Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Saturday, July 11, 2009

Edisi Khas 13: Penjara Di Lebuhraya


Sejak zaman Dinasti Samy Vellu atau gelaran popular "Samy Tol", isu kenaikan kadar tol sentiasa hangat dibicarakan. Dari Dewan Rakyat sehinggalah ke Kedai Kopi. Antara isu negara yang berada dalam kategori arkib. Kian berkulat dan berulat yang membuatkan rakyat naik meluat.

"Samy Tol" sudah "dicampakkan" oleh pengundi-pengundi bijak Sungai Siput. Menteri Kerja Raya sudahpun bertukar dua kali sejak PRU-12. Apakah hasil perubahan tampuk kepimpinan ini? Sifar. Adakah kerajaan Barisan Nasional (BN) ingin menunggu PRU-13 baru hendak memancing dan mempromosikan tol percuma. Mari-mari. Nampak sangat politik gula-gula getah. Usah bermain dengan api wahai pemimpin-pemimpin negara. Kamu diupah untuk berkhidmat untuk RAKYAT bukan Syarikat Tol. Ini bukan zaman pembangunan 60an dan 70an. Ini zaman ledakan teknologi maklumat. Sekali rakyat meledak, mahu tidak cukup langkah kamu berlari dan melompat.

Kenapakah susah sangat isu tol ini diselesaikan? Aku percaya Menteri dipelbagai Kementerian dan Pegawai-pegawai di Unit Perancang Ekonomi (EPU) bukan calang-calang orang untuk menangani masalah ini. Gunakan jawatan tertinggi kamu untuk mendekati dan memenangi hati rakyat. Bukan sekadar duduk dikerusi empuk, berlagak dan balik tepat jam 5:00 petang. Naik rimas apabila membaca didada akhbar bahawa EPU akan membuat kajian. Tidak habis-habis dengan kajian, mesyuarat, kajian dan kemudian mesyuarat kembali. Bosan dan melemaskan.

Syarikat Tol di Malaysia pada aku adalah syarikat yang tamak lagi haloba. Secara umumnya kita mengetahui bahawa pembangunan di sekitar Lembah Kelang umpama cendawan tumbuh lepas hujan. Sana dan sini kelihatan bangunan berebut untuk mencakar langit. Lihat sahaja kawasan "Segitiga Emas" Kuala Lumpur. Jika boleh bangunan di tanah sekangkang kerapun berangan untuk menjulang langit. Jika bangunan banyak, sudah tentu ada penghuninya. Tidak kiralah pekerja organisasi syarikat yang setiap hari berulang-alik atau penghuni tetap kondominium mewah. Kenderaan pastinya semakin banyak menjalar diperut jalanraya. Apatah lagi dengan promosi "Zero Deposit" untuk membeli kenderaan. Penganggurpun boleh memegang stering. Pastinya tanpa pilihan mereka akan sentiasa keluar dan masuk mengunakan kemudahan jalanraya yang rata-rata dipagar oleh pondok tol. Boleh dibuat lagu "Penjara Di Lebuhraya".

Apa salahnya Syarikat Tol mencari strategi perniagaan yang lebih kreatif seumpama strategi perniagaan Syarikat-syarikat Telekomunikasi. Semakin ramai pengguna, semakin kreatif produk dan perkhidmatan mereka. Pengguna sentiasa tertarik dengan kadar tarif yang rendah, rebet, bonus, kempen dan sebagainya. Bagi pengguna-pengguna setia, mereka akan dihargai dengan pelbagai insentif menarik. Inilah konsep "WIN-WIN" yang diterjemahkan oleh Syarikat Telekomunikasi. Syarikat tetap juga untung berbilion ringgit apabila prestasi kewangan tahunan diumumkan.

Syarikat-syarikat Tol kian ketinggalan zaman. Berniaga dalam era Pak Kaduk. Masih menjalankan modus operandi perniagaan yang lapuk. Mereka hanya meningkatkan taraf perkhidmatan disegi kemudahan pembayaran ekspres melalui "Touch n Go" dan "Smart Tag" yang kelihatan canggih. Itu hanya kemudahan seumpama "Kiosk Machine" Syarikat Telekomunikasi. Jumlah wang yang dikeluarkan tetap sama. Kita sebenarnya mengharapkan agar poket kita ringan dengan konsep penjimatan melalui inisiatif perniagaan yang kreatif dan inovatif. Sukar sangatkah minda kamu mencapainya wahai Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat-syarikat Tol?

Dua puluh(20) tahun dahulu, kita tertarik untuk mengggunakan Lebuhraya Bertol kerana promosi hebat "Tiada Kesesakan...Gunakan Lebuhraya Bertol...Pasti Perjalanan Anda Lancar dan Sampai Ke Destinasi Tepat Pada Masanya". Ya, memang benar. Itu dahulu. Kini, lihat sahaja Lebuhraya SMART, Lebuhraya PutraJaya-KL, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan banyak lagi. Kadangkala terfikir juga betapa membazirnya aku menggunakan lebuhraya bertol. Kesesakan sama juga seperti Lebuhraya KL-Seremban atau Lebuhraya Persekutuan.

Entahlah. Aku pasti isu ini tiada titik noktah selagi tiada pemimpin negara yang benar-benar berani dan ikhlas menterjemahkan konsep "Satu Malaysia, RAKYAT DIDAHULUKAN, Pencapaian Diutamakan". Bagi aku, ianya sekadar "Slogan Bermusim". Sepuluh tahun akan datang kita akan bercakap perkara yang sama tetapi dalam perkataan dan nada yang berbeza. Contohnya, 15 tahun dahulu kita telah bercakap perkataan "PARADIGMA". Kini, kita bercakap perkataan "TRANSFORMASI". Aku yang tidak mudah lupa. Letih.

Catatan "Tol 5 sen" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Saturday, July 4, 2009

Kod Kehidupan: Persepsi Wanita Perokok


Sudah empat(4) bulan aku tidak berbicara di bawah ikon "Kod Kehidupan". Terlalu teruja sangat dengan Edisi Khas yang sarat dengan isu-isu semasa, lapuk dan basi sehingga lupa untuk menyentuh ikon penulisan yang lain. Kadangkala terasa lemas pula menulis topik Edisi Khas. Maklumlah menulis dengan perasaan yang berbaur. Melempiaskan rasa hati yang geram, cuak, muak dan bosan.

Malam ini fikiran aku tiba-tiba tergerak untuk menyentuh topik Kod Kehidupan manusia yang kini kian menjadi "trend" dan budaya kaum wanita di Malaysia.

Baru-baru ini aku terserempak dengan rakan sepejabat perempuan yang sedang leka merokok diruang yang menjadi "port" perokok-perokok tegal iaitu di tangga yang kotor dan tersembunyi. Ini bukan kali pertama aku melihat perempuan merokok. Malah sudah kerap aku melihat. Di jalanraya dalam perjalanan menuju ke pejabat diawal pagi, kadangkala mata aku terpaku menatap pemandu wanita yang mengeluarkan tangannya yang cantik dan halus tetapi cacat dengan kepitan batang rokok dicelah jari.

Mindanya kelihatan agak kosong memikirkan sesuatu sambil bibir kering dan hitam menghembuskan asap rokok. Raut muka yang agak kasar. Apakah yang difikirkan wanita perokok ini? Mungkin bosan dengan kesesakan lalulintas, lantas rokok menjadi alat membebaskan tekanan.

Apabila aku melihat wanita perokok (terutama orang Melayu), hati aku seolah-olah menghantar signal "negatif" ke fikiran yang sukar dielakkan. Adakah aku cenderung berfikiran negatif kerana aku tidak merokok? Apakah bezanya lelaki perokok dan wanita perokok? Aku boleh bergaul dan berbual dengan rakan-rakan lelaki perokok tanpa meninggalkan persepsi negatif. Kenapa wanita perokok fikiran aku disebaliknya pula?

Aku sukar menerima "trend" wanita yang merokok. Persepsi aku mengatakan bahawa wanita perokok adalah golongan yang berjiwa bebas, kurang beretika, sukar dikawal, pemberontak, ganas, brutal, sombong, pemilih, bercitarasa tinggi, berlagak dan sebagainya. Mungkin aku agak keterlaluan dalam berfikiran secara REFLEKTIF tetapi inilah hakikat pemikiran dan persepsi aku.

Apakah nikmatnya menjadi perokok? Terkenang aku masa zaman kanak-kanak dahulu. Atuk pelik kerusi rotannya semakin ronggak dengan kesan guntingan. Rupa-rupanya aku dan bapa saudara aku yang menterjemahkan unsur-unsur "vandalism" kala itu telah menjadikan kerusi rotan sebagai bahan untuk menghembus asap dibibir. Apabila Atuk mengetahui, bukan nikmat asap yang diperolehi tetapi nikmat birat libasan tali pinggang Atuk yang singgah dikaki. Pengajaran yang cukup bermakna untuk mengelakkan aku menjadi seorang perokok.

Coretan "Perokok Kekok" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Sunday, June 21, 2009

Selamat Menyambut Ulangtahun Kelahiran...Adik

Tahun lepas, Ulangtahun Kelahiran Adik disambut di Pizza Hut, Jaya Jusco, Puchong. Tahun 2009 (20 Jun, 8 tahun) berubah selera pula ke Secret Recipe, Sogo, Kuala Lumpur. Tiada apa yang difikirkan oleh Adik selain hadiah dan kek.

Berbeza dengan aku dahulu yang hanya diraikan oleh Nenek diberanda pintu rumah, bersimpuh sambil memanggil budak-budak kampung menjamu sesisir pisang emas. Tiada hadiah dan kek. Namun, ianya sudah memadai dengan kemampuan Atuk dan Nenek dikala itu. BERSYUKUR...SEMOGA DIPANJANGKAN UMUR, DIMURAHKAN REZEKI...itulah yang terpacul dibibir nenek setiap tahun.



Rakaman "Ulangtahun Ke-8" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Sunday, June 14, 2009

Edisi Khas 12 : Anu Siapa Di Dalam Botol?



Aku cukup jelak dengan "trend" dan aliran perfileman Malaysia masa kini. Menggunakan elemen KESEDARAN dan MESEJ POSITIF yang ternyata hanya bertujuan mengaburi biji mata Lembaga dan Anggota Badan-Badan penapisan filem negara.

Berikut adalah komentar dan aduan yang aku hantar ke Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, TV3, Utusan Malaysia dan Berita Harian untuk menghangatkan lagi keadaan.

Saya ingin mengutarakan budaya negatif perfileman Malaysia masa kini. Saya baru sahaja mengakses beberapa komentar, kritikan dan pandangan masyarakat siber terhadap filem terbaru arahan Raja Azmi Raja Sulaiman berjudul "Anu Dalam Botol" yang menonjolkan budaya minoriti sebahagian golongan songsang seperti gay, pondan, bapok dan gelaran yang sewaktu dengannya.

Saya agak terkejut dengan "trend" terkini perfileman kita. Tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat yang secara amnya jijik dengan kreativiti Pengarah dan Penerbit Filem yang tidak bertempat ini. Hanya memikirkan nilai komersial semata-mata.

Siapa atau pihak manakah yang bertanggungjawab MENDIDIK Pengarah-pengarah dan Penerbit-penerbit Filem di Malaysia?

Saya tidak pasti dan tidak dapat melihat dimanakah letaknya Garis Panduan Penguatkuasaan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam Objektif, Visi dan Misi FINAS seperti dibawah.

Objektif

“Menggalak, memelihara dan memudahkan kemajuan perusahaan perfileman di Malaysia.”

Visi

Peneraju Utama Menjana Kemajuan Industri Filem Malaysia Ke Persada Dunia.

Misi

Menyediakan perkhidmatan , kemudahan, galakan dan sokongan yang cekap serta berkesan.
Membentuk perkekitaran yang kondunsif, progresif dan berdaya saing.
Melahirkan penggiat yang berilmu, kreatif dan berkemahiran.
Memupuk budaya menonton filem Malaysia / penontonan filem tempatan. (cintai filem Malaysia)
Membawa filem Malaysia ke persada dunia.
Menjadikan Malaysia sebagai pusat destinasi perfileman.

Atau kita mengamalkan budaya "Tai Chi" jika berlaku sebarang kontroversi dimasa hadapan seperti contoh soalan lazim dalam web FINAS.
FINAS tidak bertanggungjawab terhadap penapisan filem. Penapisan filem dibuat oleh Lembaga Penapisan Filem di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Sila hubungi Lembaga Penapisan di 03 88863223.

Saya menjangkakan isu dan kontroversi di Malaysia tidak pernah ada jalan penyelesaian. Sebut sahaja apa isunya samada politik, alam sekitar, kemasyarakatan, kepenggunaan dan sebagainya. Sentiasa membangkitkan isu-isu lapuk kerana tiada penyelarasan yang KONKRIT dan BERANI oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab samada secara langsung atau tidak langsung.

Saya memohon agar pihak Kementerian (tidak kita Kementerian manapun), berani mengambil langkah PROAKTIF dan REAKTIF untuk membetulkan dan memperkemaskan Garis Panduan Perfileman Malaysia. Kita bukan menyekat hak kreativiti dan tidak prihatin soal untung-rugi Penerbit-penerbit Filem tetapi kita mahukan konsep "WIN-WIN" diterjemahkan.

Tidak guna keuntungan berjuta-juta ringgit Penerbit-penerbit Filem jika akhirnya tiada "Post-Production" atau kajian dijalankan untuk menilai keberkesanan mesej filem terutama filem yang dicanangkan akan menimbulkan KESEDARAN MASYARAKAT.

Jika benar Penerbit dan Pengarah Filem berniat murni untuk menyampaikan MESEJ POSITIF kepada remaja-remaja songsang, saya ingin cadangkan agar OLAHAN SKRIP dapat menumpukan kepada dialog dan jalan cerita yang lebih kearah POST-EVENT. Paparkan babak-babak menyentuh perasaan dalam proses penyembuhan mereka seperti mengikuti Tarbiah Agama, kasih-sayang keluarga dan kaunseling. Tonjolkan dilema perasaan dan permainan PSIKOLOGI mereka. Tidak perlu dipaparkan bulat-bulat babak-babak menghairahkan dan budaya songsang mereka. Masyarakat amnya sudah arif dengan kehidupan mereka melalui media massa dan elektronik. Tidak perlu ditayangkan lagi. Jika ini dilakukan, barulah masyarakat menganggap inilah Filem Kesedaran yang bertaraf DUNIA.

Saya amat mengharapkan agar pihak berkaitan dapat mengambil langkah wajar dan langkah awal untuk MENGHALANG tayangan filem "ANU DALAM BOTOL". Sebagai pemerhati, saya akan menganalisa segala gerak langkah mana-mana pihak dan akan terus menjalankan TANGGUNGJAWAB SOSIAL saya yang rungsing dengan kerosakan moral anak-anak remaja kini.

Semoga aduan, pandangan dan cadangan saya ini dapat diambil perhatian oleh pihak-pihak yang berkenaan.

Sekian. Terima kasih.

Catatan "ANUgerah Sakti" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Friday, June 12, 2009

Cuti-cuti Malaysia Siri 2/2009 (Jun)

Cuti-cuti Malaysia Siri 2/2009 (2-5 Jun) yang telah dirancang sejak awal tahun. Belanjawan besar untuk bersantai pula di Pulau Lagenda Mahsuri...PULAU LANGKAWI.

Hampir 14 tahun aku tidak menjejakkan kaki ke pulau ini. Kali terakhir semasa bertugas di Jabatan Kerajaan pada tahun 1995. Pulau Langkawi yang masih mengekalkan keunikan alam semulajadinya.



Rakaman "Lagenda" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Cuti-cuti Malaysia Siri 1/2009 (Mac)

Siri 1 Cuti-cuti Malaysia (Mac 2009)...hanya pulang berehat di Kota Bharu, Kelantan. Aktiviti harian...makan...tidur...makan...tidur...




Bersantai di gerai makan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kelantan



Rakaman "Santai-Santap" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Monday, April 27, 2009

Susulan Edisi Khas 11: Surat & Emel Berita Harian

Setelah komentar "terhangat" aku dihantar ke Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Utusan Malaysia, Berita Harian dan Buletin TV3, akhirnya hari ini ianya keluar di perut akhbar Berita Harian di dalam ruangan Surat & Emel dengan sedikit suntingan Editor.