Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Sunday, November 29, 2009

Kod Kehidupan: Sukarnya Memimpin Emosi


Tempoh bercuti dan bersantai sempena menyambut Hari Raya Aidiladha seolah-olah cacat dengan peristiwa malang sehari yang tidak dijangka. Ledakan emosi daripada seorang yang bernama Ketua atau mungkin "Pemimpin" benar-benar menggugat ketenteraman jiwa aku.

Barulah aku memahami bahawa bukan senang untuk mengawal emosi kerana aku juga pernah melepaskan emosi keterlaluan kepada kakitangan. Ledakan perasaan melalui kata-kata kesat dan tajam sebenarnya mengkelabukan hati dan menumpulkan minda. Apabila selesai memarahi kakitangan, terfikir jua mengapakah begitu dangkalnya pemikiran aku kerana gagal mengawal emosi.

Kini, aku amat memahami bagaimana perasaan orang yang dimarahi. Orang yang beremosi akan terus melepaskan peluru berpandunya bertalu-talu. Butiran bicara yang umpama bola api tertuju tepat menusuk hati. Dalam keadaan tidak selesa ini, aku hanya mampu mendengar dengan telinga berdesing dan hati yang bengkak. Menarik dan menghembus nafas panjang berkali-kali apabila kedengaran perkataan yang amat tajam dan berunsur prasangka. Hendak dilawan ianya umpama menyiram minyak ke dalam api. Cukup letih sekiranya aku ingin berdebat dan berbahas kerana pastinya masing-masing berada di dalam dunia yang berbeza. Hanya ingin mendengar suara sendiri serta menjuarai perdebatan.

Pengalaman dijadikan mangsa pelepasan emosi ini akan aku jadikan iktibar untuk aku perbaiki diri untuk lebih berhemah dalam berbicara semasa menangani isu dan krisis kakitangan. Ya, bukan mudah mengawal emosi jika suis perasaan telah dipetik. Pasti bukan murah kosnya untuk menjadi Ketua yang bernama Pemimpin. Peristiwa yang aku alami walaupun meninggalkan kesan pahit yang mendalam ia sebenarnya menyedarkan aku bahawa untuk menjadi Pemimpin yang berwibawa kita harus "memimpin diri kita sendiri" dahulu. Memimpin emosi sendiri pastinya akan menjadi cabaran terhebat aku. Aku tidak mahu api emosi membakar jiwa aku sedikit demi sedikit. Kelak pasti memudaratkan kehidupan tanpa kita sedari.

Coretan "Api Biru" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

1 comment:

Anonymous said...

Hai Mer,
Serius tu. Takkan GM kot. GM emotional tu. Ada le yang tak kena.

hazlan