Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Friday, November 2, 2007

Pembelajaran Formal Pertama..."Back To The Future I"

...Pada hari Ahad yang lepas (28hb Oktober 2007), aku dan keluarga bersantai sambil berhibur menyaksikan "Konsert Tadika Seri Kasih" di Akademi MAS, Kelana Jaya. Tahun ini merupakan tahun kedua (terakhir) Adik bersekolah tadika. Adik kelihatan ceria dan amat bersemangat. Sibuk menayangkan pas masuk sambil tergedik-gedik berlatih tarian hindustan (persembahan kelasnya).

Selesai sahaja Adik menerima Sijil Tamat Tadika (Elite Kids World Kindergarten Programme), konsertpun bermula. Satu persatu persembahan dihidangkan oleh kanak-kanak berumur 3 hingga 6 tahun. Hilai-tawa ibubapa dan hadirin kedengaran apabila menyaksikan lagak dan lawak spontan anak-anak yang jelas jujur.

Apabila melihat Adik bersarungkan jubah hitam berjalan menuju Pengetua dengan langkah penuh sopan untuk menerima sijil, teringat aku ketika belajar tadika dahulu. Terlintas di sudut fikiranku bahawa betapa bertuahnya anak-anak zaman sekarang yang begitu luas pendedahannya. Tidak seperti aku yang serba kekurangan ketika bersekolah tadika 31 tahun dahulu (1976).

Masih ingat lagi aku, setiap pagi menjinjing "beg plastik" yang berisi 2-3 buah buku tulis. Nenek hanya merenung dari kejauhan menghantar aku pergi. Tidak seperti Adik yang mewah dengan perkakas lengkap dengan beg sekolah "Barbie", bekas pensil cantik, pensil tekan yang canggih, kasut sekolah yang putih berseri, baju sekolah yang beridentiti dan sebagainya. Aku dahulu hanya berpakaian harian yang biasa, berjalan hampir 5 km sendirian menyusuri longkang, titian, semak, depan dan belakang rumah orang. Ketika itu, aku hanya mengenali kapur dan papan hitam. Pensilpun jenis murah yang mudah patah bila ditekan keras. Di kelas yang menumpang Dewan Serbaguna Masyarakat Kampung Selamat, hanya ada kelengkapan pembelajaran asas dengan kipas berkarat. Tidak seperti adik yang mempunyai kemudahan pembelajaran yang canggih, kelas berhawa dingin, alat bantu mengajar yang menarik dan moden dan tempat permainan aktiviti luar yang memikat jiwa kanak-kanak.

Inilah namanya pembangunan dan kemajuan. Cukup ketara berbeza. Jika dahulu yuran bulanan hanya RM5 sebulan, kini berlipat kali ganda dengan RM250 sebulan. Kos kemodenan yang harus dibayar dengan wang ringgit. Walaupun pendedahan dan pengalaman aku pada zaman kanak-kanak begitu cetek jika hendak dibandingkan dengan pendedahan dan pengalaman Adik, aku tetap percaya bahawa setiap zaman mempunyai keunikan dan keajaibannya yang tersendiri.

TAHNIAH!
Adik kerana berjaya menamatkan "pengajian" dengan kemuncak pembelajaran dan pendedahan yang terhebat.. :-)

Coretan Zaman oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

No comments: