Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Saturday, July 17, 2010

Isu-isu Dunia...Apa Nak Jadi?


Sudah hampir dua(2) bulan aku tidak menarikan jari dan minda aku ke dunia penulisan maya ini. Isu-isu semasa dunia samada di luar atau di dalam negara tidak lagi membuatkan aku teruja untuk melempiaskan nafsu amarahku dalam bentuk penulisan. Terasa penat dan lelah. Muak dan meluat dengan isu-isu lapuk yang kian berulat. Ulat-ulat yang kian rakus memakan "bangkai" yang terbiar kaku dan dibiarkan hilang ditelan waktu.

Lihat sahaja isu kekejaman rejim Zionis Israel yang kini semakin dingin membeku. Hanya gah dimeja persidangan atas jenama diplomasi kononnya. Hanya panas bermusim. Bahang tengahari yang tidak sampai ke petang. Isu yang telah aku kupas secara reflektif dalam bentuk komentar dan telah disiarkan di akhbar Berita Harian satu ketika dahulu. Penat pula ingin menulis perkara yang sama.

Sejarah telah membuktikan bahawa rejim Zionis Israel langsung tidak boleh dipercayai kata-kata manisnya. Kata-kata mereka adalah omong kosong. Kita yang lurus bendul dan dungu terus dijadikan boneka mereka. Esok dan lusa pasti kita membicarakan perkara yang sama. Menyampah!

Apabila menonton rancangan Aduan Rakyat di TV3, sekali lagi aku hendak termuntah dengan komen dangkal Badan-badan Penguatkuasa yang seolah-olah dibutakan mata dan hati mereka untuk melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh RAKYAT.

Isu penerokaan tanah secara haram di Tanah Tinggi Cameron cukup tidak masuk akal. Pada aku ini semua gara-gara gejala RASUAH yang langsung tidak dapat lagi dibendung. Usah dinafikan kerana ianya adalah kenyataan. Gejala rasuah yang terus bernanah dan meninggalkan bau busuk yang meloyakan. Mustahil tiada pemantauan berkala dilakukan jika tidak dijadualkan setiap hari. Adakah mulut telah disuap dengan penuh gelojoh dan hati telah dikunci dengan mangga gajah?

Isu politik dalam negara juga tiada kesudahan. Leka bercakaran sana-sini. Selepas 4-5 tahun sekali lagi sibuk orang-orang politik ini berkempen dan mencanangkan slogan yang hanya sekadar diperbaharui. Masa itulah segala jenis ideologi dijaja dalam bekas baru untuk mengaburi pemikiran rakyat.

Isu-isu asas seperti infrastruktur, kemiskinan, kesesakan jalanraya, harga barangan, pendidikan, agama dan sebagainya masih lagi berlegar diawang-awangan tanpa jalan penyelesaian yang komprehensif dan konkrit. Sekali lagi aku panas hati.

Apa nak jadi dengan isu-isu semasa ini? Adakah ianya sebahagian daripada skrip kehidupan di dunia yang tidak boleh dielak. Sukar untuk aku menjawabnya.

Coretan "Kembali" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor