Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Monday, April 14, 2008

Edisi Khas : Fobia Jenama BABI



Lemas. Tak menang tangan untuk menangani isu-isu semasa. Belum selesai satu isu, hadir lagi sepuluh isu. Belum lagi reda "sawan politik" dan "sawan jenayah", menjelma pula "sawan babi".

Aku tidak berniat untuk mengulas lanjut isu yang semakin meloyakan ini. Cukuplah orang-orang politik yang melatah sehingga bersembur air liur. Biarlah mereka bersandiwara dan berwayang kulit atas nama ketokohan dan kepimpinan. Isu lapuk dan berkulat yang "disadur semula" ini aku percaya akan terus diperdebatkan sepuluh tahun akan datang jika pemimpin-pemimpin kita hanya "bertaring diawal pertarungan" tetapi kemudian meleleh air liur apabila disuapkan "sesuatu" yang "membutakan" mata hati. Lumrah politik semasa. Membosankan.

Aku masih ingat lagi perkataan atau jenama BABI ini cukup "fobia" kepada sesiapa jua. Dizaman persekolahan aku dahulu, perkataan BABI memang menjadi "alat" untuk pelajar-pelajar yang bermulut celupar untuk "memaki" rakan-rakan dan guru-guru yang tidak disukai. Perkataan empat(4) huruf yang ringkas tetapi cukup mengguris ulu hati dan membakar emosi. Dialog "BABI engkau..." cukup sinonim dan lemak kedengaran bersama "nada" sebutannya. Perkataan dan jenama BABI ini cukup popular walaupun rupa BABI yang sebenarnya tidak pernahpun aku lihat secara "life".

Jenama BABI ini pada pengamatan aku dahulu merupakan satu istilah yang cukup menggelikan, meloyakan dan menyakitkan. Sesiapa sahaja yang ditujukan perkataan ini pasti akan menggenggam buku lima dan berakhir dengan pergaduhan seumpama ahli-ahli politik sekarang yang bercakaran antara satu sama lain. Ya, cukup sinonim tetapi dalam suasana yang berbeza.

Sekitar tahun 1993 dahulu, aku pernah terkena air BABI yang meleleh dan melayang di jalanraya semasa menunggang motosikal Yamaha WCX 2142. Malang yang "berbau air BABI" kerana tanpa disedari aku telah membontoti sebuah lori yang berpenumpangkan beberapa ekor BABI. Terasa sejuk sahaja apabila terkena anggota badan. Mulut tanpa disedari mulai mengeluarkan perkataan sumpah-seranah. Antara perkataannya..."BABI kau...takda jalan lain ke nak lalu". Sudah tentu aku menyumpah BABI dan Lori BABI.

Terkena air BABI ini merupakan beban yang teramat berat pada aku. Yalah, mencari kerja pula untuk menggali "tanah liat" bagi tujuan menyamak. Habis seluruh pelusuk UPM aku jelajah untuk mencari bukit yang ada tanah liat. Balik ke rumah, kena pula menyiapkan perkakas mandi. Bagi mengelakkan perasaan was-was (setan betul), akupun bertapalah selama sejam bagi memastikan seluruh tubuh badan dilumur dengan air tanah liat dan disiram dengan serata-ratanya. Bukankah menyusahkan. Fobia...fobia...BABI betul!

Apakah kesudahannya salasilah keturunan isu BABI ini? Projek ternakan BABI secara moden bernilai 100 juta untuk kediaman mewah BABI ini pasti akan mengguris perasaan MANUSIA. Apakah rasionalnya menyediakan kemudahan tercanggih ini sedangkan ramai lagi rakyat negara kita yang masih dahagakan pembangunan terutama golongan miskin dan termiskin.

Wahai kerajaan...berikanlah keutamaan kepada jenama MANUSIA sebelum kita menaikkan darjat kehidupan jenama BABI. Kalaulah BABI boleh berkata, pastinya BABI akan bersuara..."BABI betul MANUSIA ini...dimanakah akal mereka?"

Coretan "Fobia" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

No comments: