Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Friday, October 26, 2007

Kod Kehidupan: Dahulu vs Kini - Nilai Kebebasan

Recka dijumpai di Masjid Kapitan Keling

PULAU PINANG 25 Okt. – Kanak-kanak perempuan Recka Abdullah, 10, yang hilang selepas keluar ke pasar malam untuk membeli cakera padat video (VCD) Isnin lalu telah ditemui di Masjid Kapitan Keling di Lebuh Chulia di sini malam ini.

‘‘Menurut Recka, dia diculik oleh seorang suspek yang dikenalinya dan kemudian dikurung di sebuah flat di Farlim, Ayer Itam selama empat hari sebelum ditinggalkan di perhentian bas di kawasan berdekatan hari ini."

Kod Mesej:
Dunia kian senja. Manusia semakin gila. Itulah kesimpulan yang boleh aku pahatkan diminda sejurus membaca ulasan berita di atas. Pada aku ianya bukan lagi kes "terpencil" tetapi sudah menjadi "trend" yang amat membimbangkan. Pagi tadi di Topik Pagi Era, perasaan aku tercuit dengan kenyataan salah seorang pendengar yang mengatakan ibubapa tidak pernah mengambil ikhtibar daripada kes adik Nurin Jazlin dan kes kecederaan bermain mercun dimusim perayaan.

Sejenak aku cuba mengimbas kembali zaman semasa aku kanak-kanak dahulu yang penuh pengisian dan kegirangan. Seketika pula aku terfikir betapa ruginya kanak-kanak zaman kini yang hidup dalam dunia yang penuh kerakusan dan keganasan.

Dahulu, aku bebas bergaul bersama kawan-kawan merayap sekeliling kampung. Selepas sarapan terus hilang dan selagi awan merah tidak memanjat kaki langit, usah diharap aku akan melekat di rumah melainkan pulang sebentar untuk makan tengahari. Selebihnya, dari pagi hingga ke petang, kelibat aku dan rakan-rakan akan berada di merata-rata tempat...di atas pokok jambu, di bawah rumah orang, di padang bola, di lombong, di gelanggang badminton, di bawah pokok ketapang dan sesekali kalau rajin berjalan, aku dan rakan-rakan akan merayap ke pasar Sungai Besi.

Cukup bebas...itulah kesimpulan yang aku boleh katakan. Tiada kebimbangan, tiada ketakutan dan tiada halangan untuk menerokai dunia dan alam persekitaran. Seingat aku, tiada pula kes penculikan yang kronik kedengaran seperti sekarang. Tiada pula kes pembunuhan kanak-kanak yang kejam seperti sekarang. Sedih, dunia semakin maju dengan penerokaan angkasa lepas yang kita banggakan tetapi moral manusia semakin merundum jatuh.

Dahulu, di musim perayaan, bunga api dan mercun umpama mainan. Ingat lagi aku nama bunga api dan mercun yang popular pada masa itu seperti "bunga api kucing", "mercun roket", "mercun katak", "mercun das", "mercun kelawar" dan sebagainya. Tiada istilah "haram" pada masa itu. Selepas waktu berbuka dan solat Maghrib, kami akan berkumpul di satu lokasi yang khas untuk berjual-beli bunga api dan mercun. Cukup meriah bagai pesta. Suasana hening malam akan terang-benderang dan bingit dengan percikan bunga api dan letupan mercun. Setakat melecur atau terkena sedas-dua mercun sudah dianggap asam garam. Walau bagaimanapun, ianya tidaklah menyebabkan kecacatan anggota badan dan memberikan kecederaan kekal seperti kes-kes "berani mati" pada zaman kini.

Zaman dahulu, sifat keterbukaan dan aura "ziarah-menziarahi" di Hari Raya begitu menyerlah. Tidak kira siapa yang datang, tangan tuan rumah sentiasa terbuka untuk menerima tetamu walaupun hanya kanak-kanak hingusan. Aku dan rakan-rakan pernah merayap ke kampung berhampiran yang letaknya hampir 15-20 km. Tanpa segan-silu, salam diberikan dengan harapan dijemput masuk untuk menjamu selera dan bila balik, duit raya dihulurkan. Senyuman tetap terukir walaupun hanya 10 sen atau 20 sen diberikan. Sepanjang perjalanan pulang, aku dan rakan-rakan akan kecoh menentukan siapa yang lebih banyak duitnya dan berat poket seluarnya. Letih kaki melangkah tapi girang mengendong duit siling.

Kini, anak-anak aku tidak lagi merasai suasana seperti yang aku alami 25-30 tahun dahulu. Tiada istilah "merayap" dalam kamus kehidupan harian anak-anak aku. Selain ke sekolah pagi dan petang, lebihan masanya hanya mengadap televisyen dengan pelbagai cerita kartun. Cukup statik dan memualkan jika hendak dibandingkan dengan zaman aku kanak-kanak dahulu.

Anak perempuan aku pernah mengatakan aku "pengotor" apabila aku mengatakan aku pernah bermain pasir dan air longkang. Baginya, tiada kehidupan di luar pagar besi rumah aku. Tiada istilah berkaki ayam jika keluar dari rumah. Telinganya sentiasa disumbat dengan unsur-unsur kebimbangan dan kebersihan. Siapa yang melatihnya...tidak lain tidak bukan adalah diri aku sendiri. Perubahan zaman yang mengubah prinsip aku walaupun hakikatnya aku menyanjung dunia kebebasan kanak-kanak. Apakan daya, corak penghidupan dan orientasi pembangunan mengajar aku untuk mengadapatasi perubahan.

Segalanya ketara berbeza...dan aku hanya mampu mengimbas kenangan dahulu dalam kebimbangan menempuhi zaman kini...


Kod "Bebas" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

No comments: