Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Friday, August 15, 2008

Edisi Khas : Sumpah...Sesumpah...Menyampah!


KUALA LUMPUR 15 Ogos – Mohd. Saiful Bukhari Azlan hari ini mengotakan janjinya bersumpah mengikut syariat Islam untuk membuktikan kebenaran dakwaan dirinya diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di sini pukul 6.30 petang ini.

Dalam upacara yang berlangsung di Dewan Solat Utama masjid berkenaan, Mohd. Saiful, 23, yang berbaju Melayu coklat menghadap kiblat sebelum melafazkan sumpah berikut:

“Bismillahirrahmanirrahim. Pada hari ini, 14 Ogos 2008, saya Mohd. Saiful Bukhari Azlan Nombor Kad Pengenalan 850706-01-5687 dengan ini sesungguhnya dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang berikrar dan bersumpah seperti berikut...

"A'uzubillahi minas syaitanirrajim. Bismillahirrahmanirrahim. Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Saya bersumpah bahawa saya telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun 2008 iaitu pada tarikh tersebut Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memasukkan zakarnya ke dalam dubur saya.

“Jika saya berdusta atas pengakuan ini, maka saya berdusta terhadap Allah S.W.T dan saya sanggup menerima azab, dilaknat dan kutukan daripada Allah S.W.T sehingga ke kiamat. Wallahualam."

Seumpama halilintar yang menyambar bumi gersang, badan terasa kejutan yang teramat sangat apabila menonton Buletin TV3 malam ini. Apa nak jadi dengan negara kita ini? Apa nak jadi dengan orang Melayu dan orang Islam? Apa nak jadi dengan pemimpin-pemimpin kita?

Aku sudah tidak peduli siapa yang benar dan siapa yang salah. Samada Si Saiful atau Si Anwar yang berbohong bukan tanggungjawab aku untuk menilainya. Tiada kuasa ajaib dan sakti untuk membaca minda dan hati mereka. Biarlah Mahkamah Sivil yang menentukannya dengan adegan-adegan menarik dan tertarik. Pasti akan ada bahan-bahan bukti yang diusung seumpama peristiwa Liwat 1998. Masih lagi terbayang-bayang kebebalan institusi perundangan dan kehakiman yang menimbulkan sejuta kemusykilan sehingga saat ini. Kini masih lagi belum reda dengan melalutnya kes saman-menyaman.

Walau apapun yang berlaku, aku pasti salah seorang daripada mereka adalah pembohong besar. Kedua-duanya mengunakan nama Allah Yang Maha Kaya untuk membuktikan mereka adalah benar. Tidakkah kita orang Islam berasa malu dengan tragedi yang membabitkan dua orang anak Melayu ini. Ikutkan hati yang bengkak, ingin sahaja aku berdoa kepada Allah SWT agar diturunkan segera "bala dan malapetaka" kepada salah seorang daripada mereka ini agar kita dapat melihat dengan mata kepala kita sendiri siapa yang telah mempermainkan nama Allah Yang Maha Berkuasa. Tidakkah mereka ini takut dengan kematian. Apa sebenarnya yang berlaku disebalik tirai? Cukup pelik dengan sandiwara dunia ini.

Pada aku, upacara pengakuan Si Saiful ini tidak perlu diberikan publisiti besar-besaran. Institusi Masjid tidak perlu digunakan untuk menjadi lokasi bersejarah "Pengakuan Liwat" yang cukup meloyakan. Kesucian masjid yang kini tercemar dengan sebahagian dialog yang menjijikkan.

Pengakuan Si Saiful benar-benar menimbulkan seribu persoalan kerana detiknya terlalu dekat dengan Pilihanraya Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh. Adakah ini strategi politik kotor parti pemerintah untuk memerangkap Si Anwar. Segalanya pasti akan dinafikan sekeras-kerasnya dengan alasan yang berbau rasional. Mata masyarakat kini terbuka luas memerhatikan sandiwara politik negara yang mempunyai pelakon-pelakon watak badut yang terhebat.

Aku tidak sabar untuk menanti pengakuan bersumpah Si Anwar pula. Apakah dialog terhebat beliau? Masjid mana pula akan digunakan? Sekiranya skrip Si Anwar lebih memikat, ianya pasti akan menimbulkan segala macam persoalan. Siapakah sebenarnya yang berkata benar? Siapakah sebenarnya yang tidak takut Tuhan sehingga nama Allah SWT dipermain-mainkan. Aku kian bingung dengan sandiwara ini. Pengarahnya tentu mengalahkan Firaun!

Golongan pemimpin usahlah berpeluk tubuh dengan sandiwara ini. Isu liwat ini benar-benar memalukan negara. Buku sejarah kita telahpun tercemar. Janganlah ditokok-tambah dengan tindakan yang hanya menyerlahkan kebebalan, kebodohan dan kedangkalan pemikiran pihak-pihak yang tertentu.

Coretan "Menyampah" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

No comments: