...Di suatu petang, "Ani, dengar sini. Kalau ayah kau datang ke sekolah, jangan sesekali kau jumpa dia tau" suara lemah nenek tiba-tiba terpacul.
Ani diam seribu bahasa. Dahinya berkerut. Berat memikirkan sesuatu yang tidak pasti. Ani tidak mampu bersuara dan bertanya. Biarlah dia memendam rasa. Novel "Suara" ditutup perlahan-lahan. Diletakkan di atas meja lantas merenung neneknya yang masih gagah berdiri sambil melontar mata ke luar jendela. Ani menanti dengan resah. Pasti neneknya akan bersuara lagi.
"Ayah kau memang tak berguna. Dulu masa kau kecik, sikit dia tak peduli. Konon tak ingin anak perempuan. Sekarang dah besar panjang dan pandai, jangan harap dia nak jilat ludah dia balik. Enam belas tahun aku asuh kau dengan dua telapak tangan aku ni. Kau harus dengar cakap aku ini Ani. Aku yang bagi kau makan, minum, pakaian kau. Aku yang tanggung. Ayah kau sesenpun tak hulur. Kau ingat tu Ani!" kata-kata panjang lebar nenek benar-benar menghiris jiwa muda Ani. Ani kian terluka. Namun apakan daya. Mengangguk tidak, mengelengpun tidak. Ani menarik nafas panjang sambil ligat berfikir mencari lorong keluar.
"Nek, Ani nak pergi ambil baju di ampaian. Dah petang."
Mata nenek sayu mengekor Ani keluar. Nenek kembali merenung bukit-bukau yang masih dara. Hatinya kian keras. Sekeras batu bukit yang tidak pernah lenyap.
Tanpa sedar airmata Ani mengalir. Membasahi pipi gebunya. Bunyi dengkur kawan sekamar mengejutkannya daripada lamunan. Mata dipejam rapat-rapat dan wajah neneknya menghilang. Kini wajah ibunya pula melompat dan berlegar-legar diruang mata dan minda.
"Ani, ibu nak berpesan dengan kau" kata ibu Ani sambil menyikat rambut adiknya Emy yang berumur 10 tahun.
"Pesan apa ibu?" soal Ani pantas sambil tali beg digalaskan dibahu.
"Ani, kalau ayah kau jenguk kau di sekolah, terimalah dia. Usah kau benci ayah kau tu. Apa yang berlaku dah takdir. Tanpa dia, kau tak akan hidup di dunia ini" kata ibu Ani sambil menghantar Ani ke luar pintu dengan perasaan penuh harapan.
Ani mencium tangan ibunya dan hanya bersahaja mendengar kata-kata ibunya. Seperti acuh tak acuh. Namun, disudut hatinya yang paling dalam, menangis mengenangkan nasibnya.
"Ani, kau tak tidur lagi" teguran rakan berhampiran katilnya kembali mengejutkan Ani daripada lamunan. Tiada respon diberikan. Senyap.
Malam kian sepi seolah-olah bersimpati dengan nasibnya. Malam yang gagal melelapkan matanya seperti kebiasaan. Bukan malam untuk Ani bermimpi indah. Bukan juga malam untuk Ani lena sehingga azan subuh berkumandang. Ani turun dari katilnya perlahan-lahan. Kakinya melangkah longlai menuju tingkap yang terbuka luas. Angin malam menyapa lembut. Rambut kusutnya terbuai-buai. Terasa segar seketika.
Langit kelam tanpa sebutir bintangpun berkelipan. Malam yang benar-benar menyindirnya. Ani masih terus mengembara. Meneroka dan mencari titik noktah yang kian kabur. Biarlah belaian angin malam memujuk jiwanya. Biarlah keluasan pandangan matanya dalam kegelapan membuka seluas-luas kotak fikiran dan mata hatinya. Biarlah...biarlah suasana hening yang membantu Ani mencari jawapan yang belum pasti.
Keputusan Nekad
Loceng rehat ghairah berbunyi. Tepat jam 10:25 pagi. Namun Cikgu Abdullah masih leka membebel. Ani merungut-rungut sendirian. Setelah Cikgu Abdullah beredar dari kelas, Ani tergesa-gesa menyusul keluar. Ani tidak mahu lagi ternanti-nanti. Terasa lemas. Penantian adalah satu penderitaan walaupun penderitaan lain mungkin akan menyusul.
"Assalamualaikum Cikgu" suara Ani rendah menyapa penuh hormat.
Pengetua Shukri yang sedang leka menulis sesuatu lantas mengangkat perlahan-lahan wajahnya sambil mengukir senyuman ketat.
"Waalaikumusalam, awak Anisah, silakan duduk. Bagaimana? Sudahkah awak memutuskannya" sambil tutup pen disarungkan kembali. Dada Pengetua Shukri dirapatkan kepinggir meja.
Ani sekadar mengangguk. Wajahnya serius. Matanya terpaku. Tubuhnya kaku.
"Saya harap apapun jua keputusan awak, ianya boleh memberikan kebaikan kepada awak. Awak belajarlah bersungguh-sungguh. Buktikan kepada ayah dan ibu awak."
Kata-kata Pengetua Shukri benar-benar menyentap perasaan Ani. Hatinya yang telah bengkak sejak semalam kini mula berdenyut. Perasaannya kembali sebak. Setelah dirasakan reda ombak didadanya, Ani lantas bersuara.
"Cikgu, izinkanlah ayah saya menemui saya." Luahan suara Ani kedengaran seakan memaksa.
Kelopak matanya terasa berat. Sepantas kata Ani, sepantas itu juga Ani beredar sambil menutup wajahnya dengan kedua belah telapak tangan. Ani menangis lagi.
Pengetua Shukri kelihatan binggung tetapi membiarkan sahaja Ani berlalu pergi. Memahami apa yang Ani rasakan.
Sambil berlari anak menuju ke kelas, jauh disudut hati kecil Ani berkata..."Maafkan Ani Nek..."
-TAMAT-
Nota: Ani masih terus berlari. Kisah hidupnya kini disambung pula dalam siri "BERLARI DALAM MENANGIS" dan "HIDUPKU MENITI JANJI". Sekian.
Cerpen Nostalgia oleh:
AB Mar
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
No comments:
Post a Comment