Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Sunday, March 15, 2009

Mesej Peminat Rahsia (Episod 2)..."Back To The Future III"


Kembali ke zaman silam...1987...

Episod 2-Idea Kreatif

Aktiviti harian sebagai penghuni asrama benar-benar mencabar. Segala-galanya berjalan dengan pantas. Sekembali aku dari solat Maghrib berjemaah disurau, tanpa berlengah aku memakai baju T-shirt kuning dan seluar coklat lusuh kegemaran aku. Menyapu bedak debu secukup bau dan menyisir rambut dicermin kecil yang dilekatkan dipintu almari. Jika tidak yakin dengan penampilan diri, cermin besar kamar akan dituju sambil berebut dan berlaga bahu dengan rakan-rakan sekamar.

"Woii...cukup-cukuplah tengok cermin tu...kalau dah tak smart janganlah nak berangan." Aku akan menjerit kepada Zahid apabila dia leka menyisir rambut tanpa henti.

"Kringggggggggggg.....," loceng asrama Ibnu Khaldun tidak pernah gagal menjerit. Menandakan tiba saatnya penghuni asrama bersedia untuk beratur di luar kamar. Aku dan rakan-rakan bergegas menyiapkan diri. Kasut disarungkan dengan pantas. Terus menyertai adik-adik junior yang telah beratur lebih awal.

Selang beberapa saat, deringan loceng kedua kembali berbunyi. Membingitkan telinga jika menjerit diawal pagi tetapi cukup merdu apabila tiba waktu makan. Deringan yang sentiasa dinantikan apabila perut mulai berkeroncong. Kami akan berarak menuju ke dewan makan dan menjamah dengan penuh selera apa jua makanan yang dihidangkan dalam bekas biru walaupun sekadar telur rebus berkuah kari atau ikan "jacket".

Keriuhan dewan makan cukup terasa apabila semua penghuni Aspura dan Aspuri berkumpul. Sekali-sekala kedengaran jeritan dan gurau-senda penghuni-penghuni yang mencuri tumpuan. Ada sahaja senario yang mencuitkan hati. Ragam awal remaja.

"Jaafar...kau pergi ambil nasi tambah kat depan. Ambil lebih. Bagi aku sikit". Nizam yang cukup gemar menyakat adik-adik junior tiba-tiba memecahkan suasana. Kebiasaannya adik-adik junior akan menjadi mangsa apabila ada abang-abang senior yang kebulur. Kes buli ringan yang tidak memudaratkan.

Sambil menjamah makanan, mata aku tiba-tiba liar merenung dari kejauhan satu-persatu wajah-wajah penghuni Aspuri. Mencari wajah lembut penghuni yang bernama Ruhaya Mohamad. Sejak dari petang tadi, wajahnya bermain-main difikiran aku. Setiap detik. Buntu memikirkan strategi sesuai untuk mendekatinya.

Setelah selesai makan malam, aku dan rakan-rakan akan menuju ke bangunan sekolah. Memenuhi satu lagi jadual wajib penghuni asrama untuk mengulangkaji pelajaran sehingga jam 10:00 malam. Setiap kamar akan ditetapkan kelas yang perlu dituju. Tidak boleh sesuka hati memasuki kelas yang digemari. Tidak boleh juga terlena bermimpi indah. Pernah terjadi rakan sekamar aku ditampar oleh Warden kerana didapati tidur sewaktu kelas malam. Cukup gerun apabila ternampak kelibat Cikgu Joyo yang meronda umpama halimunan. Kelopak mata pasti akan tegang.

Buku Geografi aku tatap kaku. Mata tertumpu tetapi fikiran melayang. Rakan-rakan sekamar kelihatan khusyuk menelaah. Ada juga yang tersengguk-sengguk menahan mengantuk. Aku melemparkan pandangan keluar tingkap. Mencari idea dalam suasana malam yang hening.

Tiba-tiba fikiran aku terfokus. Wajah Samari muncul memberikan cahaya harapan. Aku bingkas bangun dari kerusi menuju Samari yang sedang leka membelek-belek buku bacaannya.

"Samari, nanti kau teman aku sekejap lepas habis kelas malam ni boleh?" Pertanyaan aku membuatkan dahi Samari berkerut seribu.

"Apahal pulak. Teman pergi mana?" Soal Samari penuh tanda-tanya.

"Kau ikut ajelah". Aku menutup pertanyaan Samari sambil beredar menuju ke kerusi aku kembali. Bimbang jika Cikgu Joyo melintas dan melihat aku berjalan-jalan didalam kelas. Silap gaya pipi aku akan merah kena penampar Jepun.

"Kringgggggggggg...," loceng kembali berbunyi menandakan tamat sudah sesi belajar malam. Jam tepat menunjukkan pukul 10:00 malam. Semua penghuni selang beberapa saat akan mengorak langkah menuju kembali ke bangunan asrama.

Aku masih tidak lagi berganjak dari kerusi. Aku sudah memberikan signal awal kepada Samari agar menyertai aku. Lampu kelas telahpun terpadam tetapi aku dan Samari masih lagi kaku di dalam kelas. Membatukan diri dalam kegelapan tanpa disedari oleh rakan-rakan lain. Setelah dipastikan semua penghuni asrama telah kembali ke asrama, aku dan Samari mulai mengorak langkah dan memasang strategi.

"Samari, jom teman aku pergi kelas kau. Aku nak tengok meja Ruhaya Mohamad."

"Kau nak buat apa kat meja dia?" Soal Samari sambil mengekori aku dari belakang.

"Adalah". Jawab aku ringkas.

Setiba aku di kelas 5 Mekanikal 2, aku lantas menuju meja Ruhaya Mohamad setelah ditunjukkan oleh Samari.

"Kau tunggu kat luar sekejap. Aku ada kerja sikit ni". Aku memberikan arahan tegas kepada Samari.

Aku lantas melabuhkan punggung di kerusi tempat punggung Ruhaya Mohamad juga berlabuh. Sejuk saja kerusinya yang keras. Dalam kesamaran disinari cahaya suram lampu bangunan sekolah, aku mengeluarkan sehelai kertas dari celah buku Geografi aku. Kertas yang telah berisi dengan catatan yang aku karang dengan penuh perasaan 30 minit yang lalu. Sambil itu mata aku terpegun melihat kecantikan hiasan meja Ruhaya Mohamad. Meja yang beralas kertas bunga dan berbalut kemas dengan plastik lembut. Aku melipatkan kertas catatan aku kemas-kemas. Perlahan-lahan aku menyelak balutan plastik meja untuk memasukkan kertas catatan aku. Cukup berhati-hati. Bimbang jika terkoyak plastik meja. Aku tolak perlahan-lahan dengan jari kertas catatan aku dari luar plastik agar ianya berada ditengah-tengah meja.

"Zamer, cepatlah. Banyak nyamuk kat luar ni. Kau buat apa lagi tu?"
jeritan Samari mengganggu lamunan aku.

Aku bingkas bangun dan beredar. Memasukkan kerusi perlahan-lahan. Cepat-cepat menuju ke arah Samari yang setia menanti di luar .

"Apa kau buat lama-lama kat meja Ruhaya tu Zamer?" soal Samari sambil mengorak langkah pantas menuruni anak tangga.

"Petang tadi kau cabar akukan. Ni aku nak tunjukkan kat kaulah yang aku boleh mendekatinya".

"Yalah...tapi apa kau buat tadi?

"Esok-esok aku ceritalah. Dah lewat ni. Solat Isyak kita buat kat kamar ajelah."

"Oklah."

Akhirnya, fikiran buntu aku telah terlerai dengan mesej rahsia yang kini tersimpan di dalam balutan plastik dimeja Ruhaya Mohamad. Aku pasti esok pagi Ruhaya akan tersenyum membaca catatan aku. Pasti dia tertanya-tanya siapakah gerangan yang telah menulis sesuatu yang begitu indah.

Ini hanya permulaan bagi langkah-langkah seterusnya. Sekali fikiran aku berkreatif, pasti ianya akan terus kreatif. Malam ini aku akan tidur dengan lena. Tidak sabar menanti hari esok dengan seribu kemungkinan yang indah. Mengisi naluri keremajaan yang mulai subur dan berkembang.

Bersambung...tunggu "Episod 3-Detik Permulaan"

Back To The Future...

Coretan "Angau 2" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

No comments: