Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Saturday, March 28, 2009

Memori Khas SMTJB..."Back To The Future III"

Kembali ke zaman silam...1986-1987...

Bangunan Utama SMTJB yang masih kekal rupa bentuknya walaupun sudah 22 tahun berlalu. Masih teringat aku dan rakan-rakan berkumpul diteres bawah bangunan sambil menunggu giliran mengambil keputusan SPM 1987. Riuh dan meriah bagai pesta. Kelesuan semalaman menaiki keretapi kelas 3 dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru terasa terubat apabila kembali bertemu rakan-rakan dan adik-adik junior yang silih berganti mengucapkan tahniah. Adik-adik junior yang bersidai di koridor sambil memerhati kami di bawah. Senario yang sama aku lakukan semasa memerhatikan abang dan kakak senior mengambil keputusan SPM 1986. Kini, giliran aku pula mencipta dan meninggalkan sejarah. Cukup unik.



Makmal Sains yang membuatkan mata aku layu sambil menongkat dagu terutama sewaktu subjek Fizik dan Kimia. Bagai irama lagu yang melenakan apabila cikgu membebel di hadapan. Bangku bulat keras yang masih mengekalkan identitinya di bilik makmal. Teringat penunu bunsen, buret, pipet, iodin, kuprum, zink, fotosintesis, H2O, CHO, UFO dan entah apa-apa lagi...dah lupa. Seperti dijangka, hanya satu subjek Sains iaitu Biologi sahaja mampu aku catatkan keputusan terbaik iaitu Kredit 3. Subjek Fizik dan Kimia hanya kepujian dan lulus paras hidung. Okaylah tu...



Dewan Makan Asrama yang kelihatan lebih cantik susun-atur dan warnanya berbanding 22 tahun dahulu. Teringat semasa Jamuan Akhir Tahun. Aku dan rakan-rakan akan bergaya sakan dengan kemeja dan tali leher yang adanya sekadar dipinjam daripada rakan-rakan yang agak mewah. Aku dan rakan-rakan akan dijamu dengan makanan yang lebih menyelerakan berbanding hari-hari biasa.



Cikgu Sazaliah (guru kelas 4P2) dan Cikgu Fatima (guru kelas 5P2) yang masih lagi kekal di SMTJB selepas 22 tahun berlalu. Dahulu guru biasa kini sudah bergelar Guru Penolong Kanan. Guru yang aku jangka telahpun menghampiri umur 50 tahun. Cepat rasanya masa beredar. Akupun kian memanjat usia.


Catatan "Back To School" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Sunday, March 15, 2009

Mesej Peminat Rahsia (Episod 2)..."Back To The Future III"


Kembali ke zaman silam...1987...

Episod 2-Idea Kreatif

Aktiviti harian sebagai penghuni asrama benar-benar mencabar. Segala-galanya berjalan dengan pantas. Sekembali aku dari solat Maghrib berjemaah disurau, tanpa berlengah aku memakai baju T-shirt kuning dan seluar coklat lusuh kegemaran aku. Menyapu bedak debu secukup bau dan menyisir rambut dicermin kecil yang dilekatkan dipintu almari. Jika tidak yakin dengan penampilan diri, cermin besar kamar akan dituju sambil berebut dan berlaga bahu dengan rakan-rakan sekamar.

"Woii...cukup-cukuplah tengok cermin tu...kalau dah tak smart janganlah nak berangan." Aku akan menjerit kepada Zahid apabila dia leka menyisir rambut tanpa henti.

"Kringggggggggggg.....," loceng asrama Ibnu Khaldun tidak pernah gagal menjerit. Menandakan tiba saatnya penghuni asrama bersedia untuk beratur di luar kamar. Aku dan rakan-rakan bergegas menyiapkan diri. Kasut disarungkan dengan pantas. Terus menyertai adik-adik junior yang telah beratur lebih awal.

Selang beberapa saat, deringan loceng kedua kembali berbunyi. Membingitkan telinga jika menjerit diawal pagi tetapi cukup merdu apabila tiba waktu makan. Deringan yang sentiasa dinantikan apabila perut mulai berkeroncong. Kami akan berarak menuju ke dewan makan dan menjamah dengan penuh selera apa jua makanan yang dihidangkan dalam bekas biru walaupun sekadar telur rebus berkuah kari atau ikan "jacket".

Keriuhan dewan makan cukup terasa apabila semua penghuni Aspura dan Aspuri berkumpul. Sekali-sekala kedengaran jeritan dan gurau-senda penghuni-penghuni yang mencuri tumpuan. Ada sahaja senario yang mencuitkan hati. Ragam awal remaja.

"Jaafar...kau pergi ambil nasi tambah kat depan. Ambil lebih. Bagi aku sikit". Nizam yang cukup gemar menyakat adik-adik junior tiba-tiba memecahkan suasana. Kebiasaannya adik-adik junior akan menjadi mangsa apabila ada abang-abang senior yang kebulur. Kes buli ringan yang tidak memudaratkan.

Sambil menjamah makanan, mata aku tiba-tiba liar merenung dari kejauhan satu-persatu wajah-wajah penghuni Aspuri. Mencari wajah lembut penghuni yang bernama Ruhaya Mohamad. Sejak dari petang tadi, wajahnya bermain-main difikiran aku. Setiap detik. Buntu memikirkan strategi sesuai untuk mendekatinya.

Setelah selesai makan malam, aku dan rakan-rakan akan menuju ke bangunan sekolah. Memenuhi satu lagi jadual wajib penghuni asrama untuk mengulangkaji pelajaran sehingga jam 10:00 malam. Setiap kamar akan ditetapkan kelas yang perlu dituju. Tidak boleh sesuka hati memasuki kelas yang digemari. Tidak boleh juga terlena bermimpi indah. Pernah terjadi rakan sekamar aku ditampar oleh Warden kerana didapati tidur sewaktu kelas malam. Cukup gerun apabila ternampak kelibat Cikgu Joyo yang meronda umpama halimunan. Kelopak mata pasti akan tegang.

Buku Geografi aku tatap kaku. Mata tertumpu tetapi fikiran melayang. Rakan-rakan sekamar kelihatan khusyuk menelaah. Ada juga yang tersengguk-sengguk menahan mengantuk. Aku melemparkan pandangan keluar tingkap. Mencari idea dalam suasana malam yang hening.

Tiba-tiba fikiran aku terfokus. Wajah Samari muncul memberikan cahaya harapan. Aku bingkas bangun dari kerusi menuju Samari yang sedang leka membelek-belek buku bacaannya.

"Samari, nanti kau teman aku sekejap lepas habis kelas malam ni boleh?" Pertanyaan aku membuatkan dahi Samari berkerut seribu.

"Apahal pulak. Teman pergi mana?" Soal Samari penuh tanda-tanya.

"Kau ikut ajelah". Aku menutup pertanyaan Samari sambil beredar menuju ke kerusi aku kembali. Bimbang jika Cikgu Joyo melintas dan melihat aku berjalan-jalan didalam kelas. Silap gaya pipi aku akan merah kena penampar Jepun.

"Kringgggggggggg...," loceng kembali berbunyi menandakan tamat sudah sesi belajar malam. Jam tepat menunjukkan pukul 10:00 malam. Semua penghuni selang beberapa saat akan mengorak langkah menuju kembali ke bangunan asrama.

Aku masih tidak lagi berganjak dari kerusi. Aku sudah memberikan signal awal kepada Samari agar menyertai aku. Lampu kelas telahpun terpadam tetapi aku dan Samari masih lagi kaku di dalam kelas. Membatukan diri dalam kegelapan tanpa disedari oleh rakan-rakan lain. Setelah dipastikan semua penghuni asrama telah kembali ke asrama, aku dan Samari mulai mengorak langkah dan memasang strategi.

"Samari, jom teman aku pergi kelas kau. Aku nak tengok meja Ruhaya Mohamad."

"Kau nak buat apa kat meja dia?" Soal Samari sambil mengekori aku dari belakang.

"Adalah". Jawab aku ringkas.

Setiba aku di kelas 5 Mekanikal 2, aku lantas menuju meja Ruhaya Mohamad setelah ditunjukkan oleh Samari.

"Kau tunggu kat luar sekejap. Aku ada kerja sikit ni". Aku memberikan arahan tegas kepada Samari.

Aku lantas melabuhkan punggung di kerusi tempat punggung Ruhaya Mohamad juga berlabuh. Sejuk saja kerusinya yang keras. Dalam kesamaran disinari cahaya suram lampu bangunan sekolah, aku mengeluarkan sehelai kertas dari celah buku Geografi aku. Kertas yang telah berisi dengan catatan yang aku karang dengan penuh perasaan 30 minit yang lalu. Sambil itu mata aku terpegun melihat kecantikan hiasan meja Ruhaya Mohamad. Meja yang beralas kertas bunga dan berbalut kemas dengan plastik lembut. Aku melipatkan kertas catatan aku kemas-kemas. Perlahan-lahan aku menyelak balutan plastik meja untuk memasukkan kertas catatan aku. Cukup berhati-hati. Bimbang jika terkoyak plastik meja. Aku tolak perlahan-lahan dengan jari kertas catatan aku dari luar plastik agar ianya berada ditengah-tengah meja.

"Zamer, cepatlah. Banyak nyamuk kat luar ni. Kau buat apa lagi tu?"
jeritan Samari mengganggu lamunan aku.

Aku bingkas bangun dan beredar. Memasukkan kerusi perlahan-lahan. Cepat-cepat menuju ke arah Samari yang setia menanti di luar .

"Apa kau buat lama-lama kat meja Ruhaya tu Zamer?" soal Samari sambil mengorak langkah pantas menuruni anak tangga.

"Petang tadi kau cabar akukan. Ni aku nak tunjukkan kat kaulah yang aku boleh mendekatinya".

"Yalah...tapi apa kau buat tadi?

"Esok-esok aku ceritalah. Dah lewat ni. Solat Isyak kita buat kat kamar ajelah."

"Oklah."

Akhirnya, fikiran buntu aku telah terlerai dengan mesej rahsia yang kini tersimpan di dalam balutan plastik dimeja Ruhaya Mohamad. Aku pasti esok pagi Ruhaya akan tersenyum membaca catatan aku. Pasti dia tertanya-tanya siapakah gerangan yang telah menulis sesuatu yang begitu indah.

Ini hanya permulaan bagi langkah-langkah seterusnya. Sekali fikiran aku berkreatif, pasti ianya akan terus kreatif. Malam ini aku akan tidur dengan lena. Tidak sabar menanti hari esok dengan seribu kemungkinan yang indah. Mengisi naluri keremajaan yang mulai subur dan berkembang.

Bersambung...tunggu "Episod 3-Detik Permulaan"

Back To The Future...

Coretan "Angau 2" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Saturday, March 14, 2009

Edisi Khas 5: Dilema Wawasan Pendidikan


Hidup tanpa peralatan canggih dan kemudahan sempurna bukan penghalang untuk seseorang menempa kejayaan. Malah kesukaran dan kekurangan itulah yang menjadi pendorong kepada usaha untuk mengubah nasib ke tahap lebih baik sambil membahagiakan ibu bapa.

Siapa sangka rumah yang kelihatan hampir roboh ini menyimpan sebutir permata berharga yang bakal menyinar suatu hari nanti. - Utusan Malaysia

Sekali lagi seperti tahun-tahun yang lalu, pelajar-pelajar bijak dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan mengulangi sejarah hebat kecemerlangan pendidikan negara.

Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2 dalam peperiksaan SPM 2008 yang diumumkan kelmarin. Anak seorang nelayan yang hidup dalam serba kekurangan tetapi mencipta rekod peribadi setelah memperolehi bimbingan guru-guru di Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan.

Dalam keributan dan kelemasan kita menangani isu pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan kes pembulian pelajar sekolah sehingga mendatangkan kematian, kejayaan pelajar-pelajar SPM 2008 ini sekurang-kurangnya mengurangkan bahang KPM. Disudut pemikiran reflektif aku, betapa jauhnya jarak isu pendidikan negara. Disatu sudut, kelihatan pendidikan kita tidak mampu dan bertenaga lagi membendung gejala jenayah sekolah yang semakin meruncing. Isu lapuk yang terus berkulat. Disatu sudut pula, kita mampu melahirkan pelajar-pelajar super-cemerlang yang menunjukkan kewibawaan wawasan KPM. Modal murah untuk Menteri KPM tersengih bangga. Aku cukup bingung memikirkan arus pendidikan negara kini.

Berdasarkan pemerhatian aku setiap pagi selepas sahaja menghantar anak aku Zuhairi ke sekolah, aku tidak akan terlepas untuk merenung gerak-geri dan gaya pelajar-pelajar sekolah yang bersaing ditepi jalanraya menuju ke sekolah. Kelihatan ada diantara mereka yang amat selekeh pada pandangan mata aku. Baju seragam putih yang tidak dimasukkan kedalam seluar hijau. Tali leher yang disangkut pendek hanya ke paras dada (bukan sehingga ke kepala tali pinggang). Kasut yang putih berkeladak. Seluar sekolah yang singkat diatas paras buku lali. Gaya rambut yang berbagai fesyen. Paling menarik perhatian aku adalah corak langkahan kaki mereka. Langsung tidak menunjukkan semangat. Longlai dan lembab. Bagi aku inilah tanda-tanda psikologi yang akan menentukan sikap dan tingkahlaku masa hadapan mereka. Merekalah bakal pekerja yang akan mendatangkan banyak masalah disiplin kepada organisasi sekiranya tiada pihak yang mengambil berat tanda-tanda awal ini diperingkat sekolah.

Sehingga kini kita masih lagi berbahas dan menuding sepuluh jari ke pihak-pihak tertentu apabila menangani permasalahan pelajar-pelajar sekolah. Masing-masing samada dipihak ibubapa, institusi sekolah dan KPM mempunyai pandangan dari perspektif yang berbeza. Kita juara dalam membahaskan isu tetapi hasilnya kosong. Terus berlegar dan berpusing sehingga pening dan terlena. Kembali tersedar apabila timbul isu terbaru. Inilah budaya Malaysia dalam menangani isu. Bosan dan meletihkan.

Sejurus aku membaca laporan kecemerlangan pelajar-pelajar SPM 2008, aku langsung tidak teruja dengan rekod 19A atau 100A sekalipun. Bukanlah iri hati kerana aku tidak tergolong dalam senarai pelajar cemerlang 21 tahun dahulu tetapi aku percaya kejayaan akademik semata-mata tidak akan menjamin kejayaan hidup secara keseluruhannya. Ianya hanya tiket untuk memasuki pintu utama menuju perjalanan yang penuh dengan ranjau dan duri.

Kejayaan dan kegemilangan pelajar-pelajar cemerlang ini harus ada kesinambungannya.
Inilah peranan terpenting Menteri KPM untuk memandu arah pelajar-pelajar cemerlang ini. Sedarlah wahai Menteri KPM bahawa anak-anak Melayu kita kini terus jauh ketinggalan dalam persaingan dengan bangsa-bangsa lain. Kelalaian dan kebodohan kepimpinan negara yang perlu dibayar oleh generasi masa hadapan. Pelajar-pelajar cemerlang akan dibiar tenggelam tanpa susulan, manakala pelajar-pelajar bermasalah akan terus bergelumang dengan seribu kekalutan.

Jika ditanya kepada pelajar-pelajar sekolah yang bermasalah kenapa mereka bergaduh, jawapan popular kini adalah..."Tu, Menteri dan Orang Politik kat Parlimen boleh bergaduh...lagak mengalahkan samseng lagi". Entahlah...inilah terjemahan terbaik "Kepimpinan Melalui Teladan".

Coretan "Kosmetik" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor