Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Tuesday, June 17, 2008

Edisi Khas: Pengurangan Caruman KWSP Pekerja - Pilihan Praktikal


Sejurus selepas aku membaca Utusan Online semalam berkenaan dengan kenyataan Menteri Kewangan Kedua, minda seperti kilat yang menyambar bumi terus mengarahkan jari-jemariku untuk menulis komentar terbaru untuk Edisi Khas.

Berikut adalah komentar yang aku hantar ke Utusan Online, Berita Harian dan Harian Metro. Samada Ketua Pengarang memilih komentar aku atau tidak untuk disiarkan, itu tidak penting. Apa yang penting adalah kepuasan aku menterjemahkan fikiran dan perasaan dalam bentuk penulisan.

PENGURANGAN CARUMAN KWSP PEKERJA : PILIHAN PRAKTIKAL

Saya terpanggil untuk memberikan komen terhadap kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakob terhadap saranan mengurangkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semalam.

Pada pandangan saya, beliau harus melihat alternatif mengurangkan beban rakyat daripada semua cabang. Tidak kiralah banyak atau sedikit caruman KWSP pekerja. Kita pernah melaksanakan pilihan ini pada April 2001-Mac 2002 dan Jun 2003 – Mei 2004 dengan mengurangkan caruman pekerja daripada 11% kepada 9%. Saya percaya sedikit-sebanyak usaha berkenaan mampu mengurangkan beban rakyat terutama bagi yang berpendapatan sederhana yang jarang diberikan tumpuan khas oleh kerajaan. Sekiranya kita lihat, inisiatif kerajaan lebih bertemakan membela nasib rakyat berpendapatan rendah. Hakikatnya, rakyat yang berpendapatan sederhana juga tidak kurang menerima bahang daripada iklim ekonomi yang melanda dunia kini.

Saya melihat pengurangan caruman KWSP pekerja adalah “langkah pantas” yang tidak akan merugikan mana-mana pihak. Kita tidak memerlukan subsidi dan belas kasihan kerajaan. Kita juga tidak memerlukan rebat tunai. Cuma, kita mahu kerajaan lebih kreatif dan prihatin dengan membuat pengubahsuaian kadar caruman KWSP pekerja dengan “pendapatan sedia-ada”. Ianya boleh dilakukan atas “prinsip sukarela” dan “persetujuan pekerja”. Bagi yang berpendapatan rendah, saya bersetuju cadangan ini tidak praktikal kerana sumbangan KWSP mereka agak kecil. Namun, bagi yang berpendapatan sederhana, ianya mampu memberikan sedikit kelegaan jika ada pengurangan caruman kerana sumbangan KWSP mereka agak tinggi setiap bulan.

Saya bersetuju dengan salah satu Misi KWSP iaitu “menyediakan faedah persaraan semua ahli melalui simpanan mereka secara cekap dan boleh dipercayai”. Walau bagaimanapun, saya percaya misi KWSP ini boleh disesuaikan dengan keperluan dan kehendak semasa. Pada saya, faedah persaraan adalah satu indikator subjektif untuk dikawal dan ianya bergantung kepada kesedaran dan kepekaan rakyat. Pihak KWSP usah terlalu risau dengan penterjemahan misi ini kerana kini rakyat semakin bijak untuk mencari alternatif sampingan selain KWSP untuk menokok-tambah sumber kewangan mereka dihari tua seperti Unit Amanah, Insuran dan sebagainya.

Rakyat perlu diberikan pilihan untuk menguruskan sumber kewangan mereka apatah lagi dalam keadaan yang kritikal kini. Sumber tunai yang terdekat yang kini berada dalam genggaman adalah melalui tabung simpanan KWSP mereka. Malah, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga harus berganding bahu memikirkan langkah yang sama dengan mengurangkan Potongan Cukai Berjadual (PCB) dengan segera.

Tidak perlulah kita menunggu Perancangan Belanjawan 2009 untuk kita enak mendengar alternatif yang kebanyakannya bernada teori ekonomi yang sukar difahami. Rakyat memerlukan “alternatif yang lebih praktikal” yang lebih hampir dengan kocek, mulut dan tangki kenderaan mereka. Benarkanlah kami membuat pilihan dan keputusan untuk kesejahteraan hidup kami.

Coretan "Naik Minyak" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

No comments: