Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Sunday, July 10, 2011

Edisi Khas 2011: BERSIH 2.0...Mesej Warna Pelangi


Terasa lama benar aku tidak memetik salah satu cabang penulisan kegemaran aku iaitu Edisi Khas untuk mengupas secara REFLEKTIF isu-isu semasa negara. Kali terakhir aku menulis adalah untuk Edisi Khas 23: Disebalik Tirai Tragedi pada 27 Disember 2009. Tahun 2011 yang kian malap.

Aku rasa terpanggil untuk menulis kembali setelah disindir sinis oleh rakanku Kholid yang menyatakan Blog aku sudah "bersawang" tanpa penulisan baru. Tidak menyangka sahabat lamaku yang telah melahirkan banyak karya dan memenangi pelbagai anugerah penulisan kreatif tetap memerhatikan aku dari jauh. Terima kasih sahabat kerana keprihatinanmu!

Semalam Perhimpunan "HARAM" telah mencipta satu lagi "titik sejarah" atau "titik parah" (bergantung bumi mana kita berpijak). Aku tidaklah mengikuti sangat pra-perhimpunan yang hangat diwar-warkan sebelum 9hb Julai 2011 (Tarikh Keramat atau Tarikh Mudarat). Kesibukan rutin harian tidak menyediakan ruang luas untuk aku mengekori dengan rapat warna KUNING yang kini menjadi trauma dan mimpi ngeri kepada kerajaan pemerintah.

Isu dan modus operandi Perhimpunan BERSIH ini mengingatkan aku dengan penulisan Edisi Khas Siri 16/2009 untuk Isu STAR GATE ISA. Lautan manusia yang episodnya sama dihalangi benteng topi berwarna merah. Terasa seperti mengimbas kembali penulisan aku yang dahulu. Namun, perhimpunan tahun 2011 kelihatan lebih hebat umpama Tsunami. Ombak Tsunami yang berwarna kuning.

Apa yang aku ingin kupas disini? Sudah tentu aku tidak ingin menulis intipati yang serupa seperti keghairahan media kerajaan dan media pembangkang semalam dan hari ini. Petang tadi aku merajinkan diri menerokai segala cabang media elektronik. Utusan Malaysia lwn Harakah. Juga sempat meneropong komen-komen di laman sosial "Facebook" dan Blog-blog Anti-Kerajaan.

Perhimpunan BERSIH semalam pada aku telah meninggalkan MESEJ TERSEMBUNYI yang harus pihak kerajaan ambil ikhtibar. Usah dipandang remeh. Melalui saluran berita dan foto-foto di "Berita MSN", aku terpukau melihat LAUTAN MANUSIA yang hadir umpama ulat-ulat kepanasan yang keluar dari tanah. Aku terfikir apakah yang mencetuskan fenomena ini sehingga mereka sanggup berhimpun? Pasti tiada upah wang ringgit dibayar untuk mereka. Tua dan muda sama bergandingan tanpa mengira warna kulit (Satu Malaysia). Jika benar DSAI atau Parti Pembangkang sebagai dalangnya, apakah ramuan dan perencah mujarab yang digunakan sehingga mampu mengumpulkan mereka walaupun lalulintas telah ditutup disegenap penjuru? Mereka seolah-olah terbang dan turun dari langit.

Apakah yang menyemarakkan api semangat mereka? Banyak betul persoalan diminda aku. Foto dan rakaman video di media cetak dan media elektronik samada yang pro-kerajaan atau pro-pembangkang ternyata bijak menentukan sudut strategik bagi menyampaikan mesej tersirat untuk disuapkan kepada rakyat. Di Utusan Malaysia, foto-foto lebih kepada kedegilan dan keganasan "orang kuning". Manakala, di Harakah dan blog-blog pro-pembangkang juga di laman sosial Facebook, foto-foto lebih menjurus kepada keganasan topi merah dan baju biru yang menghalang dan menindas "orang kuning". Aku yang neutral hanya mampu menggarukan kepala. Pertembungan dua jenis mesej yang perlu dianalisa dengan menggunakan mata hati.

Semasa membaca komen-komen di laman sosial Facebook, aku sedikit bimbang dengan budaya komunikasi yang kini tiada lagi sempadan dunia. Aku percaya amaran Ketua Polis Negara untuk menghalang penyampaian maklumat berupa hasutan melalui media alternatif hanya akan dipandang sepi oleh pelayan-pelayan alam maya. Komen-komen mereka agak brutal, ganas dan ada jua yang tidak lagi menitikberatkan nilai budi bahasa. Adakah ini suara majoriti atau minoriti yang tiada berhimpun secara fizikal tetapi berhimpun di alam maya? Pada aku, perhimpunan di alam maya lebih merbahaya berbanding perhimpunan semalam. Perhimpunan tanpa tempoh masa. Perhimpunan alam maya yang sukar dikawal. Ianya umpama "virus senyap" yang mampu merebak dengan sekelip mata. Tiada sempadan lalulintas yang mampu dihalang. Lebih menakutkan lagi adalah pelayan-pelayan alam maya ini kebanyakannya terdiri daripada golongan generasi muda yang berfikiran terbuka untuk menerima segala jenis dan bentuk maklumat. Mereka juga penentu masa hadapan kepimpinan negara. Apakah akan wujud fenomena Tsunami 2.0 untuk Pilihanraya Umum (PRU) akan datang? Aku yang lenguh mengangkangkan kaki diantara dua dunia pasti teruja untuk melihat penterjemahan pelayan-pelayan alam maya ini kelak.

Aku ingin berpandangan rasional dalam isu ini. Seperti yang aku nyatakan pada tahun 2009 dahulu semasa isu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), ambillah kata muafakat dalam menangani isu nasional ini. Orang Kuning ini adalah manusia yang berhak bersuara mengikut landasan undang-undang. Kita sebenarnya bertembung dengan dua perspektif yang berbeza. Siapa yang benar dan siapa yang salah sukar ditafsirkan. Kita manusia dan rakyat tidak kira samada warna kuning, hijau, merah, biru atau kelabu akan kekal mempunyai naluri, kehendak dan keperluan yang berbeza. Parti Pemerintah yang memegang KUASA harus bijak dan berhemah memadamkan api yang kian marak. Usah melatah terlalu lama. Usah disimbah dengan minyak lagi kerana jika salah strategi kita juga yang sama-sama hangus terbakar. Pada ketika itu, tiada lagi perbezaan warna kerana kita semuanya telah rentung menjadi warna HITAM. Fikirkan disudut akal fikiran yang berwarna-warni.

Coretan “Warna Pelangi” oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO @ Putera Halimunan
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor