Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Sunday, January 31, 2010

Titisan Zaman..."Back To The Future I"


Hujan diluar kedengaran amat lebat. Hentaman air dari langit yang menyejukkan atap genting rumah yang bahang. Tiba-tiba fikiran merewang menerokai sejarah zaman silam...

Kembali ke zaman zilam...1977-1981...Episod 9

Seorang budak kecil kelihatan membatukan diri sambil bersila di atas pangkin. Pangkin kayu hasil kerja tangan Atuk yang diletakkan di beranda rumah sebagai tempat bersantai. Tubuh kurus yang hanya berseluar pendek gelap dan tidak berbaju kelihatan menyilangkan kaki membungkus dada nipis. Mata jernih merenung titisan air hujan yang mengalir deras menghiris bumi. Lantas membentuk takungan bak kolam renang dipenghujung aliran. Pasti selepas ini akan menjadi medan kocakan rakan-rakan sebaya. Tiada istilah kotor kepada mereka. Umpama pesta air.

Seorang budak kecil kelihatan leka memerhati Si Nenek menenggekkan kuali di atas dapur minyak tanah. Ikan kembung yang berlumur kunyit menanti untuk digoreng buat makanan tengahari. Api tidak mahu menyala pula. Lantas Si Nenek menyuruh Si Cucu mengisi minyak di dalam balang kaca. Tanpa berlengah Si Cucu mengeluarkan balang kaca jernih lalu menuju tin aluminium minyak tanah yang terletak dibawah almari makanan yang usang. Dipam perlahan-lahan sambil corong penyedut dihalakan kedalam balang. "Dah penuh Mak!"

Seorang budak kecil kelihatan pantas berlari dengan hanya berkaki ayam. Walaupun kecil, lariannya bagai lipas kudung. Mencungap-cungap budak yang mengejarnya. Sesekali mereka bermain ejek-ejek. Buat Si Pengejar panas hati. Dia menuju bangsal kayu yang dijadikan "rumah". Budak yang mengejar mati langkahnya dan wajahnya masam mencuka. Oh! Mereka bermain "Polis & Pencuri" rupa-rupanya. Suasana lewat petang yang riuh dengan suara kanak-kanak menjerit. Tidak kurang juga yang menangis sakan apabila ditangkap Si Polis.

Seorang budak kecil sekali lagi berlari pantas dari rumah tanpa berbaju menuju satu destinasi. Entah apa yang ingin dikejarnya sehingga begitu pantas meluru dari pintu rumah. Tanpa berselipar memecut deras membelah cahaya senja. Sekembalinya dia, 5 bungkusan Mamee berada didalam gengaman. Rupa-rupanya dia disuap oleh Bapa Saudaranya untuk membeli Mamee di kedai Pak Ali yang terletak 100 meter dari rumah. Patutlah bersemangat kerana bahagiannya juga ada sebagai upah.

Siapakah Budak dan Si Kecil ini? Itulah aku di zaman silam. Menjalani kehidupan kanak-kanak yang sukar dijual-beli. Satu zaman yang tidak akan kembali lagi. Hanya kenangan memahat perasaan. Namun, titisan zaman tetap wujud seumpama titisan hujan yang tidak pernah gagal mengalir ke bumi.

Back to the future...

Coretan "Si Budak" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Reunion SMTJB 1986/87..."Back To The Future (Siri 3)"

23 Januari 2010, 5:00 pm - 7:00 pm

Mesyuarat No. 3 bersama 4 orang AJK telah berlangsung di Medan Selera, Taman Warisan Pertanian, Putrajaya.

Perbincangan yang lebih menjurus kepada soal kos dan belanjawan Reunion yang bakal diadakan. Adakah semua ahli mampu menanggung kos yang ditetapkan? Satu cabaran hebat buat Si Bendahari "Dayak" khususnya dan Jawatankuasa amnya.

Catatan "Setiakawan 3" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Sunday, January 17, 2010

Reunion SMTJB 1986/87..."Back To The Future (Siri 2)"

16 Januari 2010, 10:30 am - 12:30 pm

Mesyuarat No.2 bersama dengan 6 orang AJK telahpun berlangsung di Kelab Golf PDRM, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Perbincangan yang lebih terperinci terutama menentukan lokasi Reunion yang bakal menjadi sejarah TERHEBAT!



Catatan "Setiakawan 2" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Sunday, January 10, 2010

Reunion SMTJB 1986/87..."Back To The Future"

04 April 2009 merupakan detik permulaan. Aku menjadi ahli No.1, Batch 1986/87 yang mendaftarkan diri di Web Ning Alumni Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru (SMTJB), Johor.

Kini, selepas sembilan(9) bulan berlalu, Batch 1986/87 telahpun mencecah angka 77 orang ahli. Umpama peledak yang meletup secara berangkai ke seluruh pelusuk benua.

Ya, persahabatan yang ikhlas dan unik tidak akan mengenal erti sempadan dan status diri. Teknologi Maklumat telah membuka ruang "Stargate" yang sebelum ini tidak pernah aku terfikir untuk menjelma dengan amat luas.

Dunia yang berputar secara berasingan selama 22 tahun kini dirapatkan dengan "Friendship Stargate".

Antara dialog-dialog awal yang telah membuka suis "Friendship Stargate":

Comment by Zamer Rizal Osman on April 4, 2009 at 8:11pm
Delete Comment Assalamualaikum...Selamat Datang ke TIJB Group/Batch 1986/87!

Comment by Samari Bin Rahim on April 6, 2009 at 6:18pm
Delete Comment Salam. Iye iye. Kena kumpul lagi ahli ni.

Reunion SMTJB Batch 1986/87 kini sedang giat dalam perancangan Jawatankuasa Ad-Hoc. Memandangkan aku ahli No.1 yang digelar "Creator atau Founder", aku mengambil tanggungjawab peribadi untuk bertindak sebagai Pengerusi untuk menggerakkan kumpulan ini. InsyaAllah, dengan bantuan ahli-ahli lain yang kelihatan amat bersemangat, aku percaya kemuncak Reunion yang akan diadakan pada 13-14 Mac 2010 di Port Dickson, Negeri Sembilan akan menjadi kenangan dan sejarah terhebat dalam diari kehidupan bekas pelajar-pelajar SMTJB Batch 1986/87.

Antara foto-foto Mesyuarat No.1, Reunion SMTJB Batch 1986/87 yang diadakan semalam di Geng Corner, Shah Alam.



"Mustahil untuk kita berundur ke belakang. Cukuplah sekadar menoleh dan mengimbas lorong perjalanan yang telah kita lalui bersama. Walaupun kini lorong kita berbeza tetapi semangat setiakawan kita tetap bersatu. Selamat Bertemu Kembali di Alam Maya!"

Coretan "Setiakawan" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Sunday, January 3, 2010

Kod Kehidupan: Pusingan "U" 2010

Kali ini aku tidak berminat untuk menulis intipati yang sama untuk pembukaan Tahun Baru 2010. Pasti jari ini ringan untuk menulis isu-isu semasa. Seperti dijangka, ianya terbukti keesokan harinya di dada akhbar. Operasi mencegah maksiat yang memecahkan rekod tangkapan tahun 2009. Sekali lagi pemimpin-pemimpin kita membebel, merungut dan melatah. Bagai Burung Kakak Tua yang bertukar warna bulu setiap tahun.

Di media komunikasi tradisional (akhbar, majalah, risalah, radio dan televisyen) dan juga media komunikasi alternatif terkini (blog, facebook, friendster, myspace dan sebagainya) seperti biasa menonjolkan "keghairahan" yang sama dalam menyambut tahun baru 2010. Tidak sukar untuk aku membaca budaya dan tradisi rakyat dan negara Malaysia, malah dunia. Masing-masing seperti robot yang diprogramkan akan mengucapkan perkataan yang sama "SELAMAT TAHUN BARU 2010". Ya, tidak salah untuk mengucapkannya tetapi adakah ianya sekadar ucapan dibibir atau ucapan yang dihayati di sanubari.

Disana-sini sebelum biji mata membuntang bulat melihat percikan bunga api pada tepat waktu 12:00 pagi, 01.01.2010, kita dihidang dan disuap dengan "budaya hiburan" artis-artis popular yang kita "agungkan". Pada ketika yang sama, inilah peluang keemasan golongan remaja melempiaskan gelojak nafsu ditempat terbuka dengan berpelukan, berkucupan dan bertepuk-tampar dangan pasangan masing-masing. Tiada segan dan tiada silu. Mengapakah ianya berlaku? Ya, inilah "pemupukan budaya" yang kita semai dan baja didalam minda dan hati generasi muda setiap tahun. Jika tiada hiburan dan konsert, seolah-olah angka 2009 tidak akan berganjak menjadi 2010. Dangkalnya pemikiran kita semua.

Ah! Cukuplah membicarakan soal pekung orang lain dan nanah isu semasa yang pasti tiada kesudahan. Tahun 2011 kita pasti melatah kembali. Cukup meletihkan.

Apa AZAM tahun baru anda? Itu sebahagian skrip piawai yang kita akan dengar dipenghujung atau diawal tahun. Apakah azam tahun baru aku? Satu persoalan hebat yang bermain di minda dan hati aku.

Entah apa puncanya, pada tarikh 31hb Disember 2009, hati aku tergerak untuk membawa pulang ke rumah sebuah buku berjudul "U-Turn Ke Jalan Lurus" karangan Ustaz Zul Ramli M. Razali. Buku yang telah lama dikirimkan oleh Ustaz Zul Ramli melalui rakan sekerjaku Sdr Kamaruddin Md Ali, Pengerusi Unit Silaturrahim Syarikat. Mungkin kerana ianya percuma, aku hanya meletakkannya disudut meja kerjaku. Setiap hari kupandang tetapi tidak terniat untuk membuka dan membacanya. Mungkin faktor kesibukan tugas harian membataskan masa aku. Alasan masa yang menjadi mangsa.

Malam terakhir tahun 2009, selepas makan malam aku membatukan diri diruang tamu membuka dan membaca karangan Ustaz Zul Ramli yang personalitinya bukan asing bagi aku. Sebenarnya, Ustaz Zul Ramli adalah panel penceramah yang kerap Unit Silaturrahim jemput untuk memberikan ceramah agama di syarikat. Sememangnya antara aku dan Ustaz Zul Ramli sudah saling kenal-mengenali secara peribadi. Disebabkan itu mungkin aku terus terpaku di sofa dan terus menajamkan minda dan perasaan untuk mengenali Ustaz Zul Ramli melalui penulisannya pula. Jumlah 208 mukasurat terasa tebal tetapi aku tidak menghiraukannya.

Aku menyelak helai demi helai. Sukar pula untuk berhenti daripada terus membaca. Bunyi bising kaca televisyen tidak aku endahkan. Fikiran dan perasaanku benar-benar terfokus. Butiran perkataan, kisah dan teladan serta petikan Hadis, Qudsi, Kitab Imam Al-Ghazali Al-Mawa'iz Fil Ahadis Al-Qudsiah telah memahatkan minda dan hati aku untuk terus khusyuk. Aku terus tenggelam bersama lautan karangannya yang terasa amat luas. Kadangkala buah bicaranya menusuk ke pangkal jantung. Nafas terasa tersekat-sekat. Perasaan takut dan gentar tiba-tiba menjelma.

Hari ini, 03 Januari 2010 aku telahpun selesai membaca 208 mukasurat karangan Ustaz Zul Ramli. Empat Puluh(40) Mutiara yang dihidangkan seolah-olah memberikan satu aura yang unik dalam diri aku. Aku pasti bicara 208 mukasurat ini telah memberikan sedikit makanan kepada ROH aku. Terasa segar!

Apakah kaitannya buku ini dengan azam tahun baru 2010? Ya, kini aku memahami dan menghayati bahawa kadangkala aku tidak perlu melangkau jauh untuk membina azam setiap tahun. Ianya kadangkala tidak terkejar. Aku bertekad untuk "kembali ke asas kehidupan" seperti pengajaran yang aku perolehi apabila membaca buku Ustaz Zul Ramli. Selama ini banyak benar aku terpedaya dan terleka dengan apa yang berada didalam genggaman tangan aku.

Aku harus kembali melihat dinding dan asas tapak yang aku bina selama ini. Seperti kata Ustaz Zul Ramli dalam kata-kata hikmah penutupnya "Dalam keghairahan dan istiqamah melakukan kebaikan sekiranya tersasar dan terlencong, segera cari jalan kembali ke jalan lurus dan jangan bertangguh. Sedikit tersasar bererti kita telah terkeluar dari laluan. Andai terus dibiarkan, kita tidak akan menjumpai destinasi, iaitu keredhaan Allah."

Aku harus mencari U-Turn!

Coretan "Asas 2010" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Sunday, December 27, 2009

Edisi Khas 23: Disebalik Tirai Tragedi


Salam Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa-mangsa tragedi kemalangan bas "Sani Express" pada awal pagi semalam.

Memang sedih, hiba, sayu, kesal, cuak dan geram jika aku ingin berfikir dan berperasaan secara "reaktif".

Kematian 10 orang penumpang berkenaan merupakan "akibat". Apakah punca dan sebab-musababnya? Ya, negara kita memang pakar dalam soal mencari alasan disudut teknikal dan undang-undang. Mengulangi skrip yang sama setiap kali kemalangan berlaku. Menjelekkan.

Aku hanya ingin berfikir secara "reflektif" terhadap isu tragedi yang menyayatkan hati ini.

1. Adakah "bersih dan suci" hasil pendapatan dan keuntungan syarikat bas berkenaan dengan mengeluarkan zakat perniagaan syarikat setiap tahun dan sentiasa menitikberatkan kebajikan kakitangan? Jika tidak, tragedi kemalangan ini adalah SIGNAL BERDARAH.

2. Adakah keuntungan setiap tahun syarikat bas ini, sebahagiannya dilaburkan untuk menyelenggara bas secara konsisten dan kreatif untuk merekabentuk alat keselamatan terkini serta menggaji pemandu yang benar-benar mahir dan terlatih? Jika tidak, tragedi kemalangan ini adalah SIGNAL BERDARAH.

3. Adakah kerajaan kita "benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh" untuk mengurangkan risiko kemalangan dengan mengkaji secara menyeluruh aspek keselamatan jalanraya yang melibatkan penumpang-penumpang awam. Bukan sekadar meneruskan budaya "melatah". Jika tidak, tragedi kemalangan ini adalah SIGNAL BERDARAH.

4. Adakah pemimpin-pemimpin syarikat dan sesiapa sahaja yang bertanggungjawab dalam aspek keselamatan jalanraya di negara kita "benar-benar prihatin" dan "jujur" dalam menjalankan fungsi dan peranan kritikal mereka? Bukan setakat makan gaji semata-mata. Jika tidak, tragedi kemalangan ini adalah SIGNAL BERDARAH.

Fikirkanlah wahai pemimpin-pemimpin negara disudut minda kamu yang "reflektif". Kembalilah kepada "ASAS KEPERCAYAAN". Tragedi ini adalah petanda terhadap kelemahan dan kecuaian kamu pihak-pihak yang bertanggungjawab. Bagi pihak-pihak yang berkenaan, anda "WAJIB MENGAMBIL TANGGUNGJAWAB MORAL SEHINGGA MATI" terhadap isu dan tragedi ini.

Usahlah hari ini kamu melatah, membebel, melalut dan merungut tetapi esok kembali lena dan bermimpi. Penat untuk aku menulis ayat yang sama.

Coretan "Disebalik Tirai" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Saturday, December 26, 2009

Ulangtahun Perkahwinan Ke-14

28 Disember 2009 (Isnin) akan genaplah usia perkahwinanku selama 14 tahun. Bersyukur atas nikmat yang dikurniakan olehNYA. Semoga perjalanan kehidupan ini menuju cahaya kebahagiaan yang diberkati Allah SWT.


Koleksi "Album Kehidupan" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor