Aku baru perasan bahawa aku jarang kembali ke sekitar tahun 1991-1995 melalui siri Back To The Future V. Hendak dikatakan siri ini tidak hebat, rasanya banyak juga babak-babak menarik yang tercetus.
Inilah tempoh yang paling agresif aku bergiat dalam bidang kesenian/kreatif seperti melukis, berlakon, menari, menyanyi, menulis puisi dan cerpen. Penglibatan hebat sehingga ke tahap Penari Kebudayaan Kolej Kedua, UPM dan juga mempersembahkan satu lakonan Tari/Puisi Drama (Taridra/Puisidra) Hari Terbuka Kolej Kelima, UPM bersama Kholid (kini nama besar dalam penulisan kreatif) dan Norshah (kini PTD, JPA di Putra Jaya).
Kali ini aku ingin menceritakan episod aku berjumpa dengan isteri aku (Noormaizon Ibrahim), anak kelahiran Kota Bharu Kelantan. Waktu ini, isteri aku begitu popular kerana selain bertindak selaku AJK Tertinggi Kolej Kelima, UPM, dia juga adalah anak Pembuat Batik Tersohor di Kota Bharu. Kala itu jenama batik "HA Ibrahim" adalah antara jenama yang popular di bandar Kota Bharu. Terdapat sebuah kedai/butik atas nama HA Ibrahim di Kompleks Pertama, Kuala Lumpur sekitar tempoh berkenaan. Kini, lot kedai berkenaan telah disewakan kepada peniaga telekomunikasi. Jenama batik HA Ibrahim boleh dikatakan amat digemari oleh Pensyarah dan Pegawai UPM. Kualiti hebat lukisan tangan. Apabila dibasuh tidak akan luntur warna. Kekal berseri bertahun-tahun adalah ciri hebat batik mak mertua aku ini.
Kembali kepada cerita di belakang pentas...
Terasa seribu kepuasan apabila akhirnya aku, Kholid dan Norshah berjaya mempersembahkan satu Taridra/Puisidra yang terhebat sambil disaksikan "berjuta" helai bulu roma penonton yang terpegun. Kholid bertindak sebagai pembaca puisi, Norshah bertindak sebagai pelakon (watak bapa ganas) dan aku bertindak sebagai pelakon dan penari (watak anak) yang menjadi fokus persembahan. Dikemuncak persembahan, disebabkan terlalu ghairah, aku nyaris terjatuh dari pentas kerana Norshah telah menolak aku terlalu kuat. Panik sekejap dalam kegelapan disuluh lampu neon pentas. Tepukan Pengetua Kolej Kelima bersama penonton-penonton benar-benar memberikan aku satu ledakan perasaan yang terhebat malam itu.
Di belakang pentas, seumpama pelakon hebat aku telah didatangi oleh beberapa orang penonton. Ada yang dikenali dan ada juga yang tidak. Sambil berehat melepaskan lelah, aku tiba-tiba dihampiri oleh seseorang yang tidak aku kenali. Aku lupa apa yang menjadi mukadimah perbualan. Apa yang aku pasti, malam itu aku telah merungkaikan sejarah silam aku kepadanya. Ada ketikanya aku begitu sensitif dan sentimental (hampir membuatkan aku meleleh). Apa mimpinya sehingga aku membongkarkan segala cerita peribadi aku kepadanya. Kala itu aku tidak rasa langsung kepelikannya. Aku seolah-olah ingin melepaskan sesuatu dan aku rasa bebas untuk melakukannya. Mungkin aura persembahan Taridra/Puisidra sebentar tadi masih lagi menguasai darah aku.
Hampir sejam kami berbual. Orang yang lalu-lalang dihadapan kami umpama halimunan. Ruang lobi Kolej Kelima terasa begitu luas dalam aku menerokai ruang perasaan. Terasa hanya ada kami berdua sahaja mendengar suara masing-masing. Suasana malam yang hening menambahkan lagi "Pasca-drama" aku. Malam itu aku telah dihampiri oleh seorang pendengar yang hebat. Seolah-olah inilah drama sebenar yang ditentukan oleh Tuhan.
Sejak pertemuan pertama di belakang pentas, kami sentiasa berhubung untuk berkongsi cerita. Memang sudah menjadi suratan dan takdir, perhubungan kami berjalan lancar dan amat positif. Suasana perhubungan ini membuatkan aku lebih agresif dalam menajamkan lagi bakat kreatif aku. Aku yang selama ini menyimpan sejarah, kini mempunyai seseorang yang berminat untuk bersama mencatatkan sejarah baru...seseorang yang kini menjadi isteri aku...Noormaizon Ibrahim.
Hari Konvokesyen UPM 1995 adalah babak terakhir dalam episod ini yang memberikan kesinambungan untuk siri-siri "Filem Kehidupan" Back To The Future V, VI, VII dan seterusnya.
Antara babak-babaknya, kini telahpun menjadi sejarah hebat..."back to the future"...
Coretan "Pentas Hidup" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong
No comments:
Post a Comment