Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Saturday, October 27, 2007

Kod Kehidupan : Keperluan Asas Yang Terabai

PM marah -- Insiden 2 anggota polis mati ditembak penjenayah di Sungai Buloh

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Polis akan menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti sama ada serbuan antidadah di sebuah rumah di Sungai Buloh malam tadi yang menyebabkan dua anggotanya mati ditembak penjenayah, dibuat mengikut prosedur atau sebaliknya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, antara perkara yang diteliti dalam siasatan itu termasuk aspek pemakaian baju kalis peluru dan siapa komandan yang memberi arahan.

“Saya kena jalankan pemeriksaan terlebih dahulu. Ini termasuk siapa komandan yang beri arahan dan banyak perkara lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Hari Masyarakat Bersama Polis 2007 di Balai Polis Sungai Besi di sini, hari ini.

Di Pulau Pinang, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi marah dan kecewa dengan insiden tersebut

Kod Mesej:
Apa nak jadi? Itulah persoalan yang berlegar difikiranku apabila berita pilu yang terbaru ini aku baca. Ingat ini zaman bermain "combat" yang hanya berpelurukan buah "ceri" ke! Ingat ini filem "Rambo" ke!

Dimanakah prosedur dan polisi kepolisan dalam melaksanakan operasi merbahaya. Dimanakah sifat "sensitif" pegawai atasan? Nyawa manusia dibuat main-main. Cukup kecewa.

Seperti biasa, bila sudah terantuk baru nak tergadah. Seribu Kertas Siasatan dan analisis akan dikeluarkan oleh pihak-pihak berwajib bagi menyedapkan hati. Setakat mana keterbukaan dan ketelusan siasatan, sentiasa menjadi tanda-tanya yang tiada noktah.

Jika pesawat pejuang yang berharga berbilion RM, kapal selam, kereta kebal dan sebagainya mampu dibeli untuk kegunaan anggota-anggota keselamatan, mengapakah baju kalis peluru tidak mampu dibeli? Cukup membebalkan fikiranku. Ini soal "keperluan asas" anggota-anggota keselamatan yang perlu diambil berat tanpa kompromi. Beli sahajalah walaupun harganya berjuta ringgit. Sudah pasti anggota-anggota keselamatan akan menggunakannya sepanjang masa bukan seperti kapal terbang pejuang yang hanya gah terbang diangkasa raya.

Cukup marah dengan budaya tindakan yang terlalu "reaktif"... :-(


Kod "Reaktif" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Friday, October 26, 2007

Kod Kehidupan: Dahulu vs Kini - Nilai Kebebasan

Recka dijumpai di Masjid Kapitan Keling

PULAU PINANG 25 Okt. – Kanak-kanak perempuan Recka Abdullah, 10, yang hilang selepas keluar ke pasar malam untuk membeli cakera padat video (VCD) Isnin lalu telah ditemui di Masjid Kapitan Keling di Lebuh Chulia di sini malam ini.

‘‘Menurut Recka, dia diculik oleh seorang suspek yang dikenalinya dan kemudian dikurung di sebuah flat di Farlim, Ayer Itam selama empat hari sebelum ditinggalkan di perhentian bas di kawasan berdekatan hari ini."

Kod Mesej:
Dunia kian senja. Manusia semakin gila. Itulah kesimpulan yang boleh aku pahatkan diminda sejurus membaca ulasan berita di atas. Pada aku ianya bukan lagi kes "terpencil" tetapi sudah menjadi "trend" yang amat membimbangkan. Pagi tadi di Topik Pagi Era, perasaan aku tercuit dengan kenyataan salah seorang pendengar yang mengatakan ibubapa tidak pernah mengambil ikhtibar daripada kes adik Nurin Jazlin dan kes kecederaan bermain mercun dimusim perayaan.

Sejenak aku cuba mengimbas kembali zaman semasa aku kanak-kanak dahulu yang penuh pengisian dan kegirangan. Seketika pula aku terfikir betapa ruginya kanak-kanak zaman kini yang hidup dalam dunia yang penuh kerakusan dan keganasan.

Dahulu, aku bebas bergaul bersama kawan-kawan merayap sekeliling kampung. Selepas sarapan terus hilang dan selagi awan merah tidak memanjat kaki langit, usah diharap aku akan melekat di rumah melainkan pulang sebentar untuk makan tengahari. Selebihnya, dari pagi hingga ke petang, kelibat aku dan rakan-rakan akan berada di merata-rata tempat...di atas pokok jambu, di bawah rumah orang, di padang bola, di lombong, di gelanggang badminton, di bawah pokok ketapang dan sesekali kalau rajin berjalan, aku dan rakan-rakan akan merayap ke pasar Sungai Besi.

Cukup bebas...itulah kesimpulan yang aku boleh katakan. Tiada kebimbangan, tiada ketakutan dan tiada halangan untuk menerokai dunia dan alam persekitaran. Seingat aku, tiada pula kes penculikan yang kronik kedengaran seperti sekarang. Tiada pula kes pembunuhan kanak-kanak yang kejam seperti sekarang. Sedih, dunia semakin maju dengan penerokaan angkasa lepas yang kita banggakan tetapi moral manusia semakin merundum jatuh.

Dahulu, di musim perayaan, bunga api dan mercun umpama mainan. Ingat lagi aku nama bunga api dan mercun yang popular pada masa itu seperti "bunga api kucing", "mercun roket", "mercun katak", "mercun das", "mercun kelawar" dan sebagainya. Tiada istilah "haram" pada masa itu. Selepas waktu berbuka dan solat Maghrib, kami akan berkumpul di satu lokasi yang khas untuk berjual-beli bunga api dan mercun. Cukup meriah bagai pesta. Suasana hening malam akan terang-benderang dan bingit dengan percikan bunga api dan letupan mercun. Setakat melecur atau terkena sedas-dua mercun sudah dianggap asam garam. Walau bagaimanapun, ianya tidaklah menyebabkan kecacatan anggota badan dan memberikan kecederaan kekal seperti kes-kes "berani mati" pada zaman kini.

Zaman dahulu, sifat keterbukaan dan aura "ziarah-menziarahi" di Hari Raya begitu menyerlah. Tidak kira siapa yang datang, tangan tuan rumah sentiasa terbuka untuk menerima tetamu walaupun hanya kanak-kanak hingusan. Aku dan rakan-rakan pernah merayap ke kampung berhampiran yang letaknya hampir 15-20 km. Tanpa segan-silu, salam diberikan dengan harapan dijemput masuk untuk menjamu selera dan bila balik, duit raya dihulurkan. Senyuman tetap terukir walaupun hanya 10 sen atau 20 sen diberikan. Sepanjang perjalanan pulang, aku dan rakan-rakan akan kecoh menentukan siapa yang lebih banyak duitnya dan berat poket seluarnya. Letih kaki melangkah tapi girang mengendong duit siling.

Kini, anak-anak aku tidak lagi merasai suasana seperti yang aku alami 25-30 tahun dahulu. Tiada istilah "merayap" dalam kamus kehidupan harian anak-anak aku. Selain ke sekolah pagi dan petang, lebihan masanya hanya mengadap televisyen dengan pelbagai cerita kartun. Cukup statik dan memualkan jika hendak dibandingkan dengan zaman aku kanak-kanak dahulu.

Anak perempuan aku pernah mengatakan aku "pengotor" apabila aku mengatakan aku pernah bermain pasir dan air longkang. Baginya, tiada kehidupan di luar pagar besi rumah aku. Tiada istilah berkaki ayam jika keluar dari rumah. Telinganya sentiasa disumbat dengan unsur-unsur kebimbangan dan kebersihan. Siapa yang melatihnya...tidak lain tidak bukan adalah diri aku sendiri. Perubahan zaman yang mengubah prinsip aku walaupun hakikatnya aku menyanjung dunia kebebasan kanak-kanak. Apakan daya, corak penghidupan dan orientasi pembangunan mengajar aku untuk mengadapatasi perubahan.

Segalanya ketara berbeza...dan aku hanya mampu mengimbas kenangan dahulu dalam kebimbangan menempuhi zaman kini...


Kod "Bebas" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Saturday, October 6, 2007

Kod Kehidupan : Teknologi vs Keajaiban

Senario:

KUALA LUMPUR 5 Okt. – Dalam tempoh 36 jam antara pukul 8 malam Rabu lalu hingga 8 pagi hari ini, pasukan perubatan Institut Jantung Negara (IJN) telah melakukan pembedahan selama 22 jam untuk menyelamatkan nyawa Tee Hui Yee, gadis yang bergantung nyawa kepada jantung mekanikal sejak setahun lalu.

Beberapa jam selepas selesai menjalani pembedahan pemindahan jantung yang didermakan oleh keluarga remaja Melayu berusia 15 tahun dari Sitiawan pada pukul 9.05 pagi semalam, tubuh Hui Yee menunjukkan penolakan terhadap jantung tersebut.

Pasukan perubatan IJN menimbangkan beberapa pilihan tetapi lewat petang semalam mereka membuat keputusan untuk mencari jantung baru bagi menggantikan jantung remaja lelaki dari Sitiawan itu yang meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya.

Kod Mesej:

Seketika selepas membaca berita mutakhir ini, fikiranku dijentik oleh satu persoalan yang membuka ruang kesedaran paling subjektif.

Kesimpulan yang aku perolehi adalah kita hanya berusaha dalam skop sempit teknologi perubatan tetapi ada kuasa yang MAHA BESAR yang menentukan hasil usaha canggih kita.

Aku tertanya-tanya, apakah kod mesej yang ingin disampaikan apabila jantung baru yang diterima menunjukkan "penolakan" yang ketara oleh tubuh badan Hui Yee. Ya, aku pasti dan sedar, inilah keunikan ciptaan Allah SWT yang mencipta manusia dengan penuh keajaiban.

Manusia dicipta dengan setiap organ badannya dihubungkan antara satu sama lain. Otak, buah pinggang, hati, jantung, paru-paru dan segala bentuk organ ciptaan unik dalam tubuh badan umpama satu "unit" yang sentiasa "berhubung". Organ-organ ini umpama ahli keluarga yang sentiasa "bekerjasama", "memahami, dan "saling bantu-membantu" tanpa sesaatpun cuai. Ianya bukan sekadar urat nadi yang berlingkar dan darah merah yang mengalir. Kehadiran "organ angkat" didalam tubuh badan gadis ini mungkin satu "kejanggalan" kepada organ-organ lain. Umpama "orang luar" yang bertandang ke rumah kita dan terus berlegar seolah-olah "rumah sendiri". Pastinya kita akan merasa kurang selesa.

Adakah bisa organ-organ badan yang lain menerima "organ angkat" sekiranya manusia dicipta "unik" untuk diri mereka sendiri? Inilah persoalan yang bermain difikiran aku. Aku percaya bahawa disamping teori dan kecanggihan teknologi perubatan, pasti ada unsur-unsur "unik" yang tidak mampu dirungkai oleh pemikiran biasa.

Walaupun telah terbukti pemindahan organ hati, buah pinggang, tangan, kaki dan sebagainya telah membuahkan hasil tetapi aku pasti kejayaan ini bukanlah ideal. Penerimanya pasti akan menjalani rawatan susulan "seumur hidup" dan menelan segala macam jenis ubat. Inilah hakikat yang harus kita terima bahawa sememangnya manusia dicipta adalah "unik" untuk tubuh badan mereka sendiri. Seumur hidup penerima akan mengalami kesan psikologi dan emosi. Mustahil penerima boleh mengaturcara minda (otak) untuk menganggap "organ angkat" seperti "organ sendiri".

Pemindahan organ jantung adalah sesuatu yang amat besar dan luar biasa dalam sudut perubatan. Ianya umpama mengubahsuai "litar suis utama" bekalan elektrik di rumah kita. Tidak berfungsinya suis utama bermakna segala aktiviti di dalam rumah akan terhalang.

Adakah organ-organ tubuh badan Hui Yee akan "bersepakat" untuk menerima "pemimpin baru" untuk kali kedua. Inilah tempoh kritikal yang perlu dihadapi oleh Hui Yee dan ahli-ahli perubatan.

Walaupun Hui Yee diberikan peluang kedua untuk meneruskan hidup selepas setahun bergantung kepada jantung mekanikal, ianya bukanlah "senyuman" untuk kita berbangga dengan kecanggihan teknologi perubatan. Kebijaksanaan kita hanyalah "usaha dan ikhtiar" yang tidak mampu menandingi keajaiban ciptaan dan kekuasaan Allah SWT.

Apakah kod mesej seterusnya yang akan disampaikan? Jika jantung penderma seorang remaja berketurunan Melayu gagal serasi, adakah jantung penderma seorang berketurunan Cina mampu diterima oleh Hui Yee?

Kod mesej yang dinanti untuk menimbulkan seribu lagi kod persoalan...


Kod "Subjektif" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong