Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Sunday, January 31, 2010

Titisan Zaman..."Back To The Future I"


Hujan diluar kedengaran amat lebat. Hentaman air dari langit yang menyejukkan atap genting rumah yang bahang. Tiba-tiba fikiran merewang menerokai sejarah zaman silam...

Kembali ke zaman zilam...1977-1981...Episod 9

Seorang budak kecil kelihatan membatukan diri sambil bersila di atas pangkin. Pangkin kayu hasil kerja tangan Atuk yang diletakkan di beranda rumah sebagai tempat bersantai. Tubuh kurus yang hanya berseluar pendek gelap dan tidak berbaju kelihatan menyilangkan kaki membungkus dada nipis. Mata jernih merenung titisan air hujan yang mengalir deras menghiris bumi. Lantas membentuk takungan bak kolam renang dipenghujung aliran. Pasti selepas ini akan menjadi medan kocakan rakan-rakan sebaya. Tiada istilah kotor kepada mereka. Umpama pesta air.

Seorang budak kecil kelihatan leka memerhati Si Nenek menenggekkan kuali di atas dapur minyak tanah. Ikan kembung yang berlumur kunyit menanti untuk digoreng buat makanan tengahari. Api tidak mahu menyala pula. Lantas Si Nenek menyuruh Si Cucu mengisi minyak di dalam balang kaca. Tanpa berlengah Si Cucu mengeluarkan balang kaca jernih lalu menuju tin aluminium minyak tanah yang terletak dibawah almari makanan yang usang. Dipam perlahan-lahan sambil corong penyedut dihalakan kedalam balang. "Dah penuh Mak!"

Seorang budak kecil kelihatan pantas berlari dengan hanya berkaki ayam. Walaupun kecil, lariannya bagai lipas kudung. Mencungap-cungap budak yang mengejarnya. Sesekali mereka bermain ejek-ejek. Buat Si Pengejar panas hati. Dia menuju bangsal kayu yang dijadikan "rumah". Budak yang mengejar mati langkahnya dan wajahnya masam mencuka. Oh! Mereka bermain "Polis & Pencuri" rupa-rupanya. Suasana lewat petang yang riuh dengan suara kanak-kanak menjerit. Tidak kurang juga yang menangis sakan apabila ditangkap Si Polis.

Seorang budak kecil sekali lagi berlari pantas dari rumah tanpa berbaju menuju satu destinasi. Entah apa yang ingin dikejarnya sehingga begitu pantas meluru dari pintu rumah. Tanpa berselipar memecut deras membelah cahaya senja. Sekembalinya dia, 5 bungkusan Mamee berada didalam gengaman. Rupa-rupanya dia disuap oleh Bapa Saudaranya untuk membeli Mamee di kedai Pak Ali yang terletak 100 meter dari rumah. Patutlah bersemangat kerana bahagiannya juga ada sebagai upah.

Siapakah Budak dan Si Kecil ini? Itulah aku di zaman silam. Menjalani kehidupan kanak-kanak yang sukar dijual-beli. Satu zaman yang tidak akan kembali lagi. Hanya kenangan memahat perasaan. Namun, titisan zaman tetap wujud seumpama titisan hujan yang tidak pernah gagal mengalir ke bumi.

Back to the future...

Coretan "Si Budak" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

No comments: