Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Thursday, August 30, 2007

Puisi Kemerdekaan : Terpilih Antara 10 Karya Terbaik!

Akhirnya, nukilan Puisi Kemerdekaan terbaik yang pernah aku hasilkan terbukti telah menarik perhatian Regional Director [ Bahasa Melayu ] Kapasitor melalui web http://kapasitor.net/

Berikut adalah antara pengumuman Kapasitor :

..."Dengan ini terpilihlah sudah 10 karya terbaik hasil karangan minda pemuisi sekalian. Pemenang "Top 3" akan ditentukan dan diumumkan kemudian oleh juri-juri terpilih"...

Sila klik "10 karya terbaik" diatas untuk melihat nukilan penuh puisi berserta puisi pesaing-pesaing aku. Nilaikanlah... :-)

Kini, soal menang-kalah sudah menjadi perkara kedua. Sasaran untuk memastikan karya aku dapat "mencuri" perhatian telahpun membuahkan hasil. Ianya membuktikan "teori" aku bahawa sekiranya sesuatu pekerjaan yang kita lakukan adalah secara "bersungguh-sungguh", pasti akan ada sesuatu menanti kita dikemudian hari.

16hb September 2007 akan menetukan "pemenang mutlak". Terasa karya aku berpeluang untuk merebut "Top 3"...insyaAllah...inilah "keyakinan" aku... :-)


Nukilan Detik Kemerdekaan:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Wednesday, August 29, 2007

TAHNIAH Tenaga Muda!

...Bagai terasa sejuta bintang berkelipan dilangit menerangi Stadium Shah Alam. Wajah keriangan rakyat Malaysia terserlah malam ini dengan kejayaan "tenaga muda" pemain-pemain bolasepak Malaysia "membenam keangkuhan" pasukan Myanmar dengan jaringan "bertenaga" 3-1.

TAHNIAH! Sudah agak lama jantungku tidak berdegup kencang. Kalau adapun sukan yang membuatkan aku "terpaku" dan "membatu" di depan TV hanyalah badminton. Sukan yang masih mengekalkan tahap keunggulannya diarena antarabangsa.

Apa yang boleh aku perkatakan malam ini? Kesimpulannya, pasukan muda kita ini cukup MENYERLAH, BERTENAGA, BERSEMANGAT, BIJAK dan CEKAP.

Ini hanyalah permulaan dan lembaran baru bagi mencetuskan kembali "Morale" dan membetulkan "Persepsi" kita. Jauh lagi perjalanan pasukan muda ini. Dibahu mereka terpikul kini cabaran dan pengharapan rakyat dan negara Malaysia untuk melihat bolasepak negara kembali unggul.

Satu kebetulan pula...nukilan aku ini melengkapkan 50 coretan sesuai dengan 5o tahun kemerdekaan negara...

"MALAYSIA BOLEH"
"MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!"

Coretan Bersemangat:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Sunday, August 26, 2007

Cuti-cuti "Sekeluarga"

Ke puncak bukit atau ke pesisiran pantai? Embun pagi atau bayu dan ombak deras? Suasana kekampungan atau kemodenan?

Persoalan akhirnya terjawab sepanjang tempoh 3 hari 2 malam (23 - 25 Ogos 2007) di lokasi misteri...



GARIS BUMI LELAH KUSUSURI
KAKI LANGIT PANTAS KUJEJAKI
BAYU LAUT NYAMAN KURASAI
DESIRAN OMBAK SENADA KUDENGARI

KINI AKU KEMBALI MENGISI ALAM KEHIDUPAN INI...


Coretan Harmoni:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Friday, August 17, 2007

Cerpen Nostalgia AB Mar, 1988

BERTEMU DUA PERSIMPANGAN - EPISOD 3 (AKHIR)
Oleh: AB Mar


...Di suatu petang, "Ani, dengar sini. Kalau ayah kau datang ke sekolah, jangan sesekali kau jumpa dia tau" suara lemah nenek tiba-tiba terpacul.

Ani diam seribu bahasa. Dahinya berkerut. Berat memikirkan sesuatu yang tidak pasti. Ani tidak mampu bersuara dan bertanya. Biarlah dia memendam rasa. Novel "Suara" ditutup perlahan-lahan. Diletakkan di atas meja lantas merenung neneknya yang masih gagah berdiri sambil melontar mata ke luar jendela. Ani menanti dengan resah. Pasti neneknya akan bersuara lagi.

"Ayah kau memang tak berguna. Dulu masa kau kecik, sikit dia tak peduli. Konon tak ingin anak perempuan. Sekarang dah besar panjang dan pandai, jangan harap dia nak jilat ludah dia balik. Enam belas tahun aku asuh kau dengan dua telapak tangan aku ni. Kau harus dengar cakap aku ini Ani. Aku yang bagi kau makan, minum, pakaian kau. Aku yang tanggung. Ayah kau sesenpun tak hulur. Kau ingat tu Ani!" kata-kata panjang lebar nenek benar-benar menghiris jiwa muda Ani. Ani kian terluka. Namun apakan daya. Mengangguk tidak, mengelengpun tidak. Ani menarik nafas panjang sambil ligat berfikir mencari lorong keluar.

"Nek, Ani nak pergi ambil baju di ampaian. Dah petang."

Mata nenek sayu mengekor Ani keluar. Nenek kembali merenung bukit-bukau yang masih dara. Hatinya kian keras. Sekeras batu bukit yang tidak pernah lenyap.

Tanpa sedar airmata Ani mengalir. Membasahi pipi gebunya. Bunyi dengkur kawan sekamar mengejutkannya daripada lamunan. Mata dipejam rapat-rapat dan wajah neneknya menghilang. Kini wajah ibunya pula melompat dan berlegar-legar diruang mata dan minda.

"Ani, ibu nak berpesan dengan kau" kata ibu Ani sambil menyikat rambut adiknya Emy yang berumur 10 tahun.

"Pesan apa ibu?" soal Ani pantas sambil tali beg digalaskan dibahu.

"Ani, kalau ayah kau jenguk kau di sekolah, terimalah dia. Usah kau benci ayah kau tu. Apa yang berlaku dah takdir. Tanpa dia, kau tak akan hidup di dunia ini" kata ibu Ani sambil menghantar Ani ke luar pintu dengan perasaan penuh harapan.

Ani mencium tangan ibunya dan hanya bersahaja mendengar kata-kata ibunya. Seperti acuh tak acuh. Namun, disudut hatinya yang paling dalam, menangis mengenangkan nasibnya.

"Ani, kau tak tidur lagi" teguran rakan berhampiran katilnya kembali mengejutkan Ani daripada lamunan. Tiada respon diberikan. Senyap.

Malam kian sepi seolah-olah bersimpati dengan nasibnya. Malam yang gagal melelapkan matanya seperti kebiasaan. Bukan malam untuk Ani bermimpi indah. Bukan juga malam untuk Ani lena sehingga azan subuh berkumandang. Ani turun dari katilnya perlahan-lahan. Kakinya melangkah longlai menuju tingkap yang terbuka luas. Angin malam menyapa lembut. Rambut kusutnya terbuai-buai. Terasa segar seketika.

Langit kelam tanpa sebutir bintangpun berkelipan. Malam yang benar-benar menyindirnya. Ani masih terus mengembara. Meneroka dan mencari titik noktah yang kian kabur. Biarlah belaian angin malam memujuk jiwanya. Biarlah keluasan pandangan matanya dalam kegelapan membuka seluas-luas kotak fikiran dan mata hatinya. Biarlah...biarlah suasana hening yang membantu Ani mencari jawapan yang belum pasti.

Keputusan Nekad

Loceng rehat ghairah berbunyi. Tepat jam 10:25 pagi. Namun Cikgu Abdullah masih leka membebel. Ani merungut-rungut sendirian. Setelah Cikgu Abdullah beredar dari kelas, Ani tergesa-gesa menyusul keluar. Ani tidak mahu lagi ternanti-nanti. Terasa lemas. Penantian adalah satu penderitaan walaupun penderitaan lain mungkin akan menyusul.

"Assalamualaikum Cikgu" suara Ani rendah menyapa penuh hormat.

Pengetua Shukri yang sedang leka menulis sesuatu lantas mengangkat perlahan-lahan wajahnya sambil mengukir senyuman ketat.

"Waalaikumusalam, awak Anisah, silakan duduk. Bagaimana? Sudahkah awak memutuskannya" sambil tutup pen disarungkan kembali. Dada Pengetua Shukri dirapatkan kepinggir meja.

Ani sekadar mengangguk. Wajahnya serius. Matanya terpaku. Tubuhnya kaku.

"Saya harap apapun jua keputusan awak, ianya boleh memberikan kebaikan kepada awak. Awak belajarlah bersungguh-sungguh. Buktikan kepada ayah dan ibu awak."

Kata-kata Pengetua Shukri benar-benar menyentap perasaan Ani. Hatinya yang telah bengkak sejak semalam kini mula berdenyut. Perasaannya kembali sebak. Setelah dirasakan reda ombak didadanya, Ani lantas bersuara.

"Cikgu, izinkanlah ayah saya menemui saya." Luahan suara Ani kedengaran seakan memaksa.

Kelopak matanya terasa berat. Sepantas kata Ani, sepantas itu juga Ani beredar sambil menutup wajahnya dengan kedua belah telapak tangan. Ani menangis lagi.

Pengetua Shukri kelihatan binggung tetapi membiarkan sahaja Ani berlalu pergi. Memahami apa yang Ani rasakan.

Sambil berlari anak menuju ke kelas, jauh disudut hati kecil Ani berkata..."Maafkan Ani Nek..."

-TAMAT-

Nota: Ani masih terus berlari. Kisah hidupnya kini disambung pula dalam siri "BERLARI DALAM MENANGIS" dan "HIDUPKU MENITI JANJI". Sekian.

Cerpen Nostalgia oleh:
AB Mar
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Wednesday, August 15, 2007

Nukilan Khas : Puisi Kemerdekaan 2007

...Agak lama juga aku cuba "meredah" dan "meneroka" ceruk pemikiran "paling dalam" untuk mencari "suis" penulisan kreatif yang agak jarang aku "petik". Walau bagaimanapun, apabila suis dah "on", fikiran dan perasaan aku mula "terbang". Cukup indah apabila dapat kembali bermain dengan "bunga-bunga bahasa". Terasa sejuta kepuasan. Inilah kekuatan aku pada era 1990an. Sekarang ini lebih fokus kepada penulisan komentari (lebih gemar).

Mengulangi sejarah penulisan Puisi Kemerdekaan seperti pada tahun 2003 bukanlah mudah. Apatah lagi aku harus memastikan agar Puisi Kemerdekaan 2007 (era emas) lebih mantap dan padat dengan mesej. Kandungan dan terjemahan perasaan dan fikiran aku perlu selari dengan tema "emas" sejarah kemerdekaan negara. Jika Puisi Kemerdekaan Tahun 2003 aku boleh hasilkan dalam tempoh yang singkat, kali ini tidak. Hati aku tergerak untuk membuat sedikit "kajian" berkenaan "sejarah emas kemerdekaan" agar dapat menghasilkan Puisi yang lebih "berisi".

Bagi tujuan "gempak" awal sebelum karya aku ini dipaparkan melalui media massa (kalau Penerbit tertariklah...) berikut adalah sedikit petikan Puisi yang aku hasilkan untuk makluman rakan-rakan blog... :-)

Puisi Kemerdekaan 2007

Tema: Detik-detik Erti Kemerdekaan

i) Detik Erti Kesedaran

Tahun 1946 Detik Permulaan
Kebangkitan Rakyat Menolak Penjajahan
Lahirnya UMNO Teras Perjuangan
Pemimpin Melayu Serlahkan Kekuatan

...............
...............

Nota: Ada 5 detik kesemuanya...nantikan nukilan penuh pada 31hb Ogos 2007.


Nukilan Khas:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Monday, August 13, 2007

Kod Kehidupan : Graf Motivasi

Sudah hampir 2 minggu aku tidak menulis. Fikiran dan perasaan terasa buntu pula. Di pejabat, lemas dengan isu dan masalah kerja. Masalah orang adalah masalah aku, masalah aku pula bukan masalah orang. Sampai di rumah, badan dan fikiran terasa letih untuk berkarya dan mengarang. Terasa 2 minggu yang berlalu tanpa pengisian. Tiada lagi kebiasaan mengarang pada malam Sabtu dan Ahad.

Sejak 2 minggu ini, fikiran dan perasaan aku hilang fokus. Kadangkala terasa amat mudah untuk berkata-kata dan menulis sejuta perkataan motivasi dan menaikkan semangat orang lain. Walau bagaimanapun, apabila kena batang hidung sendiri, baru kita tahu bahawa langit yang gelap itu bukan mudah untuk dicerahkan kembali. Jarang awan mendung berlalu dan hilang dikaki langit tanpa hujan membasahi bumi.

Aku harus kembali fokus. Tiba masanya pasti aku akan kembali ke landasan dan dataran asal kelahiran aku. Kembali menulis, terus menulis dan kekal menulis...

Nantikan tenaga baru dengan skop penulisan baru...masih mencari ide... :-)


Kod Hibernisasi:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong