Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Saturday, May 24, 2008

Kod Kehidupan : Kod Pakaian Sekolah



MAAF INI BUKAN EDISI PORNO!
SILA BACA SECARA REFLEKTIF!

Tiba-tiba minda ini "teransang" untuk berbicara isu terbaru berkenaan pakaian pelajar-pelajar sekolah. Seperti biasa Buletin Utama TV3 malam ini memaparkan ulasan orang-orang berpengaruh berkenaan isu ini. Seperti yang aku jangkakan, samada dipihak Kementerian Pelajaran Malaysia, Polis dan orang perseorangan, bunyi komen mereka seolah-olah tidak bersetuju sangat dengan ledakan isu terbaru ini. Sekali dengar, pada aku tiada unsur "keprihatinan" dilahirkan oleh mereka terutama komen Ketua Polis Negara dan Menteri Pelajaran. Semuanya berfikiran dan memberikan respon "reaktif" bukan "reflektif".

Aku juga pernah berstatus pelajar sekolah dahulu. Nafsu memang tidak mengenal masa dan sesiapa. Tua atau muda. Memang manusia dilahirkan dengan hawa nafsu kerana ianya adalah satu "kenikmatan" yang tidak boleh dibeli dengan wang berjuta. Teringat aku kata-kata Ustaz dahulu bahawa perkara yang paling nikmat hidup di dunia ini adalah semasa "makan, buang air, tidur dan dot.dot.dot". Bezanya cuma "darjah frekuensi" untuk "mengawal dan melaras" nafsu masing-masing. Apatah lagi jika ianya berkaitan dengan "nafsu seks". Ianya memerlukan "penalaan dan penjajaran" yang lebih "mantap".

Melihat anak baju atau perkataan yang lebih "meransang" iaitu coli ("full cup" atau "half cup") atau "jaluran seluar dalam" pelajar-pelajar sekolah yang berkain biru ketat bukanlah sesuatu yang baru pada aku. Semasa bergelar pelajar sekolah dahulu, mata ini memang sentiasa jahat untuk meneropong bak kanta besar tembus cahaya. Segalanya "transparent" ditambah pula "imaginasi" yang merewang jauh. Memang "meransang", tetapi ianya sekadar santapan naluri dan tidaklah sampai ketahap "melampau" dengan membuat sesuatu yang diluar kawalan. Habis kuatpun bercerita dengan teman-teman sekutu yang berselera sama sambil ketawa berdekah-dekah.

Apa bezanya dengan zaman kini? Tidakkah pihak berwajib terfikir bahawa inilah "anai-anai" yang akan memakan tiang rumah secara senyap. Jangan anggap remeh isu ini atas alasan peribadi kita. Ingat! Isu pakaian menjolok mata anak-anak remaja bukan sesuatu yang baru. Lihat sahaja di pusat-pusat membeli-belah dan taman-taman rekreasi atau dimana-mana sahaja. Kita akan melihat anak-anak dara berseluar jeans ketat menampakkan "bontot yang membulat" dan "lurah depan yang mampat". Kita akan dapat melihat jeans cawat pendek yang apabila membongkok akan menampakkan seluar dalam yang berwarna-warni. Kita akan dapat melihat perut gebu dengan pusat bertindik apabila baju singlet tersingkap semasa menyisir rambut dengan penuh ghairah. Tidakkah jelas pada mata kita? Dimanakah permulaan kronologi kod pakaian ini? Sudah pasti ianya bermula daripada alam persekolahan. Mereka telah dilatih dan tiada siapa ingin mengambil peduli.

Kita sebenarnya tidak serius untuk melihat perkara ini secara reflektif. Sepatutnya, langkah-langkah kecil perlu diambil dari sekarang kerana zaman kini anak-anak kita "terlalu bebas untuk mengakses maklumat" seperti gambar dan video lucah percuma, pergaulan tanpa mengira batas antara lelaki dan perempuan. Setakat bertepuk bertampar, sudah dianggap normal dan tiada elemen bukan muhrim pada mereka. Adakah kita masih ingin menafikan perkara ini? Pihak berwajib lupa bahawa walaupun isu pakaian sekolah ini dilihat kecil tetapi kita tidak boleh menafikan bahawa ianya merupakan "PERANSANG KECIL" kepada jiwa remaja samada dipihak yang melihat dan tidak mustahil di pihak yang memakai. Sianak dara berbangga apabila ada mata anak teruna yang membulat dan mulut melopong melihat foto hidup separuh lucah yang bergerak galak.

Isu ini perlu dilihat secara komprehensif. Berhati-hatilah wahai pemimpin apabila memberikan komen dan respon anda. Mimik muka dan kenyataan Menteri Pelajaran sebagai "bapa besar" kepada institusi pendidikan sekolah pada malam ni benar-benar membuatkan aku naik angin. Salah seorang Menteri yang cukup aku tidak minat apabila beliau mengeluarkan kenyataan. Tidak perlu bersuara aku sudah boleh menjangkakan apa jawapannya. Maaf.

Siapakah yang ingin menafikan foto "candid" diatas? LIHATLAH!

Coretan "Anai-anai" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Wednesday, May 21, 2008

Edisi Khas : Sandiwara Politik Negara

Coretan Edisi Khas sebelum ini aku telah membicarakan dua komentar iaitu Tsunami dan Puting Beliung Politik negara sempena pasca-pilihanraya. Ingatkan sudah tiada lagi kejutan. Rupanya ada lagi siri terbaru pasca-pilihanraya yang mengalahkan cerekarama TV3. Cukup memilukan.

Sejenak aku mulai terfikir bahawa inilah pekung orang-orang politik yang tidak mampu lagi diselindungi. Kalau ikutkan hati, ingin sahaja aku memaparkan skrip "Back To The Future" kepada mereka yang berpengaruh ini. Biar mereka lihat ucapan dan tingkah laku mereka dalam menangani iklim politik negara. Dahulu, semasa Tun Dr Mahathir ingin mengundurkan diri dalam Perhimpunan Agong UMNO, ramailah pemimpin yang berasa sedih, sugul dan kecewa seolah-olah UMNO akan mati tanpa beliau. Berderaian airmata setia-kasih merayu agar Tun menarik balik kenyataan beliau. Cukup hebat lakonan mereka. Ya, mereka harus melakukan babak berkenaan kerana pada masa itu Tun Dr Mahathir adalah bapa yang mempunyai nama, kedudukan dan kuasa veto. Panas bontot mereka nanti jika tidak bijak bersandiwara.

Kini, siapakah Tun Dr Mahathir? Hanya veteran, orang tua dan ahli UMNO yang tidak lagi mempunyai taring. Yakah tiada taring? Jangan memandang sebelah mata pengaruh Tun Dr Mahathir. Aku secara peribadi, walaupun ada polisi dan dasarnya yang mencetuskan kontroversi, aura Tun Dr Mahathir masih lagi terasa bahangnya kerana Tun banyak membawa pembaharuan praktikal semasa era kepimpinannya. Cukup berketerampilan dan berwibawa. Masyarakat amnya mengakui kehebatan Tun Dr Mahathir. Cuma, dalam usia lanjut aku tergelak juga apabila Tun kadangkala melatah dan melalut terutama semasa musim kempen pilihanraya dahulu.

Apabila membaca suratkhabar, aku naik jelak dengan kenyataan "hipokrit" dan "burung kakak tua" pemimpin-pemimpin negara. Jika tidak percaya cubalah kita ambil teori Pak Lah akan meletakkan jawatan esok atau lusa. Apakah kenyataan pemimpin-pemimpin politik ini. Tunggu sahaja Pemilihan Agong UMNO nanti, kalau Pak Lah jatuh, tentu skrip lakonan mereka akan berbeza. Pak Lah akan dipinggirkan seperti mereka meminggirkan Tun Dr Mahathir kini. Mereka hanya tahu menjaga bontot masing-masing sahaja. Galak berkokok tetapi ekor terpalit dengan najis dan virus penyakit politik yang kronik. Mungkin kenyataan peribadi aku ini keterlaluan tetapi itulah hakikatnya. Nilai sahaja ketika Allahyarham Tunku Abdul Rahman melatah sewaktu era Tun Dr Mahathir, apakah kenyataan pemimpin-pemimpin negara. Mahu sahaja aku menggodek arkib akhbar harian. Biar mereka lihat bahawa kita bukan mencipta sejarah baru tetapi hanya mengulangi sejarah lapuk. Kita tidak pernah belajar daripada sejarah, malah semakin menyerlahkan kebebalan.

Tahun 2008 adalah tahun bencana pada sesetengah kepercayaan. Terbaru, Myanmar dilanda taufan dan China digegar gempa bumi. Bukan sedikit kematian. Bencana terhebat sejak mega tsunami dahulu. Malaysia pula diserang dengan bencana politik. Walaupun kita tiada bencana alam yang meragut ribuan nyawa, kesan bencana politik tidak kurang hebatnya. Ianya memberikan kesan jangkamasa panjang terhadap kewujudan dan kesinambungan kepimpinan Melayu di bumi Malaysia. Kalau kita kerap berbalah dan bersandiwara, sebenarnya kita menuju skrip babak kematian yang lebih parah yang akan merugikan generasi masa hadapan kita. Fikirkan disudut fikiran yang reflektif wahai pemimpin-pemimpin...

Coretan "Pekung" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Saturday, May 10, 2008

Detik Pertemuan Pertama..."Back To The Future V"

Kembali ke zaman silam...1991-1995...
Aku baru perasan bahawa aku jarang kembali ke sekitar tahun 1991-1995 melalui siri Back To The Future V. Hendak dikatakan siri ini tidak hebat, rasanya banyak juga babak-babak menarik yang tercetus.

Inilah tempoh yang paling agresif aku bergiat dalam bidang kesenian/kreatif seperti melukis, berlakon, menari, menyanyi, menulis puisi dan cerpen. Penglibatan hebat sehingga ke tahap Penari Kebudayaan Kolej Kedua, UPM dan juga mempersembahkan satu lakonan Tari/Puisi Drama (Taridra/Puisidra) Hari Terbuka Kolej Kelima, UPM bersama Kholid (kini nama besar dalam penulisan kreatif) dan Norshah (kini PTD, JPA di Putra Jaya).

Kali ini aku ingin menceritakan episod aku berjumpa dengan isteri aku (Noormaizon Ibrahim), anak kelahiran Kota Bharu Kelantan. Waktu ini, isteri aku begitu popular kerana selain bertindak selaku AJK Tertinggi Kolej Kelima, UPM, dia juga adalah anak Pembuat Batik Tersohor di Kota Bharu. Kala itu jenama batik "HA Ibrahim" adalah antara jenama yang popular di bandar Kota Bharu. Terdapat sebuah kedai/butik atas nama HA Ibrahim di Kompleks Pertama, Kuala Lumpur sekitar tempoh berkenaan. Kini, lot kedai berkenaan telah disewakan kepada peniaga telekomunikasi. Jenama batik HA Ibrahim boleh dikatakan amat digemari oleh Pensyarah dan Pegawai UPM. Kualiti hebat lukisan tangan. Apabila dibasuh tidak akan luntur warna. Kekal berseri bertahun-tahun adalah ciri hebat batik mak mertua aku ini.

Kembali kepada cerita di belakang pentas...

Terasa seribu kepuasan apabila akhirnya aku, Kholid dan Norshah berjaya mempersembahkan satu Taridra/Puisidra yang terhebat sambil disaksikan "berjuta" helai bulu roma penonton yang terpegun. Kholid bertindak sebagai pembaca puisi, Norshah bertindak sebagai pelakon (watak bapa ganas) dan aku bertindak sebagai pelakon dan penari (watak anak) yang menjadi fokus persembahan. Dikemuncak persembahan, disebabkan terlalu ghairah, aku nyaris terjatuh dari pentas kerana Norshah telah menolak aku terlalu kuat. Panik sekejap dalam kegelapan disuluh lampu neon pentas. Tepukan Pengetua Kolej Kelima bersama penonton-penonton benar-benar memberikan aku satu ledakan perasaan yang terhebat malam itu.

Di belakang pentas, seumpama pelakon hebat aku telah didatangi oleh beberapa orang penonton. Ada yang dikenali dan ada juga yang tidak. Sambil berehat melepaskan lelah, aku tiba-tiba dihampiri oleh seseorang yang tidak aku kenali. Aku lupa apa yang menjadi mukadimah perbualan. Apa yang aku pasti, malam itu aku telah merungkaikan sejarah silam aku kepadanya. Ada ketikanya aku begitu sensitif dan sentimental (hampir membuatkan aku meleleh). Apa mimpinya sehingga aku membongkarkan segala cerita peribadi aku kepadanya. Kala itu aku tidak rasa langsung kepelikannya. Aku seolah-olah ingin melepaskan sesuatu dan aku rasa bebas untuk melakukannya. Mungkin aura persembahan Taridra/Puisidra sebentar tadi masih lagi menguasai darah aku.

Hampir sejam kami berbual. Orang yang lalu-lalang dihadapan kami umpama halimunan. Ruang lobi Kolej Kelima terasa begitu luas dalam aku menerokai ruang perasaan. Terasa hanya ada kami berdua sahaja mendengar suara masing-masing. Suasana malam yang hening menambahkan lagi "Pasca-drama" aku. Malam itu aku telah dihampiri oleh seorang pendengar yang hebat. Seolah-olah inilah drama sebenar yang ditentukan oleh Tuhan.

Sejak pertemuan pertama di belakang pentas, kami sentiasa berhubung untuk berkongsi cerita. Memang sudah menjadi suratan dan takdir, perhubungan kami berjalan lancar dan amat positif. Suasana perhubungan ini membuatkan aku lebih agresif dalam menajamkan lagi bakat kreatif aku. Aku yang selama ini menyimpan sejarah, kini mempunyai seseorang yang berminat untuk bersama mencatatkan sejarah baru...seseorang yang kini menjadi isteri aku...Noormaizon Ibrahim.

Hari Konvokesyen UPM 1995 adalah babak terakhir dalam episod ini yang memberikan kesinambungan untuk siri-siri "Filem Kehidupan" Back To The Future V, VI, VII dan seterusnya.

Antara babak-babaknya, kini telahpun menjadi sejarah hebat..."back to the future"...

Coretan "Pentas Hidup" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong