Hari Selasa lepas (18hb Disember 2007), telah selamat anak aku Zuhairi Razi @ Abang menjalani proses peralihan kanak-kanak ke fasa era awal remaja dengan "tercantas hujungnya" yang dianggapnya normal sejak lahir.
Walau bagaimanapun, tidak adalah tradisi dan adat-istiadat seperti yang aku alami dahulu. Ingat lagi aku pada tahun 1982, aku dan berbelas lagi rakan sebaya diarak dengan paluan kompang dan bunga manggar serta diserikan dengan bunga telur berwarna-warni. Masuk surat khabar lagi. Umpama majlis berkahwin...oppss ya kot...pra-persediaan perkahwinan disudut fizikal.
Anak aku hanya berkhatan di Klinik Bapa Saudara sebelah isteriku yang kebetulan membuka kliniknya untuk tujuan berkhatan dimusim cuti sekolah. Sambil berkain pelekat dan berselipar jepun bersama 2 rakan yang lain, aktiviti berkhatan umpama melayani pesakit luar. Tiada keresahan dan ketakutan diraut wajah anak aku, tidak seperti aku dahulu yang agak pucat dan berpeluh membayangkan "hujung" yang akan dicantas sambil orang ramai mengintai dari luar sambil tersenyum simpul.
Sepanjang tempoh 30 minit operasi "mencantas" dijalankan, aku dapati amat mudah sekarang untuk berkhatan dengan kelengkapan moden kedoktoran. Operasi berkhatan akan menjadi mudah sekiranya "anu" tidak berada dalam keadaan "buta". Selepas operasi, tiada kain atau balutan luka digunakan. Hanya kelihatan bentuk baru "anu", sedikit kesan darah dan jahitan benang hitam disekelilingnya. Cantik pulak bentuk "anunya" apatah lagi ditambah tubuh badan anak aku yang besar. Tenggelam "anunya" disebalik perut yang membulat.
Isteri aku sempat berbisik menyatakan anak aku merungut "anunya" sudah tidak cantik seperti dahulu yang jelas menggambarkan fikirannya yang masih keanak-anakan.
Kini, selepas 6 hari, Abang telahpun memakai seluar berfabrik lembut dan berjalan seperti biasa. Bekas luka "anunya" telahpun kering. Kalau aku dahulu, mahunya seminggu terbaring dengan tengah kain pelekat "membukit" diikat dengan tali ropia dan "anu" bersalut serbuk putih 'MB" yang dibeli dikedai Sensei Cino di Pekan Sungai Besi. Makan-minum memang berpantang habis-habisan. Rakan aku yang tidak berdisiplin berpantang terpaksa menunggu hampir sebulan untuk sembuh kerana "anunya" bengkak kerana minum terlalu banyak air.
Bila teringat sejarah aku berkhatan dahulu, terbayang kelibat Arwah Atuk @ Bapak yang bila tiba waktu mandi pagi dan petang akan menyiram air dengan timba dari belakang sambil "anu" aku berbalut plastik bagi mengelakkannya basah. Nenek @ Mak pula cukup masa akan menyediakan makanan menu pantang aku. Umpama menjaga orang perempuan bersalin. Kini, Nenek @ Mak menasihati cicitnya pula.
Syukur Alhamdulillah...berkhatan sudah, menyambut Raya Haji di Kampungpun sudah dan yang paling aku bersyukur kerana tidak terperangkap dalam banjir di Kelantan dan juga tidak terbabit dalam kejadian tanah mendap @ jerlus di Kuala Krai-Gua Musang dan Dabong-Gua Musang. Malang tidak berbau. Perjalanan kembali ke Kuala Lumpur semalam selama hampir 9 jam melalui Jeli-Grik-Kuala Kangsar-KL benar-benar merimaskan. Sekali-sekala nak lepas geram membawa MPV 2.0, aku tekan juga 130-140 km/jam di lebuhraya Utara-Selatan sambil meredah kegelapan malam. Gerun juga memikirkan memecut melebihi had laju 110km/jam kerana jarak penglihatan hadapan hanya 50 meter sahaja. Buatnya ada lubang atau halangan ditengah jalan tak ke mencari nahas. Cukuplah sekali -sekala...kalau tak, MPV 2.0 aku akan jadi manja...tapi memang sedaplah...tak bergegar langsung...hehe...
Cerita bawa kereta pula. Musim percutian telahpun selesai. Esok, aku akan kembali bertugas. Mujurlah ada kemudahan Streamyx & TM yang membolehkan aku kembali bertugas secara "virtual" hari ini (Ahad). Sekurang-kurangnya "cycle time" aku menjawab email rakan-rakan setugas tidaklah terlalu lambat.
Anak aku dah bujang dah....signal memberitahu bahawa aku dah semakin memanjat usia...
Coretan Musim Cuti oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong
No comments:
Post a Comment