Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Saturday, November 10, 2007

Kod Kehidupan : Aura dan Cabaran Kepimpinan

Melibatkan diri dalam aktiviti tidak formal bukan sesuatu yang baru bagi aku. Dari zaman belajar di UPM aku sudah menunjukkan bakat kepimpinan. Pada waktu itu, sukar untuk aku menjadi "follower" kerana aku lebih gemar menjadi "leader" kerana aku bebas membawa ide baru mengikut citarasa aku.

Jawatan tertinggi aku dalam aktiviti tidak formal di UPM adalah Setiausaha, Persatuan Fakulti Pertanian, 1990-91. Di peringkat kelas pengajian, jawatan tertinggi yang cukup aku hargai adalah "Ex-officio" atau Penasihat bagi Jawatankuasa Penerbitan Majalah/Risalah Kelas. Banyak lagi jawatan-jawatan Pengerusi, Pengarah atau Ketua bagi aktiviti-aktiviti kecil yang aku sandang yang jelas membina ketrampilan dan kepimpinan aku dalam era pengajian di UPM.

Sewaktu bertugas di Jabatan Kerajaan (Kementerian Pembangunan Luar Bandar), aura kepimpinan tidak mampu aku elakkan. Walaupun tanpa jawatan pemimpin tertinggi yang aku sandang, aku tetap merasa puas dengan jawatan Setiausaha Kerja Koperasi dan Setiausaha Badan Sukan dan Kebajikan Jabatan. Hendak menjadi pemimpin, ianya jauh panggang dari api kerana kebiasaannya jawatan tertinggi disandang oleh Pegawai-pegawai "senior" yang berjawatan Pengarah yang hanya bijak "mengarah". Aku siapa...hanya anak muda berumur 25 tahun yang baru bertatih dalam aktiviti tidak formal Jabatan. Jawatan Setiausaha yang aku sandang sudah cukup memeranjatkan banyak pihak pada waktu itu.

Jika direnungkan, jawatan-jawatan yang aku sandang dalam aktiviti tidak formal bukanlah bersandarkan sangat atas kewibawaan atau pengalaman aku. Aku perasan, budaya kita sukar untuk memikul tanggungjawab. Cukup takut untuk memimpin. Kebanyakannya, lebih gemar menjadi pengikut. Pengikut yang bebas mengkritik dan menghukum. Siapa yang mahu. Aku pula, mendapat kelebihan daripada budaya pemikiran yang lemah ini. Aku bersikap terbuka untuk menerima cabaran walaupun pengetahuan dan pendedahan aku kosong. Itulah perbezaan aku berbanding rakan-rakan sepengajian dan rakan-rakan sekerja.

Apabila berbicara soal kepimpinan di atas, selepas lebih sedekad bertugas di sektor korporat terunggul, budaya pemikiran yang aku bicarakan sebenarnya tidak pernah lupus. Majlis Hari Raya baru-baru ini yang aku selaraskan bagi mengumpulkan seluruh kakitangan, ahli keluarga dan tetamu umpama "bom atom" yang bakal meletup. Aku cukup fobia apabila tiba sahaja musim Hari Raya. Pastinya pihak Sumber Manusia (HR) akan dipertanggungjawabkan untuk menganjurkan Majlis.

Tahun 2007 merupakan kali keempat aku bertindak selaku Pengerusi/Penyelaras. Sukar untuk menpengaruhi kakitangan lain untuk mengambil alih peranan aku kerana kebiasaannya mereka melihat jawatan aku sebagai Ketua Jabatan Sumber Manusia adalah orang yang paling tepat memikul tanggungjawab. Sebenarnya, dalam penganjuran aktiviti tidak formal organisasi, sesiapa jua boleh menjadi pemimpin walaupun jawatan rasminya hanya seorang Kerani Kanan. Persepsi kita masih tebal mengatakan Kerani Kanan tidak mampu menjadi pemimpin kalau ada pegawai-pegawai lain dalam Jawatankuasa. Cukup sukar...

Menjadi pemimpin dan penyelaras harus kuat menghadapi dugaan. Inilah yang aku hadapi semasa aktiviti Majlis Hari Raya pada tahun 2003, 2004 dan 2005. Pelbagai umpat-keji, kata-nista dan kritikan yang aku terima selepas berakhirnya majlis. Ada sahaja yang tidak kena walaupun ianya sebahagiannya diluar jangkaan dan kawalan aku dan ahli jawatankuasa. Sehingga satu tahap aku sendiri bermasam muka dengan AJK kerana tindakan mereka tidak mencerminkan semangat kerja berkumpulan yang jujur. Kekurangan dan kelemahan AJK adalah kelemahan aku sendiri. Disebabkan itulah, dalam banyak keadaan, aku akan "memakan diri sendiri" apabila berlaku kegagalan dalam penganjuran majlis. Aku akan bermuram-durja hampir seminggu-dua.

Tahun 2007, sekali lagi aku diberikan peranan memimpin dalam tempoh lebih kurang 2 minggu. Fobia dengan pengalaman lalu harus aku peramkan disudut diri paling dalam. Aku hanya mahu berfikiran positif. Memandangkan sebahagian AJK yang dilantik sudah bersama aku dalam penganjuran aktiviti tidak formal sejak tahun 2003, aku tidak menghadapi banyak kesulitan. Walaupun aku seorang Pengerusi, ianya bukanlah bermakna segalanya harus mengikut telunjuk dan butiran bicara aku. Jelas, semangat kerja berkumpulan yang tertinggi telah menampilkan bakat-bakat pemimpin-pemimpin kecil dalam jawatankuasa. Kebanyakan mereka bijak mengambil tindakan yang kreatif walaupun tanpa arahan aku. Inilah yang cukup aku banggakan pada tahun 2007. Mereka jelas matang. Mungkin pengalaman 2003-2005 memasakkan diri mereka.

Akhirnya, majlis Hari Raya pada malam 07hb November 2007, jelas membuktikan aura dan semangat positif semua pihak. Niat yang baik telah menyerlahkan segalanya. Satu sambutan diluar jangkaan aku dan AJK. Sepanjang 5 jam majlis berlangsung, segalanya berjalan mengikut perancangan. Seperti biasa, makanan yang lazat bukan menjadi prioriti aku apabila menjadi Penyelaras. Akulah Pengerusi yang sentiasa bergerak ligat bagi memandu, menyelaras dan membantu AJK terutama Pengerusi Majlis (MC). Jika di jabatan kerajaan dahulu, Pengerusi hanya memanaskan punggung di kerusi sambil bergelak-tawa dengan tetamu VVIP. Tetapi aku, memanaskan kaki berjalan ke hulur dan ke hilir.

Berakhirnya majlis, aku menarik nafas paling lega kerana beban tanggungjawab aku telahpun berakhir. Bom atom tidak jadi meletup tetapi bertukar menjadi percikan bunga api di udara disulami wajah keceriaan semua yang hadir. Walaupun ada kesilapan dan perubahan disaat-saat akhir, ianya tidaklah mencacatkan keseluruhan aturcara majlis.

Aku pasti bukan hanya cabutan hadiah bertuah, bukan persembahan nyanyian, bukan hadiah "early bird", bukan tarikan duit raya anak-anak dan bukan makanan lazat yang mengumpulkan mereka. Itu semua hanya sampingan. Aku mahu percaya bahawa kakitangan kini semakin matang untuk menghargai program yang organisasi anjurkan. Program ini bukan untuk AJK, bukan untuk syarikat dan bukan untuk orang tertentu tetapi ianya adalah untuk semua atas perkataan Program "KITA". Semangat setiakawan inilah yang telah mengikatkan hati semua kakitangan.

Walau apapun, aku pasti virus umpat-keji akan pasti kedengaran selepas ini. Aku hanya ingin mengatakan kepada diriku bahawa itu adalah lumrah manusia yang gagal melihat sinar disebalik tirai. Biarlah mereka berbicara negatif kerana sampai masanya mereka akan letih dan berhenti...

SYABAS! dan TAHNIAH! kepada semua JK dan AJK kerana menterjemahkan semangat dan aura kerja berkumpulan yang hebat! Pasti di kalangan anda akan lahir pemimpin unggul satu hari nanti...

"SEMANGAT KEKELUARGAAN ERATKAN PERSAUDARAAN"


Kod 'Kepimpinan" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

No comments: