Alat mainan adalah sumber imaginasi kanak-kanak. Sukar untuk aku mengembalikan imaginasi unik ini yang aku pasti hanya wujud sekali dalam hidup. Apabila melihat segala macam jenis dan bentuk permainan, terlintas difikiran aku bahawa betawa mewahnya anak-anak aku sekarang. Segalanya ada di pasaran dengan harga yang mampu dibeli.
Jika Abang meminati Kereta "Remote Control" dan Robot "Transformers" dan Adik mencintai Patung "Barbie" dengan segala jenis aksesorinya, aku pula 30 tahun dahulu hanya mengenali Robot Kaku dan Askar-askar plastik kecil berwarna hijau. Jelas jauh perbezaan jenis dan kecanggihan alat mainan dahulu dan sekarang.
Ingat lagi Pakngah menghadiahkan aku Robot Kaku yang bergerak dengan kuasa pemutar (macam kunci jam). Cukup aku bangga dan berterima kasih kerana dihadiahkan Robot yang "tercanggih". Siang dan malam bersama robot. Jika imaginasi aku kuat, Robot aku akan berlawan dengan askar-askar berwarna hijau dengan bunyi-bunyian @ "sound effect" yang asli keluar daripada mulut aku sendiri. Cukup leka.
Satu atau dua alat mainan sudah memadai bagi aku. Itupun sudah cukup mewah. Cukup aku jaga supaya jangan rosak. Kalau rosak, termenung sampai tidak lalu makan. Hendak memujuk Atuk agar menggantinya jangan sekali. Silap haribulan, tali-pinggang yang akan dilibas. Kehidupan aku dahulu bukanlah semewah anak-anak aku sekarang. Banyak mulut yang perlu disuap.
Anak-anak aku kini tidak cukup sepuluh mainan, pantang nampak iklan di TV, kejap-kejap itu jugalah sebut nak ke Giant. Terbaru, Adik nak membeli Anak Patung Bayi yang boleh bercakap. Apabila ditanya ada tak duit...jawapannya ringkas...Ada...RM30...baginya tiada yang mustahil...tidak seperti aku dahulu yang sukar meminta.
Esok dan lusa Adik pasti mengulangi skrip yang sama..."Ayah, bila nak pergi Giant ni?"
Coretan Imaginasi oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong
No comments:
Post a Comment