Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Tuesday, August 26, 2008

Edisi Khas : Sudah Terang Lagi Bersuluh

BUKIT MERTAJAM 26 Ogos — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) menghormati keputusan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh hari ini yang disifatkannya sebagai mencerminkan amalan demokrasi yang masih segar di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kemenangan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya itu membuktikan tiada manipulasi daripada segi perjalanan demokrasi di negara ini.

“Tak tempang dari segi amalan demokrasi di negara ini,” katanya pada sidang akhbar selepas pengumuman keputusan pilihan raya kecil itu di sini hari ini.

Penasihat PKR itu menang dengan majoriti 15,671 undi pada pilihan raya kecil itu.

Memang sudah kujangkakan bahawa bukan mudah untuk Parti Barisan Nasional (BN) meruntuhkan tembok kebal Parti KeADILan Rakyat (PKR) di Permatang Pauh. Persepsi positif dan nilai kepercayaan masyarakat Permatang Pauh terhadap ketokohan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) masih tetap utuh walaupun DSAI diserang bertubi-tubi dari segenap sudut dengan isu moral ulang tayang yang dipaparkan melalui filem terbaru "Liwat 2008".

Jika diimbas kembali kronologi peristiwa melalui bahan-bahan berita samada di media elektronik atau media cetak, DSAI seolah-olah "digambarkan" akan kehilangan taringnya gara-gara keunggulan dan kehebatan pelakon-pelakon gergasi lama dan baru yang menjiwai filem Liwat 2008. Uniknya, DSAI tidak mudah melatah dengan babak sampingan iaitu adegan "Sumpah Laknat" yang skripnya tiba-tiba muncul.

Soal siapa benar dan siapa salah dalam filem Liwat 2008 ini sebenarnya tidak mempengaruhi undi masyarakat Permatang Pauh. Isu moral yang dijaja dalam kempen sepuluh(10) hari sebenarnya pada pandangan peribadi aku hanya menjerat tengkuk parti BN. Mereka ini tidak sedar dan peka bahawa masyarakat umumnya sudah naik muak, mabuk dan loya dengan isu liwat dan serangan peribadi ini.

Serangan peribadi bukanlah strategi terbaik sebenarnya kerana ianya hanya mengundang perasaan tidak selesa masyarakat. Pihak yang mencanang cerita disana-sini juga sebenarnya belum tentu tahap kredibilitinya. Silap pembawakan hanya akan membuatkan masyarakat naik menyampah dan mulut mulai ringan untuk menyumpah-seranah (bukan sumpah laknat).

Masyarakat kini bijak membaca dan menilai. Mereka tidak lagi buta dengan permainan politik yang tidak reti untuk menyesuaikan strategi politik dengan suasana persekitaran dan peredaran zaman. Ini bukan zaman turap jalanraya dengan tar pekat, undi pasti ditangan. Mungkin DSAI hodoh wajahnya dengan imej negatifnya tetapi masyarakat Permatang Pauh merasakan tidak mengapa mereka memilih pemimpin berwajah hodoh daripada memilih wajah pemimpin yang lebih menakutkan yang pasti akan menghantui mereka sepanjang zaman.

Semalam, semua pihak berbelit lidah mengulas teori siapa menang dan siapa kalah. Pada aku, mereka ini sebenarnya hipokrit kerana mereka sebenar-benarnya tidak mengetahui apa yang mereka luahkan. Ikut sedap mulut sahaja dan bagai burung kakak tua yang sudah lanjut usia.

Ulasan dan komen mereka hanyalah sekadar gangguan psikologi untuk menggugat keyakinan masyarakat. Hati naik panas apabila mendengar berita Sinar FM yang mengatakan beberapa orang pemimpin dan ahli PKR telah keluar parti. Apa semua ini? Jelas ianya sebagai strategi psikologi saat akhir untuk menyatakan PKR kini terumbang-ambing. Mudah sangat dibaca permainan mereka.

Malam ini masyarakat Permatang Pauh telah menghadiahkan mesej jelas yang lagi bersuluh. Parti BN perlu melihat kedalam untuk melakukan bedah siasat yang menyeluruh. Usah hanya melihat keluar dengan hanya sibuk dan leka membuka pekung orang lain tetapi pada masa yang sama diri sendiri kian bernanah dan berulat.

Apabila Dewan Negara bersidang kelak, pasti akan wujud babak-babak panas punggung dengan berapi dan berasapnya hujah DSAI yang akan mengetuai pakatan Parti Pembangkang dalam membahaskan sesuatu isu. Janganlah ada pula YAB atau YB yang beremosi dan bertegang urat sambil baling-membaling kerusi dan meja. Malu dengan budak-budak berhingus hijau.

Coretan "Bersuluh" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

No comments: