Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Sunday, July 29, 2007

Kod Kehidupan : Asas Pembinaan Keperibadian Graduan

Senario :
Karnival Kerjaya Kebangsaan 2007 bertempat di Universiti Putra Malaysia (UPM) telahpun berakhir dan dilaporkan menerima ribuan pengunjung yang saya percaya kebanyakannya graduan-graduan "segar" yang kini "dahaga" untuk menjawat jawatan yang sesuai dipasaran pekerjaan.

Kelmarin, Datuk Seri Najib Razak telah menggariskan tiga teras utama untuk membina keupayaan diri graduan bagi membolehkan mereka berjaya memasuki pasaran pekerjaan yang semakin kompetitif. Ini merupakan nasihat yang baik sebagai panduan graduan-graduan untuk bersaing di luar sana.

Walau apapun jua kefahaman kita terhadap teras yang digariskan, pengalaman lebih 10 tahun saya secara langsung dalam menapis, menemuduga dan memilih graduan-graduan “segar” untuk menjawat jawatan tertentu dalam organisasi mendapati bahawa graduan-graduan kita terutamanya graduan Melayu masih ketara lagi kelemahan mereka dalam kemahiran “soft-skill” atau kata mudahnya “komunikasi”, “keterampilan, “personaliti”, “disiplin diri”, “keyakinan diri dan “kesungguhan diri”.

Selaku salah seorang ahli panel temuduga, kami memahami bahawa sebagai “Fresh Graduate” mereka "tiada pendedahan temuduga sebenar" dan "tiada aset pengalaman” untuk “dijual” dan terpaksa bersaing pula dengan calon-calon yang lebih berpengalaman. Di dalam banyak keadaan kami sentiasa memberi peluang “sama-rata” kepada semua calon. Bagi yang baru keluar dari “Ketuhar" Universiti/Institusi Pengajian Tinggi, kami lebih menilai kepada “KETERAMPILAN” dan “PEMBAWAKAN” diri mereka. Agak malang sekiranya adik-adik kita yang berkelulusan Diploma atau Ijazah hadir temuduga tanpa menunjukkan persediaan yang rapi dan airmuka mereka kelihatan tidak ceria dan pucat-lesi. Contohnya, jenis dan warna pakaian yang kurang sesuai, cara duduk yang “bersantai”, tidak tahu etika perbualan dan sebagainya. Bagi yang kurang fasih berbahasa Inggeris, siang-siang lagi sudah mengaku kalah dan meminta izin berbahasa Melayu tanpa ingin mencuba. Bila diizinkan berbahasa Melayu, kami menjangkakan keyakinan mereka akan meningkat tetapi sebaliknya. Mereka masih gagal menyampaikan ide, komen dan maklumbalas dan lebih ketara menyerlahkan kelemahan tatabahasa dan nahu mereka.

Perkara yang saya sebutkan diatas sebenarnya adalah ASAS bagi graduan-graduan untuk menarik perhatian panel temuduga. Lupakan dahulu soal kemahiran berbahasa Inggeris dan aset pengalaman. Kita harus menilai dahulu perkara ASAS PERIBADI mereka. Pada saya, sebelum menghadiri temuduga graduan-graduan segar kita harus memastikan 3 asas utama iaitu :

1. Rasa Bagus atau “Feel Good” dengan pakaian, dandanan dan aksesori diri yang disesuaikan dengan jenis jawatan yang dipohon. Sekiranya memohon jawatan dalam bidang perkhidmatan pelanggan contohnya, secara logiknya keterampilan dan kekemasan diri disamping kemahiran berkomunikasi adalah perkara utama yang akan dinilai. Jika kita jenis pemalu dan tidak suka bercakap, tidak usahlah kita mencuba nasib.

2. Gunakan ruang temuduga untuk tujuan “perbualan” bukan sesi “soal-jawab" semata-mata. Gunakan bahasa yang "betul dan tepat" untuk menjawab soalan, berkongsi pandangan dan memberikan komen. Kemahiran “verbal” dan “non-verbal” perlu kelihatan selari dan “natural”. Cetuskan suasana “ceria” dihadapan panel temuduga. Jika boleh, pengaruhi panel untuk mendengar kita berceloteh (tapi tahu bila kita hendak berhenti).

3. Tampilkan TINGKAHLAKU yang POSITIF dan tunjukkan bahawa kedatangan kita bukan sekadar ingin mencuba nasib. Jika ada ruang, berkongsilah prinsip dan falsafah peribadi atau apa sahaja yang mampu MENYERLAHKAN PERIBADI kita. Ciptakan suasana PERKONGSIAN MAKLUMAT agar panel temuduga merasai calon dihadapan mereka benar-benar matang dan layak untuk menceburi bidang kerjaya yang mencabar.

Kod Mesej:

Semoga berjaya "MEMBAWA dan MEMPROMOSI DIRI" kepada graduan-graduan yang bakal menceburi bidang kerjaya. :-)


Coretan Asas:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Saturday, July 28, 2007

Satu Ketika Dahulu Vol. 2..."Back To The Future I"

...Bahasa melambangkan bangsa. Bagi aku bahasa juga melambangkan "zaman". Satu ketika dahulu, perkataan-perkataan dan bahasa-bahasa dibawah amat popular dan sentiasa bermain dibibir aku dan rakan-rakan sekampung sekitar tahun 1970an dan 80an...

"Polis entri wan tujaga/together...polis mati pencuri jaga'
...dilagukan secara ramai-ramai oleh aku dan rakan-rakan dipetang hari. Sebelah kaki kami diatur secara "bulatan" dan salah seorang akan memimpin sambil menyanyi dan menyentuh kaki-kaki kami. Akhirnya, terbentuklah kumpulan "Polis" dan kumpulan "Pencuri". Seterusnya, kami akan berlari sakan, berkejaran, bergulingan, bergelimpangan dan berpelukan di atas pasir tanpa mengira lelaki atau perempuan. Emak dan bapak merenung jauh dari muka pintu dan akan menjerit suruh pulang apabila senja menjelma. Kata mereka "Setan dan mambang kuning dah mula berkeliaran". Nanti kena sampuk...

"Lat talilat...laili..tamplom"...
dilagukan apabila kami perlu membuat satu keputusan seperti menentukan kumpulan. Hanya ada dua bentuk iaitu samada telapak tangan "tertutup" atau "terbuka". Siapa yang telapak tangannya "sama" akan membentuk satu kumpulan. Ianya boleh juga dijadikan elemen menentukan "pemenang" jika ada tiga orang pesaing. Telapak tangan yang "ganjil" akan "terkeluar". Apabila tinggal dua pesaing, kebiasaannya "one...two...som" akan menentukan "pemenang"...

"One...Two...Som"...
genggaman tangan disorok disebalik belakang kepala atau belakang badan. Kami akan serentak menghulurkan genggaman tangan...Ada yang "terbuka" melambangkan "air"...ada yang menggenggam "buku lima' melambangkan "batu" ada yang "menghimpun" hujung jari berbentuk "muncung burung" melambangkan "burung". Air akan menang jika bertemu batu, tetapi akan kalah jika bertemu burung...

"Sep...sep...sep...tom...tom...tom"...
kebiasaannya lagu ini dimainkan oleh dua orang kanak-kanak perempuan...nampak sopan mereka "berlaga telapak tangan" sambil duduk bersila...

"One...two...GO!...
biasanya dilaungkan jika kami ingin berlumba lari. Macam lipas kudung dilepaskan oleh pengadil tak bertauliah. Berkaki ayam berlumba lari keliling kampung. Habis diredah halaman dan dapur rumah orang...

"Woi! Curi Ayam!..
perkataan yang biasa kedengaran apabila kami bermain bola. Tiada istilah "offside"... Aku boleh "bersidai" ditepi tiang gol lawan sambil berborak dengan penjaga gol. Bila rakan menghantar bola, aku kuis aje bagi masuk...dan GOL!!! Aku akan lari keliling padang dan bagusnya, gol ini akan dikira tanpa ada pergaduhan...

"Back To The Future"...

Kini, tiada atau jarang lagi kedengaran bahasa-bahasa dan perkataan-perkataan seumpama itu. Hanya kadangkala anak aku Amira melagukan "Sep...sep...sep...tom...tom...tom"...sambil mengajak aku bermain sama. Serupa sahaja corak permainan, pergerakan dan melodinya. Cukup "evergreen" walaupun setelah lebih 30 tahun zaman kanak-kanak aku berlalu....Indahnya!


Kembali Mengimbas:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Sunday, July 22, 2007

Edisi Khas 4 : Dilema Pendidikan

Senario:
Bukan era dera murid

KOTA KINABALU: Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengingatkan pendidik di seluruh negara, era guru bermaharajalela dengan bertindak sewenang-wenangnya termasuk mendera pelajar sudah lama berlalu.

Apakah istilah yang tepat bagi menggambarkan tindakan guru terhadap 200 pelajar asrama sekolah berkenaan? Mendidik, mengajar, membentuk, membina, mengasuh, membimbing ataupun menghukum, melanyak dan mendera yang akhirnya wujudlah perkataan "memalukan", "mengaibkan" dan "merosakkan" pelajar-pelajar sekolah, guru-guru, institusi sekolah dan pihak Kementerian.

Seketika, apabila membaca berita dan laporan ini, fikiran aku melayang dan cuba menerokai sejarah zaman persekolahan aku dahulu..."Back to the future"...sekitar tahun 1980an. Pada aku, hukuman dan tindakan disiplin guru terhadap murid bukanlah sesuatu yang baru. Cuma, era sekarang ini, ianya semakin "kronik" kerana hukuman yang dijalankan kadang-kala "tidak masuk akal" dan ianya lebih bercirikan "penderaan yang zalim" bukan berteraskan "pendidikan dan pengajaran". Inilah bezanya hukuman guru dahulu dan guru sekarang. Entahlah...dimanakah silapnya? Mungkin kini, golongan pendidik hanya memikirkan setiap bulan "gaji masuk" dan bukan memikirkan sangat "tanggungjawab berat" mendidik anak-anak bangsa.

Hukuman guru yang kadangkala "tidak berakal" atau "kurang waras" sebenarnya pernah aku alami dahulu. Aku masih teringat lagi pada waktu aku darjah 3...aku pernah ditolak oleh guru sehingga perutku sakit kerana terkena bucu meja. Apakah kesalahan aku? Cuma degil tidak mendengar kata guru. Apakah harus dia bertindak secara fizikal terhadap murid yang berumur 9 tahun?

Semasa Darjah 4...aku pernah diangkat/dijulang oleh guru ke dinding dan sambil itu tangannya membuka zip seluar aku...airmata aku mengalir meminta belas kasihan kerana bimbang dan malu kalau guru berkenaan menunjukkan "anu" aku dihadapan kelas. Memang guru berkenaan "gila" pada pandangan aku. Apakah "jadahnya" dia berbuat demikian pada murid yang berumur 10 tahun?

Walau bagaimanapun, pengalaman perit aku "didera" seumpama kes diatas tidaklah kerap. Sebenarnya, zaman itu ramai lagi guru-guru yang "berhemah" yang sememangnya menampilkan ciri pendidik yang "waja". Setakat tangan dipukul pembaris besi, berdiri atas kerusi dan meja, kena sebat di bilik gurubesar, berdiri di luar kelas dan dibaling kapur atau pemadam, ianya boleh dianggap sebagai "asam-garam". Jika difikirkan, hukuman seumpama itu yang tidak memberi kesan kritikal kepada emosi, psikologi dan fizikal murid adalah perlu sekali-sekala. Cuma ianya perlulah berpada-pada.

Zaman kini telah berubah. Murid kini semakin terdedah dengan pelbagai pengaruh persekitaran. Manakala guru pula mungkin tiada "jati jiwa" untuk mendidik anak-anak bangsa kerana menganggap kerjaya perguruan hanyalah salah satu cabang untuk "makan gaji".

Inilah dilema kita dalam menangani isu pendidikan ini. Siapa salah, siapa betul akan kekal subjektif. Kementerian, guru dan ibubapa perlu "bersepakat" untuk memastikan dipenghujung hari nanti anak-anak kita akan menjadi manusia yang "berguna" kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan agama.

Bezanya impak antara "Memukul untuk Tujuan Mendidik" vs "Memukul untuk Tujuan Mendera"

Coretan Dilema:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Saturday, July 21, 2007

Edisi Khas 3 : Usah Dah Terantuk Baru Nak Tergadah

Pengenalan:
22hb Julai 2007 (Ahad), aku menerima sms seorang rakan mengatakan komen aku di bawah telah disiarkan di dalam Buletin Utama TV3, jam 8:00 malam. Tak sangka...komen "pedas" aku ini diambil perhatian juga oleh Penerbit Berita TV3... :-)

Buletin TV3 telah dua kali memaparkan kes salahlaku murid dan salahlaku guru. Cukup pantas pihak media bertindak sekiranya melibatkan Menteri-menteri. Ianya benar-benar membuat perasaan "marah" saya membuak-buak kerana aduan saya sebulan yang lalu ke pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) masih tiada menunjukkan tanda-tanda positif. Mana yang lebih kritikal antara tamparan dipipi dan hentakan botol air dikepala anak saya oleh Gurubesar sekolah sehingga luka dan terpaksa menjalani "Brain Scan". Inilah malang saya jika saya melalui proses aduan yang sebenar yang memakan masa berbulan-bulan. Takan semuanya ingin melibatkan media dan Menteri-menteri.


Saban hari kita mendengar salahlaku pelajar/murid dan tidak kurang juga salahlaku guru. Ini tidak termasuk lagi kes-kes jenayah diluar, kes-kes gejala sosial dan maksiat yang terasa semakin lama semakin meningkat dan seolah-olah menjadi "trend".

Bila kita mengejutkan pihak-pihak yang berwajib, seperti biasa "sejuta alasan" diberikan. Kita masih lagi berlegar menghuraikan teori-teori salahlaku tanpa satu langkah penyelesaian yang "konkrit" yang menampilkan kesefahaman "bersama".

Saya percaya kes-kes yang dilaporkan diatas sebenarnya telah mempunyai simptom-simptom tetapi kita gagal membenteraskannya daripada awal. Inilah budaya kita. Sambil lewa dan bila dah terantuk baru nak tergadah. Apabila sudah menjadi kes berat seumpama ini barulah semua pihak melatah dan kembali mengulas teori "lapuk" yang sama. Esok lusa kembali sepi dan kembali "melatah" apabila ada kes terbaru.

Kita harus mengubah "tradisi tindakan dan penguatkuasaan" seumpama ini. Pihak yang bertanggungjawab harus "pantas" bertindak. Kita tidak mampu lagi menapis "ribut dan taufan gila" yang berlaku terhadap "generasi muda" dan "generasi pendidik-pendidik" kita. Mereka harus dididik, dikawal dan diselia dengan corak dan sistem pendidikan dan sistem naziran KPM yang lebih berkesan.

Ya, bukan mudah mendidik dan memantau murid dan pendidik zaman sekarang tetapi ianya bukanlah juga satu alasan terbaik untuk kita mencipta pelbagai alasan dan menuding sepuluh jari.


Komen Ikhlas:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Thursday, July 19, 2007

Imbasan 2003 : AF Musim 1

Pengenalan:
...Era hiburan sekarang ini cukup menghiburkan dan tak kurang juga "melalaikan". "Heboh" sana dan "kecoh" sini dengan pelbagai bentuk dan corak hiburan. Bercerita tentang hiburan, tiba-tiba tangan ini gatal mencari fail komentari yang lama. Salah satu komentari yang cukup "sensasi' yang aku hasilkan untuk tujuan ruangan Forum media cetak adalah berkenaan "Akademi Fantasia" bertarikh 27hb Julai 2003. Hantar ke Utusan Malaysia tetapi tak laku untuk tujuan penerbitan. Tiada nilai komersial... :-(


Tajuk:
Akademi Fantasia : “Game Show” Era Baru

Konsert Akademi Fantasia (AF) minggu ke-7 telahpun berakhir. Akhirnya Nana telah tersingkir setelah berjaya bertahan dalam goyah selama 6 minggu. Walaupun vokal dan persembahannya kali ini lebih mantap daripada minggu sebelumnya, ternyata kali ini nasib tidak lagi menyebelahi Nana. Pastinya satu keputusan yang amat dinanti-nantikan oleh kebanyakan penonton. Keputusan yang memberi sedikit ruang dan kelegaan kepada pihak AF dan ASTRO setelah menerima kritikan hebat daripada pelbagai golongan penonton di atas penyingkiran Rosma pada konsert minggu ke-6 yang lalu.

Adakah keputusan minggu ke-7 ini mencerminkan bahawa pengundi telah kembali ke landasan kematangan yang sebenar ? Adakah ini bermakna para pengundi kini telah kembali sedar bahawa peranan mereka amat penting agar membuat pilihan yang tepat ? Adakah ini membuktikan bahawa para penonton kini bijak mengawal diri daripada dibuai emosi yang keterlaluan ?

Setelah mengikuti secara konsisten Diari AF dan Konsert AF sehingga minggu ke-7, saya tanpa ragu-ragu ingin mengucapkan syabas kepada pihak ASTRO kerana telah berjaya dalam strategi perniagaannya dengan menerbitkan satu rancangan pertandingan hiburan baru berbentuk “Game Show” yang begitu hebat, hangat dan berjaya disegi komersial. Pasti rancangan ini akan menjadi anak emas dan kebanggaan ASTRO kerana walaupun baru berusia tujuh minggu, ianya telah berjaya mencetuskan suasana Demam AF dikalangan para penonton dan yang jelas telah memberikan pulangan yang amat lumayan melalui perkongsian pintar caj SMS.

Kita lupakan isu Rosma tersingkir, isu tahap kematangan undian pada penonton, isu juri profesional, isu etika pengadilan dan sebagainya. Saya ingin keluar daripada kotak kritikan dan pemikiran sedia-ada dan ingin berkongsi pandangan dalam sudut yang berbeza. Bagi saya kritikan hebat yang diterima oleh AF baru-baru ini merupakan satu publisiti percuma dan bonus kepada pihak AF dan ASTRO. Inilah gimik rancangan yang harus diwujudkan oleh ASTRO. Komen dan kritikan yang diterima setiap hari yang dilontarkan melalui perbualan hangat di rumah, pejabat, kedai kopi, akhbar, radio dan sebagainya secara tidak langsung telah membuktikan bahawa rancangan ini telah berjaya dalam strategi pemasarannya untuk menarik minat penonton-penonton terutama pelanggan-pelangan ASTRO untuk terus kekal bersama ASTRO. Pada masa yang sama pasti kehangatan AF yang sentiasa diperbualkan akan menarik pula pelanggan-pelangan baru. Bijak…bijak.

Sekiranya kita lihat dan nilai secara menyeluruh konsep dan pendekatan rancangan ini, ianya ternyata sesuatu yang amat istimewa dan unik. AF bukanlah akademi berorientasi pendidikan formal seperti Akademi Seni Kebangsaan (ASK) yang mempunyai tanggungjawab melatih dan melahirkan graduan Sijil, Diploma dan Ijazah Kesenian. AF adalah akademi berorientasi kormersial televisyen yang tidak terhad dan terikat dengan disiplin tertentu. Oleh itu, sekiranya diperhatikan AF cuba mengambil pendekatan berbeza dengan lari daripada konsep pertandingan nyanyian sedia ada yang kebanyakan lebih berbentuk pertandingan mingguan dan bermusim. Malah, AF bijak dalam strategi uniknya ini dengan menarik minat penonton-penonton mengikuti secara konsisten kehidupan harian pelajar-pelajar di Akademi secara spontan. Diari AF yang disiarkan setiap hari telah mencetuskan budaya tontonan yang baru. Setiap hari pasti Diari AF akan dijadikan jadual harian tetap seisi keluarga. Situasi ini akan melahirkan satu perasaan terikat penonton kepada AF. Apatah lagi kini ditambah pula kemudahan AF TV SMS Chat (
AF@17), SMS Undi dan Menang, SMS Jawab & Menang, Gosip, Fan Mail, Forum, Nada Dering, Logo dan sebagainya. Segala kemudahan yang disediakan ini pasti memikat para penonton terutama golongan remaja. Dan dalam jangkamasa panjang akan mewujudkan budaya hiburan yang baru di Malaysia.

Cuba kita lihat pula suasana Konsert AF pada setiap minggu. Syabas diucapkan kepada Saudara Aznil kerana bijak bermain dengan kata-kata terutama sebelum mengumumkan keputusan. Saudara Aznil merupakan seorang pengacara yang bijak bermain dengan ruang waktu, muzik latar dan emosi penonton-penonton. Mempamerkan beg pakaian, membuka secara berhati-hati kad nama pelajar yang bakal tersingkir dan mengumumkannya adalah suasana simbolik yang pasti menyentap emosi penonton yang sekiranya tidak dikawal akan berlinanglah air mata. Dalam Diari AF dan sepanjang tempoh pengacaraan Konsert AF, Saudara Aznil kerap menanam mesej kepada penonton agar memainkan peranan mereka dengan menghantar undi. Dialognya sentiasa menyentuh emosi penonton dan pastinya penonton yang terpengaruh akan merasa serba-salah jika tidak mengundi. Penonton yang terpikat dengan mainan emosi Saudara Aznil dan ingin memastikan pelajar kegemarannya kekal dalam AF pastinya akan terus menjadi pengundi setia tanpa memperdulikan kos caj SMS yang yang akan ditanggung kelak.

Jelas bahawa AF adalah “Game Show” Era Baru. Oleh itu, dimasa hadapan sekiranya ada kejutan berlaku, anggaplah ianya sekadar gimik rancangan. Usahlah kita pertikaikan keputusan undian SMS penonton kerana kita harus memahami bahawa AF bukanlah berkonsepkan pertandingan yang biasa kita saksikan sebelum ini yang sentiasa menjaga etika pengadilan. AF lebih berorientasikan komersial televisyen. Usahlah kita risau dan sedih di atas kegagalan pelajar-pelajar meneruskan kehidupan di AF. Mereka ini pasti akan dipinang oleh komposer-komposer tempatan, ASTRO atau stesyen televisyen yang lain sekiranya mereka ini benar-benar berbakat. Apa yang perlu kita risaukan adalah kocek kita. Kita bimbang sekiranya kita terlalu dibuai emosi yang keterlaluan, ianya akan memudaratkan kehidupan kita kerana terpaksa membayar bil telefon bimbit yang melampau gara-gara AFUNDI.

Coretan "Tak Laku":
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Tuesday, July 17, 2007

Edisi Khas 2 : Hangat-hangat Tahi Ayam

Senario:
Sejak kebelakangan ini aku cukup bosan apabila semua pihak "melatah dan melalut" apabila membicarakan isu-isu semasa. Semua cabang dan ranting media cetak dan elektronik seakan-akan berlumba-lumba ingin menjadi "juara" berita terkini, berita mutakhir, berita hangat, berita sensasi dan berita "basi".

Daripada kes Altantuya yang cukup meloyakan, kes CTOS, kes keracunan makanan di sekolah, kes kerosakan moral, kes pelajar bertingkahlaku samseng, kes rasuah, kes bunuh, kes AirAsia "Tambang Murah" tapi "Tak Murah Hati" kepada OKU, isu FAM dan yang terbaru nahas helikopter Nuri TUDM. Semuanya seperti tak menang tangan kita menanganinya. Lepas satu...satu bala-bencana mendatang.

Seperti biasa, kebanyakan kes dan isu yang timbul pada pandangan peribadi aku sebahagiannya isu "lapuk" dan "berkarat". Umpamanya lebih 20 tahun dahulu kita sudah mempersoalkan penggunaan helikopter Nuri yang sahih mempunyai rekod "terhempas" yang begitu "kronik". Jika pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM mampu dibeli untuk digunakan "entah bila", mengapakah pesawat yang menjadi kegunaan "harian" anggota tentera TUDM ini tidak diberikan perhatian. Cukup aku tak faham polisi TUDM dan kerajaan. Sepatutnya pesawat-pesawat "berusia" seumpama ini dipamerkan di muzium angkatan tentera kalau tidakpun dilupus daripada disimpan dan diselenggara untuk "meragut" lebih nyawa. Tidakkah pihak TUDM belajar daripada sejarah? Aku pasti, kes seumpama ini akan terus kita perbualkan 10 tahun akan datang dengan tajuk berita..."NURI JATUH LAGI".

Selain fokus kita tertumpu kepada nahas NURI, isu "terhangat" dipasaran kini yang aku rasa menduduki ranking 5 teratas adalah isu "Jatuhnya Martabat Bolasepak Negara". Aku ini bukanlah kaki bola tetapi aku sempat menonton 10 minit awal. Tak boleh tahan...aku segera tukar ke siaran lain kerana tidak sanggup melihat pemain-pemain kita "dibuli" oleh gergasi Uzbekistan. Kini, tuding-menuding jari sudah menjadi budaya masyarakat kita. Tiada siapa yang berani "memancung" kepala sendiri apabila otak sudah berbelit dengan kepentingan peribadi. Aku juga percaya, isu ini akan terus diperbualkan 5 tahun akan datang sekiranya pemimpin-pemimpin FAM atau pihak-pihak yang berkaitan dalam kepentingan sukan negara tidak mengambil langkah drastik untuk memperbaiki keadaan.

Cukup membosankan!
Selang seminggu-dua lagi, masyarakat akan kembali "sejuk" dan mula "melupakan" isu ini. Lihat sahaja isu JKR...apa dah jadi dengan topik "bumbung bocor"...senyap...Apa cerita isu "kerosakan moral" pelajar-pelajar sekolah yang tanpa segan silu melakukan "seks bebas". Setakat mana rakaman video/mms boleh menjalani proses "superimpose" untuk menyelamatkan maruah "aktor dan aktres berani aksi". 10 tahun dahulu kita sudah membangkitkan perkara ini semasa teknologi kurang canggih. Sekarang ini, teknologi semakin canggih...anai-anai kini bertempiaran lari tanpa kawalan kerana tiang telahpun rapuh dan runtuh...Malang sungguh nasib bangsa dan negaraku dalam kita ghairah untuk menyambut 50 tahun kemerdekaan...

Aku harap pihak-pihak yang bertanggungjawab tidak "berpeluk tubuh" dan menanti isu terbaru "mengetuk kepala" mereka untuk mendongak. Cukup-cukuplah menuding jari. Cukup letih kalau 25 tahun lagi kita membaca kronologi buku Sejarah Malaysia...catatan berjela yang tiada noktah!

Coretan Hangat:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Saturday, July 14, 2007

Kod Kehidupan : Falsafah Kerjaya

Senario :
Khamis lepas (kod 1300-1330-120707), aku dan rakan sekerja sempat singgah di Pusat Latihan untuk melihat adik-adik aku menjalani latihan intensif Perkhidmatan Pelanggan. Suasana informal benar-benar "menyemarakkan semangat" aku untuk sekali lagi "berceramah ringkas" selepas lama tidak bersua semenjak hari pertama mereka melapor diri di Ibu Pejabat.

Coretan ini adalah bukti "kod kebanggaan" aku terhadap mereka. Daripada perwatakan, kelakuan, percakapan, renungan dan perhatian mereka, aku dapat merasakan "energy" mereka untuk terus positif berkembang di dalam organisasi ini. Disudut hati kecil, aku juga pasti bahawa daripada 12 orang yang berada di hadapan aku ini yang masih "berdarah muda dan segar", pasti ada yang akan "kecundang" dalam menempuh arus dan badai dalam kerjaya. Masa yang akan menentukan...

Sepanjang tempoh hampir 4 tahun aku di Bahagian Operasi Sumber Manusia, aku sudah kerap melihat kakitangan baru dan lama tewas dalam menghadapi "karenah" kerjaya. Walaupun ada yang berjaya meningkat, ianya boleh dibilang dengan jari dan aku tidak menafikan yang berjaya itu memang benar-benar "berpotensi" dan akan menjadi "aset" kepada organisasi jika betul-betul dilentur dan dibimbing.

Aku sentiasa percaya bahawa tiada organisasi yang "ideal" dalam memenuhi "kehendak" kakitangan. Inilah prinsip yang aku cuba tanam dalam fikiran dan perasaan kakitangan baru sejak mereka melaporkan diri. Kadangkala, secara negatif ingin sahaja aku berfikir bahawa "tiada guna" aku "membebel" panjang bercerita tentang prinsip dan falsafah kerjaya. Ini kerana walaupun sejuta perkataan motivasi aku keluarkan, aku tiada ilmu untuk membaca "niat", "fikiran", "perasaan", "emosi", dan "semangat" mereka. Aku masih "tidak mampu" menentukan tindakan masa hadapan mereka. Walau bagaimanapun, fikiran positif mengatasi negatif. Aku percaya bahawa walaupun aku tidak mampu mengawal keadaan, sekurang-kurangnya aku telah mencurahkan sedikit "air segar" bersama "baja minda" sebagai bekal mereka menempuh realiti pohon kerjaya. Selainnya, untuk bercambah, berputik dan berbuah terserahlah kepada keringat dan usaha mereka sendiri.

"Permainan Jigzaw Puzzle" sentiasa menjadi analogi penceritaan aku kepada kakitangan baru selain berkongsi pengalaman peribadi selama lebih 10 tahun dalam kerjaya. Kefahaman yang aku ingin tanamkan dalam minda mereka amat mudah. Setiap saat, minit, jam, hari, minggu, bulan dan tahun dalam bidang kerjaya umpama kita menyusun kepingan-kepingan kecil "jigzaw puzzle".

Setiap kepingan kecil "jigzaw puzzle" ini harus diatur, dilekat dan disesuaikan di dalam petak (organisiasi) dengan penuh "sabar". Kita sentiasa "mencuba", "meneroka" dan "memahami" corak permainan ini. Kadangkala, kita hanya mengikut "gerak hati" dan sentiasa "belajar daripada kesilapan". Walaupun kepingan kecil "jigzaw puzzle" ini masih tidak kelihatan sumbangannya pada minit atau jam pertama, kita percaya bahawa setiap "pergerakan dan keputusan" kita adalah "kritikal" dalam mengembang dan melengkapkan permainan ini selepas tempoh masa tertentu. Seribu kepingan kecil "jigzaw puzzle" tidak akan "cantik" jika terdapat "satu keping kecil jigzaw puzzle hilang". Akhirnya, kita akan "kecewa" kerana walaupun "gambar besar jigzaw puzzle" kita telah kelihatan lengkap, ianya tetap "cacat". Tidakkah kita pernah terfikir?

Kod Mesej:

Pembangunan Kerjaya bukanlah proses sehari-dua. Ianya adalah "pakej pembangunan jangkamasa panjang" yang meliputi perkembangan elemen "PENGETAHUAN, KEMAHIRAN, SIKAP dan APPLIKASI". Ingat adik-adik...tiada guna kita mempunyai "tiket pendidikan yang tertinggi", jika kita "GAGAL MENGGABUNGKAN" elemen-elemen ini di dalam diri kita. Ianya saling "lengkap-melengkapi". Eleman SIKAP adalah elemen yang perlu kita jaga kerana ianya adalah elemen peribadi yang hanya diri kita sendiri sahaja yang tahu.

80% pengetahuan + 20% kemahiran = 0% (Jika kita mempunyai SIKAP NEGATIF). Walau bagaimanapun, 0% pengetahuan + 0% kemahiran = 100% (Jika kita mempunyai SIKAP POSITIF).

Ingat! Tidak rugi jika kita sentiasa berfikiran positif kerana pada satu hari kelak kita akan mengakui bahawa ianya akan menjadi "PENYELAMAT" dalam banyak perkara dan sudut kod kehidupan kita. Sesuatu yang kita tidak mampu lihat, ketahui dan sedari pada hari ini....Cukup unik dan simbolik falsafah dan kefahaman ini...

Kod Falsafah:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Saturday, July 7, 2007

Kod Kehidupan vs "Back To The Future"

Senario:

...Semalam dan pagi tadi aku menerima panggilan dan "sms" daripada seorang staf yang nada suaranya begitu "kecewa". Fikirannya aku tafsirkan seperti "berkecamuk" dan "berserabut". Seolah-olah tiada jalan keluar baginya...

Sejenak aku cuba melontar diriku kembali ke zaman silam... "Back To The Future" sekitar tahun 1980an dan 1990an. Cuba merenung dan memahami "corak perasaan dan pemikiran" diwaktu itu. "Kod Kehidupan" masa kini yang aku bawa dalam penjelajahan zaman silam ini benar-benar memahatkan satu kefahaman yang kuat dalam diri aku.

Sejenak, aku percaya selagi kita "bernafas" sebenarnya tiada istilah "buntu" dan "jalan mati" dalam mengharungi ujian dan cabaran kehidupan. Cuma sebagai manusia, aku kerap kali gagal untuk mengaitkan sejarah dan masa kini.

Seketika watak-watak dimindaku melompat-lompat daripada satu peristiwa ke satu peristiwa. Cuba menyelongkar "virus beku" yang satu ketika dahulu benar-benar "menggelapkan" laluan perjalanan aku.

...Aku pernah "kecewa" kerana gagal mencatatkan rekod pelajar Melayu yang memecahkan tradisi pelajar Cina merebut 5 tempat teratas dengan Agregat Terbaik Peperiksaan SRP 1985. Semasa Percubaan Peperiksaan SRP, aku menjuarai Agregat Terbaik (No.1) diikuti 9 orang pelajar Cina yang lain. Namun, peperiksaan sebenar aku "gagal" mencatat keputusan terbaik. Terasa begitu "malu" dan "kecewa".

Aku pernah "menangis" kerana gagal Kertas Matematik pada Semester 1 semasa di UPM. Dunia seolah-olah "gelap-gelita" dan aku gagal menerima hakikat bahawa aku terpaksa mengulang kursus untuk semester yang seterusnya.

Aku pernah "murung" kerana gagal Kertas Pendidikan Lanjutan. Hampir seminggu aku termenung kerana tidak boleh menerima sekali lagi kegagalan dalam kerja kursus.

Aku pernah "bermuram-durja" kerana gagal menyampaikan Pidato Umum dihadapan kelas. Kepala lutut menggigil, peluh dingin mengalir, bibir terasa kering, suara masuk kedalam, jantung berdegup kencang dan perut senak. Benar-benar "panik".

Aku pernah "merana" kerana gagal menduduki Ujian Memandu Penuh dalam tempoh yang ditetapkan oleh JPJ selepas memegang Lesen "L" selama 2 tahun. Aku terpaksa menduduki Ujian Bertulis Lesen "L" sekali lagi. Benar-benar terasa diriku "bodoh" waktu itu.

Aku pernah "marah dengan diri sendiri" sewaktu terbabit kemalangan jalanraya di Johor Bahru. Habis 'lunyai" kereta "Satria" aku dirempuh bas dari belakang. Benar-benar kecewa dan terasa amat menyesal. Aku seolah-olah tidak boleh menerima kenyataan bahawa aku telah terbabit dalam kemalangan.

Aku pernah "terkilan" kerana sehari sebelum atuk jatuh sakit, malam sebelumnya atuk sempat telefon bertanyakan ibu yang rancangnya hendak pulang ke KL. Aku perasan suara Atuk agak berlainan malam itu tetapi tiada terfikir perkara lain. Percakapan aku dengan Atuk hanya sebentar malam itu. Esoknya Atuk jatuh sakit dan sebulan kemudian Atuk meninggal dunia. Rasa "menyesal" kerana kini tak dapat lagi berbual panjang.

Kod Mesej:

Apa yang aku belajar daripada peristiwa-peristiwa di atas? Kadang-kala terasa aku "tidak pernah belajar" satupun. Apabila berlaku sesuatu peristiwa yang tidak dijangka yang mendatangkan kesulitan, aku gagal menghurai pengalaman lalu. Seperti biasa aku akan terus dicengkam perasaan kecewa, menyesal, dukacita, merana dan segala macam perasaan dan fikiran negatif. Aku sentiasa gagal untuk keluar dari fikiran dan perasaan negatif yang membelenggu.

Walau bagaimanapun, pengalaman mengajar aku. Sekurang-kurangnya dengan umur yang semakin meningkat, aku mulai belajar memahami sesuatu bahawa inilah "proses kehidupan" yang perlu aku lalui.

Jika direnungkan, seharusnya fikiran kita harus fokus. Apa yang berlaku tidak boleh diundur kembali. Kita tidak boleh "configure" perjalanan yang telah kita lalui. Cuma, kita harus ingat bahawa, selagi kita hidup, proses perjalanan kita adalah umpama roda yang berputar. Sekejap di atas dan sekejap di bawah.

Kita bukan manusia "ideal". Usah lari daripada perasaan negatif yang membelenggu. Ianya adalah sebahagian daripada diri kita. Kita perlu "kuat" untuk menangani segala cabaran dan dugaan. Kita tidak akan rasa ria kalau tiada duka. Kita tidak akan kenal maju tanpa mengenali mundur. Kita tidak akan mengakui kita kuat kalau kita tidak mahu mengakui kita juga lemah.

Segalanya diatur begitu indah!


Kod Kefahaman:
Zamer Rizal Osman
Bandar Kinrara, Puchong

Thursday, July 5, 2007

Kod Kehidupan : Kalau Sudah Menjadi TABIAT...

Senario :

...Pagi tadi topik pagi Radio ERA membawa tajuk "Alasan Anda Datang Lewat Ke Pejabat". Cukup sinonim dan begitu dekat di hati aku. Perjalanan menuju ke pejabat yang memakan masa hampir sejam terasa amat terisi. Fikiran yang kosong dan segar di awal pagi terus cergas dengan "komen dan sms hangat" pendengar ERA.

Aku "terkedu" mendengar salah seorang pemanggil yang nada suaranya begitu "ceria" menceritakan bahawa dia masih dalam perjalanan ke pejabat. Jam telah menujukkan 7:49 pagi dan dia harus berada di pejabat pada jam 8:00 pagi. Waktu itu dia masih berpuluh-puluh kilometer jauh dari pejabat. Apa nak jadi ni? Tiada perasaan "gelisah" dan "malu" langsung menceritakan "masalah disiplin" sendiri selaku kakitangan organisasi. Organisasi seperti "diperbodohkan" oleh kakitangan seumpama ini. Mungkin topik pagi ERA begitu bersantai yang membuatkannya begitu ceria. Aku boleh memahaminya jika begitu. Walau bagaimanapun, selepas mendengar kenyataan lanjut yang "memalukan" seperti kerap "meminta rakan "punch" kad kehadiran dan mencipta "sejuta alasan" yang bukan-bukan, aku mula memahami bahawa ianya bukan lagi masalah di luar kawalan tetapi ianya adalah masalah "TABIAT" dan yang lebih parah lagi kalau dah "berkudis". Memang susah hendak dibuang.

Disatu ruang pemikiran, aku mula tertanya-tanya dimanakah "nilai moral" kakitangan ini. Tidakkah mereka "rasa bersalah" kepada organisasi (tempat mencari rezeki halal), malu kepada rakan-rakan dan yang lebih penting sanggup "menipu diri sendiri". Apabila ditegur, mereka ini tidak akan makan saman, apabila ada insentif tahu pula mempertikaikan soal "keadilan". Disuruh berhenti, tahu pula merayu dan menyatakan zaman sekarang susah hendak mendapat pekerjaan. Tetapi perlakuan mereka tidak menterjemahkan konsep "Berterima Kasih" dan "Bersyukur". Pelik.

Disatu ruang pemikiran, aku mula bersetuju dengan "persepsi" aku bahawa kalau dah jadi buluh memang tidak boleh lagi dilentur...sesuai dengan peribahasa "melentur buluh biarlah daripada rebungnya". Cukup mendalam maknanya. Masalah terbinanya tabiat buruk ini bukanlah satu atau dua hari proses. Ianya telah lama bermula dan bersebati sejak bertahun-tahun lagi. Bila difikirkan perkara ini, minda aku mula teringat tabiat aku yang kadangkala suka meneliti rekod-rekod kakitangan yang bermasalah. Aku akan mengkaji "perkaitan" kakitangan dengan keputusan SRP/SPM/Diploma/Ijazah, nama sekolah/institusi, CGPA, latar-belakang keluarga dan sebagainya. Secara rawak, memang aku dapati ada perkaitan "tidak saintifik". Ada satu kes, aku dapati mereka ini pernah bersekolah di Sekolah yang terkenal dengan kenakalan murid-muridnya. Sekolah ini cukup popular. Hasilnya, anak didik sekolah ini telah menjadi kakitangan organisasi dan mendatangkan seribu permasalahan. Wow! cukup menarik.

Kod Mesej:

Betapa ceteknya kefahaman segelintir manusia. Mereka berbangga dan gembira dalam melakukan perkara yang tidak berfaedah. Tanpa rasa bersalah. Inilah masalah organisasi kala ini. Aku masih ingat lagi pengalaman perit aku 12 tahun dahulu memberi seribu alasan untuk tidak keluar minum jam 10:00 pagi apabila diajak rakan-rakan. Begitu sukar untuk mengelak. Mengapa? Ianya telah menjadi "budaya oragnisasi" untuk keluar minum pada jam 10:00 pagi dan 3:00 petang. Bos dan kakitangan sama sahaja. Aku yang "tetap prinsip" akan menjadi "kera sumbang" dan terasa "dipulaukan". Perkataan-perkataan sindiran telah menjadi lumrah seperti..."Hai, rajin kerja nampak...melintanglah tahun ni" dan sebagainya. Sebagai orang muda waktu itu, aku memang kuat untuk menepis semua itu. Budaya organisasi yang tidak sihat ini harus dicantas. Itulah kod pegangan aku yang memberikan "tenaga dalaman" yang unik.

Kod Buang Tabiat:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara

Tuesday, July 3, 2007

Terima Kasih Daun Keladi...

Terima kasih saya ucapkan kepada saudara-saudari dan rakan-rakan samada yang saya kenali atau tidak kenali kerana sudi melawat dan membaca nukilan dan coretan saya. Telah lebih 2 bulan blog ini aktif dan sepanjang tempoh itu juga saya telah menerima komen-komen yang amat menggalakkan. Terima kasih.

Saya mohon maaf kerana coretan saya tidak ada yang bercirikan penulisan "ringan" yang mungkin lebih menarik minat pembaca. Inilah identiti penulisan saya sejak dahulu lagi. Corak penulisan saya terutama dibawah ikon "Back To The Future" dan Kod Kehidupan adalah bertujuan untuk kita menerokai pemikiran kita sendiri sesuai dengan "tag" blog saya.

Kebanyakan kita suka melihat gambar dan membaca bahan bacaan ringan. Boleh...tiada salahnya tetapi sekali-sekala urat-saraf minda kita perlu diransang dengan bahan pembacaan yang "membina minda". Saya cuba menerokainya...mungkin belum sampai tahap yang terbaik.

Setiap penulisan ada "energy" yang perlu disalurkan. Ini yang cuba saya ciptakan. Melalui kisah-kisah realiti kehidupan yang ditulis, kita mampu menterjemahkannya pula ke dalam segenap realiti kehidupan kita. Bukankah baik begitu?

Ramai yang tertarik dengan analogi penceritaan Kod Kehidupan. Terima kasih atas maklumbalas. Ada juga yang tersentuh dengan Puisi "Atuk" dan ada juga cuba meneka episod seterusnya dalam cerpen "Bertemu Dua Persimpangan" (maaf tak sempat lagi nak sambung episod 3).

Sempena Bulan Merdeka Ogos ini...nantikan nukilan Puisi Kemerdekaan 2007 terbaik saya semenjak saya menghasilkannya buat kali pertama dan diterbitkan di dalam Utusan Malaysia pada tahun 2003. Harap-harap tahun ini Utusan Malaysia menerima nukilan saya...tunggu...


Terima Kasih Daun Keladi
Ada Ilham Saya Akan Terus Menulis Lagi


Ucapan Terimakasih:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong