Aku baru perasan bahawa sudah agak lama aku tidak menulis edisi "Back To The Future". Lebih lima(5) bulan. Cukup teruja untuk mengomel Edisi Khas yang membabitkan senario politik dan ekonomi semasa sehingga lupa untuk memetik suis nostalgia. Jangan blog aku kena "block" sudah!
Kali ini, aku ingin terbang untuk menerokai masa silam. Aku ingin kembali ke tahun 1988-1989 semasa aku menuntut ditahun pertama, semester dua(2) di Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Serdang.
Kembali ke zaman silam...1988-1989...
Atuk dan Nenek bersama Pakcik dan Kak Nora selang sebulan akan melawat aku di Kolej Kedua, UPM untuk melihat keadaan aku duduk di asrama. Gemuk atau kuruskah aku hidup berdikari? Cukup tak duit belanja harian aku? Cukup tak pakaian keperluan harian aku? Atuk dan Nenek yang sentiasa mengambil berat. Akulah satu-satunya cucu yang sudah dianggap "anak" yang berjaya memijak kaki ke menara gading.
Ya, harapan Atuk dan Nenek yang memelihara aku sejak aku berumur 1 tahun 6 bulan tidak akan aku sia-siakan. Akulah kebanggaan Atuk dan Nenek yang menjadi bual bicara masyarakat sekampung. Berbunga hati mereka melihat aku mengecapi kejayaan demi kejayaan. Bermula dengan SRP, SPM dan seterusnya ke UPM. Paling mengembirakan mereka, apabila aku berjaya memasuki Sekolah Menengah Teknik, Johor Bahru (SMTJB) pada tahun 1986-1987.
Atuk bersama keluarga tiba di Kolej Kedua sekitar jam 5 petang. Aku sedang leka bersiap untuk ke Ladang (matapelajaran wajib) bagi pelajar Tahun Pertama. Selepas melayan seketika Atuk, Nenek, Kak Nora dan Pakcik didalam bilik, aku meminta atuk menghantar aku ke ladang yang terletak di atas bukit.
"Jauh ke?" ringkas pertanyaan Atuk.
"Jauh sangat Pak," ringkas juga jawapanku pada atuk yang aku gelar "bapak".
Di dalam kereta menuju ke ladang, Nenek mulai membebel pada Atuk. Bunyinya macam hendak membekalkan aku sebuah motor. Mungkin Nenek teruja melihat budak-budak sebaya aku menunggang motorsikal di sekitar kawasan kolej.
Hendak diringkaskan cerita, akhirnya Atuk membelikan aku sebuah motor. Bukan "second hand" tetapi yang benar-benar baru. Tidak aku sangka. Motorsikal Honda 70 model baru yang digelar "Kapcai". Kapcai berplat WBQ 6296 berwarna kelabu metalik yang dibeli di kedai Motorsikal Serdang Baru kini menjadi hak milik aku. Atuk cukup adil pada anak-anak dan cucunya. Bapak saudara aku yang tiga(3) orang juga Atuk belikan motor untuk mereka. Tidak timbul soal iri hati.
"Semua aku belikan motor sorang sebijik. Jangan nak bising-bising Amer dapat motor," masih terdengar ditelinga aku atuk bersuara kepada anak-anaknya semasa aku balik bercuti dihujung minggu.
Setiap bulan aku akan balik ke rumah untuk mengambil RM67.00 untuk membayar ansuran bulanan. Aku tahu Atuk bukanlah mewah dengan gaji bertugas sebagai Pengawal Keselamatan, Jabatan Telekom. Keprihatinan Atuk melihat aku menapak jauh ke ladang benar-benar aku hargai. Aku bukanlah jenis yang suka meminta-minta. Aku anggap Kapcai ini sebagai satu anugerah yang tidak ternilai daripada Atuk.
Kini, aku telah berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan rakan-rakan yang mempunyai motorsikal. Yahaya dengan Kapcai Honda 70 model lama (plat JAY), Dollah dengan Kapcai Honda 70 model lama (plat TK) dan Nizam dengan Kapcai Yamaha (plat JAT). Setiap kali kuliah, Kapcai kami berempat akan bersanding bersama dan pastinya Kapcai aku yang paling berkilat. Kapcai mereka semua adalah Kapcai "second hand". Kholid, Affian dan Norshah pula akan menjadi pembonceng setia kami. Kami kini telah menjadi siulan awek-awek "Manis 18" teman sekuliah.
Sekali-sekala kami menyakat Shikin, Yati, Adrena, Angah dan Along sambil bertenggek dan menyikat rambut (perasan kacak) di atas motor Kapcai kebanggaan kami.
"Jomlah naik Kapcaiku," sambil kami tersenyum kucing.
"Gatal. Tak ingin," ringkas jawapan awek-awek manja sambil menjeling tajam.
Sepanjang pengajian, Kapcai kami telahpun menjelajah ke segenap pelusuk UPM. Dari hujung dunia ke hujung dunia. Bukit Expo, Ladang Lembu, Padang Golf dan ceruk manapun tidak akan menjadi halangan aku dan rakan-rakan. Kapcai yang melancarkan perjalanan dan kehidupan. Setiap kali terima biasiswa tahunan, kami akan merayap ke pekan Kajang untuk meratah Satay Kajang. Sekali-sekala ke Pasar Seni, Kuala Lumpur untuk menyaksikan Persembahan Kesenian Kaki Lima. Benar-benar teruja apabila memecut Kapcai di lebuhraya sambil mendendangkan lagu Ekamatra "Pusara Di lebuhraya" yang cukup popular.
Bulatan di hadapan Kolej Ketujuh merupakan bulatan kegemaran aku untuk buat "Kona Baring". Rasa puas bila ekzos atau pemijak kaki mencecah permukaan tar jalan. Cuma aku kadangkala tergelak apabila melihat Yahaya "kona baring" di bulatan berkenaan. Kapcainya taklah "baring" mana, tetapi yang baring hanyalah badan dia yang kurus melidi. Kapcai tetap tegak 90 darjah. Langsung tidak mencabar keberanian melipat. Aku, Nizam, Kholid dan Dollah akan mengutuk Yahaya habis-habisan setiba kami di dewan kuliah. Terkulat-kulat Yahaya tidak terkata sambil membetulkan cermin mata bulatnya. Matanya tetap terpaku merenung Adrena yang menjadi idamannya.
Awek yang berani membonceng Kapcai aku hanya seorang sahaja. Namanya Yati, budak Bukit Katil, Melaka. Yati yang tidak mengambil endah kata-kata kawan perempuan yang lain.
"Dorang tu cemburu tu Yati. Jangan pedulikan. Jauh ni kalau kau nak menapak ke Ladang Hortikultur. Baik kau tumpang aku," cukup bijak aku bermain bahasa.
Dalam perjalanan, aku akan bertindak nakal. Tiada "bumper" jalanpun, aku akan buat brek kecemasan. Dua hon yang tidak berbunyi akan berbunyi dengan tamparan tangan Yati yang hinggap di belakang badan aku. "Adoiiiii...," aku menjerit sambil tergelak sakan.
Kembali ke zaman silam...1991...
Sekitar tahun 1991, Kapcai WBQ 6296 telah aku jual. Disebabkan teruja dengan bentuk model motorsikal yang baru, aku telah "trade in" Kapcai aku dengan motorsikal baru Yamaha Y110 (WCX 2142), berwarna biru. Bentuk yang lebih "sporty" yang memikat naluri keremajaan aku.
Kembali ke zaman silam...2001..
Kapcai Yamaha Y110 telah aku jual setelah sepuluh tahun aku memeliharanya. Disebabkan penggunaannya kurang kerana aku lebih mengunakan kereta Satria Putih 1995 (DAB 5000), Kapcai Yamaha aku telah rosak. Enjin menjadi keras. Akhirnya aku jual kepada Tokey Motor, Sungai Besi dengan harga RM600.
Kembali ke masa hadapan...2008...
Kini, hanya kenangan yang mampu aku petik. Kapcai Pertama dan Kedua yang telah memberikan banyak jasa dan sumbangan sepanjang aku menuntut di UPM dan semasa bertugas di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
Terima kasih Atuk kerana menghadiahkan aku Kapcai Pertama...semoga rohmu dicucuri Rahmat SWT di dunia sana...Al-Fatihah...
Back To The Future...
Coretan "Mat Kapcai" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor
No comments:
Post a Comment