Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Sunday, April 29, 2007

Koleksi Puisi Nostalgia AB Mar, 1988-1991 : Volume 1

Pengenalan
Berikut adalah sebahagian nukilan puisi aku yang berusia 16-19 tahun yang masih berada didalam simpanan aku atas nama pena AB Mar:

WAJAH SENJA

Senja hadir lagi
Pusingan alam ciptaanNYA
Burung-burung
Masih liar matanya
Riuh berterbangan pulang
Membawa bekalan
Walau seekor cacing
Tubuh melidi
Ibu-ibu rela berlapar
Agar anak-anak di sarang
Tidak lagi menangis
Suara kelaparan anak
Cuba disumbat
Dengan harapan hari esok
Cuba dibayangkan
Dimata jernih anak-anak
Cacing-cacing gemuk berlingkaran
Sebelum memejamkan mata
Dan ibu-ibu
Yang matanya kian kabur
Berkaca memerhati
Malam sepi
Cuba mengukir senyum
Menyambut wajah mentari
Walaupun siang nanti
Masih belum pasti
Wajah senja girangnya


AKU DAN ALAM

Sesekali pulang ke dataran asal
Padang hijau telah ada kudisnya
Suara sungai kedengaran serak
Berserta muntahan darah
Unggas-unggas
Terbang membawa diri
Mencorak kehidupan
Di dataran ranjau
Mungkin menoleh kebelakang mungkin jua tidak
Pondok-pondok
Bertukar wajah banglow
Dingin pohon
Ditemani bahang konkrit
Sesekali pulang ke dataran asal
Jiwa kembali terikat kukuh
Membawa cerita-cerita
Masih kabur penghujungnya
Empat tangan seperti akar tua
Menggigil menadah
Memohon hujan emas melolosi atap usang

Sesekali pulang ke dataran asal
Seakan duri menikam kedamaian
Kisah-kisah silam
Seperti penghias harapan baru

Aku
Kembali menanam doa
Disirami keringat
Seperti mana
Alam
Sedih melepaskan aku
Setia menanti kepulanganku
Tetapi
Mahukah nafas dan alam itu
Setia menantiku
Menjunjung bekalan baru


KESEPIAN

Tanah ini terdampar kaku
Permata diri hanyut diragut arus
Mengimpikan mata cangkul menjamah diri
Mewarna petak-petak rezeki
Mengesat titisan peluh menyimbah dadanya
Jentera meraung usah dilintaskan
Saku petani sarat bersalut debu
Memberi nafas tubuh kering
Esok atau lusa menyusun butir-butir kenangan
Tanah meratap sepi dihimpit kegelapan
Khalifah tuanya kini bersatu berdakapan
Merenung khalifah didada lena menari
Membakar segunung harapan terus menjadi mimpi

AB Mar, 1988
Zamer Rizal Osman

Nostalgia 1989-1990 : Puisi

...Tahun 1988-1991 merupakan tempoh aku begitu giat menghasilkan puisi dan cerpen. Berikut adalah senarai keputusan Pertandingan Sayembara Penulisan Puisi, Fakulti Pertanian, UPM, Tahun 1990 yang aku sertai:

PERTAMA
Ranting-ranting Rapuh
oleh : Al-Halma @ Mohd Kholid Hamzah

KEDUA
Wayang Kulit
oleh : AB Mar @ Zamer Rizal Osman

KETIGA
Renungan Dari Sebuah Sketsa
oleh : Rabiah Jusoh

KEEMPAT
Puisi Warkah Dari Petani
oleh : Nor Shah Mohamed

KELIMA
Balada Siburuh

KEENAM
Sawah Sempadan : Pawana Adalah Renungan

WAYANG KULIT

Lorong ini tidak pernah kujejak
Lorong yang menyimpan wajah-wajah tua
Tunduk mendakap
Patung-patung warisan bangsa

Hari ini
Lorong suci ini ku hampiri
Mulanya berdiri dua ibu jari
Lantas perlahan-lahan dua tapak

Gunungan menjelma
Samar-samar jelas
Menembusi layar putih
Membuka tirai mata
Ramayana diberi nafas
Satu wajah
Tetapi bayangnya berbeza
Jiwaku segenapnya tersentuh
Sebagai insan zaman ini

Di dada kota ini
Sinaran bulan yang berteman
Lampu-lampu neon berkelipan
Memberi wajah pohon-pohon konkrit
Berarus manusia berpakaian ciplak

Tetapi
Disatu titik
Lahir cahaya menyelinap
Seluruh jiwa berlubang
Menjunjung pakaian tulen

Disebalik tabir
Tok Dalang kian hanyut
Bersama sejuta suara
Pasti suatu hari akan tenggelam

Peluh bersatu membentuk kolam
Menyirami tunas rapuh
Dengan harapan
Biar segar tubuh menegak
Tetapi akar kukuh mencengkam
Butir-butir tanah dikaki

Wayang kulit
Aku tetap menjunjung semangatmu
Walaupun aku
Bukan insannya
Mewarisi ilmu Tok Dalang
Dan menari-narikan tubuh kakumu

Nukilan:
AB Mar
UPM, 1989
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Saturday, April 28, 2007

Berani Kerana Benar..."Back To The Future II"

Kembali ke zaman silam...1987...Babak 9...

...Tahun 1987 aku bergelar pelajar senior SMTJB. "Title" yang membenarkan aku bebas untuk bertingkahlaku tanpa rasa takut seperti yang yang aku alami pada tahun 1986 (junior). Seperti tahun-tahun sebelumnya, apabila menjelang peperiksaan SPM, pelajar-pelajar senior dan junior akan diasingkan. Pelajar-pelajar senior akan ditempatkan di Blok B. Bagi sebahagian pelajar, inilah saat-saat yang diidamkan. Bagi pelajar-pelajar junior yang akan menghuni Blok A, ianya umpama bebas dari "sangkar singa", manakala bagi pelajar-pelajar senior ianya bagai orientasi kembali kerana terpaksa mengenali rakan-rakan kamar yang baru. Bagi aku pula...setelah setahun menginap di kamar A1-Ibnu Khaldun, perpindahan ini sesuatu yang tidak menyeronokkan.

Aku telah dipindahkan ke kamar B4-Ibnu Sina. Rakan-rakan senior dan adik-adik junior yang telah menjadi teman bual dan bergurau-senda sejak setahun yang lalu kini telah berpecah. Bagai ada sesuatu yang mencengkam perasaan kami, aku dan 9 orang rakanku semasa menginap di kamar A1 telah membuat perjumpaan tergempar selang 2-3 hari kami diasingkan. Kami berpakat untuk tidur bersama di kamar berkunci di Blok A pada malam Isnin nanti. Tiba ketikanya, kami berkumpul seorang demi seorang. Tilam kusyen di bilik rehat telah kami "songlap" untuk dijadikan alas badan dan kepala. Cukup tidak selesa tapi kami amat gembira kerana dapat berkumpul semula sambil berborak sakan. Apabila kedengaran orang berjalan diluar kamar, kami diam seribu bahasa dan membatukan diri sejenak...

Sebelum azan subuh berkumandang, kami dah mencelikkan mata dan kelam-kabut bergegas dan menyusup kembali ke kamar asal kami. Seperti tiada apa-apa yang berlaku, aku pantas menyiapkan diri untuk menjalani rutin harian asrama dan sekolah. Tiba-tiba, semasa sedang mengambil sarapan, seorang adik junior menyapa aku sambil memberitahu bahawa Cikgu Warden yang kami gelar "J***" telah menyoal siasat semua pelajar junior sebentar tadi bertanyakan berkenaan dengan tilam kusyen yang bersepah di kamar A9. Pelajar-pelajar junior yang disoal memaklumkan bahawa terdapat pelajar senior yang menginap secara haram di kamar A9. Opss....tiba-tiba badanku menjadi seram sejuk. Adik junior memberitahu bahawa Cikgu Warden "J***" telah menyenaraikan nama-nama pelajar senior yang terbabit. Fikiran dan perasaanku kian kalut apabila memikirkan sifat bengis Cikgu "J***" dalam menangani soal disiplin. Tak dapat dibayangkan hukuman yang bakal kami terima...

Sejak awal pagi sehingga tengahari, fikiranku tidak tenteram. Aku hilang fokus untuk belajar. Sebelum tiba waktu rehat tengahari, hatiku tiba-tiba terdetik untuk bertindak. Tanpa melengahkan masa, aku meminta izin cikgu untuk keluar sebentar. Aku terus menuju ke kelas 9 rakan-rakanku yang lain. Satu persatu aku lawati. Akhirnya, aku berjaya mengumpulkan 9 rakan-rakanku walaupun ada yang seolah-olah bingung dengan tindakan aku. Setelah berkumpul disatu lorong, aku menjelaskan keadaan dan apabila mendengar sahaja tujuan dan niat aku untuk membawa mereka ke bilik Cikgu Warden "J***", semua pucat lesi dan ada yang tidak bersetuju dengan tindakan aku. Aku bertegas untuk pergi juga tanpa seorangpun dikecualikan...

Pintu diketuk perlahan. Cikgu "J***" seperti biasa dengan wajah bengis mengizinkan kami masuk. "Hah...nak apa pulak kamu ni?" suara garau Cikgu "J***" benar-benar menggigilkan kepala lutut kami. Memandangkan semuanya tunduk membisu, aku mula membukakan mulut "Cikgu...kami datang ni pasal aduan pelajar junior pagi tadi berkenaan ada pelajar senior menginap haram di kamar A9" suaraku terketar-ketar. "Oh ya...hah...siapa diantara kamu yang tidur di kamar A9 yang pakai kusyen bilik rehat, lepas tu tak kemas balik" suara tegas Cikgu "J***" kian meninggi. Tiada seorangpun yang mengangkat tangan. Memandangkan keadaan itu amat merbahaya, aku tanpa berlengah mengangkat tangan dengan "penuh keberanian". Perlahan-perlahan diikuti oleh beberapa rakan-rakanku yang lain. Cikgu "J***" hanya merenung tajam. Aku kembali bersuara "Cikgu, kami datang nak mohon maaf kerana menginap secara haram semalam". Cikgu "J***" terus membisu sambil mundar-mandir dihadapan kami seolah-olah memikirkan sesuatu. "Sudah! kamu semua balik ke kelas dan jangan buat lagi...dah balik semua!" Cikgu "J***" masih lagi bernada tegas. Tanpa berlengah lagi, kami semua melangkah keluar beredar sambil menarik nafas panjang. Dalam fikiran kami tertanya-tanya kenapakah Cikgu "J***" tidak meneruskan tindakan dengan melibas kami dengan rotan seperti kebiasaan apabila beliau menangani masalah disiplin...Seribu tanda tanya...
Semasa sesi belajar petang, aku kembali berjumpa dengan adik junior yang menyapa aku pagi tadi. Aku bertanyakan siapakah nama pelajar senior yang Cikgu "J***" senaraikan pagi tadi. Satu persatu nama disebutkan dan ianya memang tepat....cuma nama aku tidak disebutkan. Aku pelik. Aku bertanya kenapa nama aku tidak disebutkan. Adik junior menyoal aku balik..."Abang ada ke semalam tidur kat kamar A9?" Jeng...jeng...jeng...

...Aku tersenyum...perasaan bersalah aku telah menyelamatkan aku dan 9 rakan-rakanku yang lain. Baru aku sedari mengapakah raut muka Cikgu "J***" berubah apabila memandang aku tengahari tadi. Rupa-rupanya mungkin dia "terperanjat" dan "terpaku" dengan sikap aku yang benar-benar menterjemahkan nilai "Berani Kerana Benar"...tetapi...apa yang benarnya? Bukankah aku melakukan kesalahan? Ya, memang benar aku melakukan kesalahan tetapi aku "Benar" dan "Jujur" kepada diriku untuk mengakui kesalahan dan aku berani untuk berkata benar terhadap kesalahanku...Malam ini aku akan tidur dengan nyenyak di kamar B4-Ibnu Sina. Kamar A9-Ibnu Khaldun akan hilang dalam lena dan mimpi ku...

...Back to the future...


Hasil Coretan:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Tuesday, April 24, 2007

Satu Ketika Dahulu..."Back To The Future I"

Kembali ke zaman silam...
1976-1982...Babak 5...

SATU KETIKA DAHULU...

Satu ketika dahulu...
Aku dan rakan-rakan pantang berkumpulan
Bermain "Police Entry" di halaman jiran
Lelaki dan perempuan sama berkejaran
Berpeluk sakan tanpa pendam perasaan

Satu ketika dahulu...
Aku dan rakan-rakan memahat senapang
Bermain "Combat" memburu lawan
Seluruh kampung habis diserang
Akhirnya mati tertembak di dalam reban

Satu ketika dahulu...
Aku dan rakan-rakan bermain "Tikam"
Berjual-beli dibawah pohon ketapang
Kalau rugi aku balik diam-diam
Kalau untung aku beli baju raya sepasang

Satu ketika dahulu...
Aku dan rakan-rakan bermain "Galah Panjang"
Lelaki dan perempuan sama bersaingan
Tergolek terlentang didalam gelanggang
Kalah dan menang adat permainan

Satu ketika dahulu...
Aku dan rakan-rakan tak kenal kolam
Bila lapang "Lombong" jadi sasaran
Dangkal dan dalam berani diselam
Balik ke rumah dihambat rotan

Satu ketika dahulu...
Aku dan rakan-rakan bermain "Layang-layang"
Panas terik tak menjadi penghalang
Gah melayang umpama helang
Nasib tak baik terus terbang melayang

Tapi kini...
Anak-anakku bermain didalam pagar
Berpakaian lengkap dan sentiasa berselipar

Dan aku...
Hanya mampu mengimbas kenangan...


Nukilan:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Sunday, April 22, 2007

Pembinaan Keperibadian..."Back To The Future III"

Kembali ke zaman silam...malam, 23 Mac 1988...

Babak 1 (Dalam Keretapi)

...Perjalanan malam itu bersama beberapa orang teman sekolah dengan menaiki Keretapi Tanah Melayu (KTM) amat menggembirakan. Gembira tetapi pada masa yang sama aku agak gementar. Gembira kerana kami telah 3 bulan tidak bertemu setelah tamat peperiksaan SPM 1987 dan gementar kerana esoknya aku akan melihat keputusan peperiksaanku setelah 2 tahun (1986-1987) berada di Sekolah Menengah Teknik, Johor Bahru (SMTJB). Terbayang wajah sejuta harapan atuk dan nenek yang telah memeliharaku sejak tapak kaki aku dua jari sehingga kini. Cukup takut jika aku pulang dengan pangkat 3 (secara peribadi aku anggap gagal).

Perjalanan yang sunyi sepi dengan tiupan deras angin dari luar gerabak keretapi membuat aku lena dalam riuh rendah dan gelak ketawa rakan-rakan. Sesekali terjaga jika keretapi singgah sebentar di stesyen perhentian. Di stesyen Gemas, seperti biasa setelah 2 tahun berulang-alik dari KL ke JB, mataku akan terpaku melihat seorang ibu dengan anak kecilnya menjinjing bakul kuih dan nasi lemak di luar gerabak sambil melaungkan.."kuih...nasi lemak.......kuih...nasi lemak.." cukup sayu kedengaran diawal pagi. Mataku kembali lena setelah bunyi unik gerabak mula bergerak dan melalaikan aku...suasana cukup damai ketika itu...

Babak 2 (Di Ruang Pejabat Sekolah)

Pagi itu umpama pesta. Jarang kami melihat sesama sendiri dengan pakaian yang berwarna-warni. Dua tahun di SMTJB, didalam banyak keadaan kami hanya melihat warna putih, biru dan hitam (pakaian seragam sekolah) dan hanya melihat kami bergaya sedikit bila mengikuti kelas petang dan malam.

Giliran aku mengambil keputusan telah tiba. Jantung kian berdegup kencang..dup..dap..dup..dap...Tiba dimeja cikgu bertugas, slip keputusan dihulurkan. Mata terpaku kepada kepingan kertas putih kecil dan terdengar suara cikgu menyebut..."TAHNIAH ZAMER! Syukur Alhamdulillah...penat-lelah, bergolok bergadai atuk dan nenekku menghantar aku belajar jauh-jauh ke JB ini tidak sia-sia. Aku berjaya memperolehi Pangkat 1 dengan agregat paras hidung...agregat 23. Aku akui ianya bukanlah satu pencapaian yang cemerlang tetapi cukuplah bagi aku yang bukan dikategorikan sebagai pelajar cemerlang. Mataku terus tertumpu kepada setiap gred subjek. Alhamdulillah...BM, BI, Geografi, Matematik dan semua subjek Sains (Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Pertanian) aku mendapat kredit dan tiada satupun subjek yang gagal termasuk subjek "Fobia" iaitu Matematik Tambahan.

Sambil aku mengambil dan menandatangani Sijil Berhenti Sekolah, sekali lagi mataku terpukau dengan catatan tambahan..."SEORANG PELAJAR PERAMAH, BERJIWA SENI, BERDISIPLIN, AKTIF DALAM BIDANG SUKAN DAN BAIK DALAM SEMUA TINDAKANNYA". Aku tertanya-tanya...apa yang dimaksudkan oleh Pengetua dalam catatan ini. Aku cuba melihat catatan rakan-rakanku yang lain. Tiada catatan yang agak khusus seperti aku. Kelihatan catatanku agak unik dan begitu spesifik.

Babak 3 (Dalam Keretapi)...malam, 24 Mac 1988...

Perasaan yang membelenggu perjalanan balik ke KL tidak seperti perjalanan datang ke JB semalam. Ada rakan-rakanku yang termenung dengan mata merah. Seorang rakan perempuanku yang bernama "J" telah mendapat pangkat 2 tetapi gred subjek asas untuk syarat layak ke Universiti agak kurang memberansangkan. Dia hanya membisu sejak tadi dan aku tidak mahu mengganggunya. Seorang rakanku yang lain begitu "kecoh" pula kerana keputusannya amat membanggakan...boleh dikatakan pelajar cemerlang. Macam-macam gelagat aku perhatikan. Suasana begitu ketara berbeza...

Aku kembali memikirkan catatan tambahan dalam Sijil Berhenti Sekolah aku. Perkataan "PERAMAH", "BERJIWA SENI", "BERDISIPLIN", "AKTIF SUKAN" dan "BAIK DALAM SEMUA TINDAKAN" berputar-putar dimindaku. Ahh...takan kerana aku hanya berlari dalam 4x100 meter mewakili rumah sudah dkatakan aktif, ahh...takan kerana hanya aku menjadi "Pelukis Sidang Redaksi Majalah Sekolah" dan pernah menjadi "Johan Pertandingan Melukis Mural" aku sudah dianggap berjiwa seni...dan takan ahhhhhhhhh.....begitu keliru...SIAPAKAH AKU DIMATA CIKGU...ahhhhhh....

Kembali ke masa hadapan...era 1988-1991...era 1992-1996...era 1997-2007...

Aku kini tersenyum...seribu persoalan aku pada malam 24 March 1988 telahpun terjawab. Patutlah aku boleh melukis Potret pada tahun 1991 kerana aku telah mempunyai asasnya pada tahun 1986-1987, patutlah aku boleh menari pada tahun 1988-1995 (penari kolej, UPM dan penari Kementerian dalam Pertandingan Kesenian antara Kementerian) kerana aku telah disahkan "berjiwa seni" pada tahun 1988, patutlah aku boleh mengarang sajak dan cerpen pada tahun 1990 kerana aku telah memulakan asasnya semasa mendapat tempat ketiga pertandingan mengarang "Sajak Kemerdekaan Kelas" pada tahun 1987 dan uniknya aku mengulangi peristiwa yang sama...mengarang "Sajak Kemerdekaan" pada tahun 2003.

Sememangnya tidak dinafikan zaman persekolahan benar-benar membentuk "KEPERIBADIAN" aku. Memang aku tidak dapat melihat apakah "impak masa hadapan" pada tahun 1988...tetapi kini ianya benar-benar terbukti dan amat UNIK...Semuanya berkesinambungan. Apakah babak seterusnya untuk tahun-tahun yang akan datang...seribu tanda tanya...

...Back to the future...


Hasil Coretan:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Saturday, April 21, 2007

Fokus Diri..."Back To The Future VI"

Kembali ke zaman silam...1995-1996...Babak II...

Bidang latihan bukanlah sesuatu yang baru kepada aku. Sejak 1995 lagi aku telah diajar, dilatih dan dibimbing untuk menjadi "Trainer" sewaktu aku bertugas di Jabatan Kerajaan. Berbanding dengan tugas aku sekarang yang apabila ada keperluan sahaja akan melatih kakitangan, bidang latihan di Jabatan Kerajaan lebih mencabar. Aku merupakan salah seorang "Master Trainer" dalam mengendalikan Program Latihan Kepimpinan JKKK, Tahun 1995-1996 yang membawa aku ke seluruh negeri dan berjumpa dengan pelbagai golongan masyarakat. Turun-naik kapalterbang sudah menjadi jadual tetap bulanan aku. Cukup mencabar...

Mengendalikan latihan dan memenangi hati audien adalah dua perkara berbeza. Jika sekadar menyampaikan pengetahuan melalui Modul Latihan yang ditetapkan dan melengkapkan jadual latihan tahunan bukanlah sukar tetapi memastikan penyampaian yang berkesan, unik dan melekat di minda dan hati audien adalah cabaran aku yang sebenarnya. Perasaan gementar menghadapi audien yang berbeza memang tidak boleh dielakkan kerana itu adalah realiti perasaan yang aku tidak boleh buang dan ianya perlu ditangani. Apatah lagi, audien aku kebanyakannya berumur 50 tahun keatas dan mempunyai pelbagai latar belakang (Ketua Kampung, Ahli Perniagaan, Setiausaha Politik, Imam Masjid, AJK Badan Sosial, Penuntut Universiti, Suri Rumah Tangga, Belia, Beliawanis dan sebagainya) dan aku...anak muda berumur setahun jagung...25 tahun...cukup janggal rasanya kalau niat aku semata-mata ingin mengajar mereka.

Aku masih ingat salah satu program latihan yang aku kendalikan selama 4 hari berturut-turut disalah sebuah negeri yang benar-benar menguji aku. Jika pada tahun 1995-1996, aku tidak boleh menjadi MJ Fox untuk meneroka masa hadapan "Back to The Future" untuk melihat diri aku pada tahun 2007, kini aku sedar bahawa peristiwa 1995-1996 benar-benar ada perkaitan rapat dengan peristiwa yang kini berlaku pada tahun 2007. Cukup unik...

Tempat latihan dan kemudahan yang disediakan tidak seperti yang aku jangkakan. Sambil menunggu kesemua audien aku masuk ke kelas, aku cuba menganalisis suasana dan ligat memikirkan teknik pengajaran yang bersesuaian dengan ruang, kemudahan dan kelengkapan yang disediakan. Fokus fikiran sedikit terganggu dengan "faktor luaran" dan aku seperti terperangkap "didalam kotak" dan gagal keluar. Selang 5 minit sebelum memulakan pengajaran, fokus aku semakin tergugat...bayangkan...mata dan perasaan aku terus terperangkap dengan melihat mereka terus berbual rancak, ada yang merokok lagi dibelakang kelas, ada yang menongkat dahi dengan muka mencuka, ada yang merenung tajam seolah-olah nak "makan orang", ada yang tersengih seolah-olah menyindir aku dan macam-macam lagi. Persepsi negatif mula bermain diminda aku...dan tiba-tiba..."STOP!"...aku terus sedar bahawa aku tidak harus dibuai dengan "faktor luaran". Aku mempunyai kekuatan dan aku harus mengembalikan fokus aku dan ianya adalah DIRI AKU SENDIRI...Fikir dan rasakan NIAT, KOMITMEN, TANGGUNGJAWAB dan TEKAD yang telah berada dalam diri aku. Ya, aku harus FOKUS.

Aku tidak perlu menunggu hingga hari ke 4 untuk melihat impaknya. Sejurus selepas aku menyuraikan audien untuk makan tengahari, tiba-tiba seorang pakcik dan rakannya menghulurkan tangan untuk berjabat sambil berkata "Encik...encik asal mana?" sambil tersenyum. Sebahagian pakcik dan makcik yang lain seakan "tunduk malu" meminta izin jalan dihadapan aku, sebahagian lagi "mengangkat tangan" dari jauh sambil beredar. Suasana berubah dalam bentuk yang lebih ceria. Audien aku seolah-olah berubah menjadi "orang muda" yang lebih bersemangat dan aku semakin selesa.

Kembali ke zaman kini...2007

Tubuh badan, pernafasan dan aliran darahku telahpun sebati dengan corak pemikiran reflektif. Aku kini berpegang kuat pada prinsip bahawa tiada satu peristiwa yang aku alami akan merugikan aku. Peristiwa 1995-1996 diatas benar-benar membentuk peribadi aku. Aku kini sentiasa melihat disudut yang berbeza bila menghadapi sesuatu. Cuba mencari perkara positif didalam perkara negatif kerana aku tahu sejarah akan berulang kerana perkara negatif hari ini akan menentukan perkara positif pada tahun 2020 (kalau umur panjang...insyaAllah...).

Prinsip ini dari masa kesemasa akan aku cuba terapkan ke minda dan perasaan kakitangan dan rakan-rakan yang ingin keluar daripada skop pemikiran biasa. Tidak aku nafikan agak sukar menanamkan kefahaman konsep pemikiran ini kerana kita hanya melihat apa yang ingin kita lihat pada hari ini...Agak sukar...

Kita jumpa lagi dimasa hadapan..."Back to the future..."

Hasil Coretan:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Friday, April 20, 2007

Disebalik Tirai : Dugong dan Nilai Kasih Sayang

Pengenalan:

Koleksi artikel komentar ini telah aku sumbangkan untuk Website Malaysia On Net sekitar tahun 1999 semasa masyarakat Malaysia terkejut dengan penemuan bangkai dugong. Berikut adalah artikel berkenaan :

Media massa tempatan sejak kebelakangan ini cukup galak memberikan perhatian khusus atas isu dugong. Bermula dengan episod kisah Pak Atan yang telah menemui bayi dugong, Si Tenang yang cedera parah lantas dirawat dan dipeliharanya bagai menatang minyak yang penuh; seterusnya mengiktiraf diri dan keluarganya sebagai bapa dan keluarga angkat si Tenang; sehinggalah episod-episod drama bersiri penemuan bangkai dugong dewasa yang kematiannya begitu memilu dan mengguris perasaan.

Pelbagai teori atau tafsiran telah dikemukakan. Bagi sesetengah pihak, mereka percaya bahawa penemuan bangkai dugong dewasa ini mungkin ada kaitan dengan Si Tenang. Wujudlah teori keluarga dugong dengan sifat keibuan dan kekeluargaannya, teori pencemaran alam, teori pemakanan dan sebagainya sebagai punca kematian dugong. Pelbagai pihak cuba mengutarakan teori masing-masing. Terdengarlah kata-kata masyarakat umum..."Hah...anak dugong dah mati, mak dugong dah mati, bapa dugong dah mati, abang dugong dah mati, kakak dugong bila lagi..."

Kematian dugong secara bersiri adalah satu tragis apatah lagi ianya disulami dengan kontroversi. Kisah sedih ini pastinya akan terpahat dalam buku sejarah Malaysia (Hari Ini Dalam Sejarah).

Apakah hikmah disebalik peristiwa ini? Kita sebagai manusia disamping bijak mengeluarkan pelbagai tafsiran, perlulah memikirkan sejenak bahawa kita sebagai manusia yang dianugerahkan Tuhan dengan akal dan fikiran perlu mengambil iktibar daripada kisah tragis ini. Peristiwa ini harus mengajar kita betapa pentingnya semangat kekeluargaan, betapa eratnya hubungan antara ibu dan anak, betapa perlunya susu ibu dugong kepada anak dugong, betapa tegasnya prinsip pihak berkuasa, betapa prihatin dan uniknya sikap Pak Atan dan keluarganya serta betapa hibanya masyarakat umum.

Jika ibu dan keluarga Si Tenang sentiasa berendam air mata kerana sedih dan menyesal atas kehilangan Si Tenang yang comel dan terpaksa menanggung rindu dendam serta sanggup tidak makan dan akhirnya mati kelaparan kerana diseksa dengan seribu penantian; kita sebagai manusia yang boleh mengawal dan menyesuaikan hidup (tidak seperti dugong) seharusnya melebihi martabat dugong dalam soal tanggungjawab dan kekeluargaan.

Bagi manusia yang tergamak membuang anak, ibubapa yang tanpa belas kasihan mendera, membiar, merogol anak dan sebagainya perlulah merenung jauh kisah pilu drama dugong ini. Hayatilah mesej tersirat disebalik tragedi ini. Hayatilah pengorbanan Pak Atan dan keluarga sejati Si Tenang. Merananya Pak Atan dan keluarganya adalah kerana putusnya kasih sayang mereka dengan Si Tenang yang menjadi tempat bermanja. Terkorbannya ibu dan keluarga Si Tenang kerana memendam rasa kasih sayang yang tidak kesampaian. Malangnya pihak berkuasa pula kerana menyalurkan sifat kasih sayang mereka melalui undang-undang yang menginginkan Si Tenang membesar didalam alam semulajadinya. Antara semua makna kasih sayang ini, akhirnya Si Tenang terjerat dan hilang segala-galanya. Hilang kasih sayang manusia dan hilang kasih sayang ibu sejati. Sesungguhnya, kasih sayang itu adalah sesuatu yang tiada terbanding nilainya dan seharusnya ianya disemai dan dipupuk didalam jiwa kita.

Sekiranya kisah dugong ini telah melatahkan banyak pihak yang kini berganding bahu melakukan segala bentuk kajian daripada segi undang-undang sehinggalah ujian DNA; kita juga perlu berganding bahu segera untuk membuat bedah siasat kes-kes masyarakat dengan lebih serius. Diharapkan sifat kasih sayang dalam kisah dugong ini dapat menjadi pemangkin dalam mencipta penawar yang mujarab untuk pembangunan keluarga dan masyarakat.

Kisah dugong ini pada suatu masa akan menjadi kenangan dan sejarah. Jika Si Tenang diawet untuk menjadi tatapan manusia, pastikan agar bukan hanya fizikalnya sahaja ditatapi tetapi hayati dan renungilah juga semangat dan sifat kasih sayang yang menjadi intipati tragedi ini untuk pengajaran kita bersama.

Hasil Coretan:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
1999

Disebalik Tirai : "Superimpose" dan Nilai Moral

Pengenalan:

Koleksi artikel komentar ini telah aku sumbangkan untuk Website Malaysia On Net sekitar tahun 1999 semasa masyarakat Malaysia terkejut dengan isu artis popular bergambar bogel. Baru-baru ini, kita dikejutkan lagi dengan isu yang sama. Nampaknya, kita masih lagi berlegar dengan topik moral yang sama walaupun setelah 8 tahun berlalu semenjak aku menulis perkara ini. Berikut adalah artikel berkenaan :

"Hangat...hangat...panas....panas..." Ungkapan yang menjadi sebutan dibibir kebanyakan orang sejak kebelakangan ini. Sekiranya benar kecanggihan teknologi maklumat telah disalahgunakan oleh pihak tertentu, ini merupakan satu penyalahgunaan pengetahuan dan kemahiran yang dipinjamkan sementara oleh Tuhan.

Pelbagai pihak telah mengutarakan teori masing-masing. Jika sebelum ini perkataan "superimpose" hanya bermain dibibir insan-insan grafik, tetapi kini ianya telah menjadi sebutan popular masyarakat umum tidak kira di rumah, pejabat atau kedai kopi.

Benarlah bahawa teknologi kini boleh melakukan segalanya samada untuk tujuan baik atau buruk. Ia hanya alat ciptaan manusia dan ia tidak mengenal siapa sasarannya. Bagi manusia yang lalai dan sentiasa bergelumang dengan maksiat, teknologi akan menjadi alasan terbaik untuk menyelamatkan maruah diri jika tersilap langkah dan bagi manusia yang teraniaya, ianya merupakan satu titik hitam dalam kehidupan yang mengukir sejarah seumur hidup.

Isu artis bergambar bogel atau lucah kategori "double 18SX" atau "over exposed" baru-baru ini seolah-olah menjadi satu panahan petir yang mengejutkan lena pelbagai pihak. Sekiranya difikirkan sejenak, kejutan imej lucah ini seolah-olah ingin melambangkan satu petanda atau simbol betapa kroniknya masyarakat kita pada hari ini (lupakan dulu soal kesahihan gambar). Kita tidak boleh menafikan bahawa isu kerosakan moral masyarakat kini telah sampai ke tahap kemuncak. Identiti masyarakat timur yang terkenal sejak zaman dahulu kala dengan sifat sopan-santun, lemah-lembut, pemalu, tertib, peramah dan sebagainya seolah-olah telah diragut dengan rakus oleh generasi zaman kini.

Kini, dengan sokongan teknologi maklumat dan atas nama kemajuan, kita sopan pula dengan wang ringgit, lemah-longlai dalam dakapan noda, pemalu dengan nilai-nilai murni, tertib berpakaian ghairah dan peramah pula dengan pujuk rayu. Di media massa, laporan kes haruan makan anak, khalwat, rogol, bunuh, dera, bohjan, bohsia dan sebagainya sentiasa dipaparkan. Walaupun statistik kajian masih boleh dipertikaikan oleh banyak pihak tetapi hakikatnya nilai moral kini semakin runtuh menyembah bumi dan ini adalah sesuatu yang amat membimbangkan.

Jika difikirkan, imej "superimpose" yang menjadi "over exposed" di internet dan media massa ini hanyalah sebagai alat atau signal untuk menggemparkan pihak-pihak yang berkaitan supaya usah lagi lena diulit mimpi dan mengambil mudah dalam menangani isu kerosakan moral. Tindakan tegas dan penggembelingan bersama melibatkan institusi keluarga dan pihak berkuasa amat perlu dilaksanakan kini untuk mengkaji dan menilai isu moral secara lebih menyeluruh dan bersepadu.

Masyarakat hari ini harus dibimbing agar tidak leka dalam arus keseronokan (wang ringgit dan kemodenan) dan tidak hilang pertimbangan dalam membezakan antara baik dan buruk, antara mulia dan hina dan antara dosa dan pahala. Pegangan agama perlu atas kesedaran dan penghayatan yang mendalam. Unsur-unsur seperti pergaulan bebas, berpakaian dan beraksi ghairah, hubungan seks tanpa nikah, penganiayaan, hasad-dengki, fitnah, dendam kesumat dan sebagainya tidak harus dijadikan rencah dalam kehidupan atas alasan mengejar kemajuan.

Sesungguhnya, pembangunan dan kemajuan umpama rumah yang mempunyai tiang. Kerosakan moral umpama anai-anai. Diluaran nampak kukuh dan padu tetapi sehingga tiba waktu yang sesuai yang mungkin kita tidak jangkakan, anai-anai akan menjelma dan bertempiaran bebas (tiada lagi kawalan) kerana tiang sudahpun patah dan rumahpun sudah runtuh.

Apakah kita hanya ingin bercakaran mempersoalkan kesahihan dan gelojoh mengutarakan teori-teori penyembuhan sahaja, sedangkan bunyi anai-anai telahpun jelas kedengaran dan sekali-dua terdapat anai-anai yang nakal menjelmakan diri seperti imej "superimpose"? Fikirkan bersama.

Hasil Coretan:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
1999

Nostalgia 2001...Ikrar Organisasi

Aku masih ingat lagi ditahun 2001...masa itu aku bertugas di Ibu Pejabat dan maklumat terkini organisasi sememangnya mudah diakses. Memandangkan aku suka menulis, rakan-rakan mencadangkan aku agar mencipta "Ikrar Organisasi" yang akan memahatkan nama aku sampai bila-bila...

Ikrar pertama sumbangan aku kepada organisasi adalah melibatkan "Temasya Sukan Tahunan" yang menghimpunkan seluruh atlet organisasi seluruh negara...rasa bangga yang amat sangat bila Pengerusi Majlis mengumumkan nama aku sebagai penyumbang, disusuli pula laungan ikrar yang bergema di Stadium Bukit Jalil. Malangnya, nukilan ikrar itu tiada lagi didalam koleksi aku...

Ikrar kedua sumbangan aku kepada organisasi adalah melibatkan "Nilai Murni Organisasi". Aku sekali lagi memerah otak mencari bunga-bunga bahasa. Walau bagaimanapun, program organisasi untuk tujuan Nilai Murni ini terhalang diseparuh jalan atas faktor-faktor tertentu. Oleh yang demikian, ikrar ini telah menjadi hakmilik aku sepenuhnya untuk tujuan perkongsian...kandungannya "tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas" sekiranya kita masih dibawah kategori "Pekerja Organisasi"...


Kami
Warga Kerja.....................
Dengan Ini Berikrar
Bahawasanya Kami
Berazam
Untuk Berganding Bahu, Bersatu Tenaga
Menyumbang Khidmat Menyemai Bakti
Berteraskan Semangat Jitu
Sebagai Tanda Penghargaan dan Kesyukuran
Atas Nikmat dan RahmatNYA
Bertekad
Untuk Melaksanakan
Tugas dan Tanggungjawab
Serta Rela
Memikul Amanah dan Kepercayaan
Berasaskan Komitmen Padu
Mengamalkan
Pemikiran, Perasaan dan Tindakan Positif
Atas Dasar Kesucian Hati
Sebagai Lambang Keikhlasan Sejati
Menghormati dan Mematuhi
Keperluan Garis Panduan dan Norma Organisasi
Berasaskan Prinsip Disiplin dan Moral Diri
Yang Teguh
Dan Kami Berjanji
Untuk Membina dan Memupuk
Nilai-nilai Syukur, Amanah, Ikhlas dan Disiplin
Sebagai Tunjang Kekuatan
Etika Kerja dan Budaya Kehidupan
Yang Luhur dan Murni


Sumbangan:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Realiti Kehidupan..."Back To The Future - Exclusive Introduction"

...Sesekali ku rasa teringin...nostalgia lagu dendangan Shima begitu menusuk kalbu...dan aku sesekali juga rasanya ingin berpatah ke zaman silam atau meneroka ke masa hadapan untuk melihat apakah "realiti kehidupan" sebenar aku di dunia ini.

Sesekali aku terfikir kenapa manusia sentiasa berkata..."Kalaulah aku tahu...", "Kenapakah aku jadi begini..." Apalah nasibku ini..." dan pelbagai kata-kata yang tanpa disedari telah mencorakkan realiti kehidupan kita pada hari ini.

Aku sentiasa berfikir dan bertanya kepada diriku...dari manakah terciptanya keyakinan diri...dari manakah wujudnya keberanian diri, dari mana lahirnya disiplin diri, dari manakah datangnya prinsip diri dan pelbagai persoalan lain.

Sesekali menonton filem "Back To The Future" lakonan pelakon comel MJ Fox, aku terfikir alangkah indahnya sekiranya aku tahu apakah yang akan berlaku kepada realiti kehidupan aku dimasa hadapan sekiranya hari ini aku boleh meninjau masa hadapan dan melihat diri aku 10 tahun akan datang dan alangkah indahnya jika aku dapat kembali ke zaman silam 10 tahun dahulu yang aku boleh perbetulkan langkah terdahulu bagi memastikan realiti kehidupan aku hari ini seperti seadanya atau sebaliknya...MUSTAHIL...ianya hanya sebuah filem...tetapi analogi filem itu aku telah jadikan pengajaran untuk aku berfikir diluar kotak sempadan pemikiran dan merancang perjalanan. Sesekali aku menarik nafas lega kerana walaupun aku bukan MJ Fox, aku telah pasti sebenarnya terdapat skrip perjalanan kehidupan aku terdahulunya telah berjaya mencorakkan kehidupan aku dimasa kini.

Aku teringat 17 tahun dahulu di UPM aku begitu aktif dalam bidang kesenian...katakan apa sahaja bidang seni...menari, melukis, menulis sajak, menulis cerpen, berlakon teater, menyanyi, berpuisi dan apa jua cabang seni kebanyakannya aku telah ceburi sepanjang tempoh pengajian di UPM. Aku bukan berdarah seni tetapi aku BERANI mencuba..teringat lagi aku, Kholid, Yahaya, Norshah, Affian dan Dollah bersantai dimalam Ahad di Pasar Seni menonton persembahan Wayang Kulit...akhirnya tercetus nukilan sajak bertajuk "Wayang Kulit" yang berjaya menjadi Naib Johan Pertandingan Menulis Sajak Fakulti tahun 1990. Teringat aku menyanyi tanpa muzik di Pusat Pemulihan Orang Cacat, Cheras pada tahun 1989. Teringat aku menari kontemporari bersama lakonan Kholid dan Norshah untuk Hari Kolej pada tahun 1991. Teringat aku menggigil dibelakang rostrum menyampaikan kertas kerja kursus...masa itu aku seperti berada didalam dunia aku sendiri..mendengar degup jantung sendiri...mendengar suara gementar aku sendiri...begitu kelakar jika dikenang. Teringat aku berjaya menghasilkan 2 lukisan potret untuk Syikin dan kakak A (lupa nama)...potret yang aku hasilkan 16 tahun dahulu masih lagi tergantung diruang bilik rakanku itu walaupun dia telahpun beranak 3. Teringat dunia aku seperti tertutup bila gagal kertas Matematik dan Pengajian Pengembangan dan terpaksa mengulang semula. Teringat aku BERBANGGA mendapat markah tertinggi untuk kursus Kepenggunaan. Teringat aku telah kembali memulihkan semangat dan mencipta sejarah menaikkan gred CGPA aku daripada 2.40 ke melebihi tahap 3.00 dalam tempoh 3 semester sahaja. Teringat aku rasa GEMBIRA bila dapat mengekalkan Kepujian Dekan untuk tempoh 2 semester berturut-turut yang menaikkan gred CGPA akhir semester. Teringat aku cukup GEMAR sekiranya peperiksaan kursus memerlukan aku menulis panjang sampai berulang kali mengangkat tangan meminta kertas kajang tambahan. Teringat aku bagaimana aku begitu SERIUS bila aku menjadi ketua kepada rakan-rakan aku untuk kerja kursus. Teringat bakat KEPIMPINAN aku bila bertindak sebagai Penasihat untuk menerbitkan risalah kelas. Teringat lawak spontan aku bila menjadi Pengerusi Majlis untuk aktiviti kelas. Akhirnya, teringat aku berbual dibelakang pentas selepas berakhirnya persembahan Puisidra Kolej...berbual dengan rakan seUniversiti iaitu Noormaizon Ibrahim yang kini adalah isteriku.

Peristiwa diatas hanyalah 10% daripada skrip kehidupan aku 19 tahun dahulu. Sekiranya direnung berdasarkan analogi "Back To The Future", aku amat percaya, detik permulaan skrip diatas sebenarnya telahpun bermula 20-30 tahun dahulu. Ini kerana aku masih teringat aku menyanyikan lagu "Hingga Akhir Nanti" dihadapan rakan-rakan sekelas aku semasa di Darjah 5. Maknanya KEBERANIAN BERDIRI dihadapan orang ramai telahpun bermula diwaktu aku berumur 11 tahun..Alangkah indahnya realiti kehidupan.

Banyak lagi peristiwa-peristiwa menarik yang boleh aku kongsikan seperti peristiwa di asrama semasa aku bersekolah di Sekolah Menengah Teknik, Johor Bahru, peristiwa-peristiwa menarik sewaktu aku bekerja di Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan sebagainya. Sekiranya difikirkan, segala peristiwa yang aku alami sepanjang umur aku 37 tahun ini sebenarnya adalah kepingan-kepingan "Puzzle" yang akan melengkapkan skrip kehidupan aku masa kini dan masa hadapan. Kepingan-kepingan "Puzzle" kecil itulah yang membentuk, melatih dan mengajar aku perkataan BERANI, YAKIN, IKHLAS, AMANAH, SYUKUR, DISIPLIN, TEGAS, USAHA, TEKAD, FOKUS, INISIATIF, KREATIF, PROAKTIF, SENSITIF dan sebagainya.

Bidang seni telah lama aku tinggalkan..tiada lagi menulis cerpen, tiada lagi menulis sajak, tiada lagi melukis potret...tiada lagi tarian kontemporari, tiada lagi lakonan...Adakah aku rugi meninggalkannya...Tidak sama sekali...aku sentiasa berfikir diluar pemikiran biasa..aku amalkan PEMIKIRAN REFLEKTIF. Semua bakat dan kemahiran aku sebenarnya telah lama sebati dalam tubuh dan aliran darah aku tanpa boleh dibuang...Ya ke? Ya, kerana sesekali jika perasaan aku begitu mendalam, aku akan cuba menghasilkan nukilan bermutu. Terbukti dengan tersiarnya Puisi Kemerdekaan 2003 didalam Akhbar Utusan Malaysia. Aku terjemahkan bakat penulisan kreatif aku dalam bentuk yang lain kini sesuai dengan jawatan aku dalam bidang Sumber Manusia di syarikat Telekomunikasi Terulung di Malaysia. Aku kini lebih fokus kepada bentuk penulisan Komentar dan Motivasi. Bakat melukis, aku terjemahkan pula dalam bidang kerja yang memerlukan penelitian yang tinggi (bukankah melukis memerlukan FOKUS dan PENELITIAN). Ya, segalanya berkaitan cuma aku harus pandai MENTERJEMAHKAN BAKAT dan KEMAHIRAN yang berada didalam tubuh dan aliran darah aku sesuai dengan keperluan semasa.

Sejarah telah membuktikan dan mengajar aku...aku percaya apa jua NIAT dan TINDAKAN aku hari ini akan menentukan skrip kehidupan aku dimasa hadapan...Skrip Kehidupan masa hadapan aku telahpun bermula..bukan hari ini...bukan jua 5 tahun dahulu tetapi telah bermula sejak dahulu lagi...cukup cantik perjalanan kita bagi kita yang ingin berfikir dan menilai...Inilah Realiti Kehidupan...

...Back to the future...

Catatan Sejarah:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Thursday, April 19, 2007


Puisi Kemerdekaan Terpilih Utusan Malaysia, 31hb Ogos 2003

46 Tahun Negara Berdikari
Membina Generasi Berbudaya Sendiri
Di Mata Dunia Anak Malaysia Dihormati
Erti Kemerdekaan Diri Sejati

Pelbagai Bangsa Hidup Harmoni
Berkongsi Peranan Menjana Ekonomi
Rakyat Mewah Negara Dikenali
Erti Kemerdekaan Bangsa Beridentiti

Keranamu Malaysia Kami Berbakti
Rela Berjuang Berkorban Diri
Pemimpin Disegani Negara Dicontohi
Erti Kemerdekaan Sentiasa Dirahmati



Nukilan:
Zamer Rizal Osman (ZoRrO)
Bandar Kinrara, Puchong

GEMILANG


Terjagaku dari tidur yang lena

Melangkah malas menuju jendela

Kabus menyelubungi subuh

Mengimbas segala kenangan yang lalu




Lautan luas telah ku renangi

Segala onak ranjau yang berduri

Tak kenal dan tak ku peduli

Ku terus mencuba

Kecapi hingga kini




Bersama-sama tempuhi segala

Walau jalanan masih jauh

Hanya kau dan aku yang tahu

Saat gemilang yang aku nantikan

Hampir menjelma di depan mataku

Ku percaya saatkan tiba

Hanya menunggu tika dan masa




Bersama-sama

Tempuhi segala

Saat gemilang akan tiba

Kan kita kecapi bersama

Sungguh aku berjanji

Dengan diriku sendiri

Untukku menggenggami

Ikhlas, sabar, benar

Wednesday, April 18, 2007

Beautiful of Life....

PERMULAAN...PERKEMBANGAN...KEINDAHAN...REALITI KEHIDUPAN ZAMER RIZAL OSMAN @ ZoRrO
25 Tahun @ 1995 - Saat gemilang mula tercipta bersama isteri kesayangan - Noormaizon Ibrahim
26 Tahun @ 1996 - Diserikan dengan kelahiran seorang putera - Zuhairi Razi
31 Tahun @ 2001 - Dihiaskan lagi dengan kehadiran seorang puteri - Nur Amira

Detik-detik seterusnya....