Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Saturday, March 14, 2009

Edisi Khas 5: Dilema Wawasan Pendidikan


Hidup tanpa peralatan canggih dan kemudahan sempurna bukan penghalang untuk seseorang menempa kejayaan. Malah kesukaran dan kekurangan itulah yang menjadi pendorong kepada usaha untuk mengubah nasib ke tahap lebih baik sambil membahagiakan ibu bapa.

Siapa sangka rumah yang kelihatan hampir roboh ini menyimpan sebutir permata berharga yang bakal menyinar suatu hari nanti. - Utusan Malaysia

Sekali lagi seperti tahun-tahun yang lalu, pelajar-pelajar bijak dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan mengulangi sejarah hebat kecemerlangan pendidikan negara.

Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2 dalam peperiksaan SPM 2008 yang diumumkan kelmarin. Anak seorang nelayan yang hidup dalam serba kekurangan tetapi mencipta rekod peribadi setelah memperolehi bimbingan guru-guru di Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan.

Dalam keributan dan kelemasan kita menangani isu pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan kes pembulian pelajar sekolah sehingga mendatangkan kematian, kejayaan pelajar-pelajar SPM 2008 ini sekurang-kurangnya mengurangkan bahang KPM. Disudut pemikiran reflektif aku, betapa jauhnya jarak isu pendidikan negara. Disatu sudut, kelihatan pendidikan kita tidak mampu dan bertenaga lagi membendung gejala jenayah sekolah yang semakin meruncing. Isu lapuk yang terus berkulat. Disatu sudut pula, kita mampu melahirkan pelajar-pelajar super-cemerlang yang menunjukkan kewibawaan wawasan KPM. Modal murah untuk Menteri KPM tersengih bangga. Aku cukup bingung memikirkan arus pendidikan negara kini.

Berdasarkan pemerhatian aku setiap pagi selepas sahaja menghantar anak aku Zuhairi ke sekolah, aku tidak akan terlepas untuk merenung gerak-geri dan gaya pelajar-pelajar sekolah yang bersaing ditepi jalanraya menuju ke sekolah. Kelihatan ada diantara mereka yang amat selekeh pada pandangan mata aku. Baju seragam putih yang tidak dimasukkan kedalam seluar hijau. Tali leher yang disangkut pendek hanya ke paras dada (bukan sehingga ke kepala tali pinggang). Kasut yang putih berkeladak. Seluar sekolah yang singkat diatas paras buku lali. Gaya rambut yang berbagai fesyen. Paling menarik perhatian aku adalah corak langkahan kaki mereka. Langsung tidak menunjukkan semangat. Longlai dan lembab. Bagi aku inilah tanda-tanda psikologi yang akan menentukan sikap dan tingkahlaku masa hadapan mereka. Merekalah bakal pekerja yang akan mendatangkan banyak masalah disiplin kepada organisasi sekiranya tiada pihak yang mengambil berat tanda-tanda awal ini diperingkat sekolah.

Sehingga kini kita masih lagi berbahas dan menuding sepuluh jari ke pihak-pihak tertentu apabila menangani permasalahan pelajar-pelajar sekolah. Masing-masing samada dipihak ibubapa, institusi sekolah dan KPM mempunyai pandangan dari perspektif yang berbeza. Kita juara dalam membahaskan isu tetapi hasilnya kosong. Terus berlegar dan berpusing sehingga pening dan terlena. Kembali tersedar apabila timbul isu terbaru. Inilah budaya Malaysia dalam menangani isu. Bosan dan meletihkan.

Sejurus aku membaca laporan kecemerlangan pelajar-pelajar SPM 2008, aku langsung tidak teruja dengan rekod 19A atau 100A sekalipun. Bukanlah iri hati kerana aku tidak tergolong dalam senarai pelajar cemerlang 21 tahun dahulu tetapi aku percaya kejayaan akademik semata-mata tidak akan menjamin kejayaan hidup secara keseluruhannya. Ianya hanya tiket untuk memasuki pintu utama menuju perjalanan yang penuh dengan ranjau dan duri.

Kejayaan dan kegemilangan pelajar-pelajar cemerlang ini harus ada kesinambungannya.
Inilah peranan terpenting Menteri KPM untuk memandu arah pelajar-pelajar cemerlang ini. Sedarlah wahai Menteri KPM bahawa anak-anak Melayu kita kini terus jauh ketinggalan dalam persaingan dengan bangsa-bangsa lain. Kelalaian dan kebodohan kepimpinan negara yang perlu dibayar oleh generasi masa hadapan. Pelajar-pelajar cemerlang akan dibiar tenggelam tanpa susulan, manakala pelajar-pelajar bermasalah akan terus bergelumang dengan seribu kekalutan.

Jika ditanya kepada pelajar-pelajar sekolah yang bermasalah kenapa mereka bergaduh, jawapan popular kini adalah..."Tu, Menteri dan Orang Politik kat Parlimen boleh bergaduh...lagak mengalahkan samseng lagi". Entahlah...inilah terjemahan terbaik "Kepimpinan Melalui Teladan".

Coretan "Kosmetik" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

No comments: