Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Sunday, January 3, 2010

Kod Kehidupan: Pusingan "U" 2010

Kali ini aku tidak berminat untuk menulis intipati yang sama untuk pembukaan Tahun Baru 2010. Pasti jari ini ringan untuk menulis isu-isu semasa. Seperti dijangka, ianya terbukti keesokan harinya di dada akhbar. Operasi mencegah maksiat yang memecahkan rekod tangkapan tahun 2009. Sekali lagi pemimpin-pemimpin kita membebel, merungut dan melatah. Bagai Burung Kakak Tua yang bertukar warna bulu setiap tahun.

Di media komunikasi tradisional (akhbar, majalah, risalah, radio dan televisyen) dan juga media komunikasi alternatif terkini (blog, facebook, friendster, myspace dan sebagainya) seperti biasa menonjolkan "keghairahan" yang sama dalam menyambut tahun baru 2010. Tidak sukar untuk aku membaca budaya dan tradisi rakyat dan negara Malaysia, malah dunia. Masing-masing seperti robot yang diprogramkan akan mengucapkan perkataan yang sama "SELAMAT TAHUN BARU 2010". Ya, tidak salah untuk mengucapkannya tetapi adakah ianya sekadar ucapan dibibir atau ucapan yang dihayati di sanubari.

Disana-sini sebelum biji mata membuntang bulat melihat percikan bunga api pada tepat waktu 12:00 pagi, 01.01.2010, kita dihidang dan disuap dengan "budaya hiburan" artis-artis popular yang kita "agungkan". Pada ketika yang sama, inilah peluang keemasan golongan remaja melempiaskan gelojak nafsu ditempat terbuka dengan berpelukan, berkucupan dan bertepuk-tampar dangan pasangan masing-masing. Tiada segan dan tiada silu. Mengapakah ianya berlaku? Ya, inilah "pemupukan budaya" yang kita semai dan baja didalam minda dan hati generasi muda setiap tahun. Jika tiada hiburan dan konsert, seolah-olah angka 2009 tidak akan berganjak menjadi 2010. Dangkalnya pemikiran kita semua.

Ah! Cukuplah membicarakan soal pekung orang lain dan nanah isu semasa yang pasti tiada kesudahan. Tahun 2011 kita pasti melatah kembali. Cukup meletihkan.

Apa AZAM tahun baru anda? Itu sebahagian skrip piawai yang kita akan dengar dipenghujung atau diawal tahun. Apakah azam tahun baru aku? Satu persoalan hebat yang bermain di minda dan hati aku.

Entah apa puncanya, pada tarikh 31hb Disember 2009, hati aku tergerak untuk membawa pulang ke rumah sebuah buku berjudul "U-Turn Ke Jalan Lurus" karangan Ustaz Zul Ramli M. Razali. Buku yang telah lama dikirimkan oleh Ustaz Zul Ramli melalui rakan sekerjaku Sdr Kamaruddin Md Ali, Pengerusi Unit Silaturrahim Syarikat. Mungkin kerana ianya percuma, aku hanya meletakkannya disudut meja kerjaku. Setiap hari kupandang tetapi tidak terniat untuk membuka dan membacanya. Mungkin faktor kesibukan tugas harian membataskan masa aku. Alasan masa yang menjadi mangsa.

Malam terakhir tahun 2009, selepas makan malam aku membatukan diri diruang tamu membuka dan membaca karangan Ustaz Zul Ramli yang personalitinya bukan asing bagi aku. Sebenarnya, Ustaz Zul Ramli adalah panel penceramah yang kerap Unit Silaturrahim jemput untuk memberikan ceramah agama di syarikat. Sememangnya antara aku dan Ustaz Zul Ramli sudah saling kenal-mengenali secara peribadi. Disebabkan itu mungkin aku terus terpaku di sofa dan terus menajamkan minda dan perasaan untuk mengenali Ustaz Zul Ramli melalui penulisannya pula. Jumlah 208 mukasurat terasa tebal tetapi aku tidak menghiraukannya.

Aku menyelak helai demi helai. Sukar pula untuk berhenti daripada terus membaca. Bunyi bising kaca televisyen tidak aku endahkan. Fikiran dan perasaanku benar-benar terfokus. Butiran perkataan, kisah dan teladan serta petikan Hadis, Qudsi, Kitab Imam Al-Ghazali Al-Mawa'iz Fil Ahadis Al-Qudsiah telah memahatkan minda dan hati aku untuk terus khusyuk. Aku terus tenggelam bersama lautan karangannya yang terasa amat luas. Kadangkala buah bicaranya menusuk ke pangkal jantung. Nafas terasa tersekat-sekat. Perasaan takut dan gentar tiba-tiba menjelma.

Hari ini, 03 Januari 2010 aku telahpun selesai membaca 208 mukasurat karangan Ustaz Zul Ramli. Empat Puluh(40) Mutiara yang dihidangkan seolah-olah memberikan satu aura yang unik dalam diri aku. Aku pasti bicara 208 mukasurat ini telah memberikan sedikit makanan kepada ROH aku. Terasa segar!

Apakah kaitannya buku ini dengan azam tahun baru 2010? Ya, kini aku memahami dan menghayati bahawa kadangkala aku tidak perlu melangkau jauh untuk membina azam setiap tahun. Ianya kadangkala tidak terkejar. Aku bertekad untuk "kembali ke asas kehidupan" seperti pengajaran yang aku perolehi apabila membaca buku Ustaz Zul Ramli. Selama ini banyak benar aku terpedaya dan terleka dengan apa yang berada didalam genggaman tangan aku.

Aku harus kembali melihat dinding dan asas tapak yang aku bina selama ini. Seperti kata Ustaz Zul Ramli dalam kata-kata hikmah penutupnya "Dalam keghairahan dan istiqamah melakukan kebaikan sekiranya tersasar dan terlencong, segera cari jalan kembali ke jalan lurus dan jangan bertangguh. Sedikit tersasar bererti kita telah terkeluar dari laluan. Andai terus dibiarkan, kita tidak akan menjumpai destinasi, iaitu keredhaan Allah."

Aku harus mencari U-Turn!

Coretan "Asas 2010" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Sunday, December 27, 2009

Edisi Khas 23: Disebalik Tirai Tragedi


Salam Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa-mangsa tragedi kemalangan bas "Sani Express" pada awal pagi semalam.

Memang sedih, hiba, sayu, kesal, cuak dan geram jika aku ingin berfikir dan berperasaan secara "reaktif".

Kematian 10 orang penumpang berkenaan merupakan "akibat". Apakah punca dan sebab-musababnya? Ya, negara kita memang pakar dalam soal mencari alasan disudut teknikal dan undang-undang. Mengulangi skrip yang sama setiap kali kemalangan berlaku. Menjelekkan.

Aku hanya ingin berfikir secara "reflektif" terhadap isu tragedi yang menyayatkan hati ini.

1. Adakah "bersih dan suci" hasil pendapatan dan keuntungan syarikat bas berkenaan dengan mengeluarkan zakat perniagaan syarikat setiap tahun dan sentiasa menitikberatkan kebajikan kakitangan? Jika tidak, tragedi kemalangan ini adalah SIGNAL BERDARAH.

2. Adakah keuntungan setiap tahun syarikat bas ini, sebahagiannya dilaburkan untuk menyelenggara bas secara konsisten dan kreatif untuk merekabentuk alat keselamatan terkini serta menggaji pemandu yang benar-benar mahir dan terlatih? Jika tidak, tragedi kemalangan ini adalah SIGNAL BERDARAH.

3. Adakah kerajaan kita "benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh" untuk mengurangkan risiko kemalangan dengan mengkaji secara menyeluruh aspek keselamatan jalanraya yang melibatkan penumpang-penumpang awam. Bukan sekadar meneruskan budaya "melatah". Jika tidak, tragedi kemalangan ini adalah SIGNAL BERDARAH.

4. Adakah pemimpin-pemimpin syarikat dan sesiapa sahaja yang bertanggungjawab dalam aspek keselamatan jalanraya di negara kita "benar-benar prihatin" dan "jujur" dalam menjalankan fungsi dan peranan kritikal mereka? Bukan setakat makan gaji semata-mata. Jika tidak, tragedi kemalangan ini adalah SIGNAL BERDARAH.

Fikirkanlah wahai pemimpin-pemimpin negara disudut minda kamu yang "reflektif". Kembalilah kepada "ASAS KEPERCAYAAN". Tragedi ini adalah petanda terhadap kelemahan dan kecuaian kamu pihak-pihak yang bertanggungjawab. Bagi pihak-pihak yang berkenaan, anda "WAJIB MENGAMBIL TANGGUNGJAWAB MORAL SEHINGGA MATI" terhadap isu dan tragedi ini.

Usahlah hari ini kamu melatah, membebel, melalut dan merungut tetapi esok kembali lena dan bermimpi. Penat untuk aku menulis ayat yang sama.

Coretan "Disebalik Tirai" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Saturday, December 26, 2009

Ulangtahun Perkahwinan Ke-14

28 Disember 2009 (Isnin) akan genaplah usia perkahwinanku selama 14 tahun. Bersyukur atas nikmat yang dikurniakan olehNYA. Semoga perjalanan kehidupan ini menuju cahaya kebahagiaan yang diberkati Allah SWT.


Koleksi "Album Kehidupan" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Pra Kembali Ke Sekolah 2010

26 Disember 2009

Kos membeli buku sekolah Abang (Zuhairi Razi) RM150.80, buku sekolah Adik (Nur Amira) RM85.60, pakaian, kasut dan peralatan sekolah hampir mencecah RM300. Apabila bermula sesi persekolahan, menanti pula yuran pendaftaran "itu dan ini" berjumlah RM XXX. Bak kata nenek aku, segala macam "duit nenek moyang" kena dibayar.

Kos pembelajaran dan pendidikan formal yang tidak boleh dielakkan. Mampu mencecah ribuan ringgit setiap kali sesi baru persekolahan bermula. Itu baru dua orang anak.

Tentu membebankan bagi keluarga yang mempunyai ramai anak-anak yang bersekolah. Harga buku dan peralatan sekolah tetap sama. Mana ada buku dan peralatan sekolah yang bergred B, C, D atau E. Semuanya gred A yang baru dan berbau wangi.

Ditambah pula sekarang, kita disuapkan dengan pelbagai rekabentuk kelengkapan sekolah. Pensil tekan, pelekat berwarna, pen bersinar, pemadam berjenama, plastik buku mudah pasang dan sebagainya. Mahu kita mengaru kepala dan rambang biji mata melihatnya. Rasa ingin pula aku kembali ke sekolah dengan kelengkapan yang amat mengujakan.


Rakaman "Serba Baru" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Sunday, December 13, 2009

Santai Kehidupan 8: Geng Strike Rangers

13 Disember 2009, 2:30-5:30pm, Ampang Superbowl, Ampang Point

Inilah Kumpulan Jabatan Sumber Manusia (HR) yang digelar "Geng Strike Rangers" yang "mempertaruhkan" kemahiran "janji golek" sempena "RCS Bowling Tournament 2009".



Rakaman "HR Rangers" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Saturday, December 12, 2009

Sambutan Hari Lahir Ke-39

11 Disember 2009, 6:30 pm
Selesai bertugas di pejabat, aku bergegas menuju The Mall, Jalan Putra, Kuala Lumpur. Cukup lemas mengharungi kesesakan jalanraya yang bermula dari Jalan Ampang lagi. Keluargaku telahpun menanti untuk menjamu selera.

Seperti biasa Amira mengulangi sekali lagi hadiah pemberian berbentuk jam. Gemar sangat dengan jam, manakala Zuhairi menghadiahkan tali leher pula kali ini.



Rakaman "39" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Saturday, December 5, 2009

Edisi Khas 22: Slogan 1Malaysia dan 1001 Kisah


Apa yang kita faham tentang falsafah, prinsip dan konsep "1Malaysia" yang diwar-warkan oleh kerajaan? Perkara barukah ia atau perkara yang hanya sekadar "diperbaharui".

Beberapa peristiwa dan pengalaman hidup tiba-tiba memetik suis fikiran aku untuk mengomel perkara ini. Berikut adalah sebahagian senario yang membuat aku termenung sejenak:

Semasa aku menghadiri Latihan Pengurusan dan Kepimpinan baru-baru ini, penceramah yang telahpun memanjat usia hampir 6o tahun memaklumkan bahawa dahulu bapanya yang berbangsa Cina tidak pernah bimbang sekiranya beliau merayap disekitar kampung. Ini adalah kerana bapanya pasti bahawa jiran tetangganya yang bernama Pak Mat, Pak Dollah dan Pakcik Gopal sentiasa mengambil berat dan mengambil kisah perihal anak-anak jiran tetangga.

Seketika semasa membaca ruang borak dalam Facebook, aku tertarik dengan pengalaman seorang rakan yang telah menyentuh naluri keibuannya apabila anaknya diberikan plastik pelindung oleh seorang budak berbangsa India ketika berteduh daripada hujan lebat disebuah gerai India.

Bagi aku, selain daripada peristiwa di atas, prinsip, falsafah dan konsep 1Malaysia harus menjangkau lebih jauh. Aku tertanya-tanya adakah ianya sekadar slogan politik bermusim?

Aku bingung kerana sehingga kini masih lagi kedengaran isu-isu "perkauman" yang tidak dinafikan masih lagi wujud yang menjadi virus kepada falsafah 1Malaysia seperti senario di bawah:

Pengambilan pekerja disesetengah organisasi yang jelas melambangkan sentimen perkauman seperti "mesti FASIH berbahasa Mandarin" sebagai syarat asas untuk ditawarkan pekerjaan. Jika organisasi yang berkepentingan Melayu mengeluarkan kenyataan "mesti FASIH berbahasa Melayu", agak-agak apakah implikasinya? Pasti, didada akhbar akan terpapar kenyataan Melayu mengamalkan perkauman. Adakah ini Falsafah 1Malaysia yang ingin kita perjuangkan?

Terdapat peristiwa panel penemuduga menolak mentah-mentah calon-calon yang memakai "tudung" dengan dialog yang memalukan kerana beranggapan calon-calon yang bertudung tidak sesuai dengan nilai budaya organisasi. Adakah ini Falsafah 1Malaysia yang ingin kita pegang?

Pengambilan kakitangan yang tidak melambangkan keseimbangan bangsa di Malaysia. Jawatan tertentu terutama "Pengurusan" hanya akan dikhaskan kepada bangsa tertentu? Organisasi dan perniagaan jenis apakah yang mengamalkan diskriminasi seumpama ini? Adakah ini Falsafah 1Malaysia yang ingin kita agungkan?

Penilaian prestasi kerja dan hubungan kakitangan yang berasaskan bangsa. Bangsa lain akan ditekan dan dimomokkan. Apakah ini Falsafah 1Malaysia yang ingin kita junjung?

Pasti banyak lagi peristiwa dan 1001 kisah benar yang dianggap kecil tetapi berlawanan dengan Falsafah 1Malaysia. Ini bukan kisah dongeng. Sebahagiannya adalah pengalaman aku sendiri dan rakan-rakan. Inilah yang harus kerajaan kita lihat dengan segera dalam sudut penterjemahan 1Malaysia. Usah berbuih mulut mencanangkan kita berbangga dengan pengisian 1Malaysia jika realitinya HAMPAS kerana dijangkiti virus senyap.

Coretan "Sawo Matang" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor