Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Sunday, December 7, 2008

Kod Kehidupan : Nilai Kepimpinan Keperibadian


Sudah agak lama juga aku tidak berbicara serius melalui suis penulisan "Kod Kehidupan". Suis penulisan yang amat gemar aku petik diawal kerjaya (1995-2001) melalui komentari dan artikel organisasi. Kini, aku lebih cenderung menyampaikannya secara ringkas dan spontan melalui komunikasi dalaman Siri HRInfo Sumber Manusia.

Sepanjang aku terbabit dalam kerjaya pembangunan sumber manusia yang kini mencecah 14 tahun (3 tahun dibidang pembangunan masyarakat dan 11 tahun dibidang pembangunan sumber manusia), aku kadangkala terasa lemas dengan karenah manusia. Melalui sesi taklimat kakitangan baru, aku tidak akan lupa untuk mencabar mereka dengan mengatakan bahawa salah seorang daripada mereka akan tersungkur dalam kerjaya. Aku mengatakan 1o tahun dahulu aku telah bercakap soal kepimpinan diri dan kini masih terus memperkatakannya dan pasti 10 tahun akan datang, aku akan terus mengulangi skrip dan dialog yang sama.

Inilah cabaran tanpa noktah dalam menguruskan kakitangan dibidang sumber manusia. Kerjaya sumber manusia kini bukan sekadar menguruskan pentadbiran kakitangan (personnel administration) seperti pemprosesan gaji, perlantikan, latihan, pembangunan, komunikasi, perhubungan dan sebagainya. Bidang sumber manusia kini memerlukan tahap "soft skill" yang lebih berteraskan prinsip pembangunan organisasi yang memberikan nilai tambah untuk mencipta dan membina satu persekitaran kerja dan budaya organisasi yang sihat.

Memandangkan aku dilatih dalam bidang "pembangunan manusia" semasa menuntut di UPM, aku sentiasa memegang prinsip bahawa kakitangan perlu dilatih mindanya untuk membina kerjaya melalui kepimpinan keperibadian. Kepimpinan melalui teladan kadangkala tidak relevan dalam beberapa keadaan. Bayangkan setiap kali aku mengadakan sesi bimbingan, kaunseling, keterangan dan penyiasatan terhadap permasalahan kakitangan, dialog burung kakak tua akan disuarakan "Saya lihat orang lain boleh buat. Saya datang lewat sekali-sekala sahaja tetapi rakan saya dah banyak kali. Tiadapun Ketua Jabatan mengambil tindakan."

Dialog kakitangan berkenaan mengambil "contoh melalui teladan" rakan sekerja malah mungkin juga contoh Ketua yang juga dua kali lima (2x5). Ketua Jabatan pula gagal mengambil tindakan yang sewajarnya kerana sentiasa berada didalam dilema. Ada kakitangan mereka yang bijak dan pakar dalam melaksanakan tugas tetapi SIKAP dan DISIPLIN diri cukup mengharukan. Hendak dilaporkan kepada aku (Sumber Manusia) takut mereka juga yang terpenggal tengkuk.

Ada teori organisasi mengatakan bahawa tidak mengapa kita mengabaikan soal disiplin kakitangan sekiranya kakitangan berkenaan mampu menjalankan tugas dengan sempurna. Contohnya, tidak mengapa masuk pejabat lewat sesuka hati tetapi pada masa yang sama tiada tunggakan kerja. Benar dalam aspek produktiviti dan fungsi kerja tetapi TABIAT ini tidak boleh dibiarkan kerana ianya meninggalkan "persepsi negatif" kepada kakitangan yang lain. Siapa yang tahu kakitangan berkenaan "kerja bagus". Mustahil kakitangan berkenaan boleh mencanangkan kepada dunia dengan skrip "Wahai semua...aku hanya berkerja 4 jam tetapi hasil kerja aku melebihi tugas kamu yang bekerja 9 jam".

Inilah pertembungan mentaliti yang menjadi pertikaian dalam pengurusan organisasi. Aku cukup jelas dan tegas tentang falsafah dan prinsip kepimpinan kakitangan dan organisasi. Walau sehebat manapun kakitangan berkenaan, soal disiplin, prinsip dan asas keperibadian wajib menjadi "TUNJANG". Analogi yang boleh kita kaitkan dengan senario diatas adalah seumpama kita membina istana diatas pasir. Lama-kelamaan istana indah kita pasti runtuh dan ranap kerana "asas tapak" yang tidak kukuh.

Mereka yang tidak mempercayai nilai kepimpinan keperibadian juga tidak mampu mengaitkan rezeki mereka dengan unsur "KEBERKATAN". Selagi ada ruang dan peluang, pasti mereka akan mengambil kesempatan seperti "ponteng kerja", "bertangguh kerja", menipu dalam membuat tuntutan (RM), "engkar arahan Ketua", dan sebagainya. Kakitangan yang mempunyai sikap negatif seumpama ini adalah kakitangan yang kebiasaannya kerap berkira dengan organisasi. Satu (1) minit membuat kerja lebih masa akan tetap dikira. Sebut pasal insentif dan ganjaran, kepala merekalah yang dahulu terjulur ke hadapan. Padahal, sepatutnya mereka menyuluh diri mereka luar dan dalam dan bertanya kepada diri "Layakkah aku memperolehi ganjaran dengan sikap aku yang hodoh." Mustahil mereka akan berfikir begitu.

Aku tidak akan berganjak dan berputus asa dalam menterjemahkan kepercayaan dan prinsip aku dalam membimbing kakitangan dan organisasi. Biarlah mereka berkata-kata dengan seribu teori. Satu hari mereka yang "tidak sedar dek untung" akan menerima akibatnya. Aku rela tidak menjadi popular dalam menjalankan peranan dan tugas kerana aku sememangnya "dilahirkan" untuk "mencintai" bidang pembangunan manusia. Aku tidak akan berundur. Pasti!

Coreten "Asas" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

No comments: