Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Sunday, December 26, 2010

Puisi Untuk Nenek


Rasa Kehilangan Kekal Berpanjangan
Atuk Lama Meninggalkan Sempadan
Kini Nenek Melambaikan Tangan
Berakhir Skrip Sarat Kesunyian

Insan Berkorban Jiwa Raga
Memeliharaku Sejak Kenal Dunia
Bergolok Bergadai Tiada Berkira
Demi Melihat Kejayaan Cucunya

Kasih Sayang Tiada Beza
Wang Ringgit Bukan Nilainya
Tiada Kurang Dalam Sederhana
Keperluan Hidup Diagih Bersama

Jasa Nenek Kubalas Akhirnya
Kejayaanku Menjadi Bual Bicara
Nenek Berbangga Hati Berbunga
Doa Dipanjat Setiap Masa

Kini Nenek Pergi Selamanya
Meninggalkan Kenangan Terpahat Dijiwa
Tiada Sempat Inginku Bersua
Memohon Ampun Dipenghujung Nyawa

Nenek yang aku panggil "Mak" sejak kecil telah kembali ke Rahmatullah pada pukul 2:15pm, 17 Disember 2010, Jumaat kerana sakit tua. Semoga roh "Mak" dicucuri rahmat Allah SWT. Al-Fatihah...

Nukilan Khas oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO @ Putera Halimunan
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Sunday, October 24, 2010

Pelangi Petang

Tiada Lagi Aura Diri
Menarikan Jari Berbicara Sakti
Terasa Kehilangan Sesuatu Dihati
Semangat Sukar Ditemui Kembali

Saturday, July 17, 2010

Isu-isu Dunia...Apa Nak Jadi?


Sudah hampir dua(2) bulan aku tidak menarikan jari dan minda aku ke dunia penulisan maya ini. Isu-isu semasa dunia samada di luar atau di dalam negara tidak lagi membuatkan aku teruja untuk melempiaskan nafsu amarahku dalam bentuk penulisan. Terasa penat dan lelah. Muak dan meluat dengan isu-isu lapuk yang kian berulat. Ulat-ulat yang kian rakus memakan "bangkai" yang terbiar kaku dan dibiarkan hilang ditelan waktu.

Lihat sahaja isu kekejaman rejim Zionis Israel yang kini semakin dingin membeku. Hanya gah dimeja persidangan atas jenama diplomasi kononnya. Hanya panas bermusim. Bahang tengahari yang tidak sampai ke petang. Isu yang telah aku kupas secara reflektif dalam bentuk komentar dan telah disiarkan di akhbar Berita Harian satu ketika dahulu. Penat pula ingin menulis perkara yang sama.

Sejarah telah membuktikan bahawa rejim Zionis Israel langsung tidak boleh dipercayai kata-kata manisnya. Kata-kata mereka adalah omong kosong. Kita yang lurus bendul dan dungu terus dijadikan boneka mereka. Esok dan lusa pasti kita membicarakan perkara yang sama. Menyampah!

Apabila menonton rancangan Aduan Rakyat di TV3, sekali lagi aku hendak termuntah dengan komen dangkal Badan-badan Penguatkuasa yang seolah-olah dibutakan mata dan hati mereka untuk melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh RAKYAT.

Isu penerokaan tanah secara haram di Tanah Tinggi Cameron cukup tidak masuk akal. Pada aku ini semua gara-gara gejala RASUAH yang langsung tidak dapat lagi dibendung. Usah dinafikan kerana ianya adalah kenyataan. Gejala rasuah yang terus bernanah dan meninggalkan bau busuk yang meloyakan. Mustahil tiada pemantauan berkala dilakukan jika tidak dijadualkan setiap hari. Adakah mulut telah disuap dengan penuh gelojoh dan hati telah dikunci dengan mangga gajah?

Isu politik dalam negara juga tiada kesudahan. Leka bercakaran sana-sini. Selepas 4-5 tahun sekali lagi sibuk orang-orang politik ini berkempen dan mencanangkan slogan yang hanya sekadar diperbaharui. Masa itulah segala jenis ideologi dijaja dalam bekas baru untuk mengaburi pemikiran rakyat.

Isu-isu asas seperti infrastruktur, kemiskinan, kesesakan jalanraya, harga barangan, pendidikan, agama dan sebagainya masih lagi berlegar diawang-awangan tanpa jalan penyelesaian yang komprehensif dan konkrit. Sekali lagi aku panas hati.

Apa nak jadi dengan isu-isu semasa ini? Adakah ianya sebahagian daripada skrip kehidupan di dunia yang tidak boleh dielak. Sukar untuk aku menjawabnya.

Coretan "Kembali" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Saturday, May 22, 2010

Puisi Khas: Pelangi Di Kaki Langit


Pelangi Di Kaki Langit

Pabila Mentari Memancarkan Sinar
Hujan Panas Datang Bertamu
Bahang Bumi Sedetik Bertukar
Dingin Air Meresap Ke Penjuru

Dingin Air Meresap Ke Penjuru
Mengalir Arus Tanpa Ragu
Langit dan Bumi Mesra Bersatu
Di Kaki Langit Jelas Bertemu

Di Kaki Langit Jelas Bertemu
Hiasan Pelangi Menerangi Alam
Garis Sempadan Jauh Dituju
Dua Alam Erat Digenggam

Nukilan "Dua Alam" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Edisi Khas: Pabila Aura Penulisanku Hilang


Sudah lebih dua(2) bulan aku tidak menulis. Seolah-olah butir-bicara aku untuk Program Reunion SMTJB 1986/87 merupakan detik kemuncak yang mengakhiri aura penulisan aku. Bingung dengan arus terbaru ini. Mengapakah tiada lagi semangat teruja dihujung minggu untuk menulis topik "Back To The Future", Edisi Khas, Puisi, Cerpen dan sebagainya.

Menulis adalah terapi minda dan emosi yang aku amalkan selama ini. Benci dan meluat dengan isu-isu semasa negara, pasti jari ini ringan untuk menari. Terkenang zaman silam pula, pasti minda pantas menerokai ceruk memori yang paling dalam.

Aku tidak ketandusan idea. Cuma kekeringan semangat untuk menulis. Adakah ini tempoh aku berhibernisasi? Lamanya. Ada yang bertanya kenapa tiada lagi penulisan baru? Tiada jawapan pasti. Kesibukan bukan alasan konkrit. Menulis sudah menjadi mainan dan tarian aku selama ini.

Adakah aku akan terus halimunan daripada dunia blog? Hari ini aku telah memetik suis lampu. Samada cahayanya terang atau malap, masih menjadi tanda-tanya.

Coretan "Hibernisasi" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor