Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Saturday, June 30, 2007

Kod Kehidupan : Pentas Lakonan Manusia

Senario:
Altantuya, Razak ke Eropah

SHAH ALAM 29 Jun – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa hubungan Altantuya Shaariibuu dengan Abdul Razak Abdullah Baginda boleh diibaratkan seperti teman lelaki dan teman wanita, serta pasangan itu pernah pergi bersama ke Eropah termasuk Perancis dan Itali.

...Aku kadangkala cukup bermasalah untuk memahami senario kronik yang berlaku dalam masyarakat Malaysia kala ini. Kes jenayah "skandal paling terhangat" yang terpampang didada media saban hari ini benar-benar aku anggap "pentas lakonan" kepada pelbagai pihak yang terlibat samada secara langsung atau tidak langsung. Bagi aku secara peribadi, kes ini cukup "meloyakan" dan "memalukan" negara Malaysia. Jenayah pembunuhan paling "tidak beretika dan bermoral" yang akan memburukkan lagi buku sejarah Malaysia.

Lupakan sebentar prosedur polis, peguam, hakim, mahkamah dan undang-undang. Prosedur yang "memenatkan" untuk menentukan siapa benar, siapa salah. Benar atau salah masih subjektif pada pandangan aku. Bagi aku, pihak mana yang cekap dan kreatif berasaskan bukti dan data akan menentukan itulah "kebenaran" dalam definasi prosedur undang-undang sivil.

Aku cuba membayangkan kalau dunia ini mempunyai skrip kod kehidupan yang "ideal". Alangkah murninya sekiranya orang-orang yang terbabit "meletupkan" Altantuya berani mengaku dengan mengeluarkan skrip paling murni seperti ini..."Tuan Hakim, tidak payahlah kita meneruskan prosedur Mahkamah ini. Ini semua pentas lakonan untuk kita semua. Kasihan saya melihat keluarga mangsa. Saya dapat membayangkan perasaan hiba mereka. Dengan ini saya mengaku saya bertanggungjawab sepenuhnya. Sayalah yang "meletupkan" mangsa tanpa rasa belas kasihan. Saya memang "berhati binatang" dikala itu dan saya tidak harus hidup lagi di didunia ini. Bunuhlah saya dengan "meletupkan" saya pula." Kelihatan pelik dialog ini tapi inilah bayangan ideal aku. Mustahil.

Aku cuba membayangkan perasaan orang-orang yang terbabit. Tidakkah mereka rasa gelisah, dan takut kepada hukuman Allah bila mati kelak. Tidak mustahil dengan prosedur mahkamah yang "complicated", mereka ini akan bebas dan tersenyum lebar. Tidak kira siapa orangnya, secara logik akal tentu ada manusia yang meletupkan mangsa. Hanya orang berkenaan sahaja yang mengetahui perbuatan mereka. Cukup pelik manusia ini...BERANI MELETUPKAN ORANG TAPI TAKUT UNTUK TAMPIL MENGAKU KESALAHAN...KALAU BERANI MELAKUKAN PERBUATAN INI, KEKALKANLAH KEBERANIAN ITU SAMPAI MATI...TAHU PULAK TAKUT!

Kod Mesej:
Dalam suasana organisasi pekerjaan, analogi peristiwa diatas amat berkaitan dengan kes-kes masalah disiplin yang aku kendalikan. Ada kes memang ada pesalah yang berani mengaku kesalahan dan berundur diri secara berhemah atau tidak berhemah selepas penat aku "psiko". Terdapat juga pesalah yang takut atau cuba mencari helah untuk menyelamatkan diri walaupun bukti jelas menunjukkan dirinya memang bersalah. Cuma sebagai pihak yang menjadi "orang tengah" dalam mengendalikan kes-kes masalah kakitangan, aku cukup "terbuka" untuk memberi ruang kesedaran kepada mereka walaupun terdapat antara mereka yang tak sedar diuntung.

Benar seperti kata pepatah Melayu..."Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya akan jatuh ke tanah juga". Sebagai manusia, usahlah kita ingat perbuatan kita ini tidak akan terbongkar satu hari nanti. Sekiranya kita tidak jatuh ke tanah hingga kita mati...bila mati nanti barulah kita tahu bijaknya "lompatan" kita itu sebenarnya bukanlah setinggi mana...

Kod Lakonan:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Friday, June 29, 2007

Edisi Khas : Kepimpinan "Samseng"

Tarikh : 28 Jun 2007
...Sejak dari pagi lagi fikiranku hilang fokus. Nasib baik sesi temuduga dari pagi hingga ke petang yang aku kendalikan bersama dua orang rakan panel berjalan lancar. Jam 6:30 petang aku dan isteri bergegas pulang ke rumah. Anak aku perlu dibawa segera ke klinik kerana luka dikepalanya kembali berdarah.

Dalam perjalanan yang sentiasa sibuk, aku mengimbas kembali "semburan" aku kepada kakitangan sekolah anak aku semalam. "Apa hak Gurubesar menghentak kepala anak saya dengan botol air sehingga berdarah?" "Saya nak Cikgu sampaikan pesan kepada dia (Gurubesar) yang saya nak berhadapan dengan dia...apa masalah dia sebenarnya." "Jangan dia cuba melarikan diri pulak." Nada suara aku cukup tinggi dan lantang membebaskan emosi yang tidak mampu lagi dikawal.

Pada masa yang sama juga semalam, aku telahpun melaporkan kepada YDP, PIBG dan alhamdulillah, YDP memberikan sokongan kepada aku untuk bertentang mata dan berbincang dengan Gurubesar serta membawa ke dalam mesyuarat PIBG akan datang.

Di klinik, doktor kelihatan berkerut memeriksa kepala anak aku. Anak aku mengatakan kepalanya terasa berdesing dan sakit. Selepas hening seketika, doktor menyarankan aku agar merujuk perkara ini ke Hospital Pakar untuk membuat pemeriksaan "brain scan". Kedengaran cukup serius dan membimbangkan. Tanpa banyak berfikir, aku memberikan kata setuju dan terus bergegas ke Hospital Pakar.

Di Hospital...

Di Bilik Kecemasan, pemeriksaan rapi dilakukan. Suasana tenteram dan layanan mesra kakitangan hospital sedikit-sebanyak meredakan perasaan gelisah aku. Cukup takut menantikan keputusan "'CT Brain". Tempoh 15 minit menanti keputusan terasa amat "lemas". Dup! Dap! Dup! Dap!...

Alhamdulillah, akhirnya keputusan menunjukkan tiada berlaku kecederaan atau pendarahan dalaman. Hanya kecederaan luaran. Terasa lega yang teramat sangat. Aku tak dapat nak membayangkan sekiranya attendan hospital mengeluarkan skrip yang berbeza...Cukup "mendebarkan" dan "mencemaskan".

Dalam perjalanan pulang, fikiran aku kembali tenang tetapi disudut lain, hati kian "membara" untuk berhadapan dengan Gurubesar yang "kurang ajar". Esok juga aku merancang untuk "memanaskan" email aku dengan membuat susulan ke Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pelajaran Malaysia. Sekarang "buku telah bertemu ruas". Silap haribulan Gurubesar ini membuat "onar" dengan aku.

Tarikh : 29 Jun 2007

Aku, isteri dan abang ipar seperti yang dirancang bersemangat untuk "menyerang" Gurubesar yang "tidak cerdik" ini. Ingin aku tatap muka dia puas-puas dan "membasuh, menyental dan membilas" dia habis-habisan. Sampai sahaja ke pejabat sekolah, terus aku memperkenalkan diri..."Ni saya bapak yang telefon dan mengamuk semalam...Gurubesar ada ke?" Kami terpaksa menunggu 15 minit kerana Gurubesar sedang makan. Takpa...yang penting dia tak melarikan diri.

Di Bilik Gurubesar...

30 minit kami menyoal-siasat Gurubesar ini tanpa rasa belas kasihan. Buat apa nak kasihan kepada dia walaupun orang tua. Dia sendiri tidak kasihan kepada anak aku sampai sanggup menghentak kepala anak aku. Ikut hati ingin sahaja aku menghentak kepalanya. Biar dia rasakan pula kesakitan yang anak aku alami.

Selepas penat "keliling dunia" dia menjelajah untuk mengelak dan menafikan tindakannya, akhirnya dengan kelantangan suara aku dan "triple" lantang suara abang ipar aku, akhirnya dia mengakui tindakan dia dengan mengunakan alasan "TER" atau "TAK SENGAJA" kerana katanya dia sedang marah diwaktu itu. Tindakan BODOH seorang Gurubesar yang bergelar pendidik. Apakah kesalahan berat yang anak aku lakukan sehingga emosi Gurubesar ini tercabar...apatah lagi anak aku seorang Pengawas...Pelik.

Dia telah memerangkap dirinya dengan jawapan itu. Apa lagi, semburan demi semburan yang "berapi" bagai "naga jadian" kami halakan ke wajahnya. Pucat dan berpeluh yang jelas menampilkan "pelakuan orang bersalah". Takut ingin bertentang mata dengan kami (naga jadian).

Perkataan maaf spontan dia keluarkan sambil menepuk tangan aku. Aku mengatakan mudah melafazkan maaf tetapi kesan peristiwa yang berlaku akan kekal dijiwa dan emosi anak aku. Adakah dia boleh membayar kos jiwa dan perasaan ini. Aku menegaskan bahawa perkara ini akan tetap aku bawa ke peringkat atasan dengan apa jua cara. Tunggu sahajalah akibatnya.

Petangnya, aku memanaskan email aku dengan membuat susulan. Aku tahu budaya Malaysia kalau tidak dipanaskan dengan membuat susulan, pihak yang berwajib hanya akan diam membisu. Kebiasaannya, bila dah terantuk baru mereka nak tergadah. Harapkan tindakan proaktif jauh panggang dari api. Aku tidak tahu setakat mana berkesannya kemudahan aduan yang pihak Kementerian Pelajaran Malaysia sediakan seperti sms, email, aduan, faks dan surat. Talian aduan bila dihubungi, sentiasa tidak berangkat. Cukup membosankan.

Hari-hari seterusnya...

Aku akan tetap "memanaskan" punggung orang-orang yang berkenaan tanpa henti. Aku pernah memanaskan punggung kakitangan Hospital Besar, LHDN, Majlis Perbandaran dan sebagainya. Biarlah aku membuat 100 kali susulan kerana aku percaya kalau aku tidak bertindak seagresif ini, pihak berwajib hanya akan "memandang sebelah mata". Kurangnya "kepekaan" mereka akan menyebabkan ramai lagi anak-anak murid/pelajar yang akan menjadi mangsa kepada pendidik-pendidik yang "tidak berakal dan berhemah" yang bercirikan Kepimpinan "Samseng".

Teringat lagu samseng...

Artis : AHLI FIQIR
Lagu : Samseng

Samseng, samseng, samseng, samseng
ini bukan zaman samseng
bukan zaman samseng samseng*
tiada tempat untuk samseng
ini bukan cara samseng

Sudah banyak yang ku lihat di depan mata
pecah botol pecah gelas pecah kaca pecah kepala
cara berkuasa siapa gagah siapa perkasa siapa lagi ramai anggota
mana tempat?
bila masa?
kita jumpa
satu lawan satu
engkau dengan aku
buka butang buka baju
gedebak gedebik gedebuk
kita tunggu siapa yang akan jatuh dahulu
...........

Coretan Kekecewaan:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Thursday, June 21, 2007

Kod Kehidupan : Transformasi

Senario :
28hb Jun 2007, robot-robot yang boleh "mengubah bentuk" dalam filem "Transformers" arahan Michael Bay akan menyerang Malaysia. Rasa tidak sabar untuk menyaksikan kehebatan filem khayalan berteknologi tinggi ini. Walaupun dah jadi "bapak budak", filem ini sebenarnya mengembalikan nostalgia aku semasa zaman kanak-kanak dahulu. Betapa siri kartun "Transformers" ini dahulu meninggalkan kesan dan pengaruh yang membangunkan "imaginasi pemikiran" aku pada zaman kanak-kanak pada era tahun 80an. Cukup teruja!

Bercerita berkenaan "Transformers" atau terjemahannya "sesuatu yang boleh mengubah bentuk", secara ilmiah atau akademik terlintas difikiran aku perkataan "Transformasi" atau dalam kata mudahnya "perubahan". Satu istilah yang biasa kita dengar dan bukan sesuatu yang janggal dalam kehidupan kita.

Tiada satu perkara di dunia ini berada dalam keadaan "statik". Batu, kayu, air, tumbuhan, haiwan dan yang paling mulia kita yang bernama manusia ini tidak akan dapat mengelakkan faktor "transformasi". Batu yang kelihatan statik itupun pasti akan mengalami "transformasi" kerana tidak dapat mengelakkan faktor pengaruh persekitaran alam. Apatah lagi kita.

"Imaginasi"
pemikiran manusia benar-benar telah menyelamatkan kita untuk terus menjadi "khalifah" di muka bumi. Pemikiran kita sentiasa berkembang untuk terus mengadaptasi "perubahan". Walaupun tubuh badan kita tidak boleh mengubah bentuk seperti robot-robot "Transformers", kita sebenarnya sentiasa "transform" ke bentuk lain. Di sudut positif, manusia yang sanggup "berkorban" untuk "transform" mindanya, "transform" emosinya dan "transform" semangatnya akan dapat melihat diri mereka "berkembang" dan membesar seperti robot "Transformers" di sudut yang berbeza. Inilah "transformasi" dalam realiti kehidupan.

Kod Mesej:

Perubahan adalah satu senario realiti yang tidak boleh dielakkan. Kita manusia harus sentiasa bersedia untuk menghadapi dan melakukan penyesuaian diri. Tiada kehidupan yang "ideal". Apa yang ideal adalah IMAGINASI kita untuk mencorakkan kehidupan. Teringat aku kembali pada zaman kanak-kanak, berimaginasi sendirian "menembak" dengan getah "patung-patung askar" yang disusun di atas almari. Imaginasi yang membayangkan "patung-patung askar" itu adalah "musuh" dan aku adalah "askar baik" yang akan menghapuskan "mereka". Satu kepuasan "imaginasi" yang sukar dikembalikan... :-)

TRANSFORMERRRSSSS!!!...

Kod Transformasi:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Sunday, June 17, 2007

Kod Kehidupan : Rambut Sama Hitam, Hati Siapa Yang Tahu

Senario :
Pembantu rumah cuba lari dari tingkat 15

KUALA LUMPUR 16 Jun – Akibat tidak tahan didera sejak empat bulan lalu, seorang pembantu rumah warga Indonesia hari ini nekad melarikan diri dengan turun melalui tingkap rumah majikannya di tingkat 15 sebuah kondominium di Sentul Indah di sini menggunakan kain dan pakaian yang disambung-sambung.

Apakah perkataan yang paling tepat bagi menterjemahkan tindakan pembantu rumah warga Indonesia ini? Nekad...berani mati...tawakal...bisa Pak...tiada pilihan atau cuba nasib. Aku tidak dapat membayangkan betapa "parahnya" jiwa pembantu rumah ini sehingga terdetik perasaan ingin menjadi "Spider Woman". Mengalahkan "keberanian" pelakon "stunt" adegan filem "James Bond 007". Kalau akulah...berdiri dan melihat ke bawah dari tingkat 4 dengan memegang pagar bahagian dalampun sudah cukup menggoyangkan perasaan dan minda aku. Inikan pula dari tingkat 15 yang kalaulah jatuh menjadi loya pula untuk mengutip serpihan tubuh yang bersepai. Huishh! Cukup ngeri untuk dibayangkan.

Persoalannya yang ingin aku kupas disini adalah mengapalah ada hati manusia yang sanggup memperlakukan manusia umpama "binatang". Kalau benarpun pembantu rumah kita bermasalah, tindakan mendera adalah satu perbuatan yang sukar untuk aku terima secara peribadi.

Aku sendiri mempunyai seorang pembantu rumah dan aku dapat membayangkan senario yang dihadapi oleh pembantu rumah yang didera kerana pembantu rumah aku yang pertama dahulu pernah berkongsi dengan isteri aku tentang kawan-kawannya yang saban hari didera. Walaupun hanya segelintir tanpa mengira bangsa dan agama, memang sukar untuk aku terima sekiranya seorang pembantu rumah dipaksa memandikan anjing (bagi yang muslim), awal pagi bangun basuh kereta, dicatu pemakanan, diberi makan atas lebihan, dikurung didalam rumah yang berkunci, dipaksa bekerja sehingga lewat malam, tidur beralaskan simen, berkerja di dua atau tiga rumah (rumah saudara-mara) dan sebagainya. Apakah jenis penyakit majikan yang memperlakukan sedemikian. Kurang waras atau gila. Adakah berbaloi gaji RM350-450 sebulan yang mereka perolehi? Patutnya diwujudkan "elaun dera" kerana seolah-olah dera sudah menjadi rencah majikan.

Pembantu rumah aku yang kedua pula sempat aku korek latar-belakangnya semasa "sesi orientasi hari pertama". Difahamkan pembantu rumah aku ini berasal daripada keluarga nelayan. Kerjanya di Sumatera sebelum ini adalah mengambil upah memilih hasil laut yang dibawa nelayan tanpa mengira masa dan juga mengambil upah membasuh kain dari rumah ke rumah. Memang penat dan tiada istilah rehat katanya. Apatah lagi untuk merasa kemodenan seperti letrik dan televisyen. Memasakpun pakai dapur kayu. Kemewahan sememangnya jauh panggang dari api. Kedatangannya ke Malaysia setelah jenuh berhempas pulas mengumpul rezeki untuk membantu keluarga dalam usia muda dan dia ingin merasa sedikit keselesaan dan kebebasan. Tiada halangan pada aku dengan alasannya asalkan dia tahu tujuan kedatangannya bekerja di Malaysia. Mendera...tiada terlintas langsung dalam kamus Kod Kehidupan aku.

Aku tidak menafikan bahawa terdapat juga pembantu rumah warga asing yang mendatangkan seribu permasalahan. Walau bagaimanapun, mendera bukanlah jalan penyelesaian. Banyak lagi cara yang lebih beretika. Bagi yang "melimpah-ruah duit", hantar saja mereka pulang ke negara asal. Setakat hendak membayar penalti RM250 kepada Imigresen bukanlah soalnya berbanding "sakit kepala" kita memelihara pembantu rumah yang bermasalah. Usah jadi seperti kes di atas. Nasi telah menjadi bubur. Bagi yang kurang mampu disegi kewangan, usahakanlah dahulu "sesi kaunseling" seperti yang pernah aku lakukan kepada pembantu rumah aku yang pertama. Gunakan skil yang ada, insyaAllah...merekapun ada "mata hati".

Pembantu rumah aku yang pertama dahulu, atas dasar kepercayaan aku bagi balik pulang bercuti ke Sumatera setelah lebih setahun berkhidmat dengan keluargaku. Pada firasat aku dalam tempoh setahun, dia tiada menunjukkan tanda-tanda yang tidak sihat walaupun pada awalnya dia mengatakan ejen menipu dia kerana ejen tidak memberitahu kena menjaga 2 orang budak (anak-anak aku). Apa nak buat...dah datang...kena teruskan sajalah dengan bibir muncung pada awal-awal bulan.

Panas jugak hati apabila memikirkan penat aku bertolak dari percutian di Genting Highland menuju ke LCCT, batang hidung dia tak muncul-muncul seperti yang dijanjikan. Sah, aku sudah dipermainkan. Bagi pulang 3 hari, terus tidak pulang-pulang. Bijak...bijak, tiada tanda-tanda dia ingin meninggalkan Malaysia. Sebahagian pakaian masih lagi tersusun di almari. Sebelum berlepas, siap berjanji dengan anak aku yang dia hanya pulang sebentar. Langsung tidak terlintas difikiran aku atas tindakannya yang "tidak berhemah" ini. Akhirnya, majikan yang "berhemah" ini tertipu..."Tipah Tertipu...Zamer Tertipu".

Pembantu rumah aku yang kedua ini pula masih "budak" lagi. Tidak pernah bekerja sebagai pembantu rumah. Letih sedikitlah nak melatih. Tunjuk saja perkakas mencuci rumah yang pelbagai sudah menggaru kepala. Tidak mengapalah, yang penting ada orang untuk membantu dan menjaga anak-anak aku. Sekurang-kurangnya kos belanja bulanan sudah tetap berbanding kos relatif menghantar anak-anak ke Pusat Jagaan. Bayaran lebih masa tidak boleh dijangkakan. Nampaknya yang baru ini boleh makan saman sebab dia "fresh" berbanding yang pertama dahulu (berpengalaman). Tetapi tidak tahulah dalam jangka masa panjang. Rambut sama hitam, hati manusia siapa yang tahu. Pengalaman mengajar aku untuk lebih berhati-hati dan aku dan isteri telah mempunyai tip-tip sebagai langkah kawalan berhemah.

Kod Mesej:
Walau apapun alasannya, usahlah kita mengambil tindakan yang akan membuatkan kita menyesal sepanjang hayat. Kita kena ingat, diwaktu kita berkerja di luar rumah secara purata 11-12 jam sehari, anak-anak dan rumah kita pula berada didalam "genggaman" pembantu rumah kita. Tidak rugi jika kita melayan pembantu rumah kita dengan baik dan beretika berbanding "kos risiko" yang akan kita hadapi kelak.

Tidak mengapa sekiranya pembantu rumah kita bertindak diluar jangkaan seperti merengek hendak pulang bercuti, malas sekali-sekala dan buat perangai tanpa provokasi. Kita harus melayan mereka sebagai manusia melebihi layanan sebagai pekerja dan majikan. Lebih baik sekiranya kita menganggap mereka sebagai salah seorang "ahli keluarga" kerana kita tahu peranan mereka "hebat" dirumah dan kebanyakan tindakan mereka dirumah "diluar kawalan" kita (sewaktu kita di pejabat).

Semoga kehidupan kita dipelihara daripada segala musibah dan bencana. Cukup gerun apabila memikirkan kes-kes jenayah yang berlaku yang melibatkan pembantu rumah warga asing. Moga dielakkan...InsyaALLAH...


Kod Perkongsian:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Monday, June 11, 2007

Wayang Gambar Pertama..."Back To The Future I"

Kembali ke zaman silam...1975

...Hari Selasa lepas (5 Jun 2007) sempena cuti sekolah, masa terluang tengahari hingga petang aku dan keluarga bersantai dengan menonton wayang di GSC IOI Mall, Puchong. Keseronokan dan terpegunnya aku menyaksikan kecanggihan teknologi animasi semasa menonton Shrek 1 dan 2 dahulu membuatkan kami teruja untuk menonton Shrek 3 pula.

Walau bagaimanapun, bukannya Shrek 3 yang aku ingin ulas tetapi aku ingin berkongsi pengalaman "Back to the future" aku menonton "Wayang Gambar Pertama" yang secara tidak langsung mengajar aku mengenai budaya menonton filem/wayang.

Ianya berlaku pada tahun 1975 (umur berapa?...5 Tahun). Jarang aku dapat mengingat nostalgia hidup aku dalam peringkat umur seawal ini tetapi pengalaman menonton "Wayang Gambar Pertama" ini benar-benar terpateri dalam memori aku sehingga kini.

"Wayang Gambar Pertama"
yang aku tonton dan mengujakan segenap pelosok Kampung Selamat pada kala itu adalah berjudul "BUNGA PADI BERDAUN LALANG" lakonan hebat "Hussein Abu Hassan" dan "Mahyon Ismail", bersama pelakon pembantu "Tamam Idris" dan "Razali Buyong". Dalam usia 5 tahun, aku sememangnya tidak mengerti apa-apa untuk menonton filem kategori "dewasa" ini apatah lagi untuk memahami jalan cerita.

Petang itu, penduduk Kampung Selamat dikejutkan dengan perarakan "lori filem" yang mengumumkan melalui "pembesar suara" bahawa malam itu akan ada tayangan "wayang gambar" di padang terbuka Kampung Selamat. Aku kurang ingat samada tayangan ini berbayar atau tidak. Perarakan "lori filem" ini amat unik sekali. Di hadapan, di belakang dan di tepi "lori filem" ini dipenuhi dengan "poster bergambar". Budak-budak tanpa berselipar dengan girangnya akan mengekori dan mengiringi "pergerakan perlahan" lori berkenaan ke seluruh ceruk kampung sambil berteriak sama. Ianya benar-benar bagai pesta.

Malam telahpun menjelma. Bapa-bapa, ibu-ibu, anak remaja dan kanak-kanak bagaikan berpakat sama-sama "berlonggok" di padang terbuka Kampung Selamat dengan membawa tikar, surat khabar, bangku dan sebagainya bagi tujuan mencari keselesaan menonton kelak. Aku masih ingat lagi aku duduk mencangkung bersama bapa dan ibu saudaraku sambil mulut melopong dan kepala mendongak ke skrin besar. Di sekelilingku, berbagai gaya dan ragam penonton dapat dilihat. Ada yang berkain pelikat, ada yang bersinglet dan tidak kurang juga budak-budak yang riuh berkejaran ke sana dan ke mari. Apek sengau bermotosikal yang menjual aiskrimpun tumpang sekaki malam itu.

Nun di belakang sekali, "Jentera Pemutar Filem" dari "Lori Filem" ligat berputar sambil mengeluarkan bunyi yang "unik". Aku dapat melihat pancaran lampu filem ke skrin besar yang memukau penduduk Kampung Selamat untuk terus melekat di padang tanpa berganjak sedikitpun. Terpegun dengan kecanggihan.

Aku masih ingat lagi babak filem yang dahulunya tiada definasi "Censored". Babak Hussein Abu Hassan mencampakkan pakaian dalam ("seluar dalam") ke tepi katil dan...kesimpulan babak seterusnya dapat kita bayangkan tanpa perlu aku ulas disini. Banyak babak-babak yang "menghairahkan" tetapi sebagai budak-budak yang berumur 5 tahun aku tak ambil pusing. Tak mengertipun. Hanya mata saja yang membuntang tetapi tidak mempunyai apa-apa perasaan.

Kembali ke zaman kini...2007

Itulah kecanggihan teknologi filem yang aku kenali dahulu. Jika hendak dibandingkan dengan zaman sekarang, ianya terlalu banyak jurang perbezaan. Itulah namanya kemajuan dan pembangunan. "Lori Filem" merupakan salah satu "medium berkesan" Syarikat Perfileman mempromosikan filem mereka terutama bagi kawasan perkampungan. Cukup unik.

Kini, segalanya terlalu mudah dan amat pantas. Teknologi dan kreativiti semakin berkembang pesat. Penonton pula semakin bijak dan cerewet dalam membuat pilihan menonton. Seharusnya filem kita semakin maju dalam pembikinannya selaras dengan kemajuan infrastruktur yang terdapat di dalam negara kita.

Filem kita wajah kita...


Coretan Nostalgia:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Sumbangan Ruangan Forum, Utusan Malaysia

Forum Utusan Malaysia, 11 Jun 2007


Terowong SMART gagal atasi kesesakan?

SAYA ingin bertanya apakah langkah dan tindakan Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk menyuraikan kesesakan yang kian kronik di jalan raya Tun Razak - Seremban.

Berdasarkan pemerhatian saya pada waktu puncak pagi dan petang, kempen terowong SMART yang ‘enak’ mengatakan akan menyuraikan kesesakan jalan raya di lokasi berkenaan pada hakikatnya adalah tidak seperti yang dicanangkan.

Berdasarkan penilaian saya yang melalui terowong SMART semasa tempoh percuma ini, kenderaan hanya lancar dengan permukaan jalan raya yang kasar semasa berada di dalam terowong (ada yang memecut melebihi 60km/jam) tetapi akhirnya akan ‘berlonggok’ di terowong keluar.

Pada waktu pagi berhampiran RHB, kesesakan makin ketara berbanding sebelum terowong SMART dibuka. Jalan telah menjadi tiga lorong dan kenderaan ‘berpusu-pusu’ keluar dari terowong, ditambah pula kesesakan biasa dua lorong yang lain dari jalan lama Sungai Besi dan dari persimpangan/bulatan Kg. Pandan (di hadapan bangunan Time).

Cukup menyesakkan minda dan perasaan. Saya dapati sistem jalan raya di sekitar kawasan berkenaan tidak selaras.

Sistem lorong sedia ada menyebabkan kenderaan ‘bertentang arus’. Yang kanan hendak ke kiri, yang kiri hendak ke kanan (di hadapan RHB). Inilah punca sebenarnya menyebabkan kesesakan.

Di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, kesesakan makin kronik. Kenderaan empat baris berebut untuk menjadi dua baris. Baiknya, tiada kenderaan yang membunyikan hon menunjukkan masing-masing faham dan saling bertolak ansur memberikan ruang.

Saya kurang pasti alternatif apakah yang perlu kita lakukan untuk menyuraikan kesesakan lalu lintas ini.

Projek berbilion ringgit terowong SMART ternyata tidak mengurangkan kesesakan lalu-lintas melainkan boleh menyuraikan ‘banjir besar' di Kuala Lumpur seperti yang dihebahkan dan ia masih belum terbukti.

Saya percaya pihak kementerian telah banyak menerima rungutan masyarakat berkenaan perkara ini. Tulisan saya ini sekadar ‘melepaskan perasaan’ sebagai salah seorang pengguna jalan raya di Malaysia.

Semoga kementerian berkenaan mempunyai idea untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dan saya doakan agar terowong SMART tidak menjadi ‘Tugu Pemandangan’ kepada pengguna jalan raya apabila kadar tol diumumkan kelak.

– ZAMER RIZAL OSMAN,
Puchong, Selangor.

Saturday, June 9, 2007

Pesta "Funfair"..."Back To The Future I"

Kembali ke zaman silam...1970an...

Pesta "Funfair" datang lagi ke Pekan Sg. Besi. Penduduk Kampung Selamat riuh bercerita. Aku yang bongsu dalam keluarga Atuk & Nenek bagai ternanti-nanti suara Pakngah dan Makngah. Menanti suara ajakan mereka untuk beramai-ramai berkunjung ke pesta "Funfair" yang bukan selalu bertandang. Yehaa!!! seperti dijangka, Makngah mula merengek memujuk Pakngah ke pesta "Funfair". Peluang cerah untuk aku mengepit sama.

Selepas waktu Maghrib, bagaikan musim perayaan, aku, Pakngah, Makngah, Paklang, Paktih, Pakcik dan Kak Nora bersama-sama dengan anak muda, anak remaja dan budak-budak sekampung berduyun-duyun berjalan berpimpin tangan menyusuri jalan tar menuju pekan Sg. Besi. Suasana kelihatan begitu meriah kerana sepanjang perjalanan kami akan sentiasa bercerita, bergurau-senda dan berlumba dengan rakan sekampung untuk sampai awal ke tapak pesta. Jarak 5 batu terasa begitu dekat kerana terlampau seronok. Perasaan aku pula pada masa itu umpama "diri dijulang ke langit". Terlalu gembira. :-)

Malam itu, pekan Sg. Besi bermandikan cahaya. Riuh-rendah dengan suara dan jeritan keriangan pengunjung-pengunjung dari serata tempat. Segala apa yang ada di tapak pesta semuanya canggih dan memikat hati. Penuh debaran aku membaling gelung besi ke atas "bukitan" tabung-tabung tembikar dan segala macam bentuk hadiah yang menjadi "umpan" jika gelung besi tersangkut. Sekuat tenaga aku membaling bola ke arah tin-tin kosong minuman ringan yang disusun secara "piramid". Lemah-gemalai aku melontar bola ping-pong ke arah jaring besi dan mengharapkan bola ping-pong lolos ke dalam jaring. Pada malam itu aliran wang umpama air yang mengalir. Tidak sedar berapa $ habis kerana terlalu seronok dengan "godaan" pelbagai jenis permainan.

Kemuncak kegembiraan yang paling tidak boleh aku lupakan adalah menaiki "alat canggih" yang "memukau" pandangan iaitu "Merry Go Round". Ianya umpama "Mercu Tanda" dan kemegahan pesta "Funfair". Semua pengunjung "teruja" untuk menaiki dan merasai pengalaman berada dalam "ketinggian". Apabila pusingan terhenti seketika, akan kedengaran suara-suara jeritan bagi "bakul besi" yang berada di atas sekali. Seronok teramat sangat. :-)

Jam 12:00 tengah malam barulah aku, Pakngah, Makngah, Kak Intan, Abang Long, Paklang, Paktih, Pakcik, Kak Nora dan sebilangan penduduk sekampung melangkah kaki pulang. Jarak 5 batu terasa jauh pula. Perjalanan pulang tidak seperti perjalanan pergi. Suasana sunyi-sepi dan gelap-gelita. Hanya suluhan lampu picit menjadi panduan tapak kaki kami. Apabila melalui pokok "ketapang" besar di tepi jalan, perasaan kami mula gundah-gelana. Penduduk Kampung Selamat kebanyakannya "percaya" bahawa pokok ketapang dipinggir jalan masuk ke Kampung Selamat itu sememangnya "berpuaka". Dalam ketakutan dan kegelisahan, mataku merenung ke atas dan terpukau melihat kerlipan bintang dan awan kemulus bercahaya disebalik suluhan bulan mengambang. Cukup menawan. :-)

Kembali ke zaman kini...2007...

Cetusan perasaan dan rentetan pengalaman yang aku lalui dahulu sebenarnya tiada tolok-bandingnya. Walaupun kini masih kedengaran terdapat lagi pesta "Funfair" di lokasi atau musim tertentu tetapi pada aku "aura" pesta yang ada kini tidak sama dengan "aura" pesta "Funfair" Pekan Sg. Besi. Mengapa? Pada zaman 1970an, itulah satu-satunya alat dan saluran hiburan aku dan penduduk kampung. Kalau ada TVpun pada zaman itu hanyalah berwarnakan "Hitam-Putih". Jadi pesta "Funfair" yang penuh "bercahaya" benar-benar "dinantikan" dan mengujakan perasaan aku dan penduduk kampung.

Tambahan pula, kita kini amat mudah disuapkan dengan pelbagai bentuk, saluran dan pendekatan hiburan. Kita boleh memperolehinya "bila-bila masa dan dimana jua". Di televisyen percuma atau kabel berbayar, di Genting Highland, di Sunway Lagoon, di Desa Water Park, di Bukit Merah Lake Town Resort, di A-Farmosa, di Lost World Tambun, di Panggung Wayang, di Pusat Membeli-belah, di Petro Sains KLCC, di Komputer, di Permainan Video dan sebagainya. Terlalu banyak ruang pilihan yang membuat aku tidak lagi "teruja perasaan" seperti terujanya perasaan aku menanti pesta "funfair" Pekan Sg. Besi yang hanya bertandang "setahun sekali".

Dahulu, sementara menanti tahun hadapan dengan penuh "harapan", aku dan rakan-rakan yang "tiada pilihan" akan terus meneruskan "rutin hiburan" kami dengan golekan guli, pangkahan gasing, galah panjang, congkak, panjat pokok, tepuk terup, layang-layang, lompat getah, teng-teng, main mercun, berkebun, lumba basikal, lumba lari keliling kampung, main pondok-pondok, main "combat", mandi lombong dan sebagainya...

Ya! Benar-benar teruja...tapi apakan daya...aku kini berada di masa hadapan...dan aku hanya mampu mengimbas kenangan... :-)

Coretan Sejarah:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Tuesday, June 5, 2007

Kod Kehidupan : Naluri lwn Minda

Kod 1 : 010607-1200-2000
Lokasi : Jalanraya Kuala Lipis-Gua Musang
Senario:
...Rasa bebas dan lega dapat lari daripada kod rutin harian (ke pejabat). Cuti tiga hari sempena cuti sekolah, aku ambil peluang untuk pulang ke Kota Bharu bersama keluarga. Tiga hari yang sarat dengan "rehat"..."santai"..."makan"..."tidur". Aktiviti harian yang menambahkan lemak badan.

Kali ini aku ingin menceritakan pengalaman perjalanan aku semasa pulang ke Kota Bharu yang memakan masa selama hampir 8 jam. Bercerita tentang sikap aku dalam menangani cabaran naluri dan minda. Perjalanan diwaktu musim cuti sekolah tidaklah terlalu mencabar jika hendak dibandingkan perjalanan semasa musim perayaan. Kenderaan "empat roda" tidaklah banyak tetapi lori balak, bas ekspres dan lori treler memang tidak putus menjalar, merayap dan melibas disetiap ceruk jalanraya. Bagai berkawan-kawan pula.

Kali ini aku telah mengharungi ujian naluri dan minda yang "terhebat". Selang beberapa jam perjalanan, disatu lokasi emosi mula tercabar setelah agak lama mengekor bontot enam buah kenderaan. Hati mula "terbakar" bila melihat kenderaan pertama yang mengekor bontot lori balak seperti "tiada motivasi" untuk memotong walaupun semasa ada peluang dan ruang. Bersantai di jalanraya agaknya. Hati kian "menggelepur" bila melihat kenderaan-kenderaan lain juga seakan "takut-takut" untuk memotong. Di belakang aku pula "mencucuk-cucuk" sebuah MPV 2.7 yang membuatkan bontot MPV 2.0 aku kian panas.

Akhirnya, saat yang dinantikan tiba. Naluri mengatakan aku mempunyai peluang memotong enam kenderaan sekaligus dengan lori balak yang bagai "siput". Minda mengatakan bahawa jalanraya "kelihatan lurus" dan tiada tanda kenderaan muncul dihadapan. Sepantas kilat, lampu signal diberikan dan pedal minyak ditekan kuat. Berdesup MPV 2.0 aku mencecah 13o-140km memotong enam buah kenderaan sambil diekori rapat MPV 2.7 dibelakang. Tiba-tiba...sepantas kilat juga, minda terdetik perasaan "was-was" apabila melihat dihadapan aku ada jalan yang seakan "berombak". Minda memberikan signal bahawa "kemungkinan" akan ada muncung kenderaan muncul. Sesaat itu juga emosi dan minda aku mula "berkecamuk dan bercelaru". Hendak masuk "pancung" dicelah kenderaan yang rapat-rapat atau terus memecut memotong lori balak di hadapan. Hati "berbelah-bahagi". MPV 2.7 dibelakang aku terus mengekori dengan rapat. Aku masih "was-was"...brek ditekan sekali...tetapi bila melihatkan MPV 2.7 dibelakang terus mencucuk rapat, aku terus "melawan minda" dan "mempercayai naluri". Pedal minyak terus ditekan kuat dan aku hanya "mampu berharap" tiada kenderaan muncul dihadapan. SYUKUR...tiada kenderaan disebalik jalan yang berombak berkenaan. Sepantas itu juga aku "memancung" masuk kembali ke lorong kiri. Perasaan kembali tenteram dan barulah aku kembali mendengar anak-anak aku riuh dibelakang...

Kod Mesej:
Di jalanraya, usahlah kita mengikut "NALURI" dalam membuat keputusan. Cukup merbahaya. Kebarangkalian untuk kita "terselamat" mungkin 1 dalam 10 atau 100. Pengalaman aku mengikut keputusan naluri diatas bukanlah satu "keberanian dan kebanggaan" tetapi sebenarnya satu "kesilapan dan kegagalan" dalam pemanduan cermat dan berhemah. Aku harus belajar daripada pengalaman ini. Memang benar..."Biar Lambat Asal Selamat" dan "Malang Tidak Berbau"...tetapi tanda-tanda AMARAN di jalanraya disokong oleh "MINDA yang jelas" dan "kawalan EMOSI" akan membantu kita mengimbas merbahaya yang mungkin berpotensi muncul tanpa diundang...

Kod Pengalaman:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong