyarakat di dunia. Tanpa program "diet" mereka sudah semulajadi kurus kerana faktor kemiskinan. Organ badan dan urat nadi yang dilapik kulit nipis tanpa isi.

Mereka tetap tabah meneruskan kehidupan. Kekal bernyawa selagi ada udara percuma. Si Ibu dengan naluri keibuan menyusukan anak dipangkuan "keras". Walaupun sedar hanya "darah pahit" yang dihisap, Si Ibu percaya Si Anak tetap bermimpi indah. Cukup terharu.

Mereka tetap manusia bermaruah!

Coretan "Kemanusiaan" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Santai Kehidupan 3 : Kau Kunci Cintaku

Dunia anak-anak yang penuh imaginasi. Berangan tanpa mengira masa. Amira @ Adik yang tanpa diajar, senyap-senyap pandai sendiri bagaimana nak merakam video.

Lagu yang dinyanyikan bertajuk "Kau Kunci Cintaku versi 2009". Suara video tidak kedengaran disebabkan dah terkunci.

Video ini akan disenarai dalam Top 10 Video Sepi Santai Kehidupan. Nantikan di rangkaian imaginasi anda!

Rakaman "Sendablog 3" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Santai Kehidupan 2 : Pantang Maut Sebelum Tergilis

Agak-agak berapakah sewa tapak jualan yang perlu dibayar oleh peniaga pakaian berkenaan?

Jika di Malaysia, pastinya pihak berkuasa sudah mengeluarkan surat saman.

Adakah ini strategi terbaru pemasaran dan perniagaan. Mendekati pelanggan bermula dari tangga keretapi lagi. Pantas dan menjimatkan masa.

Bagaimana pula soal keselamatan? Rasanya keretapi berkenaan perlu bergerak bak siput babi menempuhi kepungan dan longgokan pakaian yang bertimbun. Peniaga dan pembeli seolah-olah bersantai di tepi pantai. Mungkin memegang prinsip "pantang maut sebelum tergilis".

Coretan "Sendablog 2" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Sunday, January 25, 2009

Santai Kehidupan 1 : Marilah Naik Motor@Kereta@Loriku

Agak-agak berapa ya kos tambang bagi seorang penumpang@pembonceng?

Kalau kemalangan berlaku, apa tajuk berita yang paling sesuai diberikan? Kemalangan motorsikal...kereta...lori...treler...bas?

Apa yang pasti Pakcik yang pakai helmet tu berpotensi terselamat...dia boleh terbang dulu...yang lain-lain tu pasti tergolek dan bergelimpangan di atas jalanraya...boleh daftar Guiness World Record..."kenderaan tanpa identiti"...JPJ dan PDRM pun boleh garu kepala yang tak gatal...

Pakcik tu tengah mengira duit..."Pakcik Monang Motor...Pakcik Kayooo..."

Catatan "Sendablog 1" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kindara, Puchong, Selangor

Saturday, January 24, 2009

Edisi Khas 2 : Pasca Kezaliman Rejim Zionis


Senario Pasca 1: Anggaran angka terkini melaporkan lebih 1,300 orang rakyat Palestin termasuk 900 orang awam dan 168 polis awam terbunuh, menurut Pusat Hak Asasi Kemanusiaan Palestin (PCHR). - Utusan Malaysia

Senario Pasca 2:
Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert memberi tanggungjawab kepada Menteri Kehakiman, Daniel Friedman untuk mempertahankan rejim Zionis itu daripada tuduhan jenayah perang berpunca daripada serangannya selama 23 hari ke atas Genting Gaza. - Utusan Malaysia

Senario Pasca 3: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon 'benar-benar marah dan kecewa' dengan serangan ke atas gudang bekalan makanan dan ubat-ubatan serta dua bangunan sekolah PBB dengan mengarah agar siasatan penuh dilakukan. Rejim zionis Israel bagaimanapun mendakwa serangan dibuat untuk membalas tembakan para pejuang di kawasan terlibat dan berjanji untuk membuat siasatannya sendiri. - Utusan Malaysia

Senario Pasca 4: Pengisytiharan Hamas sebagai pemenang dalam menentang serangan pencerobohan habis-habisan tentera rejim zionis Israel Selasa lalu disambut dan dirai oleh ribuan penyokongnya dengan bendera Islam berwarna hijau berkibar megah di lautan kemusnahan Gaza. - Utusan Malaysia

Realiti: Seperti yang dijangka, umpama mengulangi kembali lipatan sejarah lapuk, tentera rejim Zionis akhirnya berundur dari genting Gaza walaupun ada yang masih bertindak kurang ajar dengan melepaskan tembakan dan bedilan meriam setelah gencatan senjata dipersetujui. Bagi tentera Zionis angka 1,300 perlu ditambah dengan angka "bonus" bagi menunjukkan kekebalan mereka daripada ketetapan peraturan dan undang-undang dunia.

Bumi Palestin kembali tenang. Ketenangan yang tidak akan menjanjikan ketenteraman jiwa dan raga rakyat Palestin untuk tempoh masa panjang. Bumi Palestin kini umpama "padang jarak padang tekukur". Rakyat Palestin sudah "alah bisa tegal biasa" dengan senario pasca-peperangan ini. Tiada yang teristimewa sejak tarikh bencana 14 Mei 1948 yang telah meragut beribu-ribu nyawa yang hanya mampu melawan dengan balingan ketulan batu. Bumi hijau Palestin kini semakin terhakis di arca peta dunia. Infrastruktur musnah teruk yang memerlukan bantuan dan keperihatinan dunia untuk membina semula. Kerosakan fizikal boleh diganti dengan limpahan bantuan wang tetapi kecacatan minda dan spiritual rakyat Palestin tetap terpahat sampai bila-bila.

Rakyat Palestin kini kian pupus dengan terbunuhnya ramai kanak-kanak Palestin. Kurangnya generasi muda dengan jiwa memberontak akan mempercepatkan misi rejim Zionis untuk menguasai keseluruhan bumi Palestin satu hari nanti dalam tempoh sedekad mungkin. Bagi warga tua hanya menanti ajal menjemput yang pastinya tiada lagi kudrat untuk melawan. Jelas dimata kita bahawa skrip kezaliman rejim Zionis sebenarnya tiada kesudahan. Apakah kita, dunia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang digelar "Pengawas Boneka Bersekutu" kini boleh menarik nafas lega dengan pengunduran rejim Zionis. Tidak sama sekali jika kita mahu berfikir setapak lebih bijak daripada rejim Zionis.

Saya ingin sarankan agar laungan dan jeritan "Hentikan Kezaliman dan Keangkuhan Rejim Zionis" terus bermaharajalela disemua pentas persidangan dunia sepanjang tahun 2009. Kita perlu memberikan tekanan maksimum meliputi segenap aspek tanpa mengira sempadan dunia, ekonomi, politik dan pegangan agama. Usah terpukau dan terlena dengan pengunduran rejim Zionis setelah mereka dengan lahap menyembelih dan meratah tubuh, jiwa dan raga rakyat Palestin selama 23 hari.

Mereka umpama "dracula" yang kenyang sementara. Pasti mereka akan mengulangi skrip kezaliman yang sama dengan kembali menghisap darah sehingga titisan terakhir. Kita, dunia dan PBB pada masa itu akan kembali melatah dan seolah-olah baru tersedar daripada mimpi ngeri. Menjilat kembali air liur basi yang telah lama meleleh. Kita terus bersandiwara lagi walaupun jelas diminda bawah sedar kita bahawa skrip rejim Zionis hanya putaran rekod yang sama sejak lebih 60 tahun yang lalu. Kita umpama boneka (puppet) yang hanya mengikut rentak dan alunan jari-jemari rejim Zionis sambil mereka ketawa terbahak-bahak.

Wahai pemimpin-pemimpin dunia! Lihatlah dengan minda terbuka dan perasaan kemanusiaan yang tulen. Cukuplah tempoh lebih 60 tahun penderitaan terhebat yang dihadapi warga Palestin. Hentikan pengaliran darah suci rakyat Palestin yang tidak berdosa. Usah teruskan lagi babak sandiwara dengan sekadar berlegar dan mundar-mandir dimeja bulat serta melolong perkataan yang hanya gah dimulut.

Berundurnya rejim Zionis Israel bukanlah penamat babak penceritaan yang terbaik. Skrip yang terulung adalah mengembalikan kedaulatan negara Palestin dibumi Allah SWT. Rejim Zionis harus dihapuskan dari muka bumi umpama kisah Qarun (identiti puncak kezaliman) dan Fir'aun (identiti puncak kesombongan). Inilah Pasca Kezaliman yang kita inginkan bagi Rejim manusia yang tidak bertamadun dan tidak berperikemanusiaan.

Coretan "Pasca Kezaliman" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Saturday, January 10, 2009

Edisi Khas 1: Henti Sandiwara Persidangan


Komentari pertama aku untuk tahun 2009 telah disiarkan di dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia semalam. Cuma untuk coretan blog, aku ubahsuai sedikit bagi lebih "kejam" dan "ganas".

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan perhimpunan agung khas hari ini untuk mengutuk kekejaman Israel di Palestin. Menteri luar, Datuk Seri Rais Yatim berkata, ia diadakan atas permintaan Malaysia. - Utusan

Begitulah bunyi antara berita terkini yang dipaparkan di dada akhbar Utusan Online kelmarin. Adakah itu sahaja yang mampu kita dan dunia lakukan? Sepanjang minggu ini sudah beratus-ratus perhimpunan, mesyuarat dan persidangan diadakan diseluruh dunia untuk menggambarkan keprihatinan masyarakat dunia. Apakah hasilnya?

Saya tertanya-tanya, apa yang menjadi kesulitan bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan juga negara yang digelar Polis Dunia iaitu Amerika Syarikat untuk tidak SEGERA mengambil tindakan tanpa berdolak-dalih. Kita tidak inginkan tindakan yang hanya sekadar berlegar dan berputar dimeja persidangan yang tidak bernoktah. Jika sekadar kenyataan kutukan rasmi, ianya sedikitpun tidak menggentarkan negara dan tentera Israel.

Kekejaman rejim Zionis bukan perkara baru dalam sejarah dunia. Ianya telah bermula sejak 14 Mei 1948. Terlalu banyak alasan diberikan oleh PBB dan Polis Dunia apabila bercakap soal sikap kurang ajar dan tidak bertamadun negara dan tentera Israel. Buta tulikah mereka bahawa sekarang bukan lagi masa untuk kita leka bersidang. Sudah lebih 60 tahun rakyat Palestin tertindas tanpa pembelaan sewajarnya daripada Pengawas Boneka Bersekutu (PBB).

Israel terlalu angkuh kerana mengetahui ada kuasa besar dibelakang mereka yang sentiasa membantu visi dan misi mereka untuk menghapuskan rakyat Palestin diarca peta dunia. Ini semua sandiwara dunia yang jelas dimata kita.

Laksanakan tindakan ketenteraan seperti yang pernah Polis Dunia lakukan terhadap Iraq. Usah terpukau dan tertipu dengan janji Israel untuk melaksanakan gencatan senjata dengan memberikan tiga syarat. Jika benar Israel berniat murni, mengapakah bantuan kemanusiaan dan kebajikan dunia gagal menembusi sempadan Gaza .

Jelas, Israel mahu rakyat Palestin mati kebuluran, mati kecederaan dan mati jiwa dan raga. Kematian yang lebih hebat daripada terbunuh dalam peperangan atau pengeboman. Setiap saat amat berharga buat rakyat Palestin. Ayuh! Bangkitkan revolusi dunia untuk menghapuskan Israel dimuka bumi.

Suara rakyat dari serata dunia telah kita dengari. PBB harus mengambil langkah lebih berani untuk mengambil tindakan ketenteraan terhadap rejim Zionis. Biar Buku bertemu Ruas. Usah lagi mundar-mandir dimeja persidangan. Kelak mengalahkan Pak Pandir. Hantar segera tentera PBB yang mewakili seluruh negara. Kepakaran jentera ketenteraan yang pelbagai pastinya membuat tentera Israel pucat dan menggelupur. Ini yang kita inginkan.

Hentikan penyembelihan rakyat Palestin yang berlaku setiap detik. Israel harus diberikan pengajaran untuk mencintai keharmonian dan kedamaian dunia.

Coretan "Kemanusiaan" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Monday, January 5, 2009

Hari Pertama Persekolahan 2009

Nur Amira @ Adik
Umur: 8 Tahun
Peristiwa 1: Hari Pertama ke Sekolah Agama KAFA Al-Misbah, Bandar Kinrara, Puchong
Peristiwa 2: Hari Pertama ke SRK Seksyen 1, Bandar Kinrara, Puchong


Zuhairi Razi @ Abang
Umur: 13 Tahun
Peristiwa 1: Hari Pertama ke SMK Seksyen 4, Bandar Kinrara, Puchong


Foto "Semangat Baru" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Sunday, January 4, 2009

Pengintip Tandas..."Back To The Future III"


Kembali ke zaman silam...1987...

Malam terasa hening. Langit kelihatan kelam tanpa sebutir bintang. Loceng dan lampu asrama seperti biasa tanpa kompromi akan melaksanakan peranannya tepat jam 11:oo malam. Sudah setahun lebih aku dilatih untuk menyesuaikan diri dengan bingit loceng asrama daripada pagi sampai ke malam. Waktu solat Subuh, waktu beratur dihadapan kamar, waktu berarak ke dewan makan, waktu solat Zohor, waktu sesi belajar petang, waktu solat Asar, waktu solat Maghrib, waktu makan malam, waktu sesi belajar malam, waktu solat Isyak dan akhirnya waktu tidur.

Loceng yang menjadi alat terpenting dalam membina budaya disiplin pelajar-pelajar asrama Sekolah Menengah Teknik, Johor Bahru (SMTJB). Loceng yang amat sinonim dengan kehidupan aku dan rakan-rakan di asrama. Tanpa loceng pasti aturan jadual penghuni-penghuni asrama menjadi tunggang-langgang. Jika jeritan loceng gagal mengetuk minda penghuni-penghuni asrama untuk segera menarik selimut, pasti kelibat Ustaz Wahab, Warden Asrama Blok A, Ibnu Khaldun akan muncul dimuka pintu kamar sambil membawa rotan yang disorok dibelakang punggung.

"Siapa lagi tu yang tak tidur...tutup lampu suluh tu," sergah Ustaz Wahab sekiranya mendapati ada lagi penghuni yang degil dan masih leka menelaah buku pelajaran disebalik kelambu putih.

Tangan aku mulai meraba-raba untuk memanjat katil double decker setelah mata buta sekejap gara-gara lampu asrama terpadam. Berkeriut bunyi besi katil yang aku pasti sudah menerima pelbagai jenis bentuk tubuh badan setiap tahun. Jika semasa di tingkatan 4 dahulu, aku akan sentiasa berpakaian lengkap. Mengenakan seluar dan baju tidur. Jika tidak, abang-abang senior pasti akan menegur dan mencubit puting tetek aku yang comel. Kini, setelah bergelar pelajar senior, aku lebih selesa berseparuh bogel. Hanya mengenakan seluar tidur sahaja tanpa baju. Panas.

Dalam kesamaran, aku dapat melihat ada beberapa buah katil masih belum menerima tetamu tetapnya.

"Dollah, mana Nizam dengan Zaidi?" tiba-tiba suaraku terpacul bertanya adik angkat aku yang berada dibawah.

"Entah," ringkas jawapan Dollah.

Setengah jam berlalu, aku masih berangan di atas katil. Sukar pula mata ini untuk melabuhkan tirai dan mengundang mimpi indah. Bosan mengiring kekanan, pusing pula kekiri. Tidak puas menelentang, menelangkup pula secukup rasa. Namun, minda ini masih lagi aktif memikirkan sesuatu yang kosong. Fikiran terasa kelam seperti langit yang muram.

"Alamak, nak terkencing pulak," rungut aku sambil menekan bawah perut. Pundi kencing terasa sakit.

Aku bingkas bangun. Berkeriut lagi bunyi katil usang. Langsung tidak menganggu dengkuran Dollah yang lena diulit mimpi. Suasana disekitar asrama kelihatan gelap-gelita. Hanya kedengaran sekali-sekala bunyi cengkerik menyanyi . Setiba aku di tandas yang hanya terletak bersebelahan dengan kamar A1, mata aku tertumpu kedalam ruang tandas yang lampunya terpasang cerah.

"Siapa pula berada didalam?" Tiada pula kelihatan kelibat manusia. Aku memanjangkan leher meninjau sambil kaki masih diluar pintu tandas. Naik pula bula roma aku apabila tiba-tiba minda terfokus perkataan "hantu". Apatah lagi tubuh aku yang tidak berbungkus, menambahkan lagi seram-sejuk seluruh badan.

Tanpa berlengah aku terus sahaja menuju lokasi kencing berdiri ditepi pintu. Terus sahaja memancut deras asid toksid yang hangat ke dinding aluminium. Tiba-tiba aku terdengar bunyi berdehem dan batuk-batuk kecil. Aku lantas meninjau-ninjau ke dalam. Ada lima pintu jamban. Dari mana datang bunyi tadi?

"Hishh..siapa pula yang berdehem tadi?" hati aku mulai tertanya-tanya.

Hidung aku mulai menghidu satu bau yang begitu berbeza dengan bau harum semulajadi tandas. Mata aku terpaku melihat kepulan asap putih yang kelihatan menerobos keluar dari salah satu pintu jamban.

"Ehh...asap apa pulak tu?" hati aku terus tertanya-tanya. Naluri ingin mengetahui lebih lanjut kian mencengkam.

Aku menghampiri daun pintu jamban yang mengeluarkan asap. Tangan terasa ringan untuk mengetuk pintu jamban. Ketukan yang bertalu-talu.

"Woiii..siapa kat dalam? Kamu hisap rokok dalam jamban ya. Nanti aku report kat Shahiran." suara aku begitu lantang memecah keheningan suasana tandas.

Aku pantas berlari menuju kembali ke kamar. Tanpa berlengah, bahu Shahiran, Ketua Pengawas Sekolah aku gegarkan dengan perlahan-lahan.

"Apahal ni Zamer?"
Shahiran terpinga-pinga sambil mengenyeh matanya dalam kesamaran.

"Ada budak hisap rokok dalam tandaslah Shahiran. Jomlah, kita periksa." aku berbisik ke telinga Shahiran. Bimbang kalau terdengar oleh rakan-rakan penghuni yang lain. Kecoh pula satu dunia.

"Ya ke? Jom." Shahiran seperti dibekalkan tenaga super bingkas bangun dari katilnya sambil menyarung selipar jepun.

Aku dan Shahiran tiba dimuka pintu tandas selang beberapa saat. Kami terserempak dengan Nizam dan Zaidi yang kelihatan tergesa-gesa keluar dari tandas.

"Ehh..Shahiran..Zamer...apahal korang ni? Nampak semacam aje." Langkah Nizam terhenti dimuka pintu tandas. Zaidi yang berada di belakang kelihatan menggarukan kepalanya.

"Korang hisap rokok dalam tandas ya!" suara Shahiran kedengaran amat lantang sambil tangan mencekak pinggang.

Aku yang berada disebelah Shahiran hanya membisu. Minda aku tiba-tiba mengarahkan aku agar segera beredar sebelum sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

"Aduh..mampus aku ni. Mesti dorang tau aku yang report kat Shahiran," hati aku mulai berbisik curiga.

Sambil Shahiran membebel panjang, aku dalam diam-diam mengangkat kaki menuju kembali ke kamar. Aku dapat melihat mata Nizam dan Zaidi menjeling tajam menghantar aku pergi.

"Mampus aku kali ini," langkah aku makin pantas menuju kamar A1.

Setiba di katil, perasaan aku mulai gelisah. Aku tahu pasti Nizam dan Zaidi akan mencari aku untuk membelasah aku cukup-cukup. Aku mencari ilham. Ilham yang perlu kreatif dan mampu menyelamatkan aku daripada dibelasah oleh mereka.

Aku lantas membuka kelambu putih Dollah sambil merangkak keatas tubuhnya yang besar.

"Ehhh..abang, apa ni? Kenapa abang tidur sekali dengan saya ni?" Adik angkat aku terkejut sambil bersuara panik. Mungkin risau berlakunya hubungan terlarang.

"Diam Dollah. Abang nak tumpang tidur jap. Ada orang nak pukul abang ni." Aku menjelaskan keadaan sambil berbisik rapat ke telinganya. Aku menyembunyikan tubuhku disebalik selimut Dollah.

Selang seketika, aku dapat melihat disebalik kelambu, Shahiran kembali ke katilnya. Tubuh samarnya hilang disebalik kelambu. Kembali menyambung tidurnya yang terganggu. Aku masih lagi ternanti-nanti episod seterusnya dengan seribu kebimbangan.

Seperti yang aku jangkakan, selang beberapa minit, kelihatan empat(4) tubuh berlegar disekitar katil aku.

"Mana pulak Si Zamer ni? Mana dia nak menyorok. Nahas dia kalau aku dapat dia. Aku belasah dia cukup-cukup. nak jadi spy konon," Nizam bersuara bengis. Zaidi dan dua orang lagi yang aku pasti diimport dari kamar lain kelihatan memegang sesuatu. Kayu atau besi aku tidak pasti.

"Takpa...malam ni kau bolehlah selamat Zamer. Esok aku cari kau," Nizam dan kuncunya lantas beredar dari katil aku sambil mendengus tidak puas hati.

Dollah yang terkejut daripada lena sebentar tadi membenarkan aku tidur bersamanya sehingga pagi. Lega aku mendengarnya. Dia tidak perlu bimbang kerana aku tetap suci dan murni. Inilah manfaatnya kalau aku sentiasa berbaik-baik dengan adik junior. Pasti mereka akan menolong aku.

Esoknya, aku bersiap seperti biasa seperti rutin harian. Aku dapat melihat Nizam dan Zaidi merenung tajam sambil menggenggam buku lima. Walau bagaimanapun, aku sudah tidak bimbang lagi pagi itu. Api kemarahan mereka aku pasti telah reda. Tidak seperti malam semalam yang umpama ledakan gunung berapi. Jika mereka ingin melakukan sesuatu pagi ini atau hari-hari mendatang aku tahu bagaimana untuk bertindak. Shahiran yang merupakan rakan baik aku akan sentiasa melindungi aku.

Hubungan aku dengan Nizam dan Zaidi telah menjadi hambar. Muka mereka sentiasa mencuka apabila berselisih bahu. Namun, disiplin asrama sebenarnya telah banyak menyelamatkan aku. Aktiviti yang sentiasa padat dan ketat setiap hari menyebabkan Nizam dan Zaidi kelihatan melupai peristiwa yang memalukan mereka. Menjelang peperiksaan SPM 1987, kami kembali berkawan seperti biasa. Tubuh badanku sedikitpun tidak diusik. Malah kami bersalam dan tersenyum dikala kami mengakhiri sesi persekolahan seolah-olah peristiwa "tandas" tidak pernah wujud dalam kamus kehidupan asrama kami.

Back to the future...

Nukilan "Spy 87" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor