...Manakah yang lebih hangat? Seorang pemimpin yang menyerlahkan "Kepimpinan Tanpa Teladan" atau seorang pemimpin yang kini "Merajuk".
Tahun baru 2008 yang pintunya dibuka dengan bunyi skru yang longgar dan berkeriut. Ini tidak termasuk lagi isu ketandusan minyak masak, spekulasi harga petrol akan naik, kes Altantuya yang semakin menjelikkan, kes rakaman perbualan yang melibatkan institusi kehakiman, kes adik Nurin yang kian sepi dan seribu permasalahan yang seperti tiada kesudahan. Sudahlah isu lapuk semakin berkulat, ditambah pula isu baru yang diperbaharui drama bersirinya. Tak menang tangan pemimpin-pemimpin kita dan tak menang telinga kita mendengarnya.
Kadangkala, aku terfikir inilah bumi paling bertuah. Kita masih lagi hidup dalam aman damai dan penuh ketenangan walaupun ada virus yang cuba membiak. Isu Hindraf berjaya dikawal daripada merebak. Budaya rusuhan masih belum diterima oleh majoriti masyarakat. Sensitiviti perkauman harus dijaga agar peristiwa 1969 tidak berulang. Bertuah...ya cukup bertuah kerana negara kita tiada peristiwa "rakyat berani mati" seperti pembunuhan ngeri bekas PM Pakistan, Benazzir Bhutto.
Berbalik kepada isu Aksi Seks lwn Yuran Sekolah. Dua pemimpin negara yang menduduki carta tertinggi isu minggu ini. Seorang telahpun berundur dengan "rela hati" dek kerana bahana terlajak hawa nafsu. Ini bukan soal privasi dan hubungan peribadi. Ini adalah soal maruah kepimpinan negara, prinsip, moral dan etika. Kita sentiasa melaungkan Kepimpinan Melalui Teladan. Teladan apa yang kita perhatikan kini? Kini bapak ayam, ibu ayam, anak ayam tempatan, anak ayam import, pembeli ayam, mat rempit, minah tersepit, bohsia dan bohjan semakin tersenyum simpul dan pastinya aksi seks pemimpin negara ini akan menjadi satu kayu pengukur atau "benchmark" bagi mereka untuk bermaharajalela. Ikan kecil sentiasa ditangkap melalui operasi besar-besaran. Kini ikan besar pula terperangkap ("bukan ditangkap") melalui operasi "kebetulan" tersebarnya DVD. Ikan besar yang cukup berani mengakui kesilapan tanpa tercuit rasa malu. Ikan-ikan besar pelbagai jenis yang lain kian lemas di daratan. Rimas dengan kedudukan dan pangkat yang jika tersilap langkah pasti terjerat dan kepalanya terpenggal.
Alhamdulillah...dua orang anak aku tahun ini mendapat buku teks pinjaman. Terima kasih Kementerian Pelajaran dan negara Malaysia. Walaupun aku pasti aku bukanlah golongan yang harus menerima subsidi tetapi inilah tuahnya menjadi rakyat Malaysia. Kita telahpun merdeka selama 50 tahun. Rakyat semakin maju dan mewah tetapi satu sahaja aku perhatikan bahawa mentaliti sebahagiannya masih kekal tidak berubah iaitu mentaliti subsidi. Segalanya ingin percuma. Pemimpin KPM kita semalam jelas kecewa dengan mentaliti ibubapa yang amat berkira walaupun menyumbangkan tambahan yuran RM25-30 ringgit kepada sekolah. Dipihak ibubapa ada alasan munasabah dan dipihak KPM juga ada alasan konkrit. Bagi aku ini bukan soal yuran tinggi atau rendah tetapi soal pengurusan dan komunikasi KPM dan sekolah yang gagal menyampaikan maklumat tepat kepada ibubapa. Inilah peranan PIBJ yang harus menjalankan peranan yang lebih mencabar iaitu mendekatkan jurang KPM, sekolah dan ibubapa. Kasihan aku tengok semalam wajah pemimpin KPM kita dan dialognya yang seakan-akan "merajuk" dengan karenah ibubapa.
Ahh...minda terasa letih apabila membicarakan isu. Pembukaan kalendar 2008 yang cukup meloyakan dan merimaskan. Pilihanraya akan datang. Pastinya pemimpin-pemimpin negara akan lebih berhati-hati dalam bertingkahlaku. Pembangkang pasti tersenyum kerana kini ada isu hangat yang akan menjadi api dan bara.
Disatu sudut mindaku...aku pasti sebenarnya pemimpin harus dilahirkan bukan dibentuk. Ianya akan jelas membezakan pemimpin yang berhemah atau pemimpin yang hanya mendirikan khemah untuk dirinya....
Aku tersenyum sendiri...
Coretan Kepimpinan oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong
No comments:
Post a Comment