Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Saturday, December 6, 2008

Edisi Khas : Alam Semulajadi Kembali Menjerit



KUALA LUMPUR 6 Dis. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa di sini pagi ini sebagai amaran kedua selepas kejadian pertama di Pangsapuri Highland Towers 15 tahun lalu.

Justeru Perdana Menteri berkata, beliau mahukan segala projek pembangunan di kawasan tadahan air dan lereng bukit dihentikan.

Sekali lagi aku mendengar skrip dan dialog yang "basi" dengan kenyataan terbaru Pemimpin No.1 Malaysia. Kenapalah kita ini susah benar belajar daripada sejarah. Kita menangis dan hiba melihat kejadian terbaru ini tetapi esok dan lusa kembali ria dan tertawa. Bebal sangatkah minda kita ini untuk menerima ketetapan Allah SWT agar usah diganggu-gugat "Tunjang Muka Bumi' iaitu gunung-ganang dan bukit-bukau alam semulajadi.

Dimana-mana sahaja bukit-bukau habis ditarah. Jika bukit-bukau itu boleh menjerit kesakitan, pasti kita juga hiba mendengar seperti kita sedih melihat mangsa-mangsa tanah runtuh yang kehilangan ahli keluarga dan harta-benda.

Dahulu, semasa aku menduduki kawasan Bandar Kinrara, Puchong pada tahun 2001, suasana amat semulajadi terutama disepanjang Lebuhraya Bukit Jalil-Puchong. Bukit-bukau kelihatan masih dara dengan tumbuhan hijau yang meliar. Kini, selepas hampir 9 tahun aku berulang-alik melalui Lebuhraya berkenaan, bukit-bukau seakan menderita apabila sedikit demi sedikit kepalanya "dibotakkan" dan badannya "ditarah" atas nama pembangunan fizikal. Banjir "teh susu" di lokasi jalanraya yang cerun dan tiada penyelenggaraan longkang yang sempurna sentiasa berlaku apabila hujan lebat. Angin dan ribut pula terasa amat kasar dan ganas melibas rumah-rumah kediaman. Inilah gara-gara tiada lagi keseimbangan alam semulajadi diantara langit dan bumi.

Cukup-cukuplah dengan kejadian bencana alam yang berlaku. Usah disalah erti dengan takdir Tuhan. Kita sebagai "khalifah" dimuka bumi seharusnya menjadi pentadbir kehidupan. Bukan sekadar mentadbir negara, parti dan rakyat (dok sibuk bercakaran) tetapi juga bertanggungjawab mentadbir alam semulajadi amanah Allah SWT kepada manusia.

Apakah kita ingin menunggu satu lagi peristiwa tanah runtuh dan kembali melatah serta melalut dengan mengulangi skrip dan dialog yang sama. Sama-samalah kita fikirkan terutama golongan pemimpin dan peneraju pembangunan yang tamak lagi haloba.

Coretan "Semulajadi" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

No comments: