Kali ini aku tidak berminat untuk menulis intipati yang sama untuk pembukaan Tahun Baru 2010. Pasti jari ini ringan untuk menulis isu-isu semasa. Seperti dijangka, ianya terbukti keesokan harinya di dada akhbar. Operasi mencegah maksiat yang memecahkan rekod tangkapan tahun 2009. Sekali lagi pemimpin-pemimpin kita membebel, merungut dan melatah. Bagai Burung Kakak Tua yang bertukar warna bulu setiap tahun.
Di media komunikasi tradisional (akhbar, majalah, risalah, radio dan televisyen) dan juga media komunikasi alternatif terkini (blog, facebook, friendster, myspace dan sebagainya) seperti biasa menonjolkan "keghairahan" yang sama dalam menyambut tahun baru 2010. Tidak sukar untuk aku membaca budaya dan tradisi rakyat dan negara Malaysia, malah dunia. Masing-masing seperti robot yang diprogramkan akan mengucapkan perkataan yang sama "SELAMAT TAHUN BARU 2010". Ya, tidak salah untuk mengucapkannya tetapi adakah ianya sekadar ucapan dibibir atau ucapan yang dihayati di sanubari.
Disana-sini sebelum biji mata membuntang bulat melihat percikan bunga api pada tepat waktu 12:00 pagi, 01.01.2010, kita dihidang dan disuap dengan "budaya hiburan" artis-artis popular yang kita "agungkan". Pada ketika yang sama, inilah peluang keemasan golongan remaja melempiaskan gelojak nafsu ditempat terbuka dengan berpelukan, berkucupan dan bertepuk-tampar dangan pasangan masing-masing. Tiada segan dan tiada silu. Mengapakah ianya berlaku? Ya, inilah "pemupukan budaya" yang kita semai dan baja didalam minda dan hati generasi muda setiap tahun. Jika tiada hiburan dan konsert, seolah-olah angka 2009 tidak akan berganjak menjadi 2010. Dangkalnya pemikiran kita semua.
Ah! Cukuplah membicarakan soal pekung orang lain dan nanah isu semasa yang pasti tiada kesudahan. Tahun 2011 kita pasti melatah kembali. Cukup meletihkan.
Apa AZAM tahun baru anda? Itu sebahagian skrip piawai yang kita akan dengar dipenghujung atau diawal tahun. Apakah azam tahun baru aku? Satu persoalan hebat yang bermain di minda dan hati aku.
Entah apa puncanya, pada tarikh 31hb Disember 2009, hati aku tergerak untuk membawa pulang ke rumah sebuah buku berjudul "U-Turn Ke Jalan Lurus" karangan Ustaz Zul Ramli M. Razali. Buku yang telah lama dikirimkan oleh Ustaz Zul Ramli melalui rakan sekerjaku Sdr Kamaruddin Md Ali, Pengerusi Unit Silaturrahim Syarikat. Mungkin kerana ianya percuma, aku hanya meletakkannya disudut meja kerjaku. Setiap hari kupandang tetapi tidak terniat untuk membuka dan membacanya. Mungkin faktor kesibukan tugas harian membataskan masa aku. Alasan masa yang menjadi mangsa.
Malam terakhir tahun 2009, selepas makan malam aku membatukan diri diruang tamu membuka dan membaca karangan Ustaz Zul Ramli yang personalitinya bukan asing bagi aku. Sebenarnya, Ustaz Zul Ramli adalah panel penceramah yang kerap Unit Silaturrahim jemput untuk memberikan ceramah agama di syarikat. Sememangnya antara aku dan Ustaz Zul Ramli sudah saling kenal-mengenali secara peribadi. Disebabkan itu mungkin aku terus terpaku di sofa dan terus menajamkan minda dan perasaan untuk mengenali Ustaz Zul Ramli melalui penulisannya pula. Jumlah 208 mukasurat terasa tebal tetapi aku tidak menghiraukannya.
Aku menyelak helai demi helai. Sukar pula untuk berhenti daripada terus membaca. Bunyi bising kaca televisyen tidak aku endahkan. Fikiran dan perasaanku benar-benar terfokus. Butiran perkataan, kisah dan teladan serta petikan Hadis, Qudsi, Kitab Imam Al-Ghazali Al-Mawa'iz Fil Ahadis Al-Qudsiah telah memahatkan minda dan hati aku untuk terus khusyuk. Aku terus tenggelam bersama lautan karangannya yang terasa amat luas. Kadangkala buah bicaranya menusuk ke pangkal jantung. Nafas terasa tersekat-sekat. Perasaan takut dan gentar tiba-tiba menjelma.
Hari ini, 03 Januari 2010 aku telahpun selesai membaca 208 mukasurat karangan Ustaz Zul Ramli. Empat Puluh(40) Mutiara yang dihidangkan seolah-olah memberikan satu aura yang unik dalam diri aku. Aku pasti bicara 208 mukasurat ini telah memberikan sedikit makanan kepada ROH aku. Terasa segar!
Apakah kaitannya buku ini dengan azam tahun baru 2010? Ya, kini aku memahami dan menghayati bahawa kadangkala aku tidak perlu melangkau jauh untuk membina azam setiap tahun. Ianya kadangkala tidak terkejar. Aku bertekad untuk "kembali ke asas kehidupan" seperti pengajaran yang aku perolehi apabila membaca buku Ustaz Zul Ramli. Selama ini banyak benar aku terpedaya dan terleka dengan apa yang berada didalam genggaman tangan aku.
Aku harus kembali melihat dinding dan asas tapak yang aku bina selama ini. Seperti kata Ustaz Zul Ramli dalam kata-kata hikmah penutupnya "Dalam keghairahan dan istiqamah melakukan kebaikan sekiranya tersasar dan terlencong, segera cari jalan kembali ke jalan lurus dan jangan bertangguh. Sedikit tersasar bererti kita telah terkeluar dari laluan. Andai terus dibiarkan, kita tidak akan menjumpai destinasi, iaitu keredhaan Allah."
Aku harus mencari U-Turn!
Coretan "Asas 2010" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor
2 comments:
Waalaikumusalam Shasha. Terima kasih kerana melawat & membaca secara reflektif.
Post a Comment