Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Sunday, January 27, 2008

Sumbangan Ruangan Surat : Berita Harian

Baru aku perasan bahawa komentar yang aku hantar ke Berita Harian 4 hari lepas akhirnya keluar dalam akhbar Berita Harian hari Khamis (24hb Jan 2008). 5% kandungan asal telahpun disunting terutama ayat sindiran kepada pihak-pihak tertentu. Tajuk asal aku : "Kepincangan Norma dan Nilai Kemasyarakatan" juga tidak digunakan. Komentar yang aku hantar ini adalah sama dengan "Edisi Khas : Berlegar Di Ruang Kosong". Cuma dipinda sedikit kandungannya untuk kesesuaian penerbitan akhbar.

Komentar di bawah telah aku hantar ke Utusan Malaysia, Berita Harian, TV3 dan RTM tetapi hanya Berita Harian sahaja memaparkannya. Aku rasa Ketua Pengarang, Utusan Malaysia dan Penerbit TV3 dah perasan nama aku...tak habis-habis "mamat" ni yang hantar komentar...takpalah..pakcik tak hairan...

SURAT

Syor cipta alat canggih kesan orang hilang

SAYA tidak berminat mengulangi skrip drama sama. Penat bercakap dan mendengar. Seperti biasa, dialog yang sama daripada pihak berwajib akan diulangi; "...masyarakat diminta tampil sekiranya ada maklumat yang boleh membantu". Pada masa sama ada pula 'kutu' yang gila menyakat melalui SMS dan maklumat palsu.

Sesekali, minda saya terlintas mengatakan bahawa masalah ini seolah-olah tiada jalan penyelesaian. Hampir dua minggu berlalu tanpa menunjukkan tanda positif. Di manakah dirimu adik Sharlinie? Saya pasti adik bukanlah berada di hutan belantara atau lautan luas. Penculikmu adalah manusia biasa yang masih memerlukan makan, minum dan tempat berlindung. Pastinya dia atau mereka akan sentiasa berkomunikasi dengan alam persekitaran.

Persoalannya, adakah masyarakat kita mengamalkan 'budaya peka' atau 'budaya leka' dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka. Adakah hati kita akan tercuit ingin memeriksa sekiranya terdengar suara budak menangis atau melihat sesuatu yang pelik atau janggal di persekitaran kita. Budaya sekarang; "ah pedulikanlah. Jangan mencampuri urusan orang lain dan jangan nak menyibuk jaga tepi kain orang lain".

Masalah kronik yang berlaku ini kita tidak harus lihat dari sudut jenayah semata-mata. Pihak berwajib usah hanya mengulangi skrip sama. Kita perlu membuat bedah siasat berhubung masalah masyarakat yang lebih komprehensif. Saya mahu percaya bahawa inilah bahana pendedahan dunia yang kian 'rosak'.

Negara kian maju dengan amat pesat dari segi fizikal, tetapi adakah kita pasti pengisian moral dan budaya masyarakat kita berada pada tahap tertinggi?

Slogan 'modal insan dan bina insan' sentiasa dilaungkan, tetapi adakah cukup langkah konkrit pelaksanaannya di kalangan rakyat? Adakah kita benar-benar ikhlas ingin menterjemahkannya sedangkan ada di antara kita terjerumus dan tersungkur di lembah kehinaan. Kita idamkan budaya hidup sihat yang menyeluruh bukan slogan atau kempen bermusim yang enak didengar.

Pusat hiburan yang ada di sana-sini hanya merangsang percambahan budaya tidak sihat seperti pergaulan bebas, alkohol dan dadah. Saluran hiburan melalui media kini setanding media Barat. Remaja kian longlai dengan hawa nafsu yang dirangsang oleh 'role model' songsang yang disanjung.

Institusi kekeluargaan kian rapuh kerana kesibukan mengejar arus kemajuan. Keselamatan anak terabai kerana perubahan gaya hidup yang tidak memberi kita banyak pilihan. Inilah 'pakej kerosakan' yang mencetuskan 'manusia pelik' di sekitar kita. Saya juga pelik dalam menongkah arus pembangunan, tetapi masih lagi dalam kategori waras. Norma dan nilai kemasyarakatan tetap saya junjung sebagai panduan dan sempadan.

Penantian adalah satu penyeksaan. Apatah lagi jika penantian yang hanya berlegar di ruang kosong. Mungkin sampai masanya jika kita buntu dan tiada pilihan. Justeru, akta undang-undang berkaitan kanak-kanak harus dikaji dan mewajibkan anak berumur 12 tahun ke bawah diajar teknologi telekomunikasi (selaras dengan program Angkasawan Malaysia).

Pada masa hadapan, anak kita perlu dibekalkan dengan 'alat canggih komunikasi' seumpama teknologi 'Star Wars' dan 'Star Trek' yang mengandungi signal GPS. Hilang saja, tahulah kita mencarinya.

Inilah masa dan ketikanya syarikat yang berkaitan teknologi maklumat dan telekomunikasi, institusi perundangan, institusi pendidikan dan institusi kemasyarakatan 'duduk semeja' bagi mencipta alat yang mampu dibeli ibu bapa. Terjemahkan segera keprihatinan kita melalui tanggungjawab sosial bersama.

Ya, memang gila idea saya ini. Satu idea yang gila-gila adalah perlu kerana kita kini menangani dunia yang kian menjadi gila. Jika tidak, saya pasti akan ada drama bersiri terbaru yang akan memaparkan plot penceritaan serupa. Cukup membimbangkan dan menakutkan untuk menghadapi masa hadapan.

ZAMER RIZAL OSMAN,
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor.

Wednesday, January 23, 2008

Edisi Khas: Cuti Umum Lagi!

...Cuti lagi. Agak terperanjat juga apabila PM mengumumkan Cuti Umum terbaru untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Aku pernah terbaca satu artikel yang memaparkan statistik cuti umum bagi negara-negara di dunia. Tidak silap aku, negara Malaysia merupakan salah sebuah negara yang mempunyai bilangan cuti umum yang terbanyak. Inilah untung kita hidup bersama masyarakat majmuk yang berbilang bangsa dan agama. Daripada "Cuti Musim Menuai" hinggalah ''Cuti Thaipusam", segalanya indah dalam kalendar cuti-cuti Malaysia.

Bagi golongan pekerja makan gaji, senyuman lebar terukir kerana tambahan satu hari lagi untuk "beristirehat". Bagi golongan peniaga pula terutama syarikat-syarikat besar, muka "masam mencuka" kerana keputusan dibuat oleh Kerajaan boleh dikatakan disaat-saat akhir. Tidak sempat ingin membuat pemberitahuan awal kepada rakan-rakan perniagaan di luar negara.

Dahulu, semasa aku bekerja di bawahan jajahan negeri Selangor, terasa amat mewah dengan Cuti Umum. Yalah, pada masa itu, jika hendak dibandingkan dengan negeri berhampiran (Wilayah Persekutuan), negeri Selangor mempunyai lebih bilangan cutinya. Apabila aku bertukar kerja di bawah jajahan negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hati mula mencuka kerana cuti umum telah berkurangan.

Kini, dengan terasminya Thaipusam sebagai cuti umum terbaru, hati aku mula tertanya-tanya soal produktiviti pekerja-pekerja. Jika dilihat bulan Januari 2008 sahaja, cuti umum dan 3 hari. Hari Selasa (01hb), hari Khamis (10hb) dan hari Rabu (23hb). Cuti yang "terselit" dalam tempoh 5 hari bekerja, membuatkan aku "lemas". Apakah tidaknya...kalau hari Isnin, aku baru memanaskan kerusi dan hari Selasa graf produktiviti mulai "mencanak", tiba-tiba...graf produktiviti "menjunam" jatuh dek gara-gara cuti Thaipusam. Esok, hari Khamis kembali mendaki untuk mengembalikan tenaga dan momentum sehingga hari kemuncak Jumaat. Jika tugas aku berkaitan dengan orang lain, cukup membosankan jika dimaklumkan..."Err...maaf, En. Mamat bercuti sehingga hari Jumaat". Laa....sambung cuti pula Si Mamat ni...mengalahkan cuti penganut agama Hindu...

Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan bahawa pada bulan Februari sekolah akan diberikan cuti lebih awal bermula hari Isnin (4hb Februari) bagi tujuan memberi "keselesaan" untuk keluarga merancang cuti panjang sehingga 8hb Februari (hari kedua Tahun Baru Cina). Sudah tentu hari Sabtu akan menjadi "mangsa hari" bagi kelas gantian. Sudahlah cuti Umum makin bertambah, cuti gantian juga mengikut trend...lemas...lemas...

Hari ini (sempena Thaipusam), aku bangun agak lewat. Ambil sarapan dan terus mengadap Laptop. Anak-anak seperti biasa, mengadap kaca tv dari pagi sampai ke petang. Dari masa ke semasa akan terdengarlah jeritan isteriku dari dapur.."Abang...adik...buat kerja sekolah..." Aku...lepas menulis ni...dah tentu "berangan panjang" sambil melayan mata. Kalau ada rezeki, lelap sampai ke petang. Cukup tidak produktif. Hendak keluar bersiar, aku bukan jenis suka keluar berjalan...Putera Lilin gamaknya. Hendak menjawab emel kerja, rasanya dah tiada lagi isu-isu berkaitan.

Bagi masyarakat India dan penganut Hindu, anda cukup "produktif" hari ini. Di satu sudut minda aku terdetik..."Pilihanraya Umum sudah semakin hampir...Sudah bersediakah kita untuk kembali "MEMANGKAH"... Parti Pembangkang kian "BERSEMANGAT" tetapi Parti BN tetap menjadi "PUJAAN" masyarakat majmuk Malaysia. Aku akan kembali memangkah untuk kali Ketiga. Kali Pertama aku pangkah calon XXX, kali Kedua aku pangkah calon YYY dan kali Ketiga ini...masih lagi ???...Kesimpulannya, aku adalah seorang yang "kritikal dan reflektif". Undi adalah "RAHSIA"...hehe...

Coretan "Produktif" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Saturday, January 19, 2008

Edisi Khas : Skandal Fail Merah

Cukup meletihkan minda apabila membaca tajuk akhbar terkini. Sudahlah isu sedia ada tidak menunjukkan titik noktah. Kini ditambah pula isu baru "terhangat dipasaran". Sekurang-kurangnya isu terkini iaitu "Skandal Badan Kehakiman" mampu "melarikan" sedikit fokus kita terhadap isu-isu yang telah sejuk. Esok dan lusa akan dipanaskan kembali.

Media cetak dan elektronik "berlumba-lumba" melaporkan perkembangan isu. Mereka "tersenyum" kerana ada bahan berita untuk "dihebah" dan "dijaja" bagi mengalahkan edaran DVD lucah sebelum ini. Parti Pembangkang pula kian "kuat tertawa" kerana kini ada banyak modal "terrrrrrhannnngaaatttt" bagi kempen pilihanraya akan datang. Umpama Bonus awal tahun!

Malas aku ingin membebel lanjut. Bukan buat duitpun. Cuma aku tergerak untuk menulis kerana hari ini dalam sejarah sebuah Badan yang menjadi "nadi" keadilan masyarakat dan negara telah "dikotori" oleh makhluk-makhluk alpa. Golongan bijak-pandai yang gah menduduki kerusi terpenting negara yang kini menjatuhkan martabat negara dimata dunia. Cukup memalukan!

Soal kebenaran dan kesahihan adalah "subjektif" kerana "manusia yang menilai manusia". Pastinya skandal ini akan berpanjangan drama bersirinya seperti kebiasaan skrip undang-undang sivil. Cukup membebalkan. Sepatutnya sesiapa yang "terpesong" mengaku sajalah. Ada berani? Tamatkan drama...jimatkan duit rakyat kerana "pengambaran" ini memerlukan kos...dan kurangkan siksaan apabila disoal di Akhirat kelak (bagi yang muslim). Hanya mereka sahaja yang mengenali diri mereka sendiri.

Institusi Kehakiman yang kini "DIHAKIMI". Bukankah pelik dan ajaib! Huh....Tak kuasa aku!

Coretan "Pelik" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Friday, January 11, 2008

Edisi Khas : Berlegar Di Ruang Kosong

...Aku tidak berdaya lagi mengulangi dialog dan skrip drama yang sama. Penat bercakap dan mendengar. Buletin Utama TV3 malam ini sekali lagi memaparkan dialog tegas pihak Polis..."masyarakat diminta tampil sekiranya ada maklumat yang boleh membantu". Pada masa yang sama terdapat pulak "kutu-kutu" yang gila menyakat melalui sms dan maklumat palsu. Apa nak jadi dunia ni? Senja yang kian berdarah...

Adik Sharlinie...aku tidak mahu lagi menerokai skrip "Back to The Future" seumpama penjelajahan aku mengimbau tragedi adik Nurin. Amat pedih untuk aku kembali dan berimaginasi. Apakah skripmu adik dalam mengisi plot penceritaan drama terbaru yang diulang tayang dengan watak pelakon- pelakon baru.

Sesekali, minda aku terlintas mengatakan bahawa masalah ini seolah-olah tiada jalan penyelesaian. Telah lebih 2 hari berlalu tanpa menunjukkan tanda-tanda positif. Dimanakah dirimu adik? Aku pasti dirimu bukanlah berada di hutan belantara atau di lautan luas. Penculikmu adalah manusia biasa yang masih memerlukan makan, minum dan tempat berlindung. Pastinya dia atau mereka akan sentiasa berkomunikasi dengan persekitaran. Persoalannya, adakah masyarakat kita mengamalkan "budaya peka" atau "budaya leka" dengan apa yang berlaku disekeliling mereka. Adakah hati kita akan tercuit ingin memeriksa sekiranya terdengar bunyi suara budak menangis atau melihat sesuatu yang pelik atau janggal dipersekitaran kita. Budaya sekarang.."ahh...pedulikanlah...jangan mencampuri urusan orang lain...dan jangan nak sibuk jaga tepi kain orang".

Masalah kronik yang berlaku ini kita tidak harus melihat dari sudut jenayah semata-mata. Pihak-pihak yang berwajib usah hanya mengulangi skrip yang sama. Kita perlu membuat bedah siasat tentang masalah masyarakat yang lebih komprehensif. Aku mahu percaya bahawa inilah bahana pendedahan dunia yang kian "rosak". Negara kian maju dengan amat pesat disegi fizikal tetapi adakah kita pasti pengisian moral dan budaya masyarakat kita berada ditahap tertinggi. Slogan "Modal Insan dan Bina Insan" sentiasa dilaungkan tetapi apakah langkah pelaksanaannya. Adakah pemimpin-pemimpin kita benar-benar ikhlas ingin menterjemahkannya sedangkan mereka sendiri ada yang terjerumus dan tersungkur di lembah kehinaan. Kita mahukan "budaya hidup sihat" yang "menyeluruh" bukan "slogan" atau "kempen bermusim" untuk enak telinga mendengar dan manis mulut berkata.

Pusat-pusat hiburan umpama cendawan yang tumbuh segar selepas hujan yang aku pasti hanya meransang percambahan budaya tidak sihat seperti seks bebas , alkohol dan dadah. Saluran-saluran hiburan melalui media cetak dan elektronik kini setaraf media barat. Remaja kian longlai dengan hawa nafsu yang diransang oleh "role model songsang" yang disanjung. Institusi kekeluargaan kian rapuh dek kerana kesibukan mengejar arus kemajuan. Keselamatan anak-anak terabai dek kerana perubahan gaya hidup yang tidak memberi kita banyak pilihan. Inilah "pakej kerosakan" yang mencetuskan "manusia-manusia pelik" disekitar kita. Aku juga pelik tetapi pelik yang masih dalam kategori waras. Norma masyarakat tetap aku pegang sebagai panduan dan sempadan.

Penantian adalah satu penyiksaan. Apatah lagi jika penantian yang hanya berlegar di ruang kosong. Mungkin sampai masanya jika kita buntu dan tiada pilihan, akta undang-undang berkaitan kanak-kanak perlu mewajibkan anak-anak berumur 12 tahun kebawah dipasangkan rantai atau subang atau loket yang mengandungi signal GPS. Hilang sahaja tahulah kita mencarinya.

Inilah masa dan ketikanya Syarikat-syarikat yang berkaitan dengan teknologi maklumat dan telekomunikasi duduk semeja bagi mencipta alat yang "mampu beli" oleh ibu bapa. Inilah masanya mereka menunaikan "tanggungjawab sosial" bukan hanya sekadar mengejar "KPI" dan keuntungan berlipat kali ganda setiap tahun.

Ya, memang gila ide aku ini. Satu ide yang gila-gila adalah perlu kerana kita kini menangani dunia yang kian menjadi gila...

Coretan "Gila-Gila" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Thursday, January 10, 2008

Sumbangan Ruangan Forum : Utusan Malaysia

Seperti biasa, aku memang cukup gemar menulis komentari. Cabang penulisan kreatif (puisi dan cerpen) jarang sekali aku terokai. Bila jiwa teransang sahaja baru aku memetik suis.

Berikut adalah komentari terbaru yang aku hantar ke Utusan Malaysia berkenaan masalah kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur. Umpama mencurah air di daun keladi. Pasti, sepuluh tahun akan datang, kita akan membicarakan topik yang sama. Melainkan jika kita mampu mencipta teknologi "Star Wars" dan "Star Trek"...boleh terbang dan menembusi dunia...




TAJUK : REVOLUSI INFRASTRUKTUR JALAN

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm

Pada 11 Jun 2007, melalui ruangan Forum Utusan Malaysia, saya telah mengutarakan permasalahan kesesakan jalan raya yang kian kronik di sepanjang jalan raya Seremban-Tun Razak. Pada masa itu, saya lebih menekankan pembukaan Terowong SMART yang gagal mengatasi kesesakan dan saya membuat kesimpulan bahawa ketiadaan perancangan aliran pergerakan kenderaan disekitar kawasan berkenaan menyebabkan kesesakan seolah-olah tiada jalan penyelesaian.

Jika 10-20 tahun dahulu, kita berasa selesa dengan konsep "waktu puncak" dengan memberikan keistimewaan kepada pemandu-pemandu kenderaan penumpang bergerak lancar menuju ke tempat kerja. Ianya pada masa itu benar-benar memberikan kesan. Ketiadaan kenderaan-kenderaan besar pada waktu puncak di jalan raya utama sedikit-sebanyak mengurangkan risiko kesesakan disebabkan kenderaan-kenderaan besar yang merangkak dan tersadai. Kini, nyata berbeza. Waktu puncak atau waktu mendatar sama sahaja. Bilangan kenderaan semakin bertambah. Pembinaan jalan raya baru juga kelihatan semakin giat dilaksanakan. Ianya jelas menampilkan pembangunan infrastruktur negara Malaysia yang amat agresif. Persoalannya, kesesakan semakin menjadi "barah" di sekitar jalan raya utama Kuala Lumpur. Tiada lagi waktu puncak yang spesifik. Secara umumnya, boleh dikatakan dari jam 7:00 pagi hingga 12:00 tengah malam, di sekitar jalan raya KL-Seremban sentiasa sahaja "memuncak".

Baru-baru ini, Lebuhraya KL-Putra Jaya dibuka dengan niat memberikan keselesaan tambahan kepada pengguna-penguna jalanraya. Ya, ianya memang memberikan alternatif kepada pengguna-pengguna jalan raya. Tidak dinafikan bahawa minda dan perasaan akan tenang apabila melalui jalan raya yang berkualiti tinggi tetapi kederasan memandu kenderaan selama 10 minit akan menjadi "siput 30 minit untuk jarak 1km" apabila muncung kenderaan memasuki lorong persimpangan berhampiran Bangunan Time dan RHB. Badan mulai naik angin kerana produktiviti untuk masuk awal ke pejabat mulai tergugat.

Enam bulan dahulu, pembukaan Terowong SMART telah menyebabkan aliran jalan raya di sekitar bulatan Kg Pandan, jalan lama Sg Besi dan jalan utama KL-Seremban menjadi tiga lorong (bertentang arus dari kiri dan kanan). Kini dengan pembukaan Lebuhraya KL-Putra Jaya, kawasan di sekitarnya telah menjadi empat lorong, malah lima lorong (masih lagi bertentang arus dari kiri dan kanan). Kenderaan kian banyak "berlonggok" dan masing-masing berebut-rebut mencari ruang yang semakin sempit berbanding dahulu. Malah, motosikal yang bertali-arus juga kadangkala mengalami kesesakan kerana kenderaan penumpang mencuri ruang di antara lorong.

Cukup menyesakkan minda dan perasaan. Saya sebagai salah seorang pengguna jalan raya telahpun menggunakan jalan raya alternatif apabila bertolak dari rumah di Puchong. Jika tiada pengetahuan jalan raya alternatif dan hanya mengikut Lebuhraya KL-Seremban, sudah pasti pukul 9:00 pagi pun belum sampai ke pejabat. Satu jam setengah di jalan raya sudah menjadi lumrah dan ianya benar-benar tidak produktif bagi pekerja-pekerja "makan gaji".

Saya tidak boleh membayangkan 5-10 tahun akan datang disekitar jalan raya yang sama. Secara idealnya, saya terfikir bahawa sepatutnya DBKL membuat satu "revolusi pembangunan infrastruktur" pembangunan yang lebih tersusun. Pembangunan di sekitar kawasan Segitiga Emas sudah tepu. Tidak perlu lagi pembinaan bangunan-bangunan pencakar langit dan pangsapuri mewah disekitarnya. Cukup-cukuplah pembangunan yang ada. Kita harus mengalihkan peta pembangunan ke kawasan-kawasan yang lain. Kita juga mahu melihat bangunan-bangunan pencakar langit di sekitar Puchong, Jinjang, Gombak, Selayang, Sg Besi, Cheras dan sebagainya. Minda pelabur-pelabur dan pemilik-pemilik Syarikat besar perlu diajar untuk lebih prihatin dengan permasalahan kesesakan jalan raya. Kita tidak mahu lagi melihat dalam kesesakan yang kronik ada sahaja kenderaan-kenderaan mewah yang diberi keistimewaan ruang dengan diiringi polis trafik. Cukup melemaskan jika kita ingin memberikan ruang kepada kenderaan "VVIP" ini dalam ruang yang kian sempit.

Oleh:
Zamer Rizal bin Osman @ ZoRrO
Puchong, Selangor

Sunday, January 6, 2008

Edisi Khas : Aksi Seks lwn Yuran Sekolah

...Manakah yang lebih hangat? Seorang pemimpin yang menyerlahkan "Kepimpinan Tanpa Teladan" atau seorang pemimpin yang kini "Merajuk".

Tahun baru 2008 yang pintunya dibuka dengan bunyi skru yang longgar dan berkeriut. Ini tidak termasuk lagi isu ketandusan minyak masak, spekulasi harga petrol akan naik, kes Altantuya yang semakin menjelikkan, kes rakaman perbualan yang melibatkan institusi kehakiman, kes adik Nurin yang kian sepi dan seribu permasalahan yang seperti tiada kesudahan. Sudahlah isu lapuk semakin berkulat, ditambah pula isu baru yang diperbaharui drama bersirinya. Tak menang tangan pemimpin-pemimpin kita dan tak menang telinga kita mendengarnya.

Kadangkala, aku terfikir inilah bumi paling bertuah. Kita masih lagi hidup dalam aman damai dan penuh ketenangan walaupun ada virus yang cuba membiak. Isu Hindraf berjaya dikawal daripada merebak. Budaya rusuhan masih belum diterima oleh majoriti masyarakat. Sensitiviti perkauman harus dijaga agar peristiwa 1969 tidak berulang. Bertuah...ya cukup bertuah kerana negara kita tiada peristiwa "rakyat berani mati" seperti pembunuhan ngeri bekas PM Pakistan, Benazzir Bhutto.

Berbalik kepada isu Aksi Seks lwn Yuran Sekolah. Dua pemimpin negara yang menduduki carta tertinggi isu minggu ini. Seorang telahpun berundur dengan "rela hati" dek kerana bahana terlajak hawa nafsu. Ini bukan soal privasi dan hubungan peribadi. Ini adalah soal maruah kepimpinan negara, prinsip, moral dan etika. Kita sentiasa melaungkan Kepimpinan Melalui Teladan. Teladan apa yang kita perhatikan kini? Kini bapak ayam, ibu ayam, anak ayam tempatan, anak ayam import, pembeli ayam, mat rempit, minah tersepit, bohsia dan bohjan semakin tersenyum simpul dan pastinya aksi seks pemimpin negara ini akan menjadi satu kayu pengukur atau "benchmark" bagi mereka untuk bermaharajalela. Ikan kecil sentiasa ditangkap melalui operasi besar-besaran. Kini ikan besar pula terperangkap ("bukan ditangkap") melalui operasi "kebetulan" tersebarnya DVD. Ikan besar yang cukup berani mengakui kesilapan tanpa tercuit rasa malu. Ikan-ikan besar pelbagai jenis yang lain kian lemas di daratan. Rimas dengan kedudukan dan pangkat yang jika tersilap langkah pasti terjerat dan kepalanya terpenggal.

Alhamdulillah...dua orang anak aku tahun ini mendapat buku teks pinjaman. Terima kasih Kementerian Pelajaran dan negara Malaysia. Walaupun aku pasti aku bukanlah golongan yang harus menerima subsidi tetapi inilah tuahnya menjadi rakyat Malaysia. Kita telahpun merdeka selama 50 tahun. Rakyat semakin maju dan mewah tetapi satu sahaja aku perhatikan bahawa mentaliti sebahagiannya masih kekal tidak berubah iaitu mentaliti subsidi. Segalanya ingin percuma. Pemimpin KPM kita semalam jelas kecewa dengan mentaliti ibubapa yang amat berkira walaupun menyumbangkan tambahan yuran RM25-30 ringgit kepada sekolah. Dipihak ibubapa ada alasan munasabah dan dipihak KPM juga ada alasan konkrit. Bagi aku ini bukan soal yuran tinggi atau rendah tetapi soal pengurusan dan komunikasi KPM dan sekolah yang gagal menyampaikan maklumat tepat kepada ibubapa. Inilah peranan PIBJ yang harus menjalankan peranan yang lebih mencabar iaitu mendekatkan jurang KPM, sekolah dan ibubapa. Kasihan aku tengok semalam wajah pemimpin KPM kita dan dialognya yang seakan-akan "merajuk" dengan karenah ibubapa.

Ahh...minda terasa letih apabila membicarakan isu. Pembukaan kalendar 2008 yang cukup meloyakan dan merimaskan. Pilihanraya akan datang. Pastinya pemimpin-pemimpin negara akan lebih berhati-hati dalam bertingkahlaku. Pembangkang pasti tersenyum kerana kini ada isu hangat yang akan menjadi api dan bara.

Disatu sudut mindaku...aku pasti sebenarnya pemimpin harus dilahirkan bukan dibentuk. Ianya akan jelas membezakan pemimpin yang berhemah atau pemimpin yang hanya mendirikan khemah untuk dirinya....

Aku tersenyum sendiri...


Coretan Kepimpinan oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong