Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Monday, December 8, 2008

Aura Kebudayaan..."Back To The Future V"


Melalui coretan-coretan yang lalu, aku telah menjelajah siri Back To The Future yang antaranya memaparkan babak-babak permulaan aku terlibat di dalam bidang kesenian seperti nyanyian, tarian, drama, lukisan, penulisan cerpen dan penulisan puisi.

Kembali ke zaman silam..1988-1989...

Kali ini aku ingin sekali lagi menjelajah untuk meninjau kembali babak khusus aku terlibat di dalam aktiviti kesenian teater dan tarian semasa bergelar pelajar di UPM, Serdang.

Semasa sesi pendaftaran Semester Pertama di Dewan Besar, aku diberikan pilihan untuk terbabit dalam bidang ko-kurikulum yang menjadi syarat wajib pelajar-pelajar baru. Entah apa mimpinya, minda aku terus terfokus untuk memilih aktiviti Kebudayaan sebagai pilihan utama berbanding sukan dan pasukan beruniform.

Penglibatan Seni Kebudayaan pertama aku adalah di Hari Konvokesyen UPM 1988-1989. Aku bersama rakan-rakan baru yang kebanyakannya pelajar-pelajar Matrikulasi Kolej Kediaman Ke-9 telah dipilih selepas uji bakat untuk menjayakan "Persembahan Kebudayaan Teater Hang Tuah" di Pentas Utama, Bukit Ekspo, UPM.

Beberapa siri latihan telah diadakan di Panggung Eksperimen, UPM bagi memastikan persembahan kami nanti berjaya memukau hadirin yang hadir. Memandangkan aku bukanlah dalam kategori "high profile", aku hanya diberikan peranan Hulubalang Melaka yang bersilat di hadapan pentas dan berkejaran di padang dicelah-celah penonton. Aku hanya bersilat sebentar kerana Hang Jebat telah berjaya menikam dan membunuh aku. Aku akhirnya tersungkur ke tanah. Tamat sudah babak 5 minit aku dalam persembahan teater selama 30 minit. Babak dan peranan yang kurang menyerlah tetapi tetap meninggalkan kepuasan yang tidak terhingga terutamanya semasa kami membuat "post-mortem". Kami akan sama-sama tergelak terbahak-bahak.

Berbanding seni persembahan teater, aku sebenarnya lebih menyerlah dalam bidang seni tarian. Kelab Kebudayaan, Kolej Kediaman Ke-2 menjadi landasan awal aku mengasah bakat seni tarian. Memang tidak dinafikan, aku sentiasa dikelilingi oleh awek-awek cun-melecun kerana tidak ramai penari lelaki di Kolej Kediaman Ke-2. Hanya aku, Abang Azid, Chan dan beberapa kerat rakan lelaki sahaja yang bergiat aktif. Semasa sesi latihan dijalankan, aku sempat berkenalan dengan rakan-rakan perempuan sekolej iaitu Syikin, Juliana, Along, Rosmawati dan ramai lagi. Latihan tarian kami dibimbing oleh Kakak Senior yang aku panggil Kak Pah (kini bergelar Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, rakyat Malaysia pertama dan wanita Asia pertama yang mencipta nama dalam ekspedisi solo ke kutub selatan (Antartika) pada tahun 2004).

Memandangkan tidak ramai pelajar lelaki yang aktif dalam bidang kebudayaan, aku seperti rasa "terpulau" apabila sering diperli oleh rakan-rakan sekolej. Perkataan "pondan" atau "bapuk" kadangkala terasa panas ditelinga aku semasa aku beratur mengambil makanan di dewan makan. Lembut sangatkah aku? Abang-abang Senior sentiasa sahaja menyakat aku jika berselisih bahu. Disebabkan bosan dengan sindiran dan jelingan mereka, aku kadangkala malas untuk ke dewan makan dan mengadap mata jahat mereka. Terasa rugi pula yuran kos makanan kolej yang telah dibayar.

Semasa sambutan Hari Terbuka Kolej Kediaman Ke-2, aku, Abang Azid dan Chan akan menjadi pilihan tetap Kelab Kebudayaan untuk berganding dengan penari-penari wanita yang memikat. Kak Pah selaku Pengerusi Kelab Kebudayaan seperti biasa akan tetap memberikan semangat kepada aku agar yakin diri apabila menari dihadapan hadirin. Sesiapa sahaja yang melihat kami menari pasti cemburu terutama abang-abang senior yang sering memerli dan mengejek aku. Apa taknya, setakat bersentuh tangan dan bersentuh badan sudah menjadi kebiasaan penari. Mereka hanya mampu melihat tapi aku pula mampu merasai sentuhan lembut penari-penari wanita.

Implikasi negatif aku terbabit dalam bidang seni tarian amat ketara. Aku gagal mengawal emosi kerana diri terasa dipulau oleh rakan-rakan sekolej. Akhirnya, aku keluar dari Kolej Kediaman Ke-2 semasa Tahun Ke-2 dan rela berulang-alik dari rumah di Sungai Besi ke UPM. Motorsikal Kapcai pemberian Atuk meransang aku untuk angkat kaki dari Kolej tanpa berfikir panjang.

Atas faktor komitmen belajar yang tidak tentu masa, aku mendaftar untuk tinggal kembali di Kolej pada Tahun Ke-3. Kali ini aku merayu kepada Puan Salmah, Pengurus Kolej Kediaman Ke-5 agar menerima aku sebagai penghuni baru.

Bakat seni tarian dan teater aku sememangnya sudah meresap di dalam tubuh badan aku. Sukar dibuang. Walaupun hanya satu(1) semester sahaja aku menginap di Kolej Kediaman Ke-5, aku kembali aktif bersama Kholid dan Norshah untuk mempersembahkan Tarian dan Puisidrama sempena Sambutan Hari Terbuka Kolej Kediaman Ke-5. Kali ini bukan sekadar teater dan bukan sekadar tarian yang kami persembahkan tetapi gabungan puisi, drama dan tarian. Jika dahulu aku kurang menyerlah dalam teater dan sering diejek dalam tarian, kini aku berbangga kerana penghuni Kolej Kediaman Ke-5 lebih terbuka untuk menerima bidang kesenian dan kebudayaan. Buktinya...tepukan gemuruh penonton dan ucapan syabas daripada Pengetua Kolej Kediaman Ke-5, Dr Sabri aku terima sejurus tamat persembahan. Benar-benar puas apabila menjadi tumpuan mata penonton.

Back To The Future....

Coretan "Lembut" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

No comments: