Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Thursday, March 20, 2008

Kejutan Budaya di Negara Thailand..."Back To The Future VI"




Kembali ke zaman silam...1995...

Babak 1-Jawatan Baru

Tahun ini aku ditukarkan ke jawatan baru sebagai Pegawai Pendidikan Kemahiran. Satu bidang tugas yang sebelum ini dijawat oleh Pegawai Wanita. Adakah ini satu proses "peti sejuk" atau satu proses "pembangunan kerjaya". Seperti biasa, fikiran aku jarang diracuni dengan pemikiran negatif. Aku sentiasa melihat "sesuatu disebalik sesuatu" Aku kekal mengambil sikap positif terhadap arahan terbaru Pengarah Bahagian dan Ketua Pengarah Jabatan tanpa sedikitpun tercuit perasaan penolakan.

Babak 2-Umpama Mimpi dalam Mimpi

Belum cukup setahun aku bertugas tiba-tiba Pengarah Bahagian memanggil aku memaklumkan bahawa aku adalah antara tiga(3) orang pegawai yang akan dicalonkan kepada Ketua Pengarah Jabatan dan Kementerian untuk menghadiri satu Bengkel Kemahiran-"Handicraft Workshop for Asean Youth, 11-20 September 1995 di kota Bangkok dan Pattaya, Thailand selama sepuluh(10) hari. Hanya seorang sahaja yang akan terpilih. Aku agak terperanjat dengan berita terbaru ini. Satu mimpi yang tidak pernah aku impikan seumpama "mimpi dalam mimpi" nyanyian Bagio Damasutra. Tiada susulan "kipas" yang aku lakukan. Tidak seperti sesetengah kakitangan yang apabila nama "naik" sahaja akan mula "melobi" dan "menggosok". Aku tidak pandai. Bagi mereka inilah peluang untuk "melancong" secara percuma. Aku hanya menjalankan tugas seperti biasa walaupun sekali-sekala terdengar orang mengata dan mengumpat. Aku sedikitpun tidak mengambil pusing. Berjaya atau tidak aku dipilih bukanlah satu keutamaan kepada aku. Akupun tahu aku bukannya mempunyai sebarang kelebihan sebagai seorang pegawai yang baru "setahun jagung" yang terpaksa bersaing dengan pegawai-pegawai yang lebih senior.

Babak 3-Tuah Badan

Keputusan telah diperolehi. Akhirnya, sememangnya nasi sudah berada dimulut aku untuk disuap. Nama aku telah diluluskan untuk menghadiri Bengkel anjuran Kerajaan Thailand dengan tajaan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. Senyap seribu bahasa orang disekeliling. Gosip dan kata-kata negatif mula kedengaran. Aku langsung tidak mengambil peduli. Biarkanlah mereka berbicara. Apabila penat, mereka akan berhenti.

Babak 4 - Umpama Rusa Masuk Kampung

Masa begitu pantas berlalu. Passport Antarabangsa, tiket kapal terbang, kertas kerja kumpulan, persiapan persembahan kebudayaan, cenderahati beridentiti Malaysia, wang saguhati hampir 10,000 thai bath, makanan tambahan (roti dan serunding), pakaian, buku rujukan, kad nama dan sebagainya telahpun tersedia sejak sebulan yang lalu. Kini, aku dan sembilan (9) rakan-rakan baru yang lain telahpun berkumpul dengan penuh bersemangat di Lapangan Kapal Terbang Antarabangsa Subang. Rakan-rakan yang mewakili pelbagai agensi kerajaan dan NGO. Ada dari Kementerian, ada dari Pusat Kraftangan Langkawi, ada dari Persatuan Belia dan sebagainya. Satu kumpulan perwakilan negara Malaysia yang terdiri daripada bangsa Melayu, Cina dan India. Satu mesej jelas kepada negara luar kelak bahawa negara Malaysia mempunyai masyarakat yang berbilang bangsa (majmuk).

Wow!!! Begitu luas pesawat Airbus Thai Aiways. Inilah kali pertama aku menaiki pesawat yang mempunyai perut yang besar. Luas saujana mata memandang. Sebelum ini hanya pesawat MAS Boeing 747 sahaja yang menjadi kenderaan berulang-alik jika aku bertugas di luar stesyen. Pesawat kecil enam (6) tempat duduk dan satu (1) lorong yang melemaskan. Serba salah rasanya jika punggung gebu dan seksi Pramugari tergesel bahu jika aku duduk dibahagian luar tempat duduk.

Seperti "rusa masuk kampung", aku dan rakan-rakan ghairah bergambar (bukan bergambar ghairah). Pramugari Thai Airways juga kelihatan amat jelita dan menawan. Lemah-gemalai tingkahlaku mereka tetapi pantas menjalankan tugas. Bentuk tubuh yang juga mengiurkan. Masing-masing mengenakan pakaian yang berbeza. Ada yang berpakaian tradisional dan ada juga yang berpakaian moden. Keayuan wajah mereka begitu terserlah. Kulit mereka cukup bersih. Bukan putih, bukan merah dan bukan juga kuning langsat. Kesimpulannya, warna kulit mereka amat unik pada penglihatan mata "jahat" aku. Pakaian tradisional yang agak sendat juga memacakkan mata aku untuk merenung lebih dalam dan lebih tajam. Mata yang bersaiz kanta besar yang telus "berimaginasi". Satu pandangan yang mendatangkan perasaan ghairah. Lumrah alam dan naluri kemanusiaan yang tidak dapat dibendung. Normal.

Sepanjang perjalanan tiada istilah tidur dalam kamus fikiran aku. Kebetulan ada tempat duduk kosong dibahagian "end lot" pesawat, maka aku dan rakan-rakan meminta kebenaran pramugari untuk beralih tempat duduk. Mata sentiasa sahaja meneropong keluar tingkap pesawat. Terpesona melihat keindahan awan kemulus sambil sekali-sekala menjeling tajam lenggok punggung dan montok dada pramugari-pramugari berjalan. Senyuman lirik pramugari Thai yang tinggi lampai ini benar-benar mengoda perasaan dan mengepam kencang darah ke jantungku. Satu "kejutan budaya perasaan" yang sukar dikawal.

Babak-babak seterusnya...lebih mengasyikkan...

Akan disambung minggu hadapan. Banyak lagi kejutan budaya yang aku alami. Keindahan alam semulajadi bumi Thailand, industri tekstil yang terpantas, industri seks dan hiburan, gerai-gerai jualan daging "khinzir' yang melata disepanjang jalan, jualan langsung "Bapa Ayam", pertunjukan "Tiger Show", persembahan ala "Las Vegas" di Pattaya, keindahan pantai dan "Ikan Duyung" terdampar yang memukau mata dan banyak lagi...

Tungguuu....

Coretan "Kejutan" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Saturday, March 15, 2008

Edisi Khas : Puting Beliung Politik Negara

...Apa nak jadi? Itu adalah kenyataan ringkas yang tiba-tiba muncul dibenak aku apabila menonton siaran berita perkembangan politik tanahair pasca Pilihan Raya Umum Ke-12. Macam budak-budak berhingus yang berebut aiskrim Malaysia.

Di negeri Pulau Pinang semalam, begitu hebat perhimpunan "aman" diadakan yang diterajui pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional. Dasar drastik DAP yang menggugurkan DEB benar-benar memanaskan punggung dan menggelegakkan kepala orang-orang Melayu. Suara lantang mereka benar-benar menakutkan.

Pada aku, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng begitu rasional dalam hujahnya, cuma beliau agak "teransang" menyentuh dasar DEB yang begitu sensitif kepada orang-orang Melayu. Apakah benar dasar DAP kelak akan menindas orang-orang Melayu dan anak-anak "Mami" di Pulau Pinang. Adakah semasa pemerintahan Gerakan @ BN yang mendukung DEB dahulu, orang Melayu tidak pernah tertindas. Ribut tiada, taufanpun belum melintang, kita sudah melatah.

Seketika aku terfikir, "acuan" orang politik ini sama sahaja. Hanya memikirkan "kuasa" dan "pangkat". Apabila kuasa dan pangkat tiada lagi digenggaman, masing-masing mula menggelabah dan melatah. Inilah bahananya kalau tidak biasa "kalah" dimedan pertempuran. Di sana-sini kecoh dan hura-hara dengan kenyataan-kenyataan sensitif. Menuding sepuluh jari tetapi diri sendiri yang tidak waras. Melihat pekung orang lain tetapi diri sendiri sudah meleleh nanah. Mereka orang-orang politik ini perlu belajar untuk berada dibawah. Seumpama Parti-parti Pembangkang sekarang yang perlu belajar untuk menerima bangkangan parti BN. Jika sudah terlalu lama duduk "diatas", inilah akibatnya.

Aku cukup berbangga apabila mendengar kenyataan YAB Perdana Menteri semalam di TV3 yang begitu "jujur" mengakui "kelemahan" dan akur dengan kehendak rakyat. Inilah pemimpin yang "tidak malu" untuk berada dibawah dan "tidak berhidung tinggi" apabila berada diatas.

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 adalah keputusan rakyat yang amat "ajaib" dan "unik". Tidak pernah wujud sebelum ini kerajaan campuran yang berlainan dasar dan prinsip kepartian menerajui kepimpinan negeri. Sekiranya komponen DAP, PKR dan PAS berjaya melawan arus dan memerintah negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor dengan penuh berhemah, ini merupakan "libasan maut" kepada komponen BN (Umno, MCA, MIC & Gerakan). Bersainglah secara sihat. Siapa yang lebih "bijak" dan "cekap" dalam memerintah kerajaan negeri. Komponen A atau Komponen B? Usahlah dok leka bercakaran dan bertegang urat serta lidah kerana kelak rakyat akan "jelak" dengan perangai "tidak senonoh" sebilangan ahli-ahli politik dan parti yang diwakilinya.

Fikirkan disudut minda yang positif dan reflektif. Jika dahulu, YB yang "sekali-sekala" melawat kampung akan diiringi paluan kompang dan bunga manggar serta karpet merah kerana penghormatan rakyat yang begitu tinggi. Kini, rakyat yang perlu "disanjungi" kerana YB sebenarnya adalah singkatan untuk perkataan "Yang Berkhidmat" dan bukan "Yang Bercakaran" atau "Yang Berdendam".

Coretan "Yang Berfikir" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Wednesday, March 12, 2008

Kod Kehidupan : Antara Kecemerlangan dan Keterampilan

Hari ini media cetak dan elektronik sibuk memaparkan laporan pelajar-pelajar cemerlang SPM 2007. Lebih dramatik lagi, Buletin Utama TV3 malam ini merakamkan detik-detik bersejarah pelajar-pelajar cemerlang menerima keputusan sambil bertangisan dan berpelukan dengan mak dan ayah yang menumpang bangga dengan kejayaan. Cukup terharu.

Aku juga teruja apabila sebilangan pelajar mampu mencatatkan sejarah hebat dengan memecahkan rekod 16A, 19A dan 21A. Apakah petua mereka? Apabila ditemubual, jawapan mereka biasa sahaja. Kelihatan tiada yang istimewa pada penglihatan mata kasar, tidak seperti adik "Adi Putra" yang jelas menampilkan "keunikan" dan "keistimewaan" minda dan deria keenamnya.

Seketika aku terfikir, kemanakah arah tuju pelajar-pelajar cemerlang ini? Adakah akan ada "kesinambungan kecemerlangan" apabila mereka memasuki institusi pengajian tinggi. Bagi pelajar-pelajar yang berlatarbelakangkan keluarga miskin dan kurang mampu, adakah akan ada badan-badan kerajaan atau bukan kerajaan (NGO) yang meneropong dan memantau pengajian mereka sehingga tamat.

Ini bukan soal biasiswa atau pinjaman PTPTN. Ini adalah "soal penyelarasan pendidikan" untuk kategori pelajar-pelajar yang telah dianugerahkan kecerdikan akademik (IQ). Adakah mereka akan dibiarkan bersendirian menempuhi cabaran masa hadapan atau mereka ini akan dijadikan "pelajar-pelajar elit" oleh institusi tertentu sebagai "aset insan" masa hadapan. Cukup banyak persoalan aku yang memerlukan jawapan secara reflektif.

Mengapakah aku membangkitkan perkara ini? Aku teringat coretan aku dalam Kod Kehidupan: Asas Pembinaan Keperibadian Graduan, bertarikh 29hb Julai 2007 yang membicarakan soal kualiti graduan di Malaysia. Bagi aku kecemerlangan akademik dan kecemerlangan keperibadian dan keterampilan adalah dua perkara dan aset yang berbeza.

Pelajar-pelajar yang cemerlang dalam skop pendidikan formal tidak semestinya cemerlang dalam memasarkan diri mereka apabila bersaing dalam dunia realiti pekerjaan. Pengalaman aku menemuduga calon-calon lepasan institusi pengajian tinggi mendapati pelajar-pelajar dalam kategori "average" mampu menampilkan keperibadian dan keterampilan yang lebih memikat, memukau dan menyakinkan. Pernah aku menemuduga beberapa calon yang boleh dikategorikan cemerlang diperingkat PMR, SPM, Diploma dan Ijazah tetapi respon mereka seumpama robot yang tidak begitu "natural". Keterampilan mereka juga didapati kurang menyerlah.

Ya, tidak dinafikan mereka memang bijak kerana transkip peperiksaan membuktikannya. Walau bagaimanapun, aku yang bertindak sebagai Pengerusi Panel Pengambilan Kakitangan melihat disudut yang berbeza. Kecemerlangan akademik tidak memberikan kelebihan istimewa kepada calon-calon temuduga. Majikan sekarang memerlukan calon yang mampu menyerlahkan keperibadian yang selaras dengan kehendak dan keperluan pasaran kerjaya. Contohnya, aku rela mengambil seorang calon yang mempunyai Diploma dengan CGPA 2.50 yang menunjukkan minat dan personaliti yang begitu "original" dan "natural" daripada mengambil calon yang mempunyai CGPA 3.80 tetapi mempunyai personaliti yang "keras" dan "kurang stabil".

Inilah dilema pendidikan negara yang perlu ditangani segera. Kita tidak mahu kecemerlangan pelajar-pelajar ini disia-siakan dengan masa hadapan kerjaya yang tidak menentu. Usahlah terlalu ghairah memaparkan statistik kecemerlangan akademik setiap tahun. Cukup-cukuplah publisiti yang ada.

Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia atau Kementerian Pengajian Tinggi harus memikirkan langkah konkrit untuk membentuk satu generasi "pelajar-pelajar terkemuka" yang mampu membina negara kearah kecemerlangan. Kita inginkan usaha yang bersepadu kerana kita percaya pelajar-pelajar SPM yang cemerlang ini harus "digilap dan dipantau" dengan kaedah pendidikan formal dan informal yang sistematik agar mereka ini tidak terumbang-ambing apabila mencapai umur untuk pasaran kerjaya.

Cemerlang, Gemilang dan Terbilang
bukan semata-mata slogan tetapi ianya harus direalisasikan melalui PENTERJEMAHAN yang SEIMBANG.


Coretan "Seimbang" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Sunday, March 9, 2008

Edisi Khas : Pasca Pilihan Raya Umum Ke-12...Tsunami Politik

Apakah perkataan yang paling sesuai untuk menggambarkan keputusan Pilihanraya Umum Ke-12 semalam? Mataku seolah-olah mengerti untuk sabar menunggu sehingga tamat siaran PRU, ASTRO AWANI pada jam 3:30 pagi.

Seperti yang aku nyatakan dalam dua (2) Edisi Khas sebelum ini, aku bukanlah pengikut setia iklim politik Malaysia. Sekadar pemerhati yang "reflektif" kepada situasi semasa. Apabila melihat satu-persatu pemimpin-pemimpin gergasi BN (UMNO, MCA, MIC & Gerakan) tumbang ditangan lawan yang sebahagiannya hanya berumur "setahun jagung", aku tertanya-tanya apakah mesej yang rakyat ingin sampaikan kepada kerajaan pemerintah?

Parti-parti Pembangkang bukan menang dengan majoriti tipis yang boleh mencetuskan pelbagai teori subjektif. Ianya jelas menunjukkan persaingan yang "terhebat". Sepanjang tujuh (7) jam aku terpaku dihadapan TV, kebanyakan kawasan yang dimenangi oleh BN walaupun menampilkan "muka gergasi", ianya mencatatkan jurang majoriti yang begitu tipis. Mencerminkan satu lagi mesej rakyat kepada wakil rakyat dan kerajaan. Bagi yang mengekalkan kemenangan, mereka hanya tersenyum "sumbing". Darah tentu mengepam kencang ke jantung mereka kerana kerusi kini semakin membara hangatnya.

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 seolah-olah "SERI' kepada Parti Pemerintah dan Parti Pembangkang. Lupakan sejenak perkataan "BN MENANG MAJORITI MUDAH". Perkataan yang perlu ditonjolkan kini adalah "BN HILANG MAJORITI DUA PERTIGA". Penubuhan kerajaan seolah-olah hilang serinya kerana kejayaan BN hanya dibantu oleh negeri-negeri yang "kurang popular" iaitu Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Perlis, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak. Diantaranya adalah negeri-negeri "miskin" yang kelihatan masih dahagakan pembangunan fizikal dan rakyatnya masih belum "terakses" dengan maklumat terkini. BN perlu berhati-hati dengan beberapa negeri yang dikuasai kerana ianya tidak menunjukkan kemenangan mutlak. Negeri Sembilan dan Pahang mungkin menjadi negeri kritikal pada Pilihan Raya Umum akan datang.

BN "GAGAL" memerintah negeri-negeri yang "kaya dan popular" iaitu Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Nampaknya negeri-negeri sebelah pantai barat begitu "bersepakat menolak" parti pemerintah. Satu kebetulan politik yang amat "UNIK" dan menarik untuk dianalisa oleh pemerhati dan tenaga akademik politik. Negeri-negeri yang stabil pembangunannya telah menghadiahkan "mega tsunami" terhebat dalam sejarah politik Malaysia. Negeri Sembilan, Pahang dan Johor sedikit sebanyak telah terkena tempias ombaknya, cuma tak cukup deras. Aku sendiri seolah-olah terpukau dengan "arus deras" yang melanda negeri-negeri berkenaan yang di luar senarai hitam. Pemerhati politik hanya menumpukan negeri Perlis (perpecahan di saat-saat akhir) dan Kelantan (kempen GAH menawan semula). Rupanya meneropong di tempat yang salah. Seumpama ada kuasa "ajaib" yang amat sakti yang mempengaruhi undi rakyat dalam Pilihan Raya kali ini. Cukup pelik!

Pada aku inilah keputusan yang mencerminkan betapa rasionalnya pemikiran dan perasaan rakyat. Budaya pemikiran rakyat kini telah berubah. Rakyat yang kita kategorikan "atas pagar" mungkin kini telah turun dari pagar dan berpijak di bumi nyata. Mereka rela mengambil "risiko" berbanding hanya enak mendengar cerita dongeng sejak zaman-berzaman sambil mencangkung di atas pagar. Ini bukan lagi zaman "penjajahan dan perjuangan" atau zaman "membalas budi" tetapi adalah zaman yang begitu "realistik" kepada ideologi kebebasan politik. UMNO tidak boleh lagi memomokkan rakyat dengan mengulangi skrip dan dialog sama yang mungkin telah "lapuk" kepada generasi muda kini. Inilah yang perlu dinilai oleh pemimpin-pemimpin BN terutama UMNO sebagai parti pemimpin.

Aku amat pasti bahawa parti BN yang menjadi pemerintah kerajaan pusat dan beberapa "negeri kerdil" tidak akan tidur lena apabila Dewan Rakyat dan Dewan Negara memulakan penggal persidangannya. Pastinya juga nanti wakil rakyat Parlimen BN tidak lagi sesuka hati "ponteng" daripada menghadiri persidangan seperti penggal-penggal yang lalu. Kelak nanti polisi dan dan dasar kerajaan sukar diluluskan oleh Parlimen. Kenalah terima kenyataan bahawa BN bukan lagi memonopoli keputusan dengan hanya memejamkan mata. Pasti kerajaan atau BN berada di dalam situasi yang sukar untuk melawan arus suara kebangkitan wakil rakyat Parlimen parti Pembangkang yang kini "lantang berhemah". Aku cukup gemar apabila mendengar Karpal Singh, Lim Kit Siang dan Tan Seng Giaw berhujah. Hujah yang begitu realistik. Tidak seperti hujah pemimpin kerajaan yang seumpama "robot". Cuma, aku berharap tiadalah budaya persidangan yang baru di Malaysia seperti peristiwa baling-membaling kerusi dan meja serta bertumbuk sakan di dalam Dewan seperti sebahagian negara di dunia.

Satu peralihan "budaya kepolitikan" yang menarik untuk disaksikan untuk tempoh empat (4) tahun akan datang. Kini, tiba masanya parti-parti politik dan pemimpin-pemimpin merealisasikan manisfesto yang diwar-warkan. Rakyat secara keseluruhannya tidak perlu dihukum gara-gara perubahan iklim politik ini. Ini bukan lagi zaman "Pak Turut" yang bila "diurut" akan "mengikut". Bukan seperti ikon Bank Rakyat..."SAYA MESTI PILIHHHH...." Tahun 2008 adalah tahun eksperimen. Empat (4) tahun lagi, jika tidak betul caranya samada dipihak BN atau Parti Pembangkang, pastinya rakyat akan melaungkan ikon Suara Rakyat...SAYA MESTI TUKARRRR"...

Inilah proses demokrasi..."Kepimpinan Rakyat untuk Rakyat..."

Catatan "Perubahan" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Saturday, March 8, 2008

Edisi Khas : Rahsia Satu Undi

08hb Mac 2008 (Sabtu)
Pagi ini aku rasa begitu bersemangat dan teruja. Gara-gara Pilihan Raya Umum Ke-12. Tahun 2008 merupakan kali ketiga aku memangkah undi.

Kali pertama aku memangkah Parti A, kali kedua Parti B dan kali ketiga hari ini...masih lagi mencari ilham.

Kesimpulannya, rekod pangkahan aku amat "berbunga" dan tidak akan mengikut corak yang sama iaitu "AAA". Pemikiran reflektif yang aku terjemahkan dalam bentuk pangkahan. Undi tetap RAHSIA!

Seketika, aku rasa amat bertuah hidup dibumi Malaysia. Sepanjang jalan penuh dengan poster lambang parti dan tidak kurang juga poster wajah calon-calon parti.

Pelbagai bentuk wajah dan senyuman dapat dilihat. Mengalahkan artis. Tidak kurang juga sepanduk-sepanduk yang memaparkan kenyataan-kenyatan yang berunsur sentimen dan isu sensitif. Kempen yang begitu terserlah kebebasannya. Tidak perlu meminta kelulusan Majlis Perbandaran untuk menampal poster dan memacak sepanduk. Tiang-tiang dan tembok-tembok diberikan "make-up" wajah baru selama dua (2) minggu.

Di Pusat Mengundi pula, suasana amat meriah dengan senyuman manis "Perayu Undi" tidak kira daripada parti pemerintah atau parti pembangkang. Tiada kejadian tidak sihat berlaku. Ini melambangkan kematangan rakyat dan negara Malaysia. Walaupun ada beberapa tragedi yang menyalahi undang-undang dibeberapa tempat, pada aku ianya tidak mencacatkan perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-12.

Di Pusat Mengundi Parlimen Bandar Tun Razak, perlawanan hanya melibatkan 2 penjuru sahaja. Cina (BN) lawan Melayu (KeADILan). Adakah sentimen bangsa akan memainkan peranan? Adakah lambang dan rekod parti lebih penting daripada rupa dan personaliti calon? Adakah masyarakat inginkan selera baru? Adakah isu semasa akan menentukan kemenangan parti pembangkang? Segalanya begitu subjektif. Aku sendiripun sehingga masuk pintu pagar Sekolah Kebangsaan Pengkalan Tentera Darat, Sungai Besi masih lagi terawang-awang. Undi tetap RAHSIA!

Suasana di Pusat Mengundi dan Saluran Bilik Mengundi kelihatan amat teratur. Ada Petugas SPR yang menunjuk arah dibantu oleh "signage" yang jelas. Anggota Polis yang bertugas juga begitu mesra pelanggan. Petugas SPR pula begitu sistematik menjalankan peranannya. Cuma, aku tidak bersetuju apabila Petugas SPR memotong nama aku untuk senarai periksa dengan hanya menggunakan pensil. Patutnya menggunakan pen dakwat kekal bagi tujuan mengelakkan isu berbangkit.

Di meja pangkahan, tanpa berlengah lagi aku terus memangkah. Hanya aku seorang sahaja di bilik berkenaan sambil diperhatikan oleh lapan mata (empat petugas). Satu pangkahan "X" yang begitu teliti, tajam dan mencengkam. Lantas aku memasukkan kertas undi kedalam Kotak Plastik Lutsinar dan berlalu pergi sambil memberikan senyuman 4 tahun sekali kepada Petugas SPR. Selesai sudah tanggungjawab aku kepada negara.

Aku perlu bergegas kembali ke kereta kerana isteriku mengundi di Pusat yang lain pula (Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besi). Bila ditanya hendak memangkah parti apa...jawapannya...Undi adalah RAHSIA!

Seketika, teringat aku lagu "evergreen" Marilah Mengundi yang tidak silap aku telahpun wujud sejak tahun 1970an lagi. Lirik lagu yang mudah diingat dan mempunyai melodi yang indah...

Lirik Lagu Marilah Mengundi

Marilah mari
Pergi mengundi
Jangan lupa kewajipan
Pada negara

Marilah mari
Pergi mengundi
Jangan lupa kewajipan
Pada negara

Hari undi akan tiba
Kekalkan demokrasi
Gunakan hak kita yang asasi

Fikir terlebih dulu
Dengan akal bestari
Sebelum membuang undi
Yang dihargai

Marilah mari
Pergi mengundi
Jangan lupa kewajipan
Pada negara

Marilah mari
Pergi mengundi
Jangan lupa kewajipan
Pada negara

Jangan lupa kad pengenalan
Serta nombor daftar undi
Masa tidak kerugian
Membuang mengundi

Bila memangkah kertas undi
Harus kita berhati-hati
Kalau salah tak berganti
Sesal sendiri

Marilah mari
Pergi mengundi
Jangan lupa kewajipan
Pada negara

Marilah mari
Pergi mengundi
Jangan lupa kewajipan
Pada negara


Catatan "RAHSIA" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRro
Bandar Kinrara, Puchong

Sunday, March 2, 2008

Umpama Banduan Terlepas..."Back To The Future II"


...Kembali ke zaman silam...1987...

Coretan kali ini aku tuju khas untuk sahabat aku yang bernama Samari Abd Rahim @ Lekirj. Sahabat yang juga ghairah mencari rakan-rakan lama dan kebetulan terjumpa blog aku dihalaman "Yahoo Search".

Samari, kini nama penuh kau telah aku berikan "internet access" dengan adanya blog aku ini. Kau kini bukan lagi dalam ketegori "Orang Hilang". Nama kau kini wujud hingga ke penjuru dunia. Inilah kelebihan dunia siber.

Seperti yang dijanjikan, episod terbaru siri "Back To The Future" kali ini memaparkan tiga (3) orang sahabat sekamar (Zamer, Nizam & Ariff) yang mengambil risiko paling bahaya dengan bersiar-siar di bandar Johor Bahru ditengah malam buta. Satu kesalahan disiplin yang berat jika tertangkap. Episod RAHSIA yang tidak pernah wujud didalam fail sulit SMTJB. Kini aku telah membongkarnya.

Jam 10:00 malam, Asrama B4, Ibnu Sina, 20 September 1987

...Suasana Asrama Ibnu Sina B4 terasa begitu hening. Ada penghuni yang leka melayan televisyen di bilik rehat. Ada yang bersidai di koridor dan birai katil sambil berbual kosong. Satu (1) jam lagi (pukul 11 malam), loceng asrama akan menjerit menandakan waktu tidur telah tiba. Seperti rutin harian, lampu-lampu asrama akan dipadamkan. Jika tidak, akan kedengaran suara Warden Asrama menjerit memberikan amaran.

Aku pula berangan kosong sambil mata melolos jauh meneropong bangunan Jabatan Pendidikan Negeri Johor yang tersergam dalam kesamaran. Terasa begitu nyaman apabila sesekali angin malam yang dingin menghembus menerjah tingkap asrama.

Tiba-tiba entah apa mimpinya, terpacul keluar dialog spontan daripada mulut Nizam yang berada di sebelah katil aku..."Woii...jom kita keluor bandor" sambil kakinya melompat pantas turun dari birai katil "double decker".

Sambil mata membulat aku membangkang..."Gila ke kau...nak keluar malam-malam buta ni. Kena tangkap dengan Warden, mahunya kita dibuang sekolah". Aku kembali melemparkan pandangan ke luar tingkap. Malas nak melayan.

"Pengecutlah kau ni Zamer...kita keluar ikut pagar belakanglah...jomlah..." Nizam masih lagi dengan tekadnya.

Ariff yang kebetulan lalu disebelah katil aku lantas bersuara "Elok jugak idea tu. Akupun tengah boring ni".

Hantu mana yang telah menghasut aku, akhirnya aku bersetuju dengan cadangan gila Nizam (budak Jawa Muar). Satu kepelikan pula. Aku bukanlah pelajar bermasalah yang suka membuat onar. Disiplin diri cukup aku jaga sepanjang masa. Cuma, ada ketika aku terlajak mengikut naluri awal remaja. Satu-satunya peristiwa yang memburukkan rekod disiplin aku hanyalah ketika ditangkap tidur haram di kamar A9 Ibnu Khaldun semasa awal tahun (Episod Berani Kerana Benar...Back To The Future II).

Setelah bersiap ringkas dan selepas lampu asrama dipadam, kami lantas menyusup dan menyelinap keluar tanpa disedari oleh rakan-rakan asrama. Nizam bertindak sebagai ketua. Mengarahkan aku dan Ariff mengekori langkahnya. Kami meredah kegelapan malam dengan mengikuti jalan belakang asrama. Perlahan-lahan melangkah dan sesekali berlari anak melepasi kolam ikan dan bangunan sekolah Blok B sambil mata liar memerhati persekitaran.

Kini tiba di transit terakhir yang lebih mencabar sebelum pagar belakang sekolah ditembusi. Kami perlu melepasi pandangan Pak Guard yang kelihatan mundar-mandir dipondok pengawal. Nizam yang tindakannya umpama Sarjan Saunders, lakonan Vic Morrow dalam drama Combat begitu terserlah kepimpinannya. Aku dan Ariff hanya mengikut telunjuk dan arahannya tanpa banyak soal.

Fuhh! lepas daripada penglihatan Pak Guard. Kini, kami terpaksa meredah kebun jagung pelajar-pelajar Sains Pertanian sebelum menghampiri pagar sekolah. Nizam yang kelihatan pakar dengan selok-belok kawasan sekolah lantas mengarahkan kami meniarap sambil dia mengangkat bahagian bawah pagar yang telah rosak. Akhirnya, kami berjaya melepasi sempadan sekolah dan tanpa berlengah kami berlari 100 meter menuju perhentian bas awam yang jaraknya 300 meter dari bangunan sekolah. Satu kelegaan tambahan apabila kami berjaya menahan sebuah teksi untuk menuju bandar Johor Bahru.

Di bandar Johor Bahru, kami bertiga seperti tidak berhaluan hanya mengikut langkah kaki. Nizam masih lagi menjadi pemimpin kami. Semua kompleks membeli-belah habis kami jelajahi tetapi hanya pintu kompleks sahaja mampu kami lihat kerana waktu telah menunjukkan jam 12:00 tengah malam.

Kami kemudian menyusuri jalan yang dikenali "belakang lorong". Tiba-tiba kami ditegur oleh tiga (3) kelibat bayang yang berada dibelakang kami. Kelihatan seperti wanita tetapi bertubuh besar.

"Haiiiii...adik-adik comel...marilah sini...nak kemana tu..owww? satu suara yang amat garau memecah keheningan belakang lorong. Suasana yang gelap-gelita menambahkan lagi ketakutan kami.

Setelah kami pasti suara itu datang dari golongan "Pondan" yang mencari pelanggan, kami tanpa berlengah, sekali lagi berlari pecut 100 meter. Kedengaran hentakan sepatu mengejar kami dari belakang. Tanpa menoleh, kami menambah lagi pecutan lipas kudung sehingga jarak 200 meter.

Setelah tercungap-cungap dikejar Pondan, kami menyusuri pula jalanraya dipersisiran Pantai Lido. Agak panik juga apabila sesekali kelihatan kereta peronda Polis melintas. Kami akan berpura-pura seperti menunggu teksi. Kaki dan badan terasa letih. Kami tidak lagi rajin berceloteh seperti sebelumnya. Diam seribu bahasa. Jam menunjukkan tepat pukul 2 pagi. Ariff yang kelihatan amat letih mencadangkan kami pulang. Tanpa banyak suara, kami akhirnya bersetuju.

"Pakcik..pakcik...berhenti kat sini ajelah". Suara Nizam mengejutkan aku daripada lena. Kami bertiga keluar daripada perut teksi betul-betul dipersimpangan masuk ke lorong sekolah. Tujuannya agar kami dapat kembali menyusup melalui pagar rosak dibelakang sekolah tadi.

Tiba-tiba Nizam menjerit "Woii...cepat masuk ke dalam longkang. Ada kereta kat belakang".

Sepantas kilat kami bertiga melompat kedalam longkang besar di tepi jalan. Nasib baik tiada air. Kalau tidak habis busuk satu tubuh badan.

Setelah hilang lampu kereta yang menyilau pandangan, kami memanjat keluar dan terus terburu-buru berlari anak menuju pagar rosak yang terletak diantara sempadan sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor. Pengalaman mengajar kami. Nizam tidak perlu lagi mengarah kami satu-persatu. Sekelip mata sahaja kaki kami telahpun tiba dipenjuru bangunan asrama Ibnu Sina. Tiada cabaran hebat lagi pada jam 3:00 pagi. Pak Guard pasti dah lena dibuai mimpi.

Tanpa banyak bercakap, kami lantas menuju katil masing-masing. Suasana sepi terganggu seketika dengan bunyi keriut katil. Aku terus melabuhkan badan sambil fikiran melayang mengimbas kembali peristiwa empat (4) jam yang lalu. Cukup tidak berbaloi sekiranya tertangkap.

Umpama Banduan Terlepas...itulah ungkapan paling tepat bagi mengambarkan tindakan tidak bijak kami bertiga. Esok, aku akan kembali menjalani rutin harian seperti biasa. Biar pecah diperut jangan pecah dimulut. Itulah perjanjian kami bertiga.

Kini, bukan pecah dimulut, bukan juga pecah diperut tetapi pecah di blog. Rahsia kami bertiga kini telah terbongkar. Tiga (3) banduan yang terlepas 21 tahun dahulu masih lagi terlepas dan akan terus terlepas sampai bila-bila..."Back To The Future..."


Coretan "Terlepas" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Saturday, March 1, 2008

Pengaruh Muzik Dunia..."Back To The Future II"


...Kembali ke zaman silam...1983-1984...

Kini aku beralih ke alam awal remaja. Sekolah Menengah Datok Lokman, Jalan Kampung Pandan merupakan medan seterusnya dalam menimba pendidikan formal. Sekolah yang majoritinya dikuasai oleh pelajar-pelajar Cina. Budaya samseng dan kelompok bangsa (Melayu, Cina dan India) memang terserlah ketika itu. Kes-kes pergaduhan sentiasa sahaja kedengaran. Di dalam tandas, di belakang bangunan makmal dan tidak kurang juga berjumpa dan "berperang" dengan kepala tali pinggang besi di luar pagar sekolah.

Cuma aku bukanlah didalam kategori pelajar bermasalah. Sekadar pemerhati jarak jauh dan sentiasa mengelakkan diri daripada bergaul dengan kaki samseng dan kaki gaduh.

Dalam suasana perkauman pelajar yang terkawal, aku dan rakan-rakan cukup "fanatik" dengan era ledakan muzik dunia ketika itu. Kumpulan-kumpulan muzik Rock seperti ACDC, Deep Purple, Scorpian dan sebagainya sentiasa menjadi bualan hangat dan model pemakaian pelajar-pelajar. Ketika itu, kepala tali pinggang besi waja berukiran huruf "ACDC" cukup popular dan digemari. Beg sekolah pula terpapar lukisan nama kumpulan muzik tersohor dunia. Beg sekolah aku juga tidak terkecuali memaparkan lukisan tangan yang unik.

Tahun 1983-84 juga menyaksikan pengaruh hebat muzik pop terutama melalui Raja Pop Dunia, Michael Jackson. Berkulit gelap, bertubuh kurus dan berambut kerinting sudah cukup menjadikannya ikon masyarakat dunia. Membuatkan anak-anak gadis terjerit dan terlolong bagai terkena histeria. Lirik dan melodi "Billie Jean" dan "Beat It" cukup berhantu dan menjadi siulan (sekurang-kurangnya melatih pelajar-pelajar sekolah berbahasa Inggeris). Gerak tarinya menjadi ikutan sehingga seluar sekolahpun dijahit muat-muat ukuran betis dan paha. Sambil berjalan, pelajar-pelajar seumpama terkena penyakit "kenan" akan berhenti dan meniru tarian Raja Pop kulit hitam ini.

Pengaruh melodi muzik yang lain juga tidak kurang hebatnya. Tahun 1984 seumpama letupan gunung berapi aliran muzik dunia. Nama penyanyi-penyanyi dan kumpulan-kumpulan muzik dunia seperti Billy Joel, David Bowie, Tina Turner, Lionel Ritchie, Cyndi Lauper, Prince, Bryan Adams, Bon Jovi, Bruce Springsteen, Stevie Wonder, Rod Steward, Bonnie Tyler, Sheena Easton, Kumpulan Police, Kumpulan Queen, Kumpulan Duran-Duran, Kumpulan Air Supply, Kumpulan Rolling Stones dan Kumpulan Culture Club sudah tidak asing lagi dalam mempengaruhi minda, perasaan dan tingkahlaku masyarakat dunia.

Lagu Uptown Girl, All Night Long, Born In The USA, Purple Rain, I Just Called To Say I Love You, She Bop, Dancing In The Dark, Breakdance, Thriller dan Girls Just Want To Have Fun pula sentiasa menjadi penghibur jiwa lara. Dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumah, Pakcik Samy pemandu bas sekolah akan sentiasa memainkan video muzik rakaman lagu-lagu popular ini. Terasa begitu bersemangat dan bertenaga apabila mendengar lagu "Uptown Girl" berkumandang sambil mata menjeling minah-minah berkain biru yang boleh tahan daya tarikannya.

Detik waktu ini juga menyaksikan "penyakit" tarian 'breakdance" pantas menular ke dalam jiwa pelajar-pelajar sekolah. Pantang nampak simen licin, pelajar-pelajar sekolah akan mengayakan tarian patah pinggang, patah kepala, patah tangan dan patah jari. Cukup berbangga menayangkan tarian kepada orang ramai yang lalu-lalang. Ada ketika, dua kumpulan pelajar akan bertemu dan bertanding tarian "breakdance" ini diluar kawasan sekolah sementara menanti loceng sekolah berbunyi.

Aku pula hanya mampu menarikan pergerakan patah jari dan patah tumit kaki. Terbalik dan telangkung sambil kepala berputar dan bergesel dengan simen cukup gerun untuk dilakukan. Silap haribulan, berpotensi untuk menjadi penghuni wad ICU.

Kini, pengaruh muzik 1983-1984 hanya tinggal nostalgia. Sebahagiannya masih lagi evergreen sehingga kini. Sesekali apabila mendengar lagu-lagu ini dicorong radio Sinar FM, fikiran aku akan terbang untuk memetik suis kenangan yang telah berusia 24-25 tahun. Terkenang rakan-rakan yang sama-sama menari dan menyanyi di dalam bas sekolah. Sesekali sayup-sayup kedengaran Pakcik Samy pemandu bas menjerit..."Wooiiii...lu orang tak reti duduk diam ka...". Cukup meriah, kecoh, heboh dan riuh.

Catatan "Evergreen" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong