Lama benar aku dan keluarga tidak melabuhkan punggung di panggung wayang IOI Mall, Puchong. Filem terbaru Sains Fiksyen 2012 memanggil aku untuk menonton kehebatannya pula selepas kali terakhir menonton filem Transformers 2.
Filem yang bernilai ratusan juta ternyata hebat hasil produksinya. Filem 2012 yang sarat dengan babak, aksi dan kesan khas yang memukau dan menggegarkan perasaan. Seolah-olah diri aku berada di dalam filem berkenaan kerana denyutan jantung seakan terhenti melihat bumi retak dan bergoncang serta ombak mega kesan tsunami bergulung merentas gunung-ganang lantas memukul manusia yang bak debu halus.
Pabila alam bersuara, tiada siapa mampu menghalangnya. Enam buah kapal terhebat dan tercanggih yang menyelamatkan spesis bumi untuk kesinambungan jenama manusia dan haiwan hanya melambangkan KESOMBONGAN manusia untuk melawan ketentuan takdir. Sebenarnya, jika bumi mengamuk tiada tempat untuk manusia lari dan berlindung samada di darat, laut atau udara. Apakah filem 2012 ini mampu mengetuk akal fikiran untuk kita menilai dan menghargai erti kehidupan?
Ya, filem 2012 hanya sekadar hiburan tetapi ianya mampu memberikan mesej tersirat kepada sesiapa yang ingin memikirkannya. Sekurang-kurangnya kita menyedari bahawa dunia dan bumi semakin senja. Senario 2012 hanyalah secebis peristiwa malapetaka. Bencana sebenar adalah lebih hebat dan menakutkan. Tidak mampu untuk kita bernafas dalam sedetik sekiranya ianya tiba...
Coretan "2009" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor
No comments:
Post a Comment