Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Friday, February 22, 2008

Akulah No.1..."Back To The Future I"


...Kembali ke zaman silam...Tahun 1981...

Sekolah Rendah Kebangsaan Salak South, Jalan Sungai Besi
perlahan-lahan menjelma indah di sudut memoriku yang telah menjadi Arkib. Sesi penggal pertama persekolahan telahpun bermula. Kini aku di Darjah 5. Segalanya baru. Rakan baru, cikgu baru dan pakaian baru. Keseronokan dan ketakutan silih berganti. Apatah lagi tahun ini merupakan tahun terpenting kerana ada Penilaian Darjah 5.

Cepat detik berlalu. Keputusan ujian bulan Februari 1981 telahpun diumumkan oleh Cikgu Rohana. Lantang sungguh Cikgu Rohana melaungkan "No.1 untuk ujian bulan Februari adalah milik Siti Fatimah". Aku kurang pasti aku dapat nombor berapa pada masa itu. Apa yang aku pasti aku mulai rasa "cemburu" terhadap kejayaan Siti Fatimah yang tinggi lampai. Aku kian panas apabila memerhatikan tingkah laku dan mimik mukanya yang "berbangga selamba". Memang layak dia berbuat demikian...No. 1 dalam kelas. Aku tidak berhak mempertikaikan sikapnya.

Mulai saat itu, tiba-tiba datang satu "perasaan dan semangat luar biasa" dalam diri aku. Disudut minda dan emosi paling ceruk, aku telah menanam azam yang cukup kuat..."Siti Fatimah...ujian bulan Februari adalah hak kau, tapi mulai ujian bulan Mac dan seterusnya aku akan pastikan kau gagal". Dialog yang cukup "jahat" tetapi memberikan motivasi tinggi dalam diri aku.

Ujian bulan Mac telahpun selesai dijalankan. Seperti biasa, Cikgu Rohana akan berdiri di hadapan kelas sambil memegang sehelai kertas. Perasaan mulai gementar. Persaingan cukup sengit kerana sebelum ini, seisi kelas hanya memberikan tumpuan khas kepada Siti Fatimah. Setiap kali cikgu mengedarkan Kertas Ujian yang telah ditanda dengan markah peratusan (%), pastinya Siti Fatimah akan menjadi "benchmark" murid-murid lain. Aku adalah murid yang "low profile".

"Kali ini ada sedikit kejutan kerana kedudukan tiga (3) tempat teratas telah berubah" Cikgu Rohana mulai bersuara memecah kesunyian dengan sedikit senyuman manis terukir.

Akhirnya keputusan diumumkan. Siti Fatimah telah menduduki tangga No. 2 (Hari Ini Dalam Sejarah). Kedudukan No.1 telah berjaya "dirampas" oleh tidak lain dan tidak bukan...dengan lantang Cikgu Rohana menyebut nama..."Zamer Rizal bin Osman". Semua murid seolah-olah terpinga-pinga. Pada aku ianya merupakan "detik pemulaan" untuk langkah dan strategi seterusnya. Aku hanya memerhatikan Siti Fatimah yang kelihatan tersentak dengan keputusan Ujian terbaru.

Semasa waktu rehat, rakan-rakanku mengadu bahawa Siti Fatimah membebel bahawa dia akan merampas kembali kedudukan No. 1 untuk Ujian Bulanan seterusnya. Difikiran aku ianya satu persaingan yang hebat. Kejayaan pertama telahpun aku peroleh dengan merampas kedudukan No. 1. Kejayaan kedua kini menjelma kerana aku berjaya menggugat ketenteraman Siti Fatimah. Kejayaan ketiga akan berterusan dengan tumpuan rakan-rakan yang kini mulai "beralih arah" kepada aku. Satu keseronokan semulajadi dalam usia muda 11 tahun.

Alamak...murid baru melaporkan diri. Namanya "Hartini". Wajah yang cukup manis dan menjadi idaman jejaka-jejaka yang belum baligh. Aku salah seorang yang dalam usia hingusan mulai memendam perasaan yang amat unik. Ahh...ianya tidak mampu sama sekali menggugat cita-cita asal aku untuk mencipta sejarah seterusnya. Hartini pasti menjadi "pemangkin" aku untuk cabaran-cabaran yang pasti hadir terutamanya dalam menangani kata-kata sinis Siti Fatimah..."Zamer, aku pasti bulan Februari sahaja kau berjaya...bulan-bulan yang lain jangan kau harap". Kasarnya dialog Siti Fatimah.

Seperti yang aku pasti sejak daripada awal, sememangnya kejayaan demi kejayaan adalah hak milik aku sepanjang tahun. Aku tidak leka dan tidak menoleh kebelakang lagi. Tahun 1981 adalah kejayaan mutlak aku. Siti Fatimah hanya berjaya memperolehi dua (2) kejayaan yang tidak membanggakan. Sekadar No. 1 Ujian bulan Februari dan Tempat Kedua untuk Keputusan Keseluruhan Tahun 1981. Siti Fatimah hanya sekadar mengekori aku dengan rapat tanpa berjaya "mencantas" aku. Aku berjaya mengekalkan prestasi No. 1 dalam kelas untuk semua Ujian Bulanan (bermula bulan Mac), Peperiksaan Pertengahan Tahun dan Peperiksaan Akhir Tahun. Begitu konsisten.

Majlis Anugerah Murid Cemerlang 1981 adalah kemuncak kepuasan. Kemuncak ini telah aku rakamkan dalam sebahagian kata-kata puitis dalam "Puisi Untuk Atuk-Kini Atuk Telah Tiada" pada bulan Mei 2007...

Atuk pernah tersenyum bangga
Berkaca melihat aku gembira
Menerima Anugerah Pelajar Nombor Pertama
Dalam kelas Darjah 5 akulah Juara

Arwah Atuk adalah "saksi" kejayaan aku. Siti Fatimah adalah "saingan" untuk kejuaraan aku. Di satu sudut minda aku yang positif, aku berterima kasih kepada Siti Fatimah kerana kata-kata sinisnya sepanjang tahun 1981 benar-benar "membakar" semangat aku. Aku telah membuktikan bahawa kejayaan boleh diperolehi oleh semua orang jika kita benar-benar "percaya" bahawa kita boleh melakukannya. Cantiknya, kejayaan ini bukan sekali, bukan dua kali tetapi kejayaan yang "konsisten" yang tidak semua orang boleh melakukannya.

Akulah No. 1...Hadiah Buku "Tom Sawyer" masih lagi kekal disudut memoriku yang terindah. Kini anak aku Zuhairi @ Abang mengulangi sejarah yang sama...No. 1 dalam Darjah 4 (Tahun 2006). Setahun lebih awal daripada aku..."Back To The Future..."

Catatan "No.1" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Sunday, February 17, 2008

Edisi Khas : Pilihan Raya Umum Ke-12...Kebebasan Minda

...Tanggal 08 Mac 2008, satu lagi detik bersejarah akan terpahat. Mampukah Pembangkang mengekalkan "kuasa ajaib" mereka di Kelantan. Satu-satunya negeri yang begitu "unik" iklim politiknya. Mampukah PAS, KeADILan dan parti-parti pembangkang yang lain "memecah undi" rakyat.

Aku tidak berminat untuk memperkatakan siapa menang dan siapa kalah. Aku juga tidak berminat mengulas "ketelusan jentera pilihan raya". Aku juga nak "termuntah" jika membicarakan "kempen serangan peribadi" dan "undi hantu". Isu lapuk yang kian berkulat.

Aku cuma berminat memerhatikan "gelagat dan karenah" pemimpin-pemimpin politik. Seperti biasa apabila timbul musim Pilihan Raya, masing-masing akan cuba menonjolkan "kredibiliti" dan tidak kurang juga "melatah". Pemimpin yang merah "report card" akan cuba "membirukannya" dengan pelbagai cara. Inilah "kecantikan" politik yang kadangkala hanya tempelan bedak sejuk dan"make-up" diwajah yang telah terserlah buruk.

Pemimpin-pemimpin "otai" mulai terasa bahang. Cuba menonjolkan sikap "keterbukaan" dalam "kesempitan ruang" dikepung pemimpin-pemimpin muda. Hanya mampu menyerlahkan "pengalaman berzaman", "ketuanan" dan "ketuaan" dalam arena politik. Unsur "kematangan" memimpin pasti menjadi "azimat berharga" pemimpin-pemimpin otai.

Pemimpin-pemimpin "muda" pula masih lagi menampilkan "kesopanan dan ketertiban" dalam berkata-kata dan bertingkahlaku yang sentiasa menghormati pemimpin-pemimpin "otai". Secara tidak langsung cuba menyampaikan mesej tersirat terhadap perlunya "kepimpinan muda" yang "lebih bertenaga" dan penuh "sarat" dengan idea membina.

Secara peribadi, aku amat bersetuju sekiranya beberapa muka "otai" ditukar dengan muka-muka baru. Sejak aku bersekolah sehingga kini, muka-muka "senior-veteran" ini masih kekal "bertaring". Apakah petua mereka yang kekal "awet muda" dalam gelanggang panas politik?

Pemimpin-pemimpin "otai" sekiranya dinilai dialog mereka hanyalah mengulangi skrip yang sama. Membosankan. Turunlah dari tahta sebelum anda "diturunkan" dengan pelbagai cara...seumpama bekas pemimpin SXX baru-baru ini.

Mengimbas kembali sejarah aku mengundi selama dua penggal dahulu, tiada apa yang mengejutkan. Jika diperhatikan jentera Pilihan Raya BN, aku sudah dapat mengagak keputusannya. Tiada jentera pembangkang yang mampu menongkah arus. Desas-desus di sana- sini sentiasa kedengaran terhadap kecanggihan dan keberkesanan jentera BN. Kempen yang begitu menyeluruh sehingga ke akar umbi. Cukup berjaya.

Cuma kadangkala aku terfikir bahawa masyarakat kita ini "mudah lupa". Kempen besar-besaran selama sebulan atau dua minggu sebelum Pilihan Raya seolah-olah "pesta" yang boleh mengaburi "biji mata" kita. Jika dinilai sebelum diumumkan pembubaran kabinet, masyarakat sentiasa "merungut" terhadap prestasi wakil rakyat mereka. Tidak cukup mengumpat di warung kopi atau di batas sawah padi, media massa dan elektronik dijemput untuk merakamkan kekecewaan. Kini, dimanakah rekod umpatan dan cacian mereka? Tenggelam dalam kempen pilihan raya yang "terhebat". Semuanya kini enak didengar.

Sepatutnya, rakyat harus mengambil peluang "menghukum" wakil rakyat mereka sekiranya mereka dicalonkan semula. Jika mereka tidak dicalonkan kerana "dakwat merah" dalam laporan prestasi mereka, parti yang mencalonkan mereka (tidak kira samada BN, PAS, KeADILan atau XYZ) harus dihukum terhadap kegagalan kepimpinan parti selama 4-5 tahun. Baru mereka ini tahu tinggi-rendah langit dan bumi. Minda dan perasaan rakyat usah diambil ringan.

Lihat sahaja negeri Kelantan dahulu. Dek kerana "kealpaan" pemimpin-pemimpin BN pada ketika itu, bukan seorang, bukan dua orang tetapi keseluruhan jentera kepimpinan parti terkuat BN "lumpuh" dalam sekelip mata. Bertempiran lari "tidak cukup langkah" pemimpin-pemimpin yang dianggap "terunggul". Rakyat negeri Kelantan "bijak menghukum" dan "tidak kelabu biji mata" dengan "kempen bermusim". Sejarah tidak popular inilah yang harus kita belajar daripada "sudut minda yang berbeza".

Aku bukanlah "penyokong fanatik" parti-parti pembangkang. Tidak juga "peminat setia...dulu, kini dan selama-lamanya" parti-parti pemerintah. Aku cukup "reflektif" dalam membuat penilaian. Undi tetap rahsia. Cuma kadangkala "kerahsiaan" ini harus diteluskan secara tidak langsung melalui "keterbukaan idea dan pemikiran". Ini yang sedang aku lakukan...

"Selamat Mengundi...Dulu...Kini...Dan Tidak Selamanya"

Coretan "Rahsia" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Tika Dan Saat Ini - Medicine..."Back To The Future IV"

Saturday, February 16, 2008

Alleycats - Hingga Akhir Nanti..."Back To The Future I"

Keyakinan Pertama..."Back To The Future I"



...Kembali ke tahun 1981...sempena Hari Guru...

Dahulu aku sentiasa memikirkan bagaimanakah lahirnya keberanian dan keyakinan aku berdiri dikhalayak ramai disulami dengan perasan yang begitu teransang untuk "bercakap". Adakah berpunca daripada bakat semulajadi, minat atau dilatih.

Kini aku pasti, sebahagian personaliti aku sebenarnya berpunca daripada bakat semulajadi yang sememangnya wujud didalam darahku yang mengalir sejak awal kelahiran.

Mengimbas kembali sejarah permulaan aku berdiri dikhalayak ramai adalah pada tahun 1981. Tanpa diminta, aku memberanikan diri keluar daripada kepungan rakan-rakan sekelas lantas mendendangkan lagu "Hingga Akhir Nanti" sempena Hari Guru. Aku masih ingat lagi, Cikgu Rohana dan rakan-rakan memerhatikanku sambil menjamu selera. Tiada langsung perasaan gementar. Hanya ada "perasaan kepuasan" yang tidak boleh digambarkan ketika itu.

"Satu permulaan" yang terus berkembang hingga ke saat ini...tiada satupun yang tidak berkesinambungan...segalanya begitu indah...

Kini...
Bakat "Menyanyi" aku...telah diturunkan kepada "Abang @ Zuhairi"
Bakat "Menari" aku...telah diturunkan kepada "Adik @ Amira"
Bakat "Melukis" aku...telah diturunkan kepada "Adik @ Amira"
Bakat "Berlakon" aku...telah diturunkan kepada "Adik @ Amira"
Bakat "Bercakap" aku...telah diturunkan kepada "Adik @ Amira"
Bakat "Kepimpinan" aku...telah diturunkan kepada "Abang @ Zuhairi"
Bakat "Menulis" aku....masih terlalu awal untuk ditentukan...tiada lagi tanda-tanda...

Hingga akhir nanti
kau tetap jadi pujaan walau seribu tahun
walau seribu zaman kutetap menanti
Hingga akhir nanti
kau saja idaman hati
segala rasa cinta segala rasa sayang
hanyalah untukmu
hingga akhir nanti

Bulan takkan terang tanpa seri wajahmu
hati takkan tenang tanpa kehadiranmu
rindu dalam sepi rindu dalam mimpi
kutetap menanti
hingga akhir nanti

Datanglah kekasih
datanglah padaku
kesetiaan diriku
janganlah kau ragu
betapa kukasih
betapa kurindu
seandainya kau tahu benarnya cintaku


Coretan "Keyakinan Pertama" oleh:
Zamer Rizal Osman
Bandar Kinrara, Puchong

Tuesday, February 12, 2008

Edisi Khas : Petua Kesan Orang Hilang


Orang Hilang 1:

Pada 28hb September 2007, dalam coretan Kakak Angkat..."Back To The Future II", diakhir coretan aku hanya mampu menaruh harapan agar bertemu kembali dengan kakak Siti Nor Halid setelah kali terakhir bertentang mata pada tahun 1986 (semasa aku di Tingkatan 4 dan Kak Siti di Tingkatan 5).

Sukar untuk dipercayai buat seketika bahawa pada tanggal 11hb Februari 2008 iaitu hanya selepas 22 tahun berlalu, akhirnya Kak Siti Nor Halid membalas emel aku selepas 3 hari dihantar.

Bagaimana aku mengetahui alamat emel Kak Siti Nor? Sememangnya aku rajin mencari kawan-kawan lama melalui "Search Engine Yahoo dan Google". Aku hanya memasukkan nama "Siti Nor Halid" dan klik "search". Keluarlah berpuluh-puluh mukasurat yang memaparkan nama "Siti" atau "Nor" atau "Halid". Letih juga mencari sambil menongkat dahi. Naik layu mata.

Tiba-tiba mataku terpaku pada satu alamat yang memaparkan nama "Siti Nor Halid". Tepat dan penuh ejaannya. Akupun klik alamat berkenaan. Yeehaa...ada alamat emel. Aku masih was-was lagi pada awalnya tetapi tetap menaruh keyakinan inilah kakak aku yang hilang selama 22 tahun tanpa sebarang berita. Apatah lagi alamat emel berkenaan berasal dari Johor. Sah memang Kak Siti Nor Halid. Akupun tanpa berlengah terus menghantar emel dengan penuh sopan-santun . Siap tulis Puan Siti Nor Halid lagi. Takut tersilap orang.

Orang Hilang 2:

Selepas gembira berjumpa dengan nama Siti Nor Halid, aku cuba lagi satu nama iaitu rakan sekelas aku di Tingkatan 4 & 5 iaitu Intan Moslimon. Seperti pencarian diatas, tanpa mengambil masa yang lama, terpapar nama "Intan Moslimon" dalam satu alamat web Jabatan Kerajaan. Siap ada No. KP lagi. Memang sahlah sahabat yang aku cari kerana tarikh lahirnya ialah pada tahun 1970. Aku terus menghantar emel dan Intan membalasnya pada pagi 11hb Februari 2008.

Mesej:

Inilah namanya kemajuan dan teknologi memudahkan kehidupan manusia. Walau bagaimanapun, dua sahabat aku ini dijumpai kerana biodata mereka telah diberi "internet akses". Alam pekerjaan mereka berdua telah mendedahkan nama mereka di dalam dunia siber. Bagi mereka yang "low profile" sudah tentu pencarian seumpama ini bukan sesuatu yang praktikal dan mudah.

Orang hilang seterusnya:

Selepas dua kejayaan di atas, aku ingin "back to the future" untuk tahun 1984 pula. Nama Wan Kamazira Wan Ngah adalah pencarian seterusnya. Tahun 1985 untuk nama Hasmansah Hashim, tahun 1983 untuk nama Cikgu Yusof dan ramai lagi...

Bagi Kak Siti Nor dan Intan, memang terasa seribu kejanggalan apabila kita kembali berbual selepas 22 tahun. Hendak membayangkan bahawa kita berumur 16-17 tahun atau 38-39 tahun...dua alam yang amat ketara berbeza...

Terasa ingin kembali ke tahun 1986-87..."back to the future..."


Coretan "Kembali" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Monday, February 11, 2008

Pra-Puisi Untuk Nenek..."Back To The Future...Tahun 20xx"



Jika pada 1hb Mei 2007, aku telah mengarang sebuah puisi khas "Puisi Untuk Atuk" setelah kembalinya Atuk ke Rahmatullah. Kini, aku sebenarnya tidak dapat membayangkan sebuah lagi puisi khas yang harus aku karang di masa hadapan..."Puisi Untuk Nenek".

Nenek yang aku gelar "Mak" sejak aku mulai pandai bercakap adalah insan yang mengambil "risiko" untuk tegas menjagaku sejak aku berumur 1 tahun 6 bulan.

Aku pasti suatu hari nanti wajah tua ini akan hanya mampu aku kenang seumpama Arwah Atuk. Pastinya, satu Puisi Khas akan aku karang sebagai coretan kenangan yang tidak ternilai.

Selagi nafas "Mak" masih ada, akan aku pastikan apa yang aku lakukan semasa Arwah Atuk masih hidup akan terus berkekalan sehingga akhir hayat.

Masa hadapan yang harus aku tempuhi terasa semakin dekat...


Coretan "Masa Hadapan" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Thursday, February 7, 2008

Satu Ketika Dahulu Vol. 4..."Back To The Future I"





Kembali ke zaman silam...1975-1985...

Satu Ketika Dahulu...
TV Hitam Putih Mewah Sekali
"Telefunken" Jenama Popular Dibeli
Cerita "Combat" Kerap Ditontoni
"The A-Team" Pasukan Dikagumi

Satu Ketika Dahulu...
Cerita "Tempe" Cukup Digemari
Robot "Transformer" Juga Tak Dilupai
"Ultraman dan Thundercat" Pahlawan Sejati
Budak-budak Ghairah Berimaginasi

Satu Ketika Dahulu...
Cerita "The Six Million Dollar Man" Kurang Disaingi
Penonton Terpaku Melihat Teknologi Terkini
Cerita "Airwolf" Terus Disukai
Jiwa Memberontak Jika Tidak Ditontoni

Satu Ketika Dahulu...
Kartun "Mickey Mouse" Watak Disenangi
Anak-anak Terhibur Tak Terperi
Jiwa Luka Pantas Diubati
Bila Menonton "Snow White" Berseri

Satu Ketika Dahulu...
"Drama Minggu Ini (DMI)" Siri Dinanti
Cerita Masyarakat Untuk Diteladani
Air Mata Deras Berlinangan Di pipi
Seisi Keluarga Menonton Sepi

Satu Ketika Dahulu...
Drama "Opah" Dekat Dihati
Kisah Keluarga Melayu Jati
Drama "Oshin" Ikon Wanita Berdikari
Pencetus Semangat Jati Diri

Satu Ketika Dahulu...
Filem Hindustan Leka Ditontoni
"Bobby" dan "Nagin" Filem Diingati
Kecil Besar Boleh Saja Tontoni
Tiada Babak "X" Untuk Ditapisi

Tapi Kini...
Banyak Cerita Untuk Disaksi
Saluran Pula Beridentiti Tersendiri
Tiada Lagi Ikon Untuk Dikagumi
Kebanyakannya Basi Tiada Lagi Asli


Kembali "Mengimbas" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Satu Ketika Dahulu Vol. 3..."Back To The Future I"


Kembali ke zaman silam...1976-1982...

Satu Ketika Dahulu...
Sesudah Subuh Nenek Mengoreng "Nasi"
Menyusun Mangkuk Di bawah Saji
Banyak Sedikit Sama Dikongsi
Tiada Seorangpun Berhasad Dengki

Satu Ketika Dahulu...
"Gula Sarsi"
Idaman Hati
Dijilat Lazat Berkali-kali
Harga 5 sen Amat Bererti
Banyak Makanan Boleh Dibeli

Satu Ketika Dahulu...
Aku Berlari Sepenuh Hati
Menuju Kedai Jauh Sekali
"Mamee" Dibeli Ceria Kembali
Dikunyah Bagai KFC Zaman Kini

Satu Ketika Dahulu...
"Aiskrim Payung"
Berwarna-warni
Hijau dan Merah Tarikan Hati
Kawan Meminta Pantang Sekali
Harga 5 sen Takan Tak Boleh Beli

Satu Ketika Dahulu...
Penat Bermain Ditengahari
Bermandi Peluh Berkilat Didahi
Putih Salju Gula Merah Disirami
Segar "Ais Kepal" Tidak Terperi

Satu Ketika Dahulu...
Harga Milo Mahal Sekali
Tapi Lidah Ingin Merasai
Ada 10 sen Sudah Memadai
Coklat "Kandos" Jenama Digemari

Satu Ketika Dahulu...
"Pisang Emas" Cukup Bererti
Diberi Sedekah Sempena Hari Jadi
Tiada Hadiah Apatah Lagi Dirai
Cukuplah Sekadar Ingatan Disanubari

Satu Ketika Dahulu...
Ada Makanan Sukar Dijumpai
Disorok Cermat Di dalam Almari
Bila Perut Mulai Menari
Senyap-senyap Merendam "Maggi"

Tapi Kini...
Anak-anak aku mengenali...Coklat Cadbury, Honey Star, Ladies Choice, Aiskrim Cornetto, Nasi Ayam Mac Donald, KFC, Pizza Hut, Kenny Rogers, ABC, Fresh Orange...

Cuma "Maggi" dan "Mamee" masih lagi menjadi makanan sepanjang zaman dari dulu hingga kini...pantang aku menjamah Maggi...anak-anak aku juga pasti naik berahi...


Kembali "Mengimbas" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Saturday, February 2, 2008

Tahun Pertama Persekolahan..."Back To The Future I"







Apabila melihat Adik cantik berpakaian sekolah, teringat aku sekitar tahun 1977-1982...mengembalikan sebahagian memori aku...

...Atuk yang mengheret aku mendaftar Darjah 1
...Nenek yang menyimpulkan duit siling 50 sen dalam sapu tangan
...Van putih Nyonya menjadi kenderaan berulang-alik
...Sekolah Rendah Salak South Garden tersergam indah
...Rumah Kuning Apollo menjadi medan ko-kurikulum
...Cikgu Rohana, guru Darjah 5
...Robin, rakan sekelas berbangsa Portugis
...Hartini, rakan sekelas yang selalu kurenung
...Murid-murid samseng yang kerap membuli

Coretan "Permulaan" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Friday, February 1, 2008

Teori Fail X : Aduh! Tajamnya Mata Pena

Pelik...sejak semalam aku gagal mencari surat aku dalam Arkib Berita Harian yang telah dipaparkan pada 24hb Januari 2008. Mesej di bawah seolah-olah menunjukkan "nama aku tidak wujud" di dalam Arkib mereka. Hairan sebab sebelum ini tiada masalah.

Aku cuba lagi mencari surat aku dalam enjin "search" yang lain. Alamat wujud tetapi tetap gagal untuk akses. Adakah berlaku "sesuatu" terhadap hasil penulisan aku yang "keras dan penuh sindiran".

Aku cuba klik dua komentar aku di dalam Utusan Malaysia. Tiada masalah. Masih lagi wujud dalam Arkib mereka.

Aku ingin berpandangan bahawa penulisan aku telah menyentuh hati sesetengah pihak yang terus mengarahkan komentar aku "dipindahkan" ke dalam Fail X . Entahlah...teori X yang tidak memberikan sebarang inspirasi...

Walau apapun aku tetap berterima kasih kepada Berita Harian kerana memilih dan menyiarkan komentar aku yang "lantang dan pedih" itu. Aku percaya banyak lagi komentar yang lebih berkualiti yang harus mereka berikan keutamaan.

Semoga komentar aku mampu membuka minda dan perasaan pihak-pihak yang berkaitan.

Jumaat, 01 Februari 2008

23 Muharam 1429
Maaf, pautan yang anda minta tidak dijumpai atau sudah dipindahkan. Sila gunakan enjin carian atau layari laman utama.

Carian anda: zamer di Berita Harian0 hasil carian ditemui di dalam Arkib Seminggu kami.
Untuk hasil carian sejak 1991, Layari Arkib Berita sejak 1991.Klik 'Search News Archive (Articles Since 1991)' dan masukkan katakunci zamer pada kekotak carian yang disediakan pada laman tersebut.Baca Terma & Syarat


Coretan "X" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong