Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Saturday, June 21, 2008

Edisi Khas : Sandiwara 2 Politik Negara


Semalam, apabila mengikuti Buletin Utama TV3, ada dua isu negara yang tiba-tiba menyentap saraf minda aku untuk menarikan jari ini menulis. Sejuta persoalan yang kian membingungkan. Pada masa yang sama menyerlahkan kebebalan pihak tertentu. Jelas, membuka "pekung busuk" yang telah disorok dan diperam sekian lama. Sehingga berulat!

Isu krisis kehakiman 20 tahun lalu yang membabitkan enam (6) bekas hakim dan kes rasuah Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee 12 tahun yang lalu pada aku adalah isu yang jelas memaparkan "kepincangan kepimpinan" dahulu dan sekarang. Seperti biasa, ini bukanlah landasan untuk aku mengulas lanjut disegi perundangan dan teori-teori politik. Aku bukanlah pakar analisis teori-teori konspirasi. Biarlah orang-orang penting yang bersuara dan melatah seperti "Pak Turut". Mereka ini seolah-olah menanti giliran untuk bercakaran. Skrip kenyataan mereka tidak banyak berbeza. Semuanya "Yes Boss" menokok-tambah kenyataan rakan-rakan sekutu yang telah terlebih dahulu berkokok.

Minda aku cuba "back to the future" menerokai suis memori krisis kehakiman dahulu. Ketika itu sekitar tahun 1988, aku telahpun berada di UPM dan dalam umur 18 tahun, fikiran aku telah mulai peka dengan perkembangan politik negara. Pada masa itu Tun Dr Mahathir begitu menyerlah kepimpinannya dan seingat aku tiada siapa berani mengatakan "No Boss". Apakah yang berlaku pada masa itu? Dimanakah orang-orang penting? Dimanakah orang-orang politik yang berani bersuara? Aku pasti isu ini bukanlah hanya disedari kepincangannya selepas 20 tahun. Karut. Pasti ada pihak yang telah mencium penyalahgunaan kuasa pemimpin tertinggi negara (sekiranya benar) tetapi "takut" dan "pengecut" untuk menegakkan keadilan pada masa itu. Kenapa? Tidak lain dan tidak bukan kerana Tun Dr Mahathir ketika itu berada di puncak kekuasaan. Taringnya begitu tajam dan berkilat sehingga menyilaukan pandangan. Kini, selepas Tun Dr Mahathir berundur, mereka ini mulai hendak menunjukkan taring yang kini tiba-tiba tajam setelah sekian lama "tumpul". Cukup jelas skrip lakonan terhebat dalam drama Sandiwara Siri 2 kali ini. Mampu pecah TV.

Aku percaya, sekiranya aku memetik pula suis "back to the future" untuk menerokai masa hadapan, umpamanya pada tahun 2020, aku pasti Pak Lah atau Najib atau sesiapa sahaja yang dalam kategori "wanted" akan menjadi mangsa pula untuk dibongkarkan kepincangan mereka semasa memimpin negara. Sudah pasti pada masa itu mereka tidak lagi bertaring seperti sekarang. Logik atau tidak?

Apakah mereka orang-orang politik ini tidak menyedari bahawa skrip drama Sandiwara 2 lakonan mereka ini adalah sambungan skrip drama Sandiwara 1 dahulu. Jalan cerita yang cukup memualkan. Apakah kita tidak boleh membetulkan segala kepincangan yang timbul dengan "real time" atau "sekarang". Bukan menunggu 10-20 tahun akan datang. Kenapa sukar sangat? Apa yang mereka ini takutkan? Hantu? Jembalang Tanah? Manusia Jadian?

Jika "skrip bodoh" inilah yang mereka lakonkan, jelas menunjukkan, orang-orang penting ini hanya "menjaga bontot" masing-masing tanpa berani menegakkan keadilan berasaskan perlembagaan. Rakyat kini bijak memerhatikan sandiwara mereka. Suatu hari jangan salahkan rakyat jika rakyat memberikan sekali lagi tamparan "mega tsunami" dalam pilihanraya akan datang. Mereka orang-orang penting yang bertanggungjawab memelihara institusi terpenting negara ini tidak pernah belajar daripada sejarah yang mereka cipta sendiri.

Kes rasuah Datuk Yong Teck Lee pula menimbulkan spekulasi hangat. Teori konspirasi mulai tersebar. Secara logiknya memang pelik. Mengapakah kes ini tidak timbul 12 tahun dahulu? Kesimpulannya mudah, dahulu beliau berada di puncak (bekas Ketua Menteri Sabah). Siapakah yang berani membantah dan membangkang. Kes ini lebih mengharukan dan menggarukan kepala masyarakat umum kerana BPR membuka kertas siasatan sejurus selepas beliau mengusulkan undi tidak percaya terhadap kepimpinan PM. Kenapakah kes ini diberikan keutamaan secara tiba-tiba? Masyarakat umumnya sebenarnya naik jelak kerana banyak lagi kes-kes rasuah yang masih belum terbongkar. Jika ada yang terbongkarpun, kes-kes ini akan memakan masa bertahun-tahun. Membazirkan duit rakyat dengan kos perundangan. Apakah mata kita tidak melihat dan hati kita tidak menilai? Sandiwara lagi.

Sekali imbas, kenyataan dan alasan beliau secara umumnya agak logik dan objektif seperti isu pembangunan dan pendatang tanpa izin. Ini bukan cerita baru. Aku kadang-kala sedih melihat tahap pembangunan di negeri Sabah. Sehingga sekarang selepas 50 tahun merdeka, terdapat lagi rakyat Sabah terutama di kawasan pendalaman yang masih lagi mundur teramat sangat seperti tiada kemudahan asas seperti jalan yang sempurna. Lembu dan gajahpun tidak berselera melalui jalan yang berlumpur dan berdebu. Kesian.

Baru-baru ini, Buletin Utama TV3 memaparkan keperitan masyarakat di Ranau, Sabah yang terpaksa meredah sungai deras atau melalui titi gantung yang berisiko tinggi kerana rayuan membina jambatan tidak diambil pusing oleh kepimpinan BN (katanya). Bila ditanya kepimpinan sekarang, skripnya mudah...kita sedang meneliti dan akan memasukkan pembinaan jambatan ini dalam Belanjawan 2009. Rakyatpun menunggu dengan penuh harapan dan selepas 4 tahun (back to the future), sekali lagi rakyat terpedaya dan sekali lagi Buletin Utama TV3 membuat laporan hangat. Cukup meletihkan. Perkara ini harus jelas dimata rakyat dan kita terus-menerus mengulangi skrip dan sejarah yang sama. Aduhai! Politik negara.

Aku cukup teruja untuk menantikan skrip dan dailog seterusnya. Pasti pesta "cakar-mencakar" dan "pukul-memukul" ini akan berlarutan sehingga Perhimpunan Agong UMNO akan datang. Teori konspirasi politik telahpun tersebar. Siapakah yang kena? Siapakah yang akan "mati" dalam skrip seterusnya? Siapakah yang akan menjadi "banduan politik" dalam penjara kuasa? Siapakah yang "tersampuk" dan tiba-tiba mengubah nada dailognya? Siapakah yang akan menjadi "pelakon pembantu terbaik"? Siapakah yang akan menjadi "pengarah" terbaik? Siapakah? Siapakah?

Seketika aku terfikir. Sukar sangatkah mewujudkan kepimpinan yang benar-benar BERSIH, CEKAP dan AMANAH?

Nantikan babak-babak seterusnya dalam drama yang akan difilemkan...SANDIWARA 3 POLITIK NEGARA...

Coretan "Sandiwara" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

2 comments:

mohamad kholid said...

aku dah letih baca paper, tengok tv... terasa pembaca berita tu buat berita tipu sahaja. Baca - berita yg 15 tahun dulu mereka kata benar, sekarang dah salah. Kebenaran nampaknya mengikut zaman!

Zamer Rizal Osman @ ZoRrO @ Putera Halimunan said...

Entahlah Kholid...pemimpin yg ada sekarang aku tak nampak yg benar2 menonjol...TAHNIAH bro..nampaknya hang makin agresif menulis...hang menulis dapat kepuasan & duit..aku menulis dpt kepuasan aje...Bila nak buat Alumni ni..Umi & Shally ada tanya aku...