Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Saturday, June 28, 2008

TAHNIAH! Anak-anakku


...Selepas dua (2) hari menghadiri Asia HR Convention di Berjaya Times Square (25hb-26hb), aku terpaksa mengambil cuti pada hari berikutnya (27hb) untuk menghadiri Hari Terbuka Sekolah. Sesi khas untuk ibubapa mengambil laporan prestasi anak-anak. Zuhairi pada sebelah pagi, manakala Amira pada sebelah petang.

TAHNIAH!
kepada Zuhairi kerana berjaya memperolehi kedudukan No. 9 (3A 2B) dalam kelas. Kedudukan yang bukan dalam kategori cemerlang. Sekadar asas kukuh sebelum menduduki peperiksaan UPSR 2008.

TAHNIAH!
kepada Amira kerana berjaya pula memperolehi kedudukan No. 3 dalam kelas. Amira umpama diri aku semasa aku bersekolah rendah dahulu. Biarlah kelihatan paling "comel" dalam kelas tetapi mampu menggegarkan budak-budak yang bertubuh "gergasi".

Semoga anak-anakku mampu mencipta sejarah mereka tersendiri.

Coretan "Asas Kejayaan" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Sunday, June 22, 2008

Selamat Menyambut Ulang Tahun Kelahiran...Adik!


20hb Jun 2008, genap anak dara gedik aku berumur 7 tahun. Sekali imbas, umur yang jelas masih hijau dalam menerokai arus dan ranjau kehidupan. Itu tanggapan aku. Rupanya, zaman telah berubah. Pendedahan dan pengalaman pembelajaran anak aku kini benar-benar berbeza berbanding pendedahan dan pengalaman pembelajaran aku dahulu. Jangan kecil disangka budak. Itulah dia Amira...petah berkata-kata. Bukan sekadar berkata-kata tetapi bijak pula mempersoalkan sesuatu perkara.

Catatan "Ulang Tahun" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Saturday, June 21, 2008

Edisi Khas : Sandiwara 2 Politik Negara


Semalam, apabila mengikuti Buletin Utama TV3, ada dua isu negara yang tiba-tiba menyentap saraf minda aku untuk menarikan jari ini menulis. Sejuta persoalan yang kian membingungkan. Pada masa yang sama menyerlahkan kebebalan pihak tertentu. Jelas, membuka "pekung busuk" yang telah disorok dan diperam sekian lama. Sehingga berulat!

Isu krisis kehakiman 20 tahun lalu yang membabitkan enam (6) bekas hakim dan kes rasuah Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee 12 tahun yang lalu pada aku adalah isu yang jelas memaparkan "kepincangan kepimpinan" dahulu dan sekarang. Seperti biasa, ini bukanlah landasan untuk aku mengulas lanjut disegi perundangan dan teori-teori politik. Aku bukanlah pakar analisis teori-teori konspirasi. Biarlah orang-orang penting yang bersuara dan melatah seperti "Pak Turut". Mereka ini seolah-olah menanti giliran untuk bercakaran. Skrip kenyataan mereka tidak banyak berbeza. Semuanya "Yes Boss" menokok-tambah kenyataan rakan-rakan sekutu yang telah terlebih dahulu berkokok.

Minda aku cuba "back to the future" menerokai suis memori krisis kehakiman dahulu. Ketika itu sekitar tahun 1988, aku telahpun berada di UPM dan dalam umur 18 tahun, fikiran aku telah mulai peka dengan perkembangan politik negara. Pada masa itu Tun Dr Mahathir begitu menyerlah kepimpinannya dan seingat aku tiada siapa berani mengatakan "No Boss". Apakah yang berlaku pada masa itu? Dimanakah orang-orang penting? Dimanakah orang-orang politik yang berani bersuara? Aku pasti isu ini bukanlah hanya disedari kepincangannya selepas 20 tahun. Karut. Pasti ada pihak yang telah mencium penyalahgunaan kuasa pemimpin tertinggi negara (sekiranya benar) tetapi "takut" dan "pengecut" untuk menegakkan keadilan pada masa itu. Kenapa? Tidak lain dan tidak bukan kerana Tun Dr Mahathir ketika itu berada di puncak kekuasaan. Taringnya begitu tajam dan berkilat sehingga menyilaukan pandangan. Kini, selepas Tun Dr Mahathir berundur, mereka ini mulai hendak menunjukkan taring yang kini tiba-tiba tajam setelah sekian lama "tumpul". Cukup jelas skrip lakonan terhebat dalam drama Sandiwara Siri 2 kali ini. Mampu pecah TV.

Aku percaya, sekiranya aku memetik pula suis "back to the future" untuk menerokai masa hadapan, umpamanya pada tahun 2020, aku pasti Pak Lah atau Najib atau sesiapa sahaja yang dalam kategori "wanted" akan menjadi mangsa pula untuk dibongkarkan kepincangan mereka semasa memimpin negara. Sudah pasti pada masa itu mereka tidak lagi bertaring seperti sekarang. Logik atau tidak?

Apakah mereka orang-orang politik ini tidak menyedari bahawa skrip drama Sandiwara 2 lakonan mereka ini adalah sambungan skrip drama Sandiwara 1 dahulu. Jalan cerita yang cukup memualkan. Apakah kita tidak boleh membetulkan segala kepincangan yang timbul dengan "real time" atau "sekarang". Bukan menunggu 10-20 tahun akan datang. Kenapa sukar sangat? Apa yang mereka ini takutkan? Hantu? Jembalang Tanah? Manusia Jadian?

Jika "skrip bodoh" inilah yang mereka lakonkan, jelas menunjukkan, orang-orang penting ini hanya "menjaga bontot" masing-masing tanpa berani menegakkan keadilan berasaskan perlembagaan. Rakyat kini bijak memerhatikan sandiwara mereka. Suatu hari jangan salahkan rakyat jika rakyat memberikan sekali lagi tamparan "mega tsunami" dalam pilihanraya akan datang. Mereka orang-orang penting yang bertanggungjawab memelihara institusi terpenting negara ini tidak pernah belajar daripada sejarah yang mereka cipta sendiri.

Kes rasuah Datuk Yong Teck Lee pula menimbulkan spekulasi hangat. Teori konspirasi mulai tersebar. Secara logiknya memang pelik. Mengapakah kes ini tidak timbul 12 tahun dahulu? Kesimpulannya mudah, dahulu beliau berada di puncak (bekas Ketua Menteri Sabah). Siapakah yang berani membantah dan membangkang. Kes ini lebih mengharukan dan menggarukan kepala masyarakat umum kerana BPR membuka kertas siasatan sejurus selepas beliau mengusulkan undi tidak percaya terhadap kepimpinan PM. Kenapakah kes ini diberikan keutamaan secara tiba-tiba? Masyarakat umumnya sebenarnya naik jelak kerana banyak lagi kes-kes rasuah yang masih belum terbongkar. Jika ada yang terbongkarpun, kes-kes ini akan memakan masa bertahun-tahun. Membazirkan duit rakyat dengan kos perundangan. Apakah mata kita tidak melihat dan hati kita tidak menilai? Sandiwara lagi.

Sekali imbas, kenyataan dan alasan beliau secara umumnya agak logik dan objektif seperti isu pembangunan dan pendatang tanpa izin. Ini bukan cerita baru. Aku kadang-kala sedih melihat tahap pembangunan di negeri Sabah. Sehingga sekarang selepas 50 tahun merdeka, terdapat lagi rakyat Sabah terutama di kawasan pendalaman yang masih lagi mundur teramat sangat seperti tiada kemudahan asas seperti jalan yang sempurna. Lembu dan gajahpun tidak berselera melalui jalan yang berlumpur dan berdebu. Kesian.

Baru-baru ini, Buletin Utama TV3 memaparkan keperitan masyarakat di Ranau, Sabah yang terpaksa meredah sungai deras atau melalui titi gantung yang berisiko tinggi kerana rayuan membina jambatan tidak diambil pusing oleh kepimpinan BN (katanya). Bila ditanya kepimpinan sekarang, skripnya mudah...kita sedang meneliti dan akan memasukkan pembinaan jambatan ini dalam Belanjawan 2009. Rakyatpun menunggu dengan penuh harapan dan selepas 4 tahun (back to the future), sekali lagi rakyat terpedaya dan sekali lagi Buletin Utama TV3 membuat laporan hangat. Cukup meletihkan. Perkara ini harus jelas dimata rakyat dan kita terus-menerus mengulangi skrip dan sejarah yang sama. Aduhai! Politik negara.

Aku cukup teruja untuk menantikan skrip dan dailog seterusnya. Pasti pesta "cakar-mencakar" dan "pukul-memukul" ini akan berlarutan sehingga Perhimpunan Agong UMNO akan datang. Teori konspirasi politik telahpun tersebar. Siapakah yang kena? Siapakah yang akan "mati" dalam skrip seterusnya? Siapakah yang akan menjadi "banduan politik" dalam penjara kuasa? Siapakah yang "tersampuk" dan tiba-tiba mengubah nada dailognya? Siapakah yang akan menjadi "pelakon pembantu terbaik"? Siapakah yang akan menjadi "pengarah" terbaik? Siapakah? Siapakah?

Seketika aku terfikir. Sukar sangatkah mewujudkan kepimpinan yang benar-benar BERSIH, CEKAP dan AMANAH?

Nantikan babak-babak seterusnya dalam drama yang akan difilemkan...SANDIWARA 3 POLITIK NEGARA...

Coretan "Sandiwara" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Tuesday, June 17, 2008

Edisi Khas: Pengurangan Caruman KWSP Pekerja - Pilihan Praktikal


Sejurus selepas aku membaca Utusan Online semalam berkenaan dengan kenyataan Menteri Kewangan Kedua, minda seperti kilat yang menyambar bumi terus mengarahkan jari-jemariku untuk menulis komentar terbaru untuk Edisi Khas.

Berikut adalah komentar yang aku hantar ke Utusan Online, Berita Harian dan Harian Metro. Samada Ketua Pengarang memilih komentar aku atau tidak untuk disiarkan, itu tidak penting. Apa yang penting adalah kepuasan aku menterjemahkan fikiran dan perasaan dalam bentuk penulisan.

PENGURANGAN CARUMAN KWSP PEKERJA : PILIHAN PRAKTIKAL

Saya terpanggil untuk memberikan komen terhadap kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakob terhadap saranan mengurangkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semalam.

Pada pandangan saya, beliau harus melihat alternatif mengurangkan beban rakyat daripada semua cabang. Tidak kiralah banyak atau sedikit caruman KWSP pekerja. Kita pernah melaksanakan pilihan ini pada April 2001-Mac 2002 dan Jun 2003 – Mei 2004 dengan mengurangkan caruman pekerja daripada 11% kepada 9%. Saya percaya sedikit-sebanyak usaha berkenaan mampu mengurangkan beban rakyat terutama bagi yang berpendapatan sederhana yang jarang diberikan tumpuan khas oleh kerajaan. Sekiranya kita lihat, inisiatif kerajaan lebih bertemakan membela nasib rakyat berpendapatan rendah. Hakikatnya, rakyat yang berpendapatan sederhana juga tidak kurang menerima bahang daripada iklim ekonomi yang melanda dunia kini.

Saya melihat pengurangan caruman KWSP pekerja adalah “langkah pantas” yang tidak akan merugikan mana-mana pihak. Kita tidak memerlukan subsidi dan belas kasihan kerajaan. Kita juga tidak memerlukan rebat tunai. Cuma, kita mahu kerajaan lebih kreatif dan prihatin dengan membuat pengubahsuaian kadar caruman KWSP pekerja dengan “pendapatan sedia-ada”. Ianya boleh dilakukan atas “prinsip sukarela” dan “persetujuan pekerja”. Bagi yang berpendapatan rendah, saya bersetuju cadangan ini tidak praktikal kerana sumbangan KWSP mereka agak kecil. Namun, bagi yang berpendapatan sederhana, ianya mampu memberikan sedikit kelegaan jika ada pengurangan caruman kerana sumbangan KWSP mereka agak tinggi setiap bulan.

Saya bersetuju dengan salah satu Misi KWSP iaitu “menyediakan faedah persaraan semua ahli melalui simpanan mereka secara cekap dan boleh dipercayai”. Walau bagaimanapun, saya percaya misi KWSP ini boleh disesuaikan dengan keperluan dan kehendak semasa. Pada saya, faedah persaraan adalah satu indikator subjektif untuk dikawal dan ianya bergantung kepada kesedaran dan kepekaan rakyat. Pihak KWSP usah terlalu risau dengan penterjemahan misi ini kerana kini rakyat semakin bijak untuk mencari alternatif sampingan selain KWSP untuk menokok-tambah sumber kewangan mereka dihari tua seperti Unit Amanah, Insuran dan sebagainya.

Rakyat perlu diberikan pilihan untuk menguruskan sumber kewangan mereka apatah lagi dalam keadaan yang kritikal kini. Sumber tunai yang terdekat yang kini berada dalam genggaman adalah melalui tabung simpanan KWSP mereka. Malah, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga harus berganding bahu memikirkan langkah yang sama dengan mengurangkan Potongan Cukai Berjadual (PCB) dengan segera.

Tidak perlulah kita menunggu Perancangan Belanjawan 2009 untuk kita enak mendengar alternatif yang kebanyakannya bernada teori ekonomi yang sukar difahami. Rakyat memerlukan “alternatif yang lebih praktikal” yang lebih hampir dengan kocek, mulut dan tangki kenderaan mereka. Benarkanlah kami membuat pilihan dan keputusan untuk kesejahteraan hidup kami.

Coretan "Naik Minyak" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Sunday, June 15, 2008

Coretan Khas : Pujangga Kehidupan



Pagi ini tiba-tiba minda ini terfokus untuk memetik salah satu suis minda yang jarang aku terokai. Suis yang membuka peti prinsip dan falsafah tentang kehidupan. Bermain-main dengan bunga-bunga bahasa. Dahulu bahasa puitis memang menjadi makanan aku. Pantang jiwa tersentuh, pasti kertas dan pen akan aku capai. Aku akan terjemahkan perasaan dan fikiran aku melalui puisi yang memberikan kepuasan peribadi yang tidak terhingga.

Kali ini, aku kembali untuk bermain bahasa. Bahasa yang hanya boleh difahami oleh hati melalui kunci minda yang terbuka...

"Usah bimbang apa yang berada di penghujung jalan. Susurilah lorong perjalanan kita dengan penuh keyakinan. Pasti sinar akan muncul atas ketentuan. Menerangi seluruh ruang fikiran dan perasaan"

"Usah menyalahkan takdir atas lorong yang kita susuri. Takdir adalah dua ketetapan untuk kod kehidupan kita. Kita yang memilih lorong kanan atau kiri. Setiap lorong kita akan tetap diuji. Maka, terimalah ujian dengan fikiran, perasaan dan semangat yang waja"

"Kita selalu melihat diri kita melalui kacamata orang lain. Kita gagal untuk melihat diri kita sendiri. Lihatlah diri dari dalam dan bukan dari luar"

"Kita hanya melihat apa yang ingin kita lihat. Hanya melihat pintu tetapi gagal melihat apa yang berada disebalik pintu"

"Kehidupan memerlukan imaginasi. Imaginasi akan memberikan kita semangat untuk terbang di awangan tetapi kaki masih berpijak di bumi nyata. Pasti kita akan menguasai ruang"

"Kehidupan kita memerlukan keseimbangan. Baik-buruk, suka-duka, gembira-sedih sentiasa berpasangan. Ianya sentiasa mengalir dalam darah kita. Hanya kefahaman untuk melihat "sesuatu disebalik sesuatu" akan membuat kita terus tersenyum melangkah ke hadapan"

Coretan "Tersirat" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Saturday, June 14, 2008

Siri 4 : Kejutan Budaya di Negara Thailand..."Back To The Future VI..."



Kembali ke zaman silam...1995...Siri 4 (sambungan)...

Babak 8 - Malam Menyeramkan (Kategori SXX)

Puas menghidu asap kenderaan dan asap "pork" yang meloyakan di bandaraya sibuk kota Bangkok, aku dan rakan-rakan kembali ke hotel penginapan. Sedang elok kami melangkah ke lobi hotel, kami sekali lagi dihampiri oleh seorang Mamat Thai yang juga berpakaian bunga-bunga. Ramai betul Mat Bunga di Thailand ni. Di Malaysia sesiapa yang memakai baju bunga-bunga, pasti akan diberi gelaran "Mat Jiwang". Kali ini tiada album yang disuapkan kepada kami. Di dalam hati hendak juga melihat kalau ada koleksi baru. Mana tahu ada posisi dan teknik yang lebih mengancam, memikat dan meransang.

Rupanya kali ini satu perbualan yang lebih hebat berbanding perbualan dengan "Bapak Ayam" dua(2) jam yang lalu. Satu lagi kejutan yang membuatkan jantungku kembali berdegup kencang. Pada masa yang sama naluri "ingin tahu" begitu kuat mencengkam perasaan. Akhirnya, sebulat suara perjanjian dibuat. Mat Bunga berjanji untuk kembali menjemput kami berempat tepat jam 8:00 malam. Mat Bunga kelihatan tersenyum penuh kepuasan. Akhirnya berjaya menpengaruhi kami. Dada aku kian hebat berombak. Kalau di Malaysia, mustahil aku akan berpeluang begini. Tidak tergerakpun.

Di bilik penginapan aku termenung sejenak. Betul ke aku ingin melakukannya. Tidak salahkah aku? Tidak bermoralkah aku? Tidak berdosakah aku? Tidak akan tertangkapkah aku? Banyak benar persoalan yang bermain-main dibenak aku. Emosi juga kian kacau. Berbelah-bahagi antara naluri "rasa bersalah" dan naluri "ingin merasai". Lewat petang itu aku sekadar mengelamun. Berimaginasi yang bukan-bukan tetapi dahi tetap berkerut seribu. Bimbang.

Selepas makan malam yang sekadar hanya mengalas perut, kami berempat tanpa banyak bicara lantas menyelinap menghilangkan diri disebalik rakan-rakan yang leka menjamu selera. Kami harus hilang tanpa disedari. Bak halimunan yang kini telah menjadi "halilintar". Di pintu lobi hotel, Mat Bunga yang setia menanti tersenyum dari kejauhan apabila melihat kami muncul dengan langkah tergesa-gesa. Mataku tiba-tiba terpaku melihat beberapa kelibat tubuh wanita Thai yang berpakaian seksi duduk bersantai di sofa lobi hotel sambil menghembus asap rokok. Gaya dan lagak mereka seolah-olah menanti sesuatu. Ahh...pasti "kupu-kupu malam" yang ingin menjerat pelanggan. Menarik dan menggoda pada pandangan nafsu.

Tanpa banyak soal, Mat Bunga terus membawa kami menuju Tut Tut yang sedia menanti kami di pinggir jalanraya berhampiran pintu lobi hotel. Cekap dan efisien perkhidmatan Mat Bunga ini. Kami cukup rasa selesa dengan layanan "first class" Mat Bunga dan teruja dengan dialog yang cukup menyakinkan kami. "Don't worry Sir...everybody go there Sir...very cheap..good looking...good game Sir. I will take care you Sir". Aku sekadar tersenyum ketat.

Kesibukan kota Bangkok tidak mengira waktu. Di kiri-kanan jalanraya, kelihatan bar-bar jalanan yang berwarna-warni. Kedengaran sayup-sayup alunan muzik yang pelbagai. Lampu neon bulat berwarna merah dan berkilau bergantungan menyerlahkan kelibat pelayan-pelayan bar yang berpakaian seksi dan menghairahkan. Kelihatan ramai betul Mat-Mat Salleh yang bersantai sambil menonggak air Setan sambil tangan merangkul pinggang pelayan. Aku terpukau dengan keunikan malam di kota Bangkok. Tut Tut terus deras meredah kesibukan jalanraya. Terasa ngeri juga apabila sekali-sekala Tut Tut mencelah rapat di antara kenderaan. Kecekapan pemandu Tut Tut begitu terserlah.

Bunyi brek Tut Tut mengejutkan aku daripada terus mengelamun. Tempat yang dituju telahpun berada di sisi kami. Deretan bangunan kedai dua tingkat yang kelihatan sunyi. Lampu jalan yang samar-samar menambahkan keseraman aku. Tanpa berlengah, kami lantas melangkah keluar dari perut Tut Tut. Mat Bunga dengan pantas terus menghalakan kami menaiki tangga salah satu lot deretan bangunan kedai. Di tingkat satu, telah sedia menanti seorang lagi Mat Bunga dengan muka yang agak bengis. Tangannya kelihatan mengenggam berkeping-keping duit kertas bath.

"300 bath Sir", pendek saja Mat Bunga ini berkata. Kami faham maksudnya. Aku lantas menghulur sejumlah duit berkenaan dan terus diarahkan memasuki satu pintu yang terkatup rapat. Apabila daun pintu diselak, mataku terpaksa menyesuaikan keadaan. Gelap. Dalam kesamaran aku dapat melihat satu pentas dan di hadapannya terdapat deretan kerusi yang disusun secara berteres. Aku dan rakan-rakan lantas mengambil tempat dihadapan sekali. Kelihatan begitu ramai kelibat manusia memenuhi kerusi. Pelbagai rupa dan warna kulit. Aku anggarkan dalam 50 orang. Kami duduk sambil menanti penuh debaran. Mat Bunga yang membawa kami hanya menunggu di luar. Dia sempat memberikan nasihat dan berjanji akan menghantar kami pulang apabila "game" selesai.

"Zamer, kau tau ke apa "Tiger Show"? tiba-tiba Ramesh bersuara.

"Mana aku tau. Pernah dengar tapi tak pernah tengok". Jawabku ringkas.

Mindaku masih belum menerima hakikat bahawa aku kini berada di dalam bilik yang akan mempersembahkan "Tiger Show". Satu persembahan permainan "SEKS" yang tidak dapat aku bayang dan gambarkan rupanya. Sepanjang satu (1) jam persembahan, mataku "terbeliak" melihat betapa "bebas" budaya negara Thailand sehingga "pertunjukan unik" wanita berbogel dan "hubungan seksual" pasangan lelaki dan perempuan boleh dijadikan satu bentuk dan cabang hiburan dan perniagaan.

Dipenghujung persembahan, aku agak panik apabila salah seorang wanita yang terlibat dalam persembahan menghampiri aku dengan tubuh bogel sambil bertanyakan nama aku. Aku menanti penuh tanda-tanya apa tujuan dia bertanya nama aku. Rupanya nama aku akan ditulis tanpa menggunakan tangan tapi dengan menggunakan "anunya" sambil mencangkung. Naik bulu roma aku apabila pen marker menari-nari di atas kertas sambil punggung digoyang. Menambahkan kekalutan aku lagi apabila kertas yang bertulis nama aku diserahkan kembali dengan senyuman. Aku lantas menggelengkan kepala kerana kalau diambil pasti aku kena membayar tip yang perlu diselitkan dicelah anunya. Hish...

Selesai persembahan yang tidak perlu aku ceritakan satu persatu babaknya, timbul rasa bersalah yang teramat sangat. Melihat persembahan yang tidak patut aku saksikan. Namun, naluri ingin tahu mengatasi segalanya. Cukuplah sekali. Tubuhku menggigil sepanjang persembahan satu (1) jam. Hendak dikatakan teransang, tidaklah pula. Apa yang pasti, perasaan takut, bimbang, geli dan ngeri sentiasa menguasai diri aku di sepanjang persembahan. Mungkin tanda-tanda bahawa aku sebenarnya "suci dalam debu".

Di pintu lobi hotel, Mat Bunga tiba-tiba bersuara yang benar-benar memeranjatkan kami. Rupanya tempat persembahan tadi merupakan lokasi hitam yang kerap diserbu oleh pihak berkuasa Thailand. Persembahan "Tiger Show" sebenarnya salah disisi undang-undang negara Thailand. Katanya, kami bernasib baik kerana malam itu tiada operasi dijalankan. Bertuah punya Mat Bunga.

Jika tidak, pasti didada akhbar Thailand keesokan harinya terpampang berita empat (4) rakyat Malaysia tertangkap semasa menyaksikan "TIGER SHOW". Pasti memalukan.

Nantikan Siri 5...satu lagi kejutan semasa berada di Pattaya...menyaksikan golongan pondan mempersembahkan tarian ala "Las Vegas"...Back to the future...

Coretan "Terkejut" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong