Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Wednesday, May 21, 2008

Edisi Khas : Sandiwara Politik Negara

Coretan Edisi Khas sebelum ini aku telah membicarakan dua komentar iaitu Tsunami dan Puting Beliung Politik negara sempena pasca-pilihanraya. Ingatkan sudah tiada lagi kejutan. Rupanya ada lagi siri terbaru pasca-pilihanraya yang mengalahkan cerekarama TV3. Cukup memilukan.

Sejenak aku mulai terfikir bahawa inilah pekung orang-orang politik yang tidak mampu lagi diselindungi. Kalau ikutkan hati, ingin sahaja aku memaparkan skrip "Back To The Future" kepada mereka yang berpengaruh ini. Biar mereka lihat ucapan dan tingkah laku mereka dalam menangani iklim politik negara. Dahulu, semasa Tun Dr Mahathir ingin mengundurkan diri dalam Perhimpunan Agong UMNO, ramailah pemimpin yang berasa sedih, sugul dan kecewa seolah-olah UMNO akan mati tanpa beliau. Berderaian airmata setia-kasih merayu agar Tun menarik balik kenyataan beliau. Cukup hebat lakonan mereka. Ya, mereka harus melakukan babak berkenaan kerana pada masa itu Tun Dr Mahathir adalah bapa yang mempunyai nama, kedudukan dan kuasa veto. Panas bontot mereka nanti jika tidak bijak bersandiwara.

Kini, siapakah Tun Dr Mahathir? Hanya veteran, orang tua dan ahli UMNO yang tidak lagi mempunyai taring. Yakah tiada taring? Jangan memandang sebelah mata pengaruh Tun Dr Mahathir. Aku secara peribadi, walaupun ada polisi dan dasarnya yang mencetuskan kontroversi, aura Tun Dr Mahathir masih lagi terasa bahangnya kerana Tun banyak membawa pembaharuan praktikal semasa era kepimpinannya. Cukup berketerampilan dan berwibawa. Masyarakat amnya mengakui kehebatan Tun Dr Mahathir. Cuma, dalam usia lanjut aku tergelak juga apabila Tun kadangkala melatah dan melalut terutama semasa musim kempen pilihanraya dahulu.

Apabila membaca suratkhabar, aku naik jelak dengan kenyataan "hipokrit" dan "burung kakak tua" pemimpin-pemimpin negara. Jika tidak percaya cubalah kita ambil teori Pak Lah akan meletakkan jawatan esok atau lusa. Apakah kenyataan pemimpin-pemimpin politik ini. Tunggu sahaja Pemilihan Agong UMNO nanti, kalau Pak Lah jatuh, tentu skrip lakonan mereka akan berbeza. Pak Lah akan dipinggirkan seperti mereka meminggirkan Tun Dr Mahathir kini. Mereka hanya tahu menjaga bontot masing-masing sahaja. Galak berkokok tetapi ekor terpalit dengan najis dan virus penyakit politik yang kronik. Mungkin kenyataan peribadi aku ini keterlaluan tetapi itulah hakikatnya. Nilai sahaja ketika Allahyarham Tunku Abdul Rahman melatah sewaktu era Tun Dr Mahathir, apakah kenyataan pemimpin-pemimpin negara. Mahu sahaja aku menggodek arkib akhbar harian. Biar mereka lihat bahawa kita bukan mencipta sejarah baru tetapi hanya mengulangi sejarah lapuk. Kita tidak pernah belajar daripada sejarah, malah semakin menyerlahkan kebebalan.

Tahun 2008 adalah tahun bencana pada sesetengah kepercayaan. Terbaru, Myanmar dilanda taufan dan China digegar gempa bumi. Bukan sedikit kematian. Bencana terhebat sejak mega tsunami dahulu. Malaysia pula diserang dengan bencana politik. Walaupun kita tiada bencana alam yang meragut ribuan nyawa, kesan bencana politik tidak kurang hebatnya. Ianya memberikan kesan jangkamasa panjang terhadap kewujudan dan kesinambungan kepimpinan Melayu di bumi Malaysia. Kalau kita kerap berbalah dan bersandiwara, sebenarnya kita menuju skrip babak kematian yang lebih parah yang akan merugikan generasi masa hadapan kita. Fikirkan disudut fikiran yang reflektif wahai pemimpin-pemimpin...

Coretan "Pekung" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

2 comments:

mohamad kholid said...

Fenomena itu bukan wujud dalam UMNO sahaja tetapi sudah berakar umbi dalam apa jua bidang - kerajaan dan swasta. Ini bukan negara demokrasi total yang semua orang boleh bercakap dan nyatakan pendapat - tapi dibenarkan bercakap mengikut jalur pemikiran yang dibenarkan sahaja. (Sayangnya mungkin baru kini Dr M tahu siapa disekelilingnya ketika dia PM dahulu)

NafWiDa said...

Yea betul apa yg dikatakan oleh En M Kholid... Tun berkuasa kerana kerusi yg diduduki... tetapi rakyat lupakan peranan dan jasanya ketika kerusi itu tidak didudukinya... berbeza dgn org kuat PKR walaupun dia pernah dipenjarakan masih ada rakyat yang menyokong beliau kerana jiwa kepimpinan beliau... maaf kalau silap... tapi tulah... tgk kemenangan beliau sekarang camne.