Kelmarin, tiba-tiba mataku terpaku menonton laporan ringkas rancangan 360 TV3 tentang isu Sufiah Yusof yang mencipta sejarah peribadi kedua yang paling menggemparkan negara Malaysia.
Terus sahaja aku mengakses "search engine" dan memasukkan nama "Sufiah Yusof". Umpama ledakan gunung berapi. Sarat dengan laporan berita dan komentar tentang insan genius yang telah "hilang pedoman" ini.
Seperti biasa aku tidak mahu mengulas isu ini. Ramai sudah yang berbicara mengutarakan komen, pandangan dan pelbagai teori. Daripada rakyat biasa, tokoh akademik sehinggalah ahli politik semuanya pakar analisis untuk memberikan ulasan. Publisiti besar-besaran yang diberikan oleh arus Media Perdana cukup menarik perhatian. Mungkin atas kerana nama Sufiah yang pernah mengharumkan nama Malaysia, dia harus diberikan liputan khas. Tetapi bagaimana dengan Joyah, Munah, Minah dan Timah yang sejak zaman-berzaman merempat di belakang lorong yang berbau hanyir untuk melariskan perniagaan yang tiada bezanya dengan Sufiah. Adakah mereka hanya kudis-kudis buta yang harus dibiarkan terus terpinggir tanpa pembelaan masyarakat. Jelas menunjukkan perbezaan Antara Dua Darjat.
Sufiah...sedekad yang lalu adalah nama besar yang menjadi simbol dan model kepada pelajar dan institusi pendidikan negara. Cukup tinggi darjat yang diberikan. Anak comel yang dilatih, dididik dan diperlihara dengan corak kehidupan yang unik dan pelik. Kecerdikan IQ yang tidak perlu dipertikaikan. Kita lambung dan julang setinggi-tingginya. Akhirnya kini, jatuh tersungkur dilembah paling hina. Dimanakah terperamnya darjah IQ tertinggi Sufiah untuk dia membezakan baik, buruk, dosa dan pahala.
Seketika aku terfikir bahawa apa yang berlaku pasti ada hikmah dan pengajarannya. Cuma kita sentiasa lalai dan leka untuk melihat "sesuatu disebalik sesuatu". Ya, Sufiah memang sudah rosak. Itu adalah hakikat yang tidak boleh diubah. Kita tidak harus berceloteh untuk terus mencari punca dan sebab-musabab. Lihatlah ke hadapan dan tolehlah kebelakang untuk melihat apakah kesilapan kita dan apakah langkah pencegahan kita? Jelas, manusia dijadikan bukanlah "ideal" segala segi. Kita sangkakan inilah anak bangsa Malaysia yang "terunggul". Rupanya disebalik kecerdikannya telah tertanam tunas-tunas kehancuran yang virusnya setaraf pelacur-pelacur jalanan dan minah-minah bohsia yang darjah IQ mereka dibawah paras beku.
Apakah kesudahan kod kehidupan "anak Melayu" yang bernama Sufiah Yusof. Pada aku, isu ini umpama anai-anai yang kini telah menjadi kelkatu. Kemewahan, kecerdikan dan apa jua kelebihan pada diri kita tidak memberikan apa-apa makna sekiranya tiada "keseimbangan" untuk kita mengadapatasi perubahan.
Biarlah anak-anak kita tidak genius IQnya tetapi "bijak dan peka" untuk membuat "penyesuaian" terhadap kehidupan dunia yang kian merosakkan.
Coretan "Tersungkur" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong
No comments:
Post a Comment