Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Saturday, July 18, 2009

Edisi Khas 15: Kosmetik Isu Negara


Berdasarkan penilaian cetek saya, didapati isu-isu dinegara kita seolah-olah hanya hebat diperdebatkan di media massa dan elektronik dengan pelbagai jenama.

Kita memang juara dalam mengupas dan menangani isu yang berorientasikan "sudah terantuk baru nak terngadah". Lihat dan nilai sahaja arkib berita tentang isu alam sekitar, kepenggunaan, kes ragut, jenayah pelajar sekolah, bohsia, mat rempit@samseng jalanan, Along, pendatang tanpa izin dan sebagainya. Dari dulu sehingga sekarang kita masih leka dan sibuk membicarakan perkara asas iaitu penguatkuasaan. Hari ini hangat, esok sejuk dan tahun depan melatah kembali. Letih.

Mengapakah budaya menangani isu ini terus menjadi tradisi di negara kita? Adakah landasan dan arus media tidak cukup kuat untuk mengetuk minda golongan bijak-pandai di Kementerian dan organisasi penguatkuasaan undang-undang?

Adakah mereka hanya berkhidmat sekadar "melepaskan batok ditangga". Menggubal dasar dan melaksanakan pelan tindakan yang "dangkal" yang membuat rakyat terus meluat seperti isu tol. Rebet promosi "diluar waktu puncak (12am-7am)" dan bilangan 80 transaksi tol sebulan ternyata mengaburi mata rakyat yang secara amnya tidak akan menjangkau majoriti pengguna. Sekadar jernih dipermukaan tetapi keruh didasar.

Komen realistik dan praktikal rakyat pasca pelaksanaan sepatutnya dikaji secara "proaktif" bukan reaktif oleh pemimpin dan pihak-pihak yang diamanahkan tanggungjawab.

Saya ingin mempercayai bahawa isu-isu di negara kita akan terus diperdebatkan seumpama kosmetik yang kian tebal. Berubah rupa tetapi muka tetap sama.

Catatan "Kulit Tebal" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Edisi Khas 14: Madu dan Racun


Saya terasa begitu sesak nafas dengan isu-isu baru dan lapuk yang terus berlegar dimedan perdebatan tanpa titik noktah.

Madu telah diberikan oleh YAB PM dengan 11 hadiah sempena 100 hari pemerintahan. Difikiran saya, ini satu "budaya tidak sihat" kerajaan seolah-olah menunggu tempoh 100 hari berpantang macam orang bersalin pula.

Tidak perlu menarik perhatian rakyat dengan cara politik begini kerana ianya hanya akan meninggalkan persepsi dan perspektif negatif kepada rakyat. Pasti selepas ini akan ada ura-ura apakah hadiah selepas 200 hari, 500 hari atau 1001 hari?

"Hadiah" yang saya anggap madu minggu lepas telahpun hilang kemanisannya kerana kini kita diberikan pula racun dengan berita kenaikan kadar tambang pengangkutan awam dan potensi besar kenaikan tarif letrik yang memberi kesan langsung kepada rakyat. Apakah 11 lagi racun yang akan diberikan selepas ini?

Saya ingin mencadangkan kepada kerajaan agar lebih berhati-hati dalam menghebahkan sesuatu perkara kepada rakyat. Kaji dan cipta mekanisma atau kaedah pelaksanaan yang lebih teratur, khusus dan sistematik dahulu sebelum diumumkan dalam media untuk mengelakkan situasi panik rakyat. Ini tidak, apabila rakyat memberikan komen realistik, baru kerajaan hendak mengkaji. Suka melatah apabila dicucuk.

Persoalan yang bermain diminda saya, adakah kerajaan kita benar-benar ingin menterjemahkan slogan "Satu Malaysia, Rakyat DIDAHULUKAN, Pencapaian Diutamakan"? Saya hanya rakyat biasa yang berfikir secara biasa. Apa yang berlaku pasti mempengaruhi satu undi saya dalam PRU-13 kelak.

Catatan "Wayang Kulit" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Monday, July 13, 2009

Susulan Edisi Khas 13: Ruangan Forum Utusan Malaysia

Komentar isu tol yang aku hantar semalam telah diterbitkan di Utusan Malaysia bertarikh 13 Julai 2009. Versi yang aku tapis dan sunting untuk tujuan penerbitan am.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0713&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm

Saturday, July 11, 2009

Edisi Khas 13: Penjara Di Lebuhraya


Sejak zaman Dinasti Samy Vellu atau gelaran popular "Samy Tol", isu kenaikan kadar tol sentiasa hangat dibicarakan. Dari Dewan Rakyat sehinggalah ke Kedai Kopi. Antara isu negara yang berada dalam kategori arkib. Kian berkulat dan berulat yang membuatkan rakyat naik meluat.

"Samy Tol" sudah "dicampakkan" oleh pengundi-pengundi bijak Sungai Siput. Menteri Kerja Raya sudahpun bertukar dua kali sejak PRU-12. Apakah hasil perubahan tampuk kepimpinan ini? Sifar. Adakah kerajaan Barisan Nasional (BN) ingin menunggu PRU-13 baru hendak memancing dan mempromosikan tol percuma. Mari-mari. Nampak sangat politik gula-gula getah. Usah bermain dengan api wahai pemimpin-pemimpin negara. Kamu diupah untuk berkhidmat untuk RAKYAT bukan Syarikat Tol. Ini bukan zaman pembangunan 60an dan 70an. Ini zaman ledakan teknologi maklumat. Sekali rakyat meledak, mahu tidak cukup langkah kamu berlari dan melompat.

Kenapakah susah sangat isu tol ini diselesaikan? Aku percaya Menteri dipelbagai Kementerian dan Pegawai-pegawai di Unit Perancang Ekonomi (EPU) bukan calang-calang orang untuk menangani masalah ini. Gunakan jawatan tertinggi kamu untuk mendekati dan memenangi hati rakyat. Bukan sekadar duduk dikerusi empuk, berlagak dan balik tepat jam 5:00 petang. Naik rimas apabila membaca didada akhbar bahawa EPU akan membuat kajian. Tidak habis-habis dengan kajian, mesyuarat, kajian dan kemudian mesyuarat kembali. Bosan dan melemaskan.

Syarikat Tol di Malaysia pada aku adalah syarikat yang tamak lagi haloba. Secara umumnya kita mengetahui bahawa pembangunan di sekitar Lembah Kelang umpama cendawan tumbuh lepas hujan. Sana dan sini kelihatan bangunan berebut untuk mencakar langit. Lihat sahaja kawasan "Segitiga Emas" Kuala Lumpur. Jika boleh bangunan di tanah sekangkang kerapun berangan untuk menjulang langit. Jika bangunan banyak, sudah tentu ada penghuninya. Tidak kiralah pekerja organisasi syarikat yang setiap hari berulang-alik atau penghuni tetap kondominium mewah. Kenderaan pastinya semakin banyak menjalar diperut jalanraya. Apatah lagi dengan promosi "Zero Deposit" untuk membeli kenderaan. Penganggurpun boleh memegang stering. Pastinya tanpa pilihan mereka akan sentiasa keluar dan masuk mengunakan kemudahan jalanraya yang rata-rata dipagar oleh pondok tol. Boleh dibuat lagu "Penjara Di Lebuhraya".

Apa salahnya Syarikat Tol mencari strategi perniagaan yang lebih kreatif seumpama strategi perniagaan Syarikat-syarikat Telekomunikasi. Semakin ramai pengguna, semakin kreatif produk dan perkhidmatan mereka. Pengguna sentiasa tertarik dengan kadar tarif yang rendah, rebet, bonus, kempen dan sebagainya. Bagi pengguna-pengguna setia, mereka akan dihargai dengan pelbagai insentif menarik. Inilah konsep "WIN-WIN" yang diterjemahkan oleh Syarikat Telekomunikasi. Syarikat tetap juga untung berbilion ringgit apabila prestasi kewangan tahunan diumumkan.

Syarikat-syarikat Tol kian ketinggalan zaman. Berniaga dalam era Pak Kaduk. Masih menjalankan modus operandi perniagaan yang lapuk. Mereka hanya meningkatkan taraf perkhidmatan disegi kemudahan pembayaran ekspres melalui "Touch n Go" dan "Smart Tag" yang kelihatan canggih. Itu hanya kemudahan seumpama "Kiosk Machine" Syarikat Telekomunikasi. Jumlah wang yang dikeluarkan tetap sama. Kita sebenarnya mengharapkan agar poket kita ringan dengan konsep penjimatan melalui inisiatif perniagaan yang kreatif dan inovatif. Sukar sangatkah minda kamu mencapainya wahai Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat-syarikat Tol?

Dua puluh(20) tahun dahulu, kita tertarik untuk mengggunakan Lebuhraya Bertol kerana promosi hebat "Tiada Kesesakan...Gunakan Lebuhraya Bertol...Pasti Perjalanan Anda Lancar dan Sampai Ke Destinasi Tepat Pada Masanya". Ya, memang benar. Itu dahulu. Kini, lihat sahaja Lebuhraya SMART, Lebuhraya PutraJaya-KL, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan banyak lagi. Kadangkala terfikir juga betapa membazirnya aku menggunakan lebuhraya bertol. Kesesakan sama juga seperti Lebuhraya KL-Seremban atau Lebuhraya Persekutuan.

Entahlah. Aku pasti isu ini tiada titik noktah selagi tiada pemimpin negara yang benar-benar berani dan ikhlas menterjemahkan konsep "Satu Malaysia, RAKYAT DIDAHULUKAN, Pencapaian Diutamakan". Bagi aku, ianya sekadar "Slogan Bermusim". Sepuluh tahun akan datang kita akan bercakap perkara yang sama tetapi dalam perkataan dan nada yang berbeza. Contohnya, 15 tahun dahulu kita telah bercakap perkataan "PARADIGMA". Kini, kita bercakap perkataan "TRANSFORMASI". Aku yang tidak mudah lupa. Letih.

Catatan "Tol 5 sen" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Saturday, July 4, 2009

Kod Kehidupan: Persepsi Wanita Perokok


Sudah empat(4) bulan aku tidak berbicara di bawah ikon "Kod Kehidupan". Terlalu teruja sangat dengan Edisi Khas yang sarat dengan isu-isu semasa, lapuk dan basi sehingga lupa untuk menyentuh ikon penulisan yang lain. Kadangkala terasa lemas pula menulis topik Edisi Khas. Maklumlah menulis dengan perasaan yang berbaur. Melempiaskan rasa hati yang geram, cuak, muak dan bosan.

Malam ini fikiran aku tiba-tiba tergerak untuk menyentuh topik Kod Kehidupan manusia yang kini kian menjadi "trend" dan budaya kaum wanita di Malaysia.

Baru-baru ini aku terserempak dengan rakan sepejabat perempuan yang sedang leka merokok diruang yang menjadi "port" perokok-perokok tegal iaitu di tangga yang kotor dan tersembunyi. Ini bukan kali pertama aku melihat perempuan merokok. Malah sudah kerap aku melihat. Di jalanraya dalam perjalanan menuju ke pejabat diawal pagi, kadangkala mata aku terpaku menatap pemandu wanita yang mengeluarkan tangannya yang cantik dan halus tetapi cacat dengan kepitan batang rokok dicelah jari.

Mindanya kelihatan agak kosong memikirkan sesuatu sambil bibir kering dan hitam menghembuskan asap rokok. Raut muka yang agak kasar. Apakah yang difikirkan wanita perokok ini? Mungkin bosan dengan kesesakan lalulintas, lantas rokok menjadi alat membebaskan tekanan.

Apabila aku melihat wanita perokok (terutama orang Melayu), hati aku seolah-olah menghantar signal "negatif" ke fikiran yang sukar dielakkan. Adakah aku cenderung berfikiran negatif kerana aku tidak merokok? Apakah bezanya lelaki perokok dan wanita perokok? Aku boleh bergaul dan berbual dengan rakan-rakan lelaki perokok tanpa meninggalkan persepsi negatif. Kenapa wanita perokok fikiran aku disebaliknya pula?

Aku sukar menerima "trend" wanita yang merokok. Persepsi aku mengatakan bahawa wanita perokok adalah golongan yang berjiwa bebas, kurang beretika, sukar dikawal, pemberontak, ganas, brutal, sombong, pemilih, bercitarasa tinggi, berlagak dan sebagainya. Mungkin aku agak keterlaluan dalam berfikiran secara REFLEKTIF tetapi inilah hakikat pemikiran dan persepsi aku.

Apakah nikmatnya menjadi perokok? Terkenang aku masa zaman kanak-kanak dahulu. Atuk pelik kerusi rotannya semakin ronggak dengan kesan guntingan. Rupa-rupanya aku dan bapa saudara aku yang menterjemahkan unsur-unsur "vandalism" kala itu telah menjadikan kerusi rotan sebagai bahan untuk menghembus asap dibibir. Apabila Atuk mengetahui, bukan nikmat asap yang diperolehi tetapi nikmat birat libasan tali pinggang Atuk yang singgah dikaki. Pengajaran yang cukup bermakna untuk mengelakkan aku menjadi seorang perokok.

Coretan "Perokok Kekok" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor