Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Sunday, November 23, 2008

Kapcai Pertama..."Back To The Future V"


Aku baru perasan bahawa sudah agak lama aku tidak menulis edisi "Back To The Future". Lebih lima(5) bulan. Cukup teruja untuk mengomel Edisi Khas yang membabitkan senario politik dan ekonomi semasa sehingga lupa untuk memetik suis nostalgia. Jangan blog aku kena "block" sudah!

Kali ini, aku ingin terbang untuk menerokai masa silam. Aku ingin kembali ke tahun 1988-1989 semasa aku menuntut ditahun pertama, semester dua(2) di Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Serdang.

Kembali ke zaman silam...1988-1989...

Atuk dan Nenek bersama Pakcik dan Kak Nora selang sebulan akan melawat aku di Kolej Kedua, UPM untuk melihat keadaan aku duduk di asrama. Gemuk atau kuruskah aku hidup berdikari? Cukup tak duit belanja harian aku? Cukup tak pakaian keperluan harian aku? Atuk dan Nenek yang sentiasa mengambil berat. Akulah satu-satunya cucu yang sudah dianggap "anak" yang berjaya memijak kaki ke menara gading.

Ya, harapan Atuk dan Nenek yang memelihara aku sejak aku berumur 1 tahun 6 bulan tidak akan aku sia-siakan. Akulah kebanggaan Atuk dan Nenek yang menjadi bual bicara masyarakat sekampung. Berbunga hati mereka melihat aku mengecapi kejayaan demi kejayaan. Bermula dengan SRP, SPM dan seterusnya ke UPM. Paling mengembirakan mereka, apabila aku berjaya memasuki Sekolah Menengah Teknik, Johor Bahru (SMTJB) pada tahun 1986-1987.

Atuk bersama keluarga tiba di Kolej Kedua sekitar jam 5 petang. Aku sedang leka bersiap untuk ke Ladang (matapelajaran wajib) bagi pelajar Tahun Pertama. Selepas melayan seketika Atuk, Nenek, Kak Nora dan Pakcik didalam bilik, aku meminta atuk menghantar aku ke ladang yang terletak di atas bukit.

"Jauh ke?" ringkas pertanyaan Atuk.

"Jauh sangat Pak," ringkas juga jawapanku pada atuk yang aku gelar "bapak".

Di dalam kereta menuju ke ladang, Nenek mulai membebel pada Atuk. Bunyinya macam hendak membekalkan aku sebuah motor. Mungkin Nenek teruja melihat budak-budak sebaya aku menunggang motorsikal di sekitar kawasan kolej.

Hendak diringkaskan cerita, akhirnya Atuk membelikan aku sebuah motor. Bukan "second hand" tetapi yang benar-benar baru. Tidak aku sangka. Motorsikal Honda 70 model baru yang digelar "Kapcai". Kapcai berplat WBQ 6296 berwarna kelabu metalik yang dibeli di kedai Motorsikal Serdang Baru kini menjadi hak milik aku. Atuk cukup adil pada anak-anak dan cucunya. Bapak saudara aku yang tiga(3) orang juga Atuk belikan motor untuk mereka. Tidak timbul soal iri hati.

"Semua aku belikan motor sorang sebijik. Jangan nak bising-bising Amer dapat motor," masih terdengar ditelinga aku atuk bersuara kepada anak-anaknya semasa aku balik bercuti dihujung minggu.

Setiap bulan aku akan balik ke rumah untuk mengambil RM67.00 untuk membayar ansuran bulanan. Aku tahu Atuk bukanlah mewah dengan gaji bertugas sebagai Pengawal Keselamatan, Jabatan Telekom. Keprihatinan Atuk melihat aku menapak jauh ke ladang benar-benar aku hargai. Aku bukanlah jenis yang suka meminta-minta. Aku anggap Kapcai ini sebagai satu anugerah yang tidak ternilai daripada Atuk.

Kini, aku telah berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan rakan-rakan yang mempunyai motorsikal. Yahaya dengan Kapcai Honda 70 model lama (plat JAY), Dollah dengan Kapcai Honda 70 model lama (plat TK) dan Nizam dengan Kapcai Yamaha (plat JAT). Setiap kali kuliah, Kapcai kami berempat akan bersanding bersama dan pastinya Kapcai aku yang paling berkilat. Kapcai mereka semua adalah Kapcai "second hand". Kholid, Affian dan Norshah pula akan menjadi pembonceng setia kami. Kami kini telah menjadi siulan awek-awek "Manis 18" teman sekuliah.

Sekali-sekala kami menyakat Shikin, Yati, Adrena, Angah dan Along sambil bertenggek dan menyikat rambut (perasan kacak) di atas motor Kapcai kebanggaan kami.

"Jomlah naik Kapcaiku," sambil kami tersenyum kucing.

"Gatal. Tak ingin," ringkas jawapan awek-awek manja sambil menjeling tajam.

Sepanjang pengajian, Kapcai kami telahpun menjelajah ke segenap pelusuk UPM. Dari hujung dunia ke hujung dunia. Bukit Expo, Ladang Lembu, Padang Golf dan ceruk manapun tidak akan menjadi halangan aku dan rakan-rakan. Kapcai yang melancarkan perjalanan dan kehidupan. Setiap kali terima biasiswa tahunan, kami akan merayap ke pekan Kajang untuk meratah Satay Kajang. Sekali-sekala ke Pasar Seni, Kuala Lumpur untuk menyaksikan Persembahan Kesenian Kaki Lima. Benar-benar teruja apabila memecut Kapcai di lebuhraya sambil mendendangkan lagu Ekamatra "Pusara Di lebuhraya" yang cukup popular.

Bulatan di hadapan Kolej Ketujuh merupakan bulatan kegemaran aku untuk buat "Kona Baring". Rasa puas bila ekzos atau pemijak kaki mencecah permukaan tar jalan. Cuma aku kadangkala tergelak apabila melihat Yahaya "kona baring" di bulatan berkenaan. Kapcainya taklah "baring" mana, tetapi yang baring hanyalah badan dia yang kurus melidi. Kapcai tetap tegak 90 darjah. Langsung tidak mencabar keberanian melipat. Aku, Nizam, Kholid dan Dollah akan mengutuk Yahaya habis-habisan setiba kami di dewan kuliah. Terkulat-kulat Yahaya tidak terkata sambil membetulkan cermin mata bulatnya. Matanya tetap terpaku merenung Adrena yang menjadi idamannya.

Awek yang berani membonceng Kapcai aku hanya seorang sahaja. Namanya Yati, budak Bukit Katil, Melaka. Yati yang tidak mengambil endah kata-kata kawan perempuan yang lain.

"Dorang tu cemburu tu Yati. Jangan pedulikan. Jauh ni kalau kau nak menapak ke Ladang Hortikultur. Baik kau tumpang aku," cukup bijak aku bermain bahasa.

Dalam perjalanan, aku akan bertindak nakal. Tiada "bumper" jalanpun, aku akan buat brek kecemasan. Dua hon yang tidak berbunyi akan berbunyi dengan tamparan tangan Yati yang hinggap di belakang badan aku. "Adoiiiii...," aku menjerit sambil tergelak sakan.

Kembali ke zaman silam...1991...

Sekitar tahun 1991, Kapcai WBQ 6296 telah aku jual. Disebabkan teruja dengan bentuk model motorsikal yang baru, aku telah "trade in" Kapcai aku dengan motorsikal baru Yamaha Y110 (WCX 2142), berwarna biru. Bentuk yang lebih "sporty" yang memikat naluri keremajaan aku.

Kembali ke zaman silam...2001..

Kapcai Yamaha Y110 telah aku jual setelah sepuluh tahun aku memeliharanya. Disebabkan penggunaannya kurang kerana aku lebih mengunakan kereta Satria Putih 1995 (DAB 5000), Kapcai Yamaha aku telah rosak. Enjin menjadi keras. Akhirnya aku jual kepada Tokey Motor, Sungai Besi dengan harga RM600.

Kembali ke masa hadapan...2008...

Kini, hanya kenangan yang mampu aku petik. Kapcai Pertama dan Kedua yang telah memberikan banyak jasa dan sumbangan sepanjang aku menuntut di UPM dan semasa bertugas di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Terima kasih Atuk kerana menghadiahkan aku Kapcai Pertama...semoga rohmu dicucuri Rahmat SWT di dunia sana...Al-Fatihah...

Back To The Future...

Coretan "Mat Kapcai" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Saturday, November 8, 2008

Edisi Khas : ICU Politik Wang UMNO


KUALA LUMPUR 7 Nov. – Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail meminta pucuk pimpinan UMNO segera menyelamatkan parti itu daripada kehancuran berikutan berleluasanya politik wang pada pemilihan sekarang yang disifatkan paling serius dengan lebih 900 aduan telah diterima setakat ini.

Menurut Tengku Ahmad Rithauddeen, beliau sudah pun berulang kali melaungkan amaran mengenai politik wang, malangnya lebih banyak aduan diterima kali ini berbanding pemilihan UMNO empat tahun lalu.

Apabila aku terbaca sahaja laporan berita terkini diatas, perutku mulai rasa bergelodak. Nafas mulai sesak. Darah mulai menyirap. Sisa toksid badan telahpun sampai di kerongkong. Hendak termuntah. Aku meluat sangat dengan karenah pemimpin-pemimpin UMNO dan orang-orang Melayu yang terus leka bergelumang dalam kolam nanah penyakit rasuah yang berbau hanyir. Sudah acapkali aku menulis dengan nada sinis dalam blog aku ini . Penat dan lelah rasanya ingin menulis dan membebel lagi.

Berita Perdana TV1 malam ini melaporkan aduan politik wang terbaru berlaku di Kota Bharu, Kelantan. Abang ipar aku yang merupakan orang kuat Pemuda UMNO, Bahagian Kota Bharu pernah bercerita bahawa gejala politik wang ini telahpun berleluasa sejak sebelum Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu. Kesahihannya memang jelas tetapi seperti biasa tindakan undang-undang berasaskan bukti hanya akan diambil selepas siasatan menyeluruh dijalankan yang berkemungkinan besar tiada noktah.

Apabila mendengar komen pemimpin-pemimpin yang bak lahar gunung berapi yang cepat sejuk, aku sendiri sebenarnya sudah muak dan masih lagi was-was dengan komitmen mereka untuk membenteras gejala rasuah dan politik wang. Ini bukan cerita baru, malah telah berzaman kita mendengarnya. Bagi aku ianya sudah menjadi barah yang sudah sampai ke tahap kronik. Sudah boleh dianggap penyakit yang memerlukan rawatan "Intensive Care Unit (ICU)".

Walaupun berapi dan berasap Pemimpin No. 1 dan 2 UMNO bercakap, ianya umpama masuk telinga kanan, keluar telinga kiri kepada orang-orang Melayu. Mengelabah Pemimpin No.2 UMNO bercakap semalam merayu pemimpin-pemimpin UMNO agar muhasabah diri. Pantang ditayang wang ringgit, mata hitam bertukar menjadi merah mengalahkan Pontianak Harum Sundal Malam. Aku masih tertanya-tanya apakah kaedah dan pendekatan paling sesuai untuk mencantas gejala paling hina ini? Adakah proses revolusi kepimpinan perlu dilakukan terhadap parti UMNO?

Bulan Mac tahun hadapan, Perhimpunan Agong Pemilihan Pucuk Kepimpinan Tertinggi UMNO akan berlangsung. Adakah pencalonan akar umbi Bahagian UMNO seluruh negara terhadap barisan kepimpinan tertinggi UMNO mengikut hirarki kuota akan diterjemahkan dalam Perhimpunan Agong nanti? Sama-sama kita tunggu dan nilaikan.

Aku masih kuat beranggapan bahawa politik wang pasti akan berlaku untuk jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan tidak kurang juga Majlis Tertinggi sekiranya Lembaga Disiplin UMNO tidak mengambil langkah drastik yang lebih berani, pantas dan tegas.

Jika beginilah tabiat hodoh yang dipamerkan oleh pemimpin-pemimpin kecil dan besar UMNO, aku percaya Pilihanraya Umum Ke-13 nanti akan menjadi Pilihanraya yang akan menghantui UMNO dan Barisan Nasional (BN) selama-lamanya. Rakyat kini semakin bijak memerhati dan menilai. Hanya menanti detik dan waktu yang sesuai untuk menghadiahkan sekali lagi Mega Tsunami dan Mega Taufan. Rakyat inginkan pembaharuan bukan hanya sekadar cakap berdegar-degar untuk enak telinga mendengar.

Amerika Syarikat kini telahpun menerima kejutan dengan pemilihan Barack Obama, Presiden Kulit Hitam Pertama dalam tempoh 232 tahun. Tidak mustahil Malaysia akan menerima tempias arus transformasi demokrasi dengan Perdana Menteri Malaysia Pertama yang lahir dari Parti Pembangkang.

Fikirkanlah wahai pemimpin-pemimpin Melayu UMNO disudut fikiran yang paling rasional. Selamatkan parti UMNO sebelum rakyat (orang Melayu) sendiri menenggelamkannya bagi tujuan "kesedaran".

Coretan "Meluat" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Saturday, November 1, 2008

Puisi Khas : Berakhirnya Episod Lily


Layu Wajahmu Sayu Diterima
Mata Berkaca Naluri Berbicara
Walau Disiram Walau Dibaja
Akar Hatimu Tetap Kering Jua

Mekarmu Lily Janji Sementara
Lambaian Manja Melewati Senja
Tangkaimu Lemah Tidak Bermaya
Kelopakmu Gugur Menepati Masa

Satu Persatu Kelopakmu Tersiksa
Gemerlap Cahaya Tiada Makna
Wujudmu Lily Besar Hikmahnya
Tanda Kuasa Yang Maha Esa

Episod Lily Bernoktah Jua
Tiada Pelangi Penyambung Cerita
Putih Warnamu Tersadur Dijiwa
Didunia Sana Kau Mekar Selamanya

Nukilan "Pabila Hati Berbicara III" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Monday, October 27, 2008

Kod Kehidupan : Harga Sebuah Troli dan Isinya


"Wah...ini macam sahaja sudah RM500 lebih ka," tiba-tiba aku disapa dari belakang oleh seorang lelaki Cina yang menunggu giliran untuk membuat pembayaran.

Aku yang masih lagi kelabu biji mata mengira wang tunai kertas RM50 sebanyak 11 keping tersenyum kelat. Peneraju "harga rendah terunggul" Pasaraya Besar Giant, Bandar Kinrara, Puchong benar-benar merealisasikan "rendahnya kuasa wang" aku.

"Sekarang barang sudah mahal. RM50 sudah macam RM5," spontan aku membalas sambil menghulurkan wang kepada juruwang.

Inilah dilema zaman sekarang. Pantang harga petrol naik, penyakit berjangkit barangan pengguna yang lain juga turut melambung naik atas nama "untung-rugi". Peliknya harga petrol sudah merangkak turun sebanyak dua kali berjumlah RM0.30, harga barangan lain macam tak reti bahasa untuk belajar bertatih turun perlahan-lahan. Sudah berbuih mulut Pak Menteri membebel tetapi pengeluar, pemborong, peruncit dan peniaga masih terus berkuasa dan bermaharajalela.

Aku masih ingat lagi dua(2) tahun dahulu semasa aku menjadi pelanggan setia pasaraya Tesco Puchong. Secara puratanya dalam seminggu aku akan menghabiskan sejumlah RM250-RM300 seminggu. Kini, di pasaraya Giant aku perlu menyediakan kos purata sebanyak RM350-RM4oo seminggu. Apa yang aku beli? Mungkinlah ada beberapa barangan makanan yang aku beli mengikut selera anak-anak seperti Ketam Bunga yang mencecah harga RM40 untuk 6 ekor dan buah anggur tanpa biji yang sedap dimakan dan sedap juga harganya. Dah anak aku nak makan, kenalah membeli walaupun untuk sebulan sekali.

Belanjawan aku pada tahun 2008 sentiasa "lari dan tersadung" setiap bulan akibat kesan secara langsung harga keperluan makanan yang telahpun naik sebanyak 40%-45% berikutan kenaikan harga minyak yang mendadak. Secara anggarannya, kos keperluan isirumah yang dahulunya hanya RM800 sebulan kini mampu mencecah rekod sehingga RM1,100-RM1,200 sebulan.

Aku cuba membayangkan kos seminggu keperluan isi rumah aku yang mencecah RM400-RM500 seminggu dengan gaji kakitangan rendah sektor awam. Tentu mereka yang duduk di bandaraya besar yang beranak ramai akan merasa bahang dengan aliran kenaikan harga. Seorang rakan aku pernah bercerita bahawa terdapat rakyat miskin yang terpaksa mencuri dan bergolok-bergadai gara-gara hendak membeli sekilogram beras. Sedih dan memilukan.

Wahai pemimpin-pemimpin negara, lihatlah disekelilingmu. Usahlah sibuk bercakaran sesama sendiri dengan poket yang berkepuk tetapi rakyat jelata merempat dinegara sendiri. Kamu dan keluarga kamu mungkin sukar memahami penderitaan mereka kerana kamu hidup dikelilingi kemewahan percuma. Gunakanlah kuasa kamu dengan berhemah wahai pemimpin. Jika tidak, kamu akan disoal di Akhirat kelak. Tidak gentarkah kamu wahai pemimpin?

Sambil aku menyorong troli dan isinya yang bernilai RM544.60, mata aku terpaku menilik setiap butiran pembelian diresit yang panjangnya sampai ke lutut. Apa yang aku beli ya? Aku lantas menggarukan kepalaku yang tak gatal.

Coretan "RM0.50 sen" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Monday, October 20, 2008

Puisi Khas : Pabila Hati Berbicara II


Pabila Hati Berbicara Ceria
Ruang Masa Luas Terbuka
Gelak Tawa Kian Terasa
Jambangan Lily Mekar Berbunga

Pabila Hati Berbicara Sepi
Sahabat Menemani Menggapai Pelangi
Bak Halimunan Muncul Disisi
Terbang Tinggi Kedunia Realiti

Pabila Hati Berbicara Kecewa
Halimunan Hadir Bermain Kata
Hati Ceria Tidak Terkira
Kudup Lily Kembang Semula

Pabila Hati Berbicara Rindu
Dua Jiwa Menjadi Satu
Jurang Dunia Bukan Penentu
Walau Jauh Setia Diseru

Pabila Hati Berbicara Duka
Resah Jiwa Tidak Terkata
Kelopak Lily Gugur Jua
Redha Atas Ketetapan Yang Maha Esa

Nukilan "Pabila Hati Berbicara II" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Friday, October 10, 2008

Puisi Khas : Gugurnya Kelopak Lily



Mekarmu Lily Tirai Lembaran Hidup
Putih Berseri Hiasi Taman Hati

Tika Cahaya Beransur Redup
Kudupmu Kembang Menerokai Realiti

Pabila Hati Berbicara Ceria
Kelopakmu Lily Melambai Manja
Menyentuh Naluri Jiwa Membara
Tanpa Sentuhan Kau Tetap Istimewa

Cantikmu Lily Penawar Jiwa
Terpancar Sinar Menerangi Suasana
Jarang Disirami Kau Segar Ceria
Akarmu Kuat Tangkaipun Terseksa


Wujudmu Lily Hikmah Semulajadi
Harum Baumu Identiti Tersendiri
Gugur Kelopakmu Tiada Pengganti
Kenangan Indah Terpahat Dihati

"Pabila hati berbicara, sukar untuk dilafazkan dengan kata-kata. Perasaan gembira mudah diungkapkan, namun tak semua yang mengerti perasaan ini. Setiap ruang yang diberikan akan digunakan sebaik mungkin. Namun hati ini pernah berkata adakah ia akan dimengertikan pada suatu hari nanti atau ianya khayalan semata-mata" - Nota Terakhir Nur Balqish Aida A Razak @ BalQish @ Qish @ Q yang telah kembali ke Rahmatullah pada 07 Oktober 2008. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah SWT. Al-Fatihah...

Nukilan "Pabila Hati Berbicara" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Sunday, October 5, 2008

Puisi Hari Raya Aidilfitri





Rumah Papan Tangga Batu
Suasana Nyaman Dipagi Hari
Sanak Saudara Riuh Bersatu
Menyambut Bersama Aidilfitri

Berpakaian Merah Cantik Sedondon
Menjamu Selera Dirumah Saudara
Orang Melihat Senyum Terpegun
Setiap Saat Nak Bergambar Sentiasa

Anak Dara Bergincu Merah
Bersama Ayah Berkopiah Cerah
Majlis Tahlil Disambut Meriah
Bersama Keluarga Beramal Jariah

Balik Kampung Sarat Sentiasa
Penuh Barang Segalanya Ada
Perjalanan Jauh Berat Terasa
Halaju 120km Macam 80km Pula

Musim Perayaan Sibuk Memanjang
Kenderaan Banyak Beratur Panjang
Sambil Memandu Jiwa Tak Tenang
Alangkah Indah Kalau Boleh Terbang

Nukilan "Raya" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor