Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Saturday, July 11, 2009

Edisi Khas 13: Penjara Di Lebuhraya


Sejak zaman Dinasti Samy Vellu atau gelaran popular "Samy Tol", isu kenaikan kadar tol sentiasa hangat dibicarakan. Dari Dewan Rakyat sehinggalah ke Kedai Kopi. Antara isu negara yang berada dalam kategori arkib. Kian berkulat dan berulat yang membuatkan rakyat naik meluat.

"Samy Tol" sudah "dicampakkan" oleh pengundi-pengundi bijak Sungai Siput. Menteri Kerja Raya sudahpun bertukar dua kali sejak PRU-12. Apakah hasil perubahan tampuk kepimpinan ini? Sifar. Adakah kerajaan Barisan Nasional (BN) ingin menunggu PRU-13 baru hendak memancing dan mempromosikan tol percuma. Mari-mari. Nampak sangat politik gula-gula getah. Usah bermain dengan api wahai pemimpin-pemimpin negara. Kamu diupah untuk berkhidmat untuk RAKYAT bukan Syarikat Tol. Ini bukan zaman pembangunan 60an dan 70an. Ini zaman ledakan teknologi maklumat. Sekali rakyat meledak, mahu tidak cukup langkah kamu berlari dan melompat.

Kenapakah susah sangat isu tol ini diselesaikan? Aku percaya Menteri dipelbagai Kementerian dan Pegawai-pegawai di Unit Perancang Ekonomi (EPU) bukan calang-calang orang untuk menangani masalah ini. Gunakan jawatan tertinggi kamu untuk mendekati dan memenangi hati rakyat. Bukan sekadar duduk dikerusi empuk, berlagak dan balik tepat jam 5:00 petang. Naik rimas apabila membaca didada akhbar bahawa EPU akan membuat kajian. Tidak habis-habis dengan kajian, mesyuarat, kajian dan kemudian mesyuarat kembali. Bosan dan melemaskan.

Syarikat Tol di Malaysia pada aku adalah syarikat yang tamak lagi haloba. Secara umumnya kita mengetahui bahawa pembangunan di sekitar Lembah Kelang umpama cendawan tumbuh lepas hujan. Sana dan sini kelihatan bangunan berebut untuk mencakar langit. Lihat sahaja kawasan "Segitiga Emas" Kuala Lumpur. Jika boleh bangunan di tanah sekangkang kerapun berangan untuk menjulang langit. Jika bangunan banyak, sudah tentu ada penghuninya. Tidak kiralah pekerja organisasi syarikat yang setiap hari berulang-alik atau penghuni tetap kondominium mewah. Kenderaan pastinya semakin banyak menjalar diperut jalanraya. Apatah lagi dengan promosi "Zero Deposit" untuk membeli kenderaan. Penganggurpun boleh memegang stering. Pastinya tanpa pilihan mereka akan sentiasa keluar dan masuk mengunakan kemudahan jalanraya yang rata-rata dipagar oleh pondok tol. Boleh dibuat lagu "Penjara Di Lebuhraya".

Apa salahnya Syarikat Tol mencari strategi perniagaan yang lebih kreatif seumpama strategi perniagaan Syarikat-syarikat Telekomunikasi. Semakin ramai pengguna, semakin kreatif produk dan perkhidmatan mereka. Pengguna sentiasa tertarik dengan kadar tarif yang rendah, rebet, bonus, kempen dan sebagainya. Bagi pengguna-pengguna setia, mereka akan dihargai dengan pelbagai insentif menarik. Inilah konsep "WIN-WIN" yang diterjemahkan oleh Syarikat Telekomunikasi. Syarikat tetap juga untung berbilion ringgit apabila prestasi kewangan tahunan diumumkan.

Syarikat-syarikat Tol kian ketinggalan zaman. Berniaga dalam era Pak Kaduk. Masih menjalankan modus operandi perniagaan yang lapuk. Mereka hanya meningkatkan taraf perkhidmatan disegi kemudahan pembayaran ekspres melalui "Touch n Go" dan "Smart Tag" yang kelihatan canggih. Itu hanya kemudahan seumpama "Kiosk Machine" Syarikat Telekomunikasi. Jumlah wang yang dikeluarkan tetap sama. Kita sebenarnya mengharapkan agar poket kita ringan dengan konsep penjimatan melalui inisiatif perniagaan yang kreatif dan inovatif. Sukar sangatkah minda kamu mencapainya wahai Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat-syarikat Tol?

Dua puluh(20) tahun dahulu, kita tertarik untuk mengggunakan Lebuhraya Bertol kerana promosi hebat "Tiada Kesesakan...Gunakan Lebuhraya Bertol...Pasti Perjalanan Anda Lancar dan Sampai Ke Destinasi Tepat Pada Masanya". Ya, memang benar. Itu dahulu. Kini, lihat sahaja Lebuhraya SMART, Lebuhraya PutraJaya-KL, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan banyak lagi. Kadangkala terfikir juga betapa membazirnya aku menggunakan lebuhraya bertol. Kesesakan sama juga seperti Lebuhraya KL-Seremban atau Lebuhraya Persekutuan.

Entahlah. Aku pasti isu ini tiada titik noktah selagi tiada pemimpin negara yang benar-benar berani dan ikhlas menterjemahkan konsep "Satu Malaysia, RAKYAT DIDAHULUKAN, Pencapaian Diutamakan". Bagi aku, ianya sekadar "Slogan Bermusim". Sepuluh tahun akan datang kita akan bercakap perkara yang sama tetapi dalam perkataan dan nada yang berbeza. Contohnya, 15 tahun dahulu kita telah bercakap perkataan "PARADIGMA". Kini, kita bercakap perkataan "TRANSFORMASI". Aku yang tidak mudah lupa. Letih.

Catatan "Tol 5 sen" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

No comments: