Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Friday, February 27, 2009

Edisi Khas 4: Politik Malaysia Kian Bercelaru


Suasana di pekarangan bangunan Parlimen semalam kecoh apabila kumpulan Pemuda UMNO Selangor mendesak Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor, Karpal Singh meminta maaf kerana melemparkan ungkapan ‘Pemuda UMNO celaka’ semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat kelmarin. -Utusan Malaysia-

Silap gaya sekiranya peristiwa diatas berulang kembali, ianya boleh menjadi sentimen bangsa dan kulit. Adakah kita ingin mengulangi sejarah hitam 13 Mei 1969? Jawablah wahai pemimpin-pemimpin negara.

Perasaan menyampah mulai membuak didalam jiwa sejurus aku melihat gelagat mereka dikaca televisyen. Mengalahkan Mat Rempit yang ghairah berebut Minah Tersepit. Menewaskan kanak-kanak yang menangis berebut gula-gula getah. Menundukkan Along yang bengis memeras ugut peminjam hutang.

Apa nak jadi dengan iklim politik Malaysia. Isu negeri Perak kian lama kian berkarat. Masih lagi bertelagah soal undang-undang negeri. Mahkamah dijadikan platform untuk menegakkan kepentingan peribadi. Wajah politik yang kian kotor dan berlumpur.

Tahun kedua Pasca PRU 12 masih lagi berada di takuk lama. Masalah dan isu dalaman kelihatan tiada jalan penyelesaian. Pusingan kemuraman ekonomi dunia semakin menambahkan beban minda dan perasaan. Ahli-ahli politik pula terus leka dan khayal dengan hasad-dengki dan dendam-kesumat yang semakin membusung tinggi. Rakyat semakin bingung dengan telatah "buang tabiat" ahli-ahli politik. Masalah masyarakat kian terpinggir dik kealpaan ahli-ahli politik yang seperti hilang akal.

Isu tol pula seumpama letupan bom yang berangkai. Membuatkan aku tertawa sendiri. Betapa tidak sensitifnya parti pemerintah sehingga bertindak kurang wajar untuk menaikkan kadar tol dalam suasana ekonomi dunia yang mendung. Kementerian Kerja Raya (KKR) yang tidak berjiwa rakyat. Lurus mengalahkan bendul. Apa jua alasan KKR, ianya merupakan keputusan kabinet yang paling "bodoh" aku anggap sehingga melatahkan pelbagai pihak.

Entahlah...apa nak jadi dengan pemimpin-pemimpin kita. Jika pertandingan gusti atau tinju ada tempoh rehatnya, pertandingan antara ahli-ahli politik ini pula sukar diramal tempoh masanya. Siaran pertandingan secara langsung tanpa henti. Betapa hebatnya semangat mereka. SYABAS!

Coretan "Haru-Biru" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

No comments: