Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Saturday, April 26, 2008

Potret Persahabatan..."Back To The Future V"

Kembali ke zaman silam...1990-1991...

Aku bukanlah seorang pelukis yang mengikuti dan menerima latihan dan skil intensif kursus melukis. Cuma, jika aku mengimbas kembali siri "Back to The Future IV " pada tahun 1987, aku pernah menjuarai pertandingan melukis Mural antara asrama.

Walau bagaimanapun, kemenangan berkenaan bukanlah kemenangan peribadi. Ianya adalah kemenangan bersama. Aku hanya mencurahkan idea dan konsep tetapi adik Junior yang pakar memainkan berus lukisan. Kemenangan berkenaan benar-benar memberikan kesan nostalgia yang terhebat semasa di SMTJB kerana lukisan kami telah dijadikan lukisan dinding bangunan asrama Ibnu Khaldun selama setahun. Cukup membanggakan.

Bakat dan minat melukis aku tidak mati pada tahun 1987. Kali ini lukisan potret menjadi kegilaan aku. Pensel 2B, 3B, 4B, 5B dan pelbagai jenis B yang lain serta kertas lukisan putih telah menjadi sebahagian kelengkapan utama diatas meja studi aku. Letih dan jemu mengadap buku ilmiah dan menaip kertas kerja, aku akan beralih ke kertas putih bersama perkakas melukis iaitu pensel B, tisu, kapas dan pemadam. Pasti leka aku melayan minda dan perasaan yang terbang diawangan.

Pada tahun 1990-1991, aku berjaya menghasilkan dua(2) lukisan potret yang tidak ada nilai harga jika hendak dijual. Satu potret untuk rakan baik aku yang bernama Shikin yang kini telahpun beranak tiga(3). Satu lagi untuk kakak senior yang bernama Zaity yang sempat aku jumpa kali terakhir di Kuantan, Pahang semasa aku bertugas di Jabatan Kerajaan.

Keunikan lukisan potret yang aku hasilkan bukan sekadar berasaskan skil dan teknik gurisan pensil semasa-mata. Ianya lebih daripada itu. Lukisan aku terhasil daripada cetusan perasaan yang amat mendalam dan mencengkam. Aku cukup nekad untuk memastikan lukisan potret Shikin dan Kak Zaity benar-benar serupa dengan foto kecil mereka. Aku rela menghabiskan masa berjam-jam memerap diri di dalam bilik tanpa makan dan minum hanya untuk memastikan kejernihan anak mata mereka benar-benar memukau. Kepercayaan Shikin dan Kak Zaity terhadap bakat aku harus dibayar harganya. Atas faktor itulah aku rela bersengkang mata di tengah malam buta hanya untuk memastikan senyuman bibir mereka yang memikat sebelum aku lena dibuai mimpi.

Lukisan potret aku tiada tempoh waktu untuk diselesaikan. Bukan sehari dan bukan juga seminggu. Tempoh masa bukan menjadi penghalang aku. Aku akan terus menconteng sehingga aku benar-benar puas hati dengan hasilnya. Jari aku habis hitam dengan karbon pensil tetapi itulah kenikmatan yang sebenarnya tatkala jari leka menggosok pipi potret agar bayangan lebih menyerlah.

Menghidupkan potret adalah fasa contengan yang amat sukar bagi aku. Fasa ini, perasaan aku perlu memberikan fokus yang tertinggi kerana aku percaya skil dan teknik saja tidak mampu menyerikan wajah. Ianya harus ada elemen unik iaitu melukis dengan perasaan yang mendalam. Ini yang aku lakukan dan ianya benar-benar memberikan kesan yang hebat pada potret dan diri aku sendiri.

Setelah siap, potret persahabatan berkenaan akan aku bingkaikan dengan menggunakan duit aku sendiri. Uniknya, lukisan potret ini aku akan hadiahkan tanpa sesenpun upah aku minta. Aku menyatakan bahawa lukisan potret ini tiada harga untuk dinilai. Harganya telahpun dibayar melalui kepercayaan, kesabaran, ketelitian, kepekaan dan kepuasan yang aku perolehi sepanjang tempoh aku melukis. Ianya adalah nilai subjektif yang tidak boleh diukur dengan wang ringgit. Hanya aku sahaja yang memahami konsep nilai dan harga potret aku yang tidak setaraf lukisan potret pelukis professional di Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Shikin dan Kak Zaity...17-18 tahun telahpun berlalu. Aku pasti lukisan potret berkenaan masih lagi dalam simpanan. Jika tiada, aku pasti memori lukisan perasan ini akan sentiasa mengikat pertalian kita. Terus kekal mengingati erti persahabatan yang tidak ternilai harganya pada suatu waktu dahulu...

Coretan "Lukisan Jiwa" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

No comments: